RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Ahad, 20 Disember 2015

Air Terjun Lata Berangin (Kuala Krai)


AIR TERJUN LATA BERANGIN
(KUALA KRAI)

KUALA KRAI, KELANTAN: Pengalaman mandi air terjun, jeram dan lata adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Ini kerana, air yang mengalir melalui caruh air atau lebih dikenali jeram atau lata itu adalah air yang paling bersih kerana air berkenaan mungkin dari dalam bumi atau dari sesebuah gua, bukit atau gunung. Namun, air terjun, jeram dan lata di mana-mana tempat tentunya berbeza walaupun air yang mengalir itu dikatakan bersih.

Perbezaan yang dimaksudkan adalah berhubung dengan susunan batu-batannya, kedalaman atau ceteknya air itu dan juga bentuk geografi sesebuah air terjun, jeram dan lata itu. Begitu juga halnya dari sudut jarak setiap lata itu amat berbeza.

Bagi pengalaman Penulis yang pernah menjejakkan kaki, mandi, berenang dan menyelam di empat belas (14) tempat air terjun, jeram dan lata seperti Air Terjun Chamang (Bentong, Pahang), Air Terjun Lata Changkah Dua (Setiu, Terengganu), Jeram La Hot Spring (Besut, Terengganu), Hutan Lipur Lata Tembakah (Besut, Terengganu), Hutan Lipur Lata Belatan (Besut, Terengganu), Hutan Lipur Lata Hujan (Gual Ipoh, Tanah Merah), Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih (Kampung Lawang, Tanah Merah), Air Terjun Lata Janggut (Kampung Lata Janggut, Jeli), Hutan Lipur Bukit Bakar (Kampung Limau Manis, Machang), Air Terjun Jeram Pasu (Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh), Hutan Lipur Jeram Linang (Pasir Puteh), Air Terjun Jelawang atau Air Terjun Gunung Stong (Dabong, Kuala Krai), Air Terjun Lata Rek (Kampung Laloh, Kuala Krai) dan Air Terjun Lata Berangin (Kampung Sungai Pas, Kuala Krai).

Dalam kesemua senarai air terjun, jeram dan lata yang dinyatakan itu, hanya Air Terjun Lata Berangin sahaja yang agak lain dari yang lain. Perjalanan untuk memasuki ke kawasan air terjun berkenaan memang memenatkan kenderaan yang membawa pengunjungnya apabila terpaksa menaiki dan menuruni laluan yang tidak rata (berbukit) malah banyak pusing kiri dan kanan. Bahkan keadaan bentuk geografinya yang seperti itu amat memeritkan kenderaan yang melaluinya kerana jalan ke situ adalah terlalu kecil, sendat dan padat iaitu hanya memuatkan sebuah kenderaan sahaja bagi satu-satu masa. Sementara di sebelah kirinya pula di kelilingi bukit dan hutan tebal, manakala di sebelah kanannya pula adalah jeram. Namun, apabila hujan turun, keadaan laluannya yang becak dan pecah-pecah di beberapa tempat dan bahagian yang menyebabkan laluan berkenaan berkeadaan licin walaupun jalannya telah diturap.

Air Terjun Lata Berangin yang letaknya di kawasan Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Pas boleh dilalui di antara lebuh raya Kuala Krai – Gua Musang. Jaraknya dari Kota Bharu adalah kira-kira 88 kilometer dengan tempoh perjalanan selama 1 jam 32 minit, sementara jaraknya dari Kuala Krai pula adalah kira-kira 25 kilometer dengan tempoh masa 26 minit.

Pengunjung yang ingin ke tempat Air Terjun Lata Berangin hendaklah membelok ke sebelah kiri apabila melihat papan tanda Batu Balai dan Sungai Pas dekat Kuala Krai. Pengunjung juga akan melalui kira-kira enam buah kampung untuk sampai ke Air Terjun Lata Berangin itu seperti Kampung Bukit Che Si, Kampung Tengah, Kampung Batu Balai, Kampung Bechah Salak, Kampung Mengkebang dan Kampung Sungai Pas sendiri.

Terjunan Air Terjun Lata Berangin ini dikatakan setinggi kira-kira 120 meter dan amat sesuai bagi yang gemarkan aktiviti perkhemahan. Walau bagaimanapun, terdapat sebuah rumah rehat yang agak kosong (tanpa bekalan elektrik) untuk kemudahan pengunjung untuk bersalin pakaian dan berehat.

Keadaan persekitaran ini separa menarik kerana di banyak tempat telah terbentuk kolam mandi malah terdapat begitu banyak ikan, anak-anak ikan dan udang yang setia seperti terbau dengan kehadiran pengunjung. Apabila dicampakkan makanan, ikan-ikan berkenaan berebut-rebut sesama sendiri untuk mendapatkan makanan itu yang nyata rezeki haiwan itu. Bahkan menyaksikan beberapa orang kanak-kanak yang turut memancing di jeram sebelah hilir menunjukkan jumlah ikan di jeram air terjun itu memang banyak.

Selain sesuai untuk aktiviti perkhemahan, di tebing jeramnya juga amat sesuai untuk pelbagai aktiviti keluarga seperti bar-b-que dan santai-santai selain aktiviti mandi, berenang dan menyelam dalam beberapa kolam di jeram berkenaan. Namun, keadaan air jeram kini yang dalam apabila hujan turun dan mengalir melalui jeram itu sejak beberapa hari lalu, pengunjung perlulah berhati-hati kerana “malang memang tidak berbau”.

Papan tanda Batu Balai dan Sungai Pas di bandar Kuala Krai.










Air Terjun Lata Berangin, sebuah air terjun mendamaikan. Banyak kawanan ikan di kawasan jeram air terjun ini.



Tempat sesuai untuk santai dan bar-b-que.

Terdapat rumah rehat dengan ruang yang agak luas.


Bersebelahan air terjun ini adalah bukit.


Di kawasan air terjun ini kaya dengan pokok-pokok ulam terutamanya pucuk sawi.

Laluan ke kawasan terjun yang agak sempit.




Kira-kira enam buah kampung perlu ditempuhi oleh pengunjung sebelum tiba di kawasan Air Terjun Lata Berangin.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.my

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 10 Disember 2015

Air Terjun Lata Janggut (Jeli)


AIR TERJUN LATA JANGGUT
(JELI)

JELI, KELANTAN: Tidak siapa yang mengetahui tentang asal usul dan nama Air Terjun Lata Janggut walaupun terdapat beberapa warga emas asal yang pernah menjejak dan sebagai peneroka hutan di kampung itu. Air Terjun Lata Janggut yang letaknya di Kampung Lata Janggut, Jeli, Kelantan iaitu kira-kira 13 kilometer dari bandar Jeli. Ini kerana, nama Lata Janggut telah lama wujud sebelum peneroka itu datang ke kampung berkenaan.

Hal ini diceritakan sendiri oleh salah seorang warga emas yang juga seorang peneroka, Zakaria bin Yusoff atau Pak Ka, 72, dari Kampung Sungai Long, Batu Melintang, Jeli, Kelantan. Untuk ke kawasan Air Terjun Lata Janggut itu dengan mudah perlulah pengunjung melalui hadapan rumahnya sehingga tiba di jeram itu.

“Saya sendiri tidak mengetahui asal usul Lata Janggut itu. Ketika saya datang ke kampung ini sebagai peneroka tahun 1967 dulu, nama Lata Janggut itu sudah wujud”, katanya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di kediamannya.

Katanya lagi, ketika dia tiba di kampung (kediamannya sekarang), keadaan kampung berkenaan pada masa itu masih hutan tebal lagi dan tiada penghuni di kampung berkenaan.

“Keadaan di Lata Janggut pada ketika itu jika melihat Kampung Sungai Long ini adalah berkeadaan asal (hutan tebal). Jadi bermakna, keadaan Lata Janggut pada masa itu masih dalam keadaan hutan lagi”, ujarnya apabila ditanya tentang keadaan lokasi Lata Janggut ketika itu.

Pak Ka menambah, ini amat jelas Lata Janggut itu wujud sebelum tahun 1960-an lagi. Persoalannya, siapakah yang memberikan nama Lata Janggut itu tidaklah diketahui. Hal sedemikian menurutnya, sebelum kedatangan beliau ke kampung berkenaan, sudah ada pihak yang menggunakan laluan itu untuk ke Lata Janggut. Sebabnya, hanya laluan dari hadapan rumahnya yang akan mudah tiba di Lata Janggut dan apatah lagi, hari ini kemudahan jalan raya telah diwartakan di kampung berkenaan untuk memudahkan pengunjung ke Lata Janggut itu.

“Saya sendiri tidak mengetahui tentang asal usul Lata Janggut itu pada masa dulu adalah sebuah tempat orang ramai menangkap ikan.

“Setahu saya, banyak ikan diperolehi di Lata Janggut pada masa itu seperti ikan kelah, baung dan sebagainya”, ujarnya.

Memang tidak dapat dikira jumlah ikan-ikan yang ada di situ disebabkan terlalu banyak yang menggambarkan keadaan air jeram dan lubuk lata janggut itu sesuai dengan pelbagai jenis ikan. Namun, jika dikatakan haiwan buas pastinya tidak dapat dinafikan disebabkan keadaan hutannya yang tebal yang belum terusik lagi.

Menurutnya, keadaan air yang terjun di Lata Janggut pada ketika itu adalah berketinggian lima kaki jika dibandingkan dengan hari ini. Malahan laluan air melalui jeram itu juga begitu dalam tidak sebagaimana hari ini yang semakin cetek. Katanya, jika ikan-ikan besar seperti kelah dan baung dapat hidup di lata ketika itu, bermakna air di jeramnya juga adalah dalam. Hal ini adalah benar apabila tiada sesiapa yang cuba memberanikan diri untuk terjun atau mandi di dalam lubuk Lata Janggut pada ketika itu disebabkan terlalu dalam.

Selain itu menurut Pak Ka, jika dibandingkan dengan keadaan air pada masa dulu dengan hari ini adalah jernih. Malah katanya, jika ingin diberikan gambaran tentang suasana di Lata Janggut pada masa dulu yang kelihatannya masih dalam semak-samun dan hutan tebal disebabkan tiada sesiapa yang memberikan perhatian. Namun, hari ini Lata Janggut telah berubah wajah, keadaannya agak terbuka dan sesiapa saja boleh ke situ kerana tidak lagi berasa takut kerana banyak pokok telah ditebang supaya mudah dilalui.

Tambah Pak Ka lagi, penghuni awal sebagai peneroka di kampung berkenaan ketika itu termasuk beliau sendiri adalah kira-kira 20 orang. Kesemua peneroka itu akan menangkap ikan di jeram itu sekali dalam seminggu.

Menurutnya, kebanyakan ikan-ikan menjadikan Lata Janggut sebagai habitat haiwan berkenaan kerana ikan-ikan berkenaan berkumpul di situ. Ini kerana, apabila berlakunya musim hujan ikan-ikan yang datang dari sungai besar iaitu Sungai Pergau akan memasuki jeram itu, jadi ikan-ikan berkenaan tidak dapat melompat ke arah air terjun berkenaan disebabkan terlalu tinggi. Sudahnya, ikan-ikan berkenaan semuanya berkumpul di dalam lubuk dalam jeram di Lata Janggut itu.

Kebanyakan ikan-ikan yang ditangkap oleh penduduk dalam lubuk di Lata Janggut itu oleh kebanyakan peneroka pada masa itu hanya untuk makanan sendiri dan bukannya untuk dijual kerana pada  ketika itu juga masih belum wujud pasar basah dan kedai tidak sebagaimana hari ini.

Banyaknya jumlah ikan yang diukur menurutnya adalah berdasarkan masa tangkapan yang dibuat di lubuk itu. Katanya, dia hanya menangkap ikan sekali dalam seminggu untuk menunjukkan jumlahnya yang banyak dan keperluan makanan mereka pada ketika itu lebih dari cukup untuk menampung selama seminggu. Apabila telah habis, mereka akan pergi tangkap lagi.

Katanya, ikan yang paling besar sekali adalah ikan kelah yang beratnya di antara tujuh (7) hingga lapan (8) kilo. Manakala ikan baung pula ukurannya sebesar lengannya. Malah ada lagi ikan-ikan lagi yang beliau sendiri tidak mengenalinya. Ikan-ikan ini sebenarnya berenang dari Sungai Pergau apabila berlakunya musim hujan. Apabila ikan-ikan berkenaan memasuki lubuk di jeram itu, ikan-ikan berkenaan tidak lagi dapat turun lalu berkumpul di dalam lubuk itu.

Setelah kampung berkenaan diteroka dan dibuka sepenuhnya, semakin ramai pula penduduk-penduduk dari kampung lain yang datang ke kampung berkenaan semata-mata untuk menangkap ikan seperti dari Kampung Batu Melintang, Kampung Lawar dan dari Jeli sendiri. Mereka berakit melalui sungai dan terus memasuki lata dan jeram itu. Mereka akan bermalam di lokasi itu selama seminggu dan apabila hasil ikan-ikan telah penuh, baharulah mereka bertolak pulang keesokannya.

Berdasarkan catatan di batu asas Majlis Daerah Jeli yang terdapat di pintu masuk Air Terjun Lata Janggut ialah air terjun berkenaan mempunyai tiga tingkat dengan menjanjikan tempat mandi yang selamat apabila terdapat beberapa kolam yang terbentuk dari batu-batu di jeram itu.

Air Terjun Lata Janggut itu juga turut dimajukan oleh Katua Jajahan Jeli dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Di antara kemudahan yang boleh didapati di Air Terjun Lata Janggut adalah wakaf rehat, surau, tempat perkhemahan, jungle tracking dan tempat parkir kenderaan. Namun, pengunjung tidak dihampakan kerana, keadaan air di lata ini amat sesuai untuk mandi manda, berenang dan menyelam.

Hanya kemudahan itu yang disediakan di Air Terjun Lata Janggut. Namun, keadaan persekitarannya yang telah berubah dan luas sebenarnya kurang penjagaan. Hanya terserah kepada pengunjung semata-mata, kemudahan lain seperti kedai dan warung makanan tidak dapat dikhususkan di situ kerana jumlah pengunjungnya boleh dibilang dengan jari. Pengunjung pastinya ramai apabila tibanya musim cuti persekolahan mahupun cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu. Hari-hari lain keadaannya agak lengang dan menyeramkan.

Zakaria bin Yusoff atau Pak Ka.

Pak Ka ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Papan tanda tersergam di laluan di Kampung Lata Janggut. 


Batu asas Air Terjun Lata Janggut di sebelah bawah.





Inilah wajah Air Terjun Lata Janggut sesuai untuk mandi manda, berenang dan menyelam.

Kemudahan wakaf rehat sebagai tempat untuk pengunjung berehat.


Penunjuk Kampung Lata Janggut.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.my

 Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Selasa, 1 Disember 2015

Air Terjun Lata Bijih (Tanah Merah)


AIR TERJUN DAN REKREASI LATA BIJIH
(TANAH MERAH)

TANAH MERAH, KELANTAN: Di Jajahan Tanah Merah ini, terdapat dua jeram yang dikenali umum iaitu Hutan Lipur Lata Hujan yang letaknya dalam daerah Kusial iaitu di Kampung Gual Ipoh, Tanah Merah. Namun, terdapat sebuah lagi jeram yang dikenali “Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih” yang dulunya dikenali Air Terjun Telaga Bijih.

Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih ini letaknya agak terpencil di Kampung Lawang. Pengunjung yang ingin ke Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih hendaklah berkenderaan melalui Jalan Persekutuan ke Jeli dan apabila tiba di Kampung Batu Gajah, pengunjung hendaklah membelok ke sebelah kiri ke Kampung Lawang sehingga tiba di kawasan jeram tersebut.

Amat tidak jelas, kenapa dinamakan Lata Bijih, adakah disebabkan kawasan berkenaan pada masa dulu sebuah tempat perlombongan logam atau sebagainya tidaklah dipastikan. Namun, amat jelas air terjun berkenaan menjanjikan suatu pemandangan menarik walaupun letaknya agak terpencil di Tanah Merah.

Aliran air di jeram ini agak sederhana, namun terdapat kolam mandi di bahagian bawah air terjun berkenaan. Bagi golongan muda mudi, mereka gemarkan menadah diri di kawasan jeram di sebelah atas termasuk air terjun itu. Namun, bagi golongan yang telah berkeluarga, memadailah mereka mandi manda dan menyelam di kawasan bawah jeram tersebut.

Di antara kemudahan yang disediakan di Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih ini seperti wakaf rehat, kerusi rehat, surau, tempat parkir kenderaan, air pancur, kolam mandi untuk kanak-kanak dan ruang gelongsor hingga ke dalam air serta warung makanan. Lata ini begitu terkenal sebagai tempat perkelahan dan perkhemahan badan-badan beruniform kerana keadaan tempatnya yang agak luas dan lapang.

Lazimnya, lata dan jeram ini sering menerima pengunjung setiap hari. Namun, paling ramai ketika musim cuti persekolahan dan cuti hujung minggu. Walaupun kelihatannya lata dan jeram ini agak biasa, tetapi pemandangannya agak menarik dan amat sesuai untuk beriadah bersama keluarga.

Berkunjunglah ke air terjun dan jeram di negeri kita sebagai tanda sokongan terhadap kemurnian alam ciptaan Allah dan jika tidak kita, siapa lagi?










Suasana dan pemandangan di Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih.



Kolam mandi dan air pancur untuk kanak-kanak.


Main gelongsor air terus ke dalam air. 












Wakaf rehat.


Kerusi rehat.

Warung dan gerai makanan.

Tempat parkir kenderaan.


Papan tanda larangan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
 
 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH