RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Khamis, 1 Oktober 2015

Rumah Hobbit


RUMAH HOBBIT

PASIR PUTEH, KELANTAN: Pernahkah anda membaca The Hobbitiaitu sebuah novel fiksyen dan pengembaraan karya J.R.R Tolkien pada 21 September, 1937. Novel The Hobbit ini kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah filem pengembaraan menarik dan amat terkenal di seluruh dunia.

Tetapi tahukah anda bahawa, di Kelantan juga terdapat rumah hobbit yang kelihatannya dalam rumpun pokok sebagaimana yang dipaparkan dalam filem tersebut. Rumah hobbit yang dimaksudkan adalah milik Anizar binti Adnan (Kak Za), 48 dan suaminya yang letaknya di Kampung Kelubi, Wakaf Tuan Fara, Jalan Machang, Pasir Puteh, Kelantan yang kini telah berusia kira-kira 70 tahun.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Anizar bercerita, dia dan keluarganya telah menghuni rumah itu sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, tapak rumah hobbitnya itu asalnya adalah ladang getah sebab itulah warna tanahnya hitam dan keadaannya sebagai “tanah sejuk”. Tanah berkenaan menurutnya adalah milik arwah ibu bapa suaminya. Katanya, keluarganya kini adalah empat generasi (cicit) yang masih ada dan tinggal di situ.

Katanya, rumah hobbit yang didudukinya sekarang ini sebenarnya dalam kategori rumah lama yang tidak menggunakan paku tetapi menggunakan “pasak”. Lazimnya, kebanyakan rumah kayu dan papan menggunakan paku (model rumah konsep kedua) supaya lebih kukuh. Namun, rumah hobbitnya adalah rumah konsep awal (pertama) yang tidak menggunakan paku tetapi berasaskan kepada pasak, namun kelihatannya agak kukuh.

Tambah Anizar, disebabkan rumahnya sekarang ini dalam keadaan seperti itu, ada yang berseloroh sebagai “rumah berhantu” dan ada yang menyangka rumah berkenaan tidak mempunyai tuannya. Malah, rakan-rakannya sendiri agak terkejut kerana beliau dan suaminya berani menetap di rumah seumpama itu dalam keadaan yang dianggap tidak sesuai. Namun, dia akan tetap menghuni di situ kerana itulah harta dan rezeki yang dimiliki.

Pada mulanya dia tidaklah begitu berminat membina “rumah hobbit” itu. Segala-galanya bermula apabila timbul ilham ketika dia menanam benih pokok itu yang diperolehi dari suaminya dari seorang jutawan yang membelinya dari negara Afrika lalu menanamnya di sebatang pagar rumahnya. Suaminya membawanya pulang lalu disemainya di rumahnya yang berusia 70 tahun itu yang berkeadaan uzur apabila banyak dinding rumahnya yang telah kopak dan tercabut ketika anak-anaknya bermain dalam rumah berkenaan. Dia yang berharap dengan pokok pagar itu akan mengukuhkan lagi struktur dinding dan kayu yang kopak dan telah reput tentunya amat sesuai untuk rumah uzur seperti rumahnya untuk mengelakkan perbelanjaan lain untuk membaik pulih keadaan rumahnya itu.

“Pokok ini membesar dalam masa dua atau tiga tahun ini saja. Tetapi kemudiannya melingkup keseluruhan rumah ini dengan pantas”, ujarnya.

Katanya, beliau juga berasa agak pelik juga kerana pokok tersebut terlalu banyak buahnya. Apa yang pernah dilihatnya, buah dari pokok itu pernah dimakan burung-burung yang singgah dengan agak ramai apabila musim pokok berbuah, namun dia tidak pernah lihat manusia yang memakan buah-buahan itu.

Namun, dalam konteks yang bersabit dengan kosmetik dan kecantikan, buah-buahan dari pokok itu apabila dibelah baunya agak wangi.

Beliau dan suaminya melakukan perubahan kreatif ke atas rumah lama dan uzur sehingga menjadi kukuh apabila terlintas di sanubarinya untuk menanam pokok pagar itu kerana melihatnya agak cantik dan menarik apabila berada di pagar semata-mata. Apatah lagi, disebabkan papan dan kayunya telah uzur, apabila dipaku, pakunya terus tanggal dari kayunya yang mendorong beliau berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah itu. Hendak dirobohkan rumah itu, tentunya amat sayang kerana masih boleh diduduki lagi.

Apabila ditanya, adakah beliau akan kekal tinggal di rumah hobbitnya. Beliau menjelaskan, rumah hobbit yang didudukinya kini adalah milik kakak iparnya dan beliau menghuni di situ sekadar menumpang semata-mata. Kakak iparnya tinggalkan rumah berkenaan setelah berjaya membina sebuah rumah baharu. Jadi, beliau diminta oleh kakak iparnya supaya menetap di rumahnya sekarang.

“Kak tak pasti akan terus tinggal di rumah ini. Jika rumah ini diruntuhkan untuk projek tertentu, Kak pasti tinggal di tempat lain.

“Namun, kalau mengikut kata-kata kakak ipar kak waktu itu rumah ini tidak akan diruntuhkan dan kemungkinan akan dibaik pulih”, kata Anizar.

Tambahnya, jika mengikut ideanya, dia akan membaik pulih rumah hobbit itu dan mana-mana bahagian yang cacat seperti pintu dan jendela akan ditukar, manakala bumbungnya pula dibaik pulih dengan menukar atap yang baharu supaya kelihatan lebih selamat. Sementara dindingnya pula dikekalkan. Namun menurutnya, paling penting bagi beliau dan keluarganya ialah bahagian bumbungnya perlu dibaik pulih sama ada ditukar baharu supaya lebih selamat dan bebas dari turunan hujan.

Ditanya tentang kejadian angin kencang yang pernah beberapa kali melanda Kelantan pada tahun 2015 terutamanya di Pasir Puteh khususnya di Kampung Kelubi yang sememangnya tidak terlepas dengan tempiasnya yang berlaku ketika Asar (bunyi tiupannya agak kuat dan kasar) baru-baru ini, beliau menjelaskan ketika kejadian itu beliau baharu sahaja ingin menunaikan solat Asar. Katanya, keadaan dinding rumahnya itu tidak bergegar atau bergoyang ketika dipukul angin kencang itu, namun keadaan bata di bumbung rumahnya semuanya bergerak ke serata arah sehingga menyebabkan ruang atas terbuka dan terdedah.

Melihatkan keadaan itu, beliau meminta anak sulongnya supaya membaik pulih supaya kelihatan selamat dan sehingga hari ini keadaan bumbungnya masih kekal selepas kejadian angin kencang itu.

Katanya, rumahnya tidak bergegar atau bergoyang kerana telah dipegang pokok itu sebagai tunjang yang dapat menyokong dari serata arah ketika kejadian angin kencang melanda ketika itu. Namun, melihat kepada beberapa rumah di kawasan kampung itu memang agak teruk juga ketika angin kencang melanda ketika itu.

“Kak tidak begitu bimbang dengan keadaan rumah ini ketika angin kencang tempoh hari. Tetapi apabila melihatkan keadaan angin di luar rumah berkeadaan pelik dan luar biasa.

“Ketika angin kencang melanda kampung ini ketika itu, Kak berpindah ke rumah ibu bersebelahan rumah ini. Dari apa yang Kak perhatikan, keadaan rumah ini agak kukuh dan tidak bergoyang, sebaliknya di luar rumah pula menyebabkan pokok dipukul angin kencang itu agak menakutkan”, ujarnya.

Menariknya menurut Anizar, keadaan hawa dalam rumah hobbitnya itu berkeadaan sejuk walaupun suasana di luar agak panas. Barangkali disebabkan fungsi pokok itu yang menyerap karbon dioksida dan menghembuskan oksigen menyebabkan suasana itu berubah agak menyamankan. Lazimnya, apabila masuk ke rumah batu ternyata agak berbahang, namun keadaan dalam rumahnya sentiasa sejuk dan nyaman walaupun tanpa menggunakan kipas angin. Pernah juga pelawat yang datang ke rumah hobbitnya itu dan memberitahu rumahnya itu berkeadaan sejuk asli. Hal berkenaan berlaku di siang hari.

“Keadaan hawa rumah ini pada malam hari memang agak sejuk dan menyegarkan. Namun hal yang dibimbangkan adalah keadaan atap di bumbung rumah yang terdedah, bila-bila masa hujan turun akan membasahi dalam rumah. Kalau dilihat, rumah ini hanya boleh diduduki kira-kira lima (5) peratus saja”, katanya.

Membicarakan tentang pelawat pula, setakat ini telah ramai pelawat yang datang untuk melihat rumah hobbitnya. Sehingga kini kira-kira 21 media termasuk majalah RELATIF dan Siar.TV sendiri yang membuat liputan tentang rumah Hobbit itu. Sebelum itu, dua pasangan pengantin telah datang ke rumah hobbitnya untuk bergambar kenangan. Selepas itu, pihak media cetak, media elektronik dan media sosial yang datang membuat liputan, diikuti orang ramai dan pengunjung yang lalu lalang yang singgah kerana melihat keadaan sebuah rumah pelik itu.

Sementara, setakat ini masih belum ada pengunjung dari luar Kelantan yang datang untuk melihat rumah berkenaan secara dekat. Beliau bercerita, pernah satu masa seorang makcik secara berseloroh kepada cucunya seraya berkata kalau datang ke rumahnya itu pasti menjerit kerana terganggu, seolah-olah rumah buruknya kini adalah “rumah berhantu”. Selepas itu, makcik berkenaan datang memaklumkan kepadanya bahawa dia pernah berseloroh dengan mengusik cucunya dengan mendakwa rumah hobbitnya adalah rumah yang berhantu.

Katanya, kebanyakan rumah-rumah yang ada di sekitar rumah hobbitnya tidak pernah bertandang kerana mereka menyangka rumah hobbitnya kini tiada penghuninya. Malahan rakan-rakannya sendiri juga agak terkejut dan tidak percaya beliau boleh tinggal dalam rumah berkenaan. Bahkan menurutnya, rakan-rakan anaknya juga agak terkejut kerana anak-anaknya tinggal di rumah sedemikian rupa malah rakan-rakan anak-anaknya juga takut tinggal di rumah berkenaan.

Tetapi apabila rumah hobbitnya sekarang telah tersohor kerana umum telah mengetahuinya, ramai pula yang bertandang ke rumah berkenaan untuk melihatnya dan memuji pula rumah seumpama itu.

Apabila diminta tentang saranannya berhubung dengan rumah hobbitnya itu, katanya, jika ada pihak lain yang turut berminat untuk membangunkan “rumah hobbit” sepertinya, beliau menyarankan supaya tidak membuatnya dari kayu kerana dianggap tidak selamat, sebaliknya buatlah dari simen dan batu. Walau bagaimanapun menurutnya, rumah berkenaan tidak dicat kecuali di bahagian dalam rumah tetapi tidak di dinding luar rumah.

Ini kerana menurutnya, jika di sebelah luar rumah dicat, pokok berkenaan tidak akan dapat mencengkam dinding rumah kerana diganggu cat itu dan kemungkinan cat itu juga boleh membunuh tumbesaran pokok terbabit.

Anizar binti Adnan atau Kak Za.

Kak Za ketika ditemubual Wartawan RELATIF di rumah hobbit miliknya.




Rumah hobbit dari pelbagai sisi.

Wartawan RELATIF bergambar kenangan dengan suami Anizar.

Papan tanda kampung ini berdekatan dengan rumah hobbit.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan