RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Sabtu, 10 Oktober 2015

Ross Nursery


ROSS NURSERY


PASIR PUTEH, KELANTAN: Tanah yang cantik tetapi terbiar begitu saja tentunya merugikan pemiliknya. Jika ada usaha ke arah itu, tanah yang terbiar juga mendatangkan manfaatnya bukan saja sesuai untuk bercucuk-tanam atau menanam pelbagai jenis pokok-pokok buah-buahan yang apabila cukup tempoh matangnya untuk berbuah, buah-buahan itu boleh dipungut untuk dijual. Namun, ketahuilah bahawa, tanah selain untuk tujuan itu, ia boleh diusahakan dalam bidang nurseri dan landskap.

"Saya menubuhkan nurseri dan landskap di kampung ini kerana melihat agak kurang selesa tanah yang cantik didapati terbiar begitu saja tanpa diusahakan.

"Sejak itulah, saya menanam tekad untuk membuka nurseri dengan menjual pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang bernilai komersial dan diminati pelanggan", kata Pengurus Ross Nursery, Mohamad Azwan bin Che Man (Wan), 24, dari Kampung Sri Aman 3, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di Ross Nurseri miliknya.

Katanya, Ross Nursery dibuka dengan rasminya pada 20 April, 2013 di Kampung Sri Aman 3 dekat sini dan penduduk di Pasir Puteh memang sedia maklum dengan pembukaannya ketika itu. Nurseri berkenaan yang ketika mula-mula beroperasi di kawasan terbabit hanya menjual pelbagai jenis pasu bunga yang bermodalkan antara RM3,000 atau RM4,000 saja ketika itu. Bangsal tempat untuk rehat dan sebagainya masih belum dibina kerana baharu beroperasi, tetapi kini semua keperluan sebagai sebuah nurseri semuanya sudah lengkap.

“Pada tahun 2013, masih belum ada nurseri di Pasir Puteh ini. Hanya Ross Nursery adalah terawal menapak dan merupakan nursery perintis di Pasir Puteh terutamanya di Kampung Sri Aman 3 ini.

“Disebabkan tiada saingan dari nurseri lain ketika itu, Ross Nursery sentiasa mendapat perhatian pelanggan. Pokok-pokok bunga yang ada tidak mencukupi malah terpaksa ditambah”, ujar Azwan.

Katanya, dia menempah pelbagai jenis bunga yang menjadi minat pelanggan di Cameron Highlands (Pahang), manakala bunga-bunga dan pokok-pokok yang lain ditempahnya di Rantau Panjang (Kelantan). Selain dari jualan pasu-pasu bunga secara kecil-kecilan, dia juga banyak menempah pokok bunga kertas dan pokok bunga Jasmine iaitu dua jenis pokok bunga yang digemari kebanyakan pelanggan yang sering datang membeli di kedai nurserinya.

Punca kedua-dua jenis bunga ini begitu laris adalah disebabkan pokok bunga yang senang dijaga dan tidak cerewet kepada keadaan cuaca, sama ada hujan dan panas. Sejak itulah dia mula membina pondok kecil (bangsal) dalam taman nurserinya untuk menampakkan kesungguhannya terhadap nurseri dan bidang landskap berkenaan

Kata Azwan lagi, di nurserinya mempunyai pokok yang memang tahan kepada panas matahari. Kalau dihitung pelbagai jenis pokok yang ada di nurserinya, kira-kira 100 jenis pokok dijual di nurserinya berdasarkan kepada minat pelanggan. Di antara jenis tumbuh-tumbuhan yang dijualnya seperti pokok bunga, hiasan dan pokok buah-buahan. Pokok buah-buahan seperti manggis, mangga, rambutan dan kurma begitu sinonim dengan masyarakat di Kelantan khususnya di Pasir Puteh.

“Ketika nurseri ini mula dibuka pada tahun 2013 itu, kos yang dikeluarkan untuk membeli pelbagai jenis pokok dan pasu pada tahun 2013 itu adalah di antara RM3,000 atau RM4,000.

“Tetapi, kos kini telah meningkat kepada RM20,000. Keseluruhan kos termasuk pembinaan bangsal di nurserinya itu adalah kira-kira RM40,000”, jelasnya.

Bercakap tentang bekalan pokok, kebanyakan pokok-pokok yang ada di nurserinya ditempah dari Cameron Highlands (Pahang) dan Rantau Panjang (Kelantan). Pihak pembekal tumbuh-tumbuhan yang ditempah dari Cameron Highlands (Pahang) akan membawa ke nurserinya. Sementara, bagi pokok-pokok yang dibeli dari Rantau Panjang (Kelantan), lazimnya jika pokok-pokok itu kecil dia akan membawa dengan kenderaannya sendiri, tetapi jika pokok itu agak besar seperti pokok Roshinda dan kurma, pembekal akan membawa ke nurserinya setelah tempahan dan bayaran dibuat.

Tambah Azwan, berhubung dengan harga pula, dia akan menjualnya kira-kira 50 peratus dari modal yang dikeluarkannya. Misalnya, jika modal untuk mendapatkan pokok bunga kertas adalah RM3, dia akan menjualnya dengan harga RM5. Harga berkenaan adalah harga standard di pasaran, walau bagaimanapun ia berdasarkan kepada keadaan fizikal pokok itu. Jika pokok itu besar, tentu harganya meningkat.

“Perolehan pendapatannya dalam sehari, Alhamdulillah, kira-kira RM800. Ini berdasarkan kepada jumlah pelanggan yang datang.”, ujar Azwan lagi.

Ditanya tentang jumlah pelanggan dahulu (tahun 2013) yang tiada saingan berbanding kini (2015) yang begitu banyak saingan dengan nurseri yang lain, beliau menjelaskan, kebanyakan pelanggan yang datang ke nurserinya boleh dikatakan masih menggalakkan walaupun terdapat saingan dari tiga nurseri lain di Pasir Puteh ketika ini.

Di antara sebab tumpuan pelanggan ke nurserinya ialah nurserinya terletak di tepi laluan umum, nurserinya lebih besar (luas) dari nurseri lain, pasu bunga juga banyak pilihan berbanding nurseri lain dan nurseri lain hanya menjual pokok secara ala kadar tanpa menjual pasu berbanding nurserinya.

Walau bagaimanapun menurut Azwan, menjadi kebiasaan di mana-mana nurseri termasuk nurserinya, pelanggan paling ramai di nurserinya seperti hari-hari cuti mingguan seperti Jumaat dan Sabtu. Malahan menurutnya, kebanyakan pelanggan beliau terdiri daripada kalangan guru. Setakat ini menurutnya, kebanyakan pelanggan yang sering mengunjungi nurserinya adalah pelanggan tempatan. Tetapi jika hari cuti umum seperti dua hari raya, ramailah pelanggan dari luar Kelantan kerana mereka beranggapan pokok-pokok di nurserinya agak jauh lebih murah berbanding dengan nursery di sana.

Katanya lagi, jenis pokok yang sering menjadi minat dan tumpuan pembeli di kawasan Pasir Puteh khususnya di nurserinya seperti pokok puding dan bunga kertas. Hal ini disebabkan kedua-dua jenis pokok ini senang dijaga dan tahan lasak berbanding dengan pokok-pokok lain yang agak cerewet dan tidak tahan terkena cuaca panas dan hujan (air) yang berlebihan dan  berpanjangan.

“Misalnya, pokok-pokok yang didatangkan dari Cameron Highlands, minat pelanggan terhadapnya agak perlahan berbanding dari Rantau Panjang”, katanya.

Ditanya tentang kelaziman minat wanita terhadap pokok-pokok bunga berbanding lelaki, beliau menjelaskan bukan wanita sahaja yang meminati pokok bunga, namun lelaki juga turut memberi tumpuan hal yang sama. Ini disebabkan pokok bunga adalah sejenis pokok yang menarik pandangan.

Malah setakat pengalamannya sebagai pengusaha nurseri mendapati, si suami minat dengan bunga apabila mereka datang ke nurserinya untuk membeli pokok bunga, tetapi ada wanita (si isteri) yang tidak begitu minat pokok seperti itu sebagaimana suami mereka. Hal ini menurutnya sudah terbalik.

“Ada juga di kalangan suami-suami yang datang sendiri memilih dan membeli pelbagai jenis pokok dan pasu bunga yang mereka minat, sebaliknya si isteri sekadar diam dalam kereta, seolah-olah tidak berminat dengannya”, kata Azwan seterusnya.

Dalam pada itu, Ross Nursery juga turut menjual pokok hiasan seperti “pokok bonsai”. Bukan setakat nursery semata-mata, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan membuat “landskap” dan jika ada tempahan untuk berbuat demikian, pihak mereka akan ke kediaman pelanggan untuk mengukur jarak dan keluasannya. Bahkan, hal berkenaan akan diserahkan kepada pihak pelanggan untuk memilih pokok yang sesuai dengan cita nurani mereka, lazimnya sama ada pokok karpet dan sebagainya.

“Tentang harga adalah berdasarkan kepada budi bicara dengan pelanggan. Jika pihak kami menguruskan kesemuanya, harganya berbeza. Tetapi jika dilakukan sendiri oleh pelanggan, kami tidak mengenakan bayaran kecuali harga pokok itu sahaja”, jelasnya.

Menurutnya, jika hal berkenaan diserahkan kepada pihaknya, apatah lagi jika pokok berkenaan ditanam dalam jumlah yang banyak di halaman langdskap, beliau akan mengenakan bayaran yang sepatutnya. Tetapi jika pelanggan sekadar menanam dalam kawasan yang kecil, pihaknya tidak mengenakan bayaran memadai dengan harga pokok sahaja. Semuanya bergantung kepada tempahan yang dibuat oleh pelanggan.

Tambahnya, jika ada tempahan dari pihak pelanggan untuk membuat landskap, lazimnya pelanggan akan datang sendiri berbincang di nurserinya dan selepas itu pihaknya akan ke sana. Ini bergantung kepada kehendak pelanggan sendiri kerana sesetengah pelanggan meminta pihaknya membina sebuah kolam agar laman rumah berkenaan kelihatan cantik dan sejuk mata memandang.

“Harga standard untuk pembinaan “landskap” adalah di antara RM3,000 atau RM4,000”, ujarnya.

Ditanya tentang pokok hiasan bonsai, katanya hal berkenaan bergantung kepada pokok bonsai itu. Sekarang ini menurutnya, kebanyakan pelanggan memilih bonsai celoreng atap (bonsai jenis lama, bentuk fizikalnya adalah kecil) kerana pokok bonsai ini memang menarik tetapi harganya agak mahal. Punca harga mahal bonsai jenis ini berikutan amat terlalu sukar untuk menyiapkannya. Manakala, jika bonsai biasa di antara harga RM100 hingga RM200 sahaja.

Walau bagaimanapun, tempahan pokok bonsai di nurserinya tidaklah begitu ramai berbanding dengan tempahan pokok-pokok yang lain. Hal ini disebabkan, pokok bonsai agak terlalu mahal. Hanya yang benar-benar minat terhadapnya, sesuai dengan citarasa dan golongan yang ada duit sahaja yang akan menempah bonsai itu.

Untuk keterangan lanjut dan tempahan, hubungi Mohamad Azwan Che Man (Wan) di talian: 014-8264918

Mohamad Azwan bin Che Man atau Man.

Mohamad Azwan ketika ditemubual Wartawan RELATIF di Ross Nursery miliknya.










Sebahagian pokok yang ada di nurserinya.


Pasu bunga, barangan terawal dijual di nurserinya.


Baja pokok.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 1 Oktober 2015

Rumah Hobbit


RUMAH HOBBIT

PASIR PUTEH, KELANTAN: Pernahkah anda membaca The Hobbitiaitu sebuah novel fiksyen dan pengembaraan karya J.R.R Tolkien pada 21 September, 1937. Novel The Hobbit ini kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah filem pengembaraan menarik dan amat terkenal di seluruh dunia.

Tetapi tahukah anda bahawa, di Kelantan juga terdapat rumah hobbit yang kelihatannya dalam rumpun pokok sebagaimana yang dipaparkan dalam filem tersebut. Rumah hobbit yang dimaksudkan adalah milik Anizar binti Adnan (Kak Za), 48 dan suaminya yang letaknya di Kampung Kelubi, Wakaf Tuan Fara, Jalan Machang, Pasir Puteh, Kelantan yang kini telah berusia kira-kira 70 tahun.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Anizar bercerita, dia dan keluarganya telah menghuni rumah itu sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, tapak rumah hobbitnya itu asalnya adalah ladang getah sebab itulah warna tanahnya hitam dan keadaannya sebagai “tanah sejuk”. Tanah berkenaan menurutnya adalah milik arwah ibu bapa suaminya. Katanya, keluarganya kini adalah empat generasi (cicit) yang masih ada dan tinggal di situ.

Katanya, rumah hobbit yang didudukinya sekarang ini sebenarnya dalam kategori rumah lama yang tidak menggunakan paku tetapi menggunakan “pasak”. Lazimnya, kebanyakan rumah kayu dan papan menggunakan paku (model rumah konsep kedua) supaya lebih kukuh. Namun, rumah hobbitnya adalah rumah konsep awal (pertama) yang tidak menggunakan paku tetapi berasaskan kepada pasak, namun kelihatannya agak kukuh.

Tambah Anizar, disebabkan rumahnya sekarang ini dalam keadaan seperti itu, ada yang berseloroh sebagai “rumah berhantu” dan ada yang menyangka rumah berkenaan tidak mempunyai tuannya. Malah, rakan-rakannya sendiri agak terkejut kerana beliau dan suaminya berani menetap di rumah seumpama itu dalam keadaan yang dianggap tidak sesuai. Namun, dia akan tetap menghuni di situ kerana itulah harta dan rezeki yang dimiliki.

Pada mulanya dia tidaklah begitu berminat membina “rumah hobbit” itu. Segala-galanya bermula apabila timbul ilham ketika dia menanam benih pokok itu yang diperolehi dari suaminya dari seorang jutawan yang membelinya dari negara Afrika lalu menanamnya di sebatang pagar rumahnya. Suaminya membawanya pulang lalu disemainya di rumahnya yang berusia 70 tahun itu yang berkeadaan uzur apabila banyak dinding rumahnya yang telah kopak dan tercabut ketika anak-anaknya bermain dalam rumah berkenaan. Dia yang berharap dengan pokok pagar itu akan mengukuhkan lagi struktur dinding dan kayu yang kopak dan telah reput tentunya amat sesuai untuk rumah uzur seperti rumahnya untuk mengelakkan perbelanjaan lain untuk membaik pulih keadaan rumahnya itu.

“Pokok ini membesar dalam masa dua atau tiga tahun ini saja. Tetapi kemudiannya melingkup keseluruhan rumah ini dengan pantas”, ujarnya.

Katanya, beliau juga berasa agak pelik juga kerana pokok tersebut terlalu banyak buahnya. Apa yang pernah dilihatnya, buah dari pokok itu pernah dimakan burung-burung yang singgah dengan agak ramai apabila musim pokok berbuah, namun dia tidak pernah lihat manusia yang memakan buah-buahan itu.

Namun, dalam konteks yang bersabit dengan kosmetik dan kecantikan, buah-buahan dari pokok itu apabila dibelah baunya agak wangi.

Beliau dan suaminya melakukan perubahan kreatif ke atas rumah lama dan uzur sehingga menjadi kukuh apabila terlintas di sanubarinya untuk menanam pokok pagar itu kerana melihatnya agak cantik dan menarik apabila berada di pagar semata-mata. Apatah lagi, disebabkan papan dan kayunya telah uzur, apabila dipaku, pakunya terus tanggal dari kayunya yang mendorong beliau berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah itu. Hendak dirobohkan rumah itu, tentunya amat sayang kerana masih boleh diduduki lagi.

Apabila ditanya, adakah beliau akan kekal tinggal di rumah hobbitnya. Beliau menjelaskan, rumah hobbit yang didudukinya kini adalah milik kakak iparnya dan beliau menghuni di situ sekadar menumpang semata-mata. Kakak iparnya tinggalkan rumah berkenaan setelah berjaya membina sebuah rumah baharu. Jadi, beliau diminta oleh kakak iparnya supaya menetap di rumahnya sekarang.

“Kak tak pasti akan terus tinggal di rumah ini. Jika rumah ini diruntuhkan untuk projek tertentu, Kak pasti tinggal di tempat lain.

“Namun, kalau mengikut kata-kata kakak ipar kak waktu itu rumah ini tidak akan diruntuhkan dan kemungkinan akan dibaik pulih”, kata Anizar.

Tambahnya, jika mengikut ideanya, dia akan membaik pulih rumah hobbit itu dan mana-mana bahagian yang cacat seperti pintu dan jendela akan ditukar, manakala bumbungnya pula dibaik pulih dengan menukar atap yang baharu supaya kelihatan lebih selamat. Sementara dindingnya pula dikekalkan. Namun menurutnya, paling penting bagi beliau dan keluarganya ialah bahagian bumbungnya perlu dibaik pulih sama ada ditukar baharu supaya lebih selamat dan bebas dari turunan hujan.

Ditanya tentang kejadian angin kencang yang pernah beberapa kali melanda Kelantan pada tahun 2015 terutamanya di Pasir Puteh khususnya di Kampung Kelubi yang sememangnya tidak terlepas dengan tempiasnya yang berlaku ketika Asar (bunyi tiupannya agak kuat dan kasar) baru-baru ini, beliau menjelaskan ketika kejadian itu beliau baharu sahaja ingin menunaikan solat Asar. Katanya, keadaan dinding rumahnya itu tidak bergegar atau bergoyang ketika dipukul angin kencang itu, namun keadaan bata di bumbung rumahnya semuanya bergerak ke serata arah sehingga menyebabkan ruang atas terbuka dan terdedah.

Melihatkan keadaan itu, beliau meminta anak sulongnya supaya membaik pulih supaya kelihatan selamat dan sehingga hari ini keadaan bumbungnya masih kekal selepas kejadian angin kencang itu.

Katanya, rumahnya tidak bergegar atau bergoyang kerana telah dipegang pokok itu sebagai tunjang yang dapat menyokong dari serata arah ketika kejadian angin kencang melanda ketika itu. Namun, melihat kepada beberapa rumah di kawasan kampung itu memang agak teruk juga ketika angin kencang melanda ketika itu.

“Kak tidak begitu bimbang dengan keadaan rumah ini ketika angin kencang tempoh hari. Tetapi apabila melihatkan keadaan angin di luar rumah berkeadaan pelik dan luar biasa.

“Ketika angin kencang melanda kampung ini ketika itu, Kak berpindah ke rumah ibu bersebelahan rumah ini. Dari apa yang Kak perhatikan, keadaan rumah ini agak kukuh dan tidak bergoyang, sebaliknya di luar rumah pula menyebabkan pokok dipukul angin kencang itu agak menakutkan”, ujarnya.

Menariknya menurut Anizar, keadaan hawa dalam rumah hobbitnya itu berkeadaan sejuk walaupun suasana di luar agak panas. Barangkali disebabkan fungsi pokok itu yang menyerap karbon dioksida dan menghembuskan oksigen menyebabkan suasana itu berubah agak menyamankan. Lazimnya, apabila masuk ke rumah batu ternyata agak berbahang, namun keadaan dalam rumahnya sentiasa sejuk dan nyaman walaupun tanpa menggunakan kipas angin. Pernah juga pelawat yang datang ke rumah hobbitnya itu dan memberitahu rumahnya itu berkeadaan sejuk asli. Hal berkenaan berlaku di siang hari.

“Keadaan hawa rumah ini pada malam hari memang agak sejuk dan menyegarkan. Namun hal yang dibimbangkan adalah keadaan atap di bumbung rumah yang terdedah, bila-bila masa hujan turun akan membasahi dalam rumah. Kalau dilihat, rumah ini hanya boleh diduduki kira-kira lima (5) peratus saja”, katanya.

Membicarakan tentang pelawat pula, setakat ini telah ramai pelawat yang datang untuk melihat rumah hobbitnya. Sehingga kini kira-kira 21 media termasuk majalah RELATIF dan Siar.TV sendiri yang membuat liputan tentang rumah Hobbit itu. Sebelum itu, dua pasangan pengantin telah datang ke rumah hobbitnya untuk bergambar kenangan. Selepas itu, pihak media cetak, media elektronik dan media sosial yang datang membuat liputan, diikuti orang ramai dan pengunjung yang lalu lalang yang singgah kerana melihat keadaan sebuah rumah pelik itu.

Sementara, setakat ini masih belum ada pengunjung dari luar Kelantan yang datang untuk melihat rumah berkenaan secara dekat. Beliau bercerita, pernah satu masa seorang makcik secara berseloroh kepada cucunya seraya berkata kalau datang ke rumahnya itu pasti menjerit kerana terganggu, seolah-olah rumah buruknya kini adalah “rumah berhantu”. Selepas itu, makcik berkenaan datang memaklumkan kepadanya bahawa dia pernah berseloroh dengan mengusik cucunya dengan mendakwa rumah hobbitnya adalah rumah yang berhantu.

Katanya, kebanyakan rumah-rumah yang ada di sekitar rumah hobbitnya tidak pernah bertandang kerana mereka menyangka rumah hobbitnya kini tiada penghuninya. Malahan rakan-rakannya sendiri juga agak terkejut dan tidak percaya beliau boleh tinggal dalam rumah berkenaan. Bahkan menurutnya, rakan-rakan anaknya juga agak terkejut kerana anak-anaknya tinggal di rumah sedemikian rupa malah rakan-rakan anak-anaknya juga takut tinggal di rumah berkenaan.

Tetapi apabila rumah hobbitnya sekarang telah tersohor kerana umum telah mengetahuinya, ramai pula yang bertandang ke rumah berkenaan untuk melihatnya dan memuji pula rumah seumpama itu.

Apabila diminta tentang saranannya berhubung dengan rumah hobbitnya itu, katanya, jika ada pihak lain yang turut berminat untuk membangunkan “rumah hobbit” sepertinya, beliau menyarankan supaya tidak membuatnya dari kayu kerana dianggap tidak selamat, sebaliknya buatlah dari simen dan batu. Walau bagaimanapun menurutnya, rumah berkenaan tidak dicat kecuali di bahagian dalam rumah tetapi tidak di dinding luar rumah.

Ini kerana menurutnya, jika di sebelah luar rumah dicat, pokok berkenaan tidak akan dapat mencengkam dinding rumah kerana diganggu cat itu dan kemungkinan cat itu juga boleh membunuh tumbesaran pokok terbabit.

Anizar binti Adnan atau Kak Za.

Kak Za ketika ditemubual Wartawan RELATIF di rumah hobbit miliknya.




Rumah hobbit dari pelbagai sisi.

Wartawan RELATIF bergambar kenangan dengan suami Anizar.

Papan tanda kampung ini berdekatan dengan rumah hobbit.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN