AIR TERJUN LATA JANGGUT
(JELI)
JELI, KELANTAN: Tidak siapa yang
mengetahui tentang asal usul dan nama Air Terjun Lata Janggut walaupun terdapat
beberapa warga emas asal yang pernah menjejak dan sebagai peneroka hutan di
kampung itu. Air Terjun Lata Janggut yang letaknya di Kampung Lata Janggut,
Jeli, Kelantan iaitu kira-kira 13 kilometer dari bandar Jeli. Ini kerana, nama
Lata Janggut telah lama wujud sebelum peneroka itu datang ke kampung berkenaan.
Hal ini diceritakan sendiri oleh
salah seorang warga emas yang juga seorang peneroka, Zakaria bin Yusoff atau
Pak Ka, 72, dari Kampung Sungai Long, Batu Melintang, Jeli, Kelantan. Untuk ke kawasan
Air Terjun Lata Janggut itu dengan mudah perlulah pengunjung melalui hadapan
rumahnya sehingga tiba di jeram itu.
“Saya sendiri tidak mengetahui
asal usul Lata Janggut itu. Ketika saya datang ke kampung ini sebagai peneroka
tahun 1967 dulu, nama Lata Janggut itu sudah wujud”, katanya ketika ditemui
Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di
kediamannya.
Katanya lagi, ketika dia tiba di
kampung (kediamannya sekarang), keadaan kampung berkenaan pada masa itu masih
hutan tebal lagi dan tiada penghuni di kampung berkenaan.
“Keadaan di Lata Janggut pada
ketika itu jika melihat Kampung Sungai Long ini adalah berkeadaan asal (hutan tebal).
Jadi bermakna, keadaan Lata Janggut pada masa itu masih dalam keadaan hutan lagi”,
ujarnya apabila ditanya tentang keadaan lokasi Lata Janggut ketika itu.
Pak Ka menambah, ini amat jelas
Lata Janggut itu wujud sebelum tahun 1960-an lagi. Persoalannya, siapakah yang
memberikan nama Lata Janggut itu tidaklah diketahui. Hal sedemikian menurutnya,
sebelum kedatangan beliau ke kampung berkenaan, sudah ada pihak yang
menggunakan laluan itu untuk ke Lata Janggut. Sebabnya, hanya laluan dari
hadapan rumahnya yang akan mudah tiba di Lata Janggut dan apatah lagi, hari ini
kemudahan jalan raya telah diwartakan di kampung berkenaan untuk memudahkan pengunjung ke Lata
Janggut itu.
“Saya sendiri tidak mengetahui tentang
asal usul Lata Janggut itu pada masa dulu adalah sebuah tempat orang ramai
menangkap ikan.
“Setahu saya, banyak ikan
diperolehi di Lata Janggut pada masa itu seperti ikan kelah, baung dan
sebagainya”, ujarnya.
Memang tidak dapat dikira jumlah
ikan-ikan yang ada di situ disebabkan terlalu banyak yang menggambarkan keadaan
air jeram dan lubuk lata janggut itu sesuai dengan pelbagai jenis ikan. Namun,
jika dikatakan haiwan buas pastinya tidak dapat dinafikan disebabkan keadaan
hutannya yang tebal yang belum terusik lagi.
Menurutnya, keadaan air yang
terjun di Lata Janggut pada ketika itu adalah berketinggian lima kaki jika dibandingkan dengan hari ini.
Malahan laluan air melalui jeram itu juga begitu dalam tidak sebagaimana hari
ini yang semakin cetek. Katanya, jika ikan-ikan besar seperti kelah dan baung
dapat hidup di lata ketika itu, bermakna air di jeramnya juga adalah dalam. Hal ini
adalah benar apabila tiada sesiapa yang cuba memberanikan diri untuk terjun
atau mandi di dalam lubuk Lata Janggut pada ketika itu disebabkan terlalu
dalam.
Selain itu menurut Pak Ka, jika
dibandingkan dengan keadaan air pada masa dulu dengan hari ini adalah jernih.
Malah katanya, jika ingin diberikan gambaran tentang suasana di Lata Janggut
pada masa dulu yang kelihatannya masih dalam semak-samun dan hutan tebal
disebabkan tiada sesiapa yang memberikan perhatian. Namun, hari ini Lata
Janggut telah berubah wajah, keadaannya agak terbuka dan sesiapa saja boleh ke
situ kerana tidak lagi berasa takut kerana banyak pokok telah ditebang supaya
mudah dilalui.
Tambah Pak Ka lagi, penghuni awal
sebagai peneroka di kampung berkenaan ketika itu termasuk beliau sendiri adalah
kira-kira 20 orang. Kesemua peneroka itu akan menangkap ikan di jeram itu
sekali dalam seminggu.
Menurutnya, kebanyakan ikan-ikan
menjadikan Lata Janggut sebagai habitat haiwan berkenaan kerana ikan-ikan
berkenaan berkumpul di situ. Ini kerana, apabila berlakunya musim hujan
ikan-ikan yang datang dari sungai besar iaitu Sungai Pergau akan memasuki jeram
itu, jadi ikan-ikan berkenaan tidak dapat melompat ke arah air terjun berkenaan
disebabkan terlalu tinggi. Sudahnya, ikan-ikan berkenaan semuanya berkumpul di
dalam lubuk dalam jeram di Lata Janggut itu.
Kebanyakan ikan-ikan yang
ditangkap oleh penduduk dalam lubuk di Lata Janggut itu oleh kebanyakan
peneroka pada masa itu hanya untuk makanan sendiri dan bukannya untuk dijual
kerana pada ketika itu juga masih belum
wujud pasar basah dan kedai tidak sebagaimana hari ini.
Banyaknya jumlah ikan yang diukur
menurutnya adalah berdasarkan masa tangkapan yang dibuat di lubuk itu. Katanya,
dia hanya menangkap ikan sekali dalam seminggu untuk menunjukkan jumlahnya yang
banyak dan keperluan makanan mereka pada ketika itu lebih dari cukup untuk
menampung selama seminggu. Apabila telah habis, mereka akan pergi tangkap lagi.
Katanya, ikan yang paling besar
sekali adalah ikan kelah yang beratnya di antara tujuh (7) hingga lapan (8)
kilo. Manakala ikan baung pula ukurannya sebesar lengannya. Malah ada lagi
ikan-ikan lagi yang beliau sendiri tidak mengenalinya. Ikan-ikan ini sebenarnya
berenang dari Sungai Pergau apabila berlakunya musim hujan. Apabila ikan-ikan
berkenaan memasuki lubuk di jeram itu, ikan-ikan berkenaan tidak lagi dapat
turun lalu berkumpul di dalam lubuk itu.
Setelah kampung berkenaan
diteroka dan dibuka sepenuhnya, semakin ramai pula penduduk-penduduk dari
kampung lain yang datang ke kampung berkenaan semata-mata untuk menangkap ikan
seperti dari Kampung Batu Melintang, Kampung Lawar dan dari Jeli sendiri.
Mereka berakit melalui sungai dan terus memasuki lata dan jeram itu. Mereka
akan bermalam di lokasi itu selama seminggu dan apabila hasil ikan-ikan telah
penuh, baharulah mereka bertolak pulang keesokannya.
Berdasarkan catatan di batu asas
Majlis Daerah Jeli yang terdapat di pintu masuk Air Terjun Lata Janggut ialah
air terjun berkenaan mempunyai tiga tingkat dengan menjanjikan tempat mandi
yang selamat apabila terdapat beberapa kolam yang terbentuk dari batu-batu di
jeram itu.
Air Terjun Lata Janggut itu juga
turut dimajukan oleh Katua Jajahan Jeli dengan kerjasama Kementerian
Pelancongan Malaysia
dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
Di antara kemudahan yang boleh
didapati di Air Terjun Lata Janggut adalah wakaf rehat, surau, tempat
perkhemahan, jungle tracking dan tempat parkir kenderaan. Namun, pengunjung tidak dihampakan kerana, keadaan air di lata ini amat sesuai untuk mandi manda, berenang dan menyelam.
Hanya
kemudahan itu yang disediakan di Air Terjun Lata Janggut. Namun, keadaan
persekitarannya yang telah berubah dan luas sebenarnya kurang penjagaan. Hanya
terserah kepada pengunjung semata-mata, kemudahan lain seperti kedai dan warung
makanan tidak dapat dikhususkan di situ kerana jumlah pengunjungnya boleh
dibilang dengan jari. Pengunjung pastinya ramai apabila tibanya musim cuti persekolahan
mahupun cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu. Hari-hari lain
keadaannya agak lengang dan menyeramkan.
Zakaria bin Yusoff atau Pak Ka.
Pak Ka ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Papan tanda tersergam di laluan di Kampung Lata Janggut.
Batu asas Air Terjun Lata Janggut di sebelah bawah.
Inilah wajah Air Terjun Lata Janggut sesuai untuk mandi manda, berenang dan menyelam.
Kemudahan wakaf rehat sebagai tempat untuk pengunjung berehat.
Penunjuk Kampung Lata Janggut.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan