ROSS NURSERY
PASIR PUTEH, KELANTAN: Tanah yang cantik tetapi terbiar begitu saja tentunya merugikan pemiliknya. Jika ada usaha ke arah itu, tanah yang terbiar juga mendatangkan manfaatnya bukan saja sesuai untuk bercucuk-tanam atau menanam pelbagai jenis pokok-pokok buah-buahan yang apabila cukup tempoh matangnya untuk berbuah, buah-buahan itu boleh dipungut untuk dijual. Namun, ketahuilah bahawa, tanah selain untuk tujuan itu, ia boleh diusahakan dalam bidang nurseri dan landskap.
"Saya menubuhkan nurseri dan landskap di kampung ini kerana melihat agak kurang selesa tanah yang cantik didapati terbiar begitu saja tanpa diusahakan.
"Sejak itulah, saya menanam tekad untuk membuka nurseri dengan menjual pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang bernilai komersial dan diminati pelanggan", kata Pengurus Ross Nursery, Mohamad Azwan bin Che Man (Wan), 24, dari Kampung Sri Aman 3, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di Ross Nurseri miliknya.
Katanya, Ross Nursery dibuka dengan rasminya pada 20
April, 2013 di Kampung Sri Aman 3 dekat sini dan penduduk di Pasir Puteh memang sedia maklum dengan pembukaannya ketika itu. Nurseri berkenaan yang ketika
mula-mula beroperasi di kawasan terbabit hanya menjual pelbagai jenis pasu
bunga yang bermodalkan antara RM3,000 atau RM4,000 saja ketika itu. Bangsal
tempat untuk rehat dan sebagainya masih belum dibina kerana baharu beroperasi,
tetapi kini semua keperluan sebagai sebuah nurseri semuanya sudah lengkap.
“Pada tahun 2013, masih belum ada
nurseri di Pasir Puteh ini. Hanya Ross Nursery adalah terawal menapak dan
merupakan nursery perintis di Pasir Puteh terutamanya di Kampung Sri Aman 3
ini.
“Disebabkan tiada saingan dari
nurseri lain ketika itu, Ross Nursery sentiasa mendapat perhatian pelanggan.
Pokok-pokok bunga yang ada tidak mencukupi malah terpaksa ditambah”, ujar
Azwan.
Katanya, dia menempah pelbagai
jenis bunga yang menjadi minat pelanggan di Cameron Highlands
(Pahang), manakala bunga-bunga dan pokok-pokok yang lain ditempahnya di Rantau
Panjang (Kelantan). Selain dari jualan pasu-pasu bunga secara kecil-kecilan,
dia juga banyak menempah pokok bunga kertas dan pokok bunga Jasmine iaitu dua
jenis pokok bunga yang digemari kebanyakan pelanggan yang sering datang membeli
di kedai nurserinya.
Punca kedua-dua jenis bunga ini
begitu laris adalah disebabkan pokok bunga yang senang dijaga dan tidak cerewet
kepada keadaan cuaca, sama ada hujan dan panas. Sejak itulah dia mula membina
pondok kecil (bangsal) dalam taman nurserinya untuk menampakkan kesungguhannya
terhadap nurseri dan bidang landskap berkenaan
Kata Azwan lagi, di nurserinya
mempunyai pokok yang memang tahan kepada panas matahari. Kalau dihitung
pelbagai jenis pokok yang ada di nurserinya, kira-kira 100 jenis pokok dijual
di nurserinya berdasarkan kepada minat pelanggan. Di antara jenis
tumbuh-tumbuhan yang dijualnya seperti pokok bunga, hiasan dan pokok
buah-buahan. Pokok buah-buahan seperti manggis, mangga, rambutan dan kurma
begitu sinonim dengan masyarakat di Kelantan khususnya di Pasir Puteh.
“Ketika nurseri ini mula dibuka
pada tahun 2013 itu, kos yang dikeluarkan untuk membeli pelbagai jenis pokok
dan pasu pada tahun 2013 itu adalah di antara RM3,000 atau RM4,000.
“Tetapi, kos kini telah meningkat
kepada RM20,000. Keseluruhan kos termasuk pembinaan bangsal di nurserinya itu
adalah kira-kira RM40,000”, jelasnya.
Bercakap tentang bekalan pokok,
kebanyakan pokok-pokok yang ada di nurserinya ditempah dari Cameron Highlands
(Pahang) dan Rantau Panjang (Kelantan). Pihak pembekal tumbuh-tumbuhan yang
ditempah dari Cameron
Highlands (Pahang) akan
membawa ke nurserinya. Sementara, bagi pokok-pokok yang dibeli dari Rantau
Panjang (Kelantan), lazimnya jika pokok-pokok itu kecil dia akan membawa dengan
kenderaannya sendiri, tetapi jika pokok itu agak besar seperti pokok Roshinda
dan kurma, pembekal akan membawa ke nurserinya setelah tempahan dan bayaran
dibuat.
Tambah Azwan, berhubung dengan
harga pula, dia akan menjualnya kira-kira 50 peratus dari modal yang dikeluarkannya.
Misalnya, jika modal untuk mendapatkan pokok bunga kertas adalah RM3, dia akan
menjualnya dengan harga RM5. Harga berkenaan adalah harga standard di pasaran,
walau bagaimanapun ia berdasarkan kepada keadaan fizikal pokok itu. Jika pokok
itu besar, tentu harganya meningkat.
“Perolehan pendapatannya dalam
sehari, Alhamdulillah, kira-kira RM800. Ini berdasarkan kepada jumlah pelanggan
yang datang.”, ujar Azwan lagi.
Ditanya tentang jumlah pelanggan
dahulu (tahun 2013) yang tiada saingan berbanding kini (2015) yang begitu
banyak saingan dengan nurseri yang lain, beliau menjelaskan, kebanyakan
pelanggan yang datang ke nurserinya boleh dikatakan masih menggalakkan walaupun
terdapat saingan dari tiga nurseri lain di Pasir Puteh ketika ini.
Di antara sebab tumpuan pelanggan
ke nurserinya ialah nurserinya terletak di tepi laluan umum, nurserinya lebih
besar (luas) dari nurseri lain, pasu bunga juga banyak pilihan berbanding
nurseri lain dan nurseri lain hanya menjual pokok secara ala kadar tanpa
menjual pasu berbanding nurserinya.
Walau bagaimanapun menurut Azwan,
menjadi kebiasaan di mana-mana nurseri termasuk nurserinya, pelanggan paling
ramai di nurserinya seperti hari-hari cuti mingguan seperti Jumaat dan Sabtu.
Malahan menurutnya, kebanyakan pelanggan beliau terdiri daripada kalangan guru.
Setakat ini menurutnya, kebanyakan pelanggan yang sering mengunjungi nurserinya
adalah pelanggan tempatan. Tetapi jika hari cuti umum seperti dua hari raya,
ramailah pelanggan dari luar Kelantan kerana mereka beranggapan pokok-pokok di
nurserinya agak jauh lebih murah berbanding dengan nursery di sana.
Katanya lagi, jenis pokok yang
sering menjadi minat dan tumpuan pembeli di kawasan Pasir Puteh khususnya di
nurserinya seperti pokok puding dan bunga kertas. Hal ini disebabkan kedua-dua
jenis pokok ini senang dijaga dan tahan lasak berbanding dengan pokok-pokok
lain yang agak cerewet dan tidak tahan terkena cuaca panas dan hujan (air) yang
berlebihan dan berpanjangan.
“Misalnya, pokok-pokok yang didatangkan
dari Cameron Highlands, minat pelanggan terhadapnya
agak perlahan berbanding dari Rantau Panjang”, katanya.
Ditanya tentang kelaziman minat
wanita terhadap pokok-pokok bunga berbanding lelaki, beliau menjelaskan bukan
wanita sahaja yang meminati pokok bunga, namun lelaki juga turut memberi
tumpuan hal yang sama. Ini disebabkan pokok bunga adalah sejenis pokok yang
menarik pandangan.
Malah setakat pengalamannya
sebagai pengusaha nurseri mendapati, si suami minat dengan bunga apabila mereka
datang ke nurserinya untuk membeli pokok bunga, tetapi ada wanita (si isteri)
yang tidak begitu minat pokok seperti itu sebagaimana suami mereka. Hal ini
menurutnya sudah terbalik.
“Ada juga di kalangan suami-suami yang datang
sendiri memilih dan membeli pelbagai jenis pokok dan pasu bunga yang mereka
minat, sebaliknya si isteri sekadar diam dalam kereta, seolah-olah tidak
berminat dengannya”, kata Azwan seterusnya.
Dalam pada itu, Ross Nursery juga
turut menjual pokok hiasan seperti “pokok bonsai”. Bukan setakat nursery
semata-mata, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan membuat “landskap”
dan jika ada tempahan untuk berbuat demikian, pihak mereka akan ke kediaman
pelanggan untuk mengukur jarak dan keluasannya. Bahkan, hal berkenaan akan
diserahkan kepada pihak pelanggan untuk memilih pokok yang sesuai dengan cita
nurani mereka, lazimnya sama ada pokok karpet dan sebagainya.
“Tentang harga adalah berdasarkan
kepada budi bicara dengan pelanggan. Jika pihak kami menguruskan kesemuanya,
harganya berbeza. Tetapi jika dilakukan sendiri oleh pelanggan, kami tidak
mengenakan bayaran kecuali harga pokok itu sahaja”, jelasnya.
Menurutnya, jika hal berkenaan
diserahkan kepada pihaknya, apatah lagi jika pokok berkenaan ditanam dalam
jumlah yang banyak di halaman langdskap, beliau akan mengenakan bayaran yang
sepatutnya. Tetapi jika pelanggan sekadar menanam dalam kawasan yang kecil,
pihaknya tidak mengenakan bayaran memadai dengan harga pokok sahaja. Semuanya
bergantung kepada tempahan yang dibuat oleh pelanggan.
Tambahnya, jika ada tempahan dari
pihak pelanggan untuk membuat landskap, lazimnya pelanggan akan datang sendiri
berbincang di nurserinya dan selepas itu pihaknya akan ke sana. Ini bergantung kepada kehendak
pelanggan sendiri kerana sesetengah pelanggan meminta pihaknya membina sebuah
kolam agar laman rumah berkenaan kelihatan cantik dan sejuk mata memandang.
“Harga standard untuk pembinaan
“landskap” adalah di antara RM3,000 atau RM4,000”, ujarnya.
Ditanya tentang pokok hiasan
bonsai, katanya hal berkenaan bergantung kepada pokok bonsai itu. Sekarang ini
menurutnya, kebanyakan pelanggan memilih bonsai celoreng atap (bonsai jenis
lama, bentuk fizikalnya adalah kecil) kerana pokok bonsai ini memang menarik
tetapi harganya agak mahal. Punca harga mahal bonsai jenis ini berikutan amat
terlalu sukar untuk menyiapkannya. Manakala, jika bonsai biasa di antara harga
RM100 hingga RM200 sahaja.
Walau bagaimanapun, tempahan
pokok bonsai di nurserinya tidaklah begitu ramai berbanding dengan tempahan
pokok-pokok yang lain. Hal ini disebabkan, pokok bonsai agak terlalu mahal.
Hanya yang benar-benar minat terhadapnya, sesuai dengan citarasa dan golongan
yang ada duit sahaja yang akan menempah bonsai itu.
Untuk keterangan lanjut dan tempahan, hubungi Mohamad Azwan Che Man (Wan) di talian: 014-8264918
Mohamad Azwan bin Che Man atau Man.
Mohamad Azwan ketika ditemubual Wartawan RELATIF di Ross Nursery miliknya.
Sebahagian pokok yang ada di nurserinya.
Pasu bunga, barangan terawal dijual di nurserinya.
Baja pokok.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan