RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Ahad, 20 Disember 2015

Air Terjun Lata Berangin (Kuala Krai)


AIR TERJUN LATA BERANGIN
(KUALA KRAI)

KUALA KRAI, KELANTAN: Pengalaman mandi air terjun, jeram dan lata adalah sesuatu yang tidak dapat dilupakan. Ini kerana, air yang mengalir melalui caruh air atau lebih dikenali jeram atau lata itu adalah air yang paling bersih kerana air berkenaan mungkin dari dalam bumi atau dari sesebuah gua, bukit atau gunung. Namun, air terjun, jeram dan lata di mana-mana tempat tentunya berbeza walaupun air yang mengalir itu dikatakan bersih.

Perbezaan yang dimaksudkan adalah berhubung dengan susunan batu-batannya, kedalaman atau ceteknya air itu dan juga bentuk geografi sesebuah air terjun, jeram dan lata itu. Begitu juga halnya dari sudut jarak setiap lata itu amat berbeza.

Bagi pengalaman Penulis yang pernah menjejakkan kaki, mandi, berenang dan menyelam di empat belas (14) tempat air terjun, jeram dan lata seperti Air Terjun Chamang (Bentong, Pahang), Air Terjun Lata Changkah Dua (Setiu, Terengganu), Jeram La Hot Spring (Besut, Terengganu), Hutan Lipur Lata Tembakah (Besut, Terengganu), Hutan Lipur Lata Belatan (Besut, Terengganu), Hutan Lipur Lata Hujan (Gual Ipoh, Tanah Merah), Air Terjun dan Rekreasi Lata Bijih (Kampung Lawang, Tanah Merah), Air Terjun Lata Janggut (Kampung Lata Janggut, Jeli), Hutan Lipur Bukit Bakar (Kampung Limau Manis, Machang), Air Terjun Jeram Pasu (Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh), Hutan Lipur Jeram Linang (Pasir Puteh), Air Terjun Jelawang atau Air Terjun Gunung Stong (Dabong, Kuala Krai), Air Terjun Lata Rek (Kampung Laloh, Kuala Krai) dan Air Terjun Lata Berangin (Kampung Sungai Pas, Kuala Krai).

Dalam kesemua senarai air terjun, jeram dan lata yang dinyatakan itu, hanya Air Terjun Lata Berangin sahaja yang agak lain dari yang lain. Perjalanan untuk memasuki ke kawasan air terjun berkenaan memang memenatkan kenderaan yang membawa pengunjungnya apabila terpaksa menaiki dan menuruni laluan yang tidak rata (berbukit) malah banyak pusing kiri dan kanan. Bahkan keadaan bentuk geografinya yang seperti itu amat memeritkan kenderaan yang melaluinya kerana jalan ke situ adalah terlalu kecil, sendat dan padat iaitu hanya memuatkan sebuah kenderaan sahaja bagi satu-satu masa. Sementara di sebelah kirinya pula di kelilingi bukit dan hutan tebal, manakala di sebelah kanannya pula adalah jeram. Namun, apabila hujan turun, keadaan laluannya yang becak dan pecah-pecah di beberapa tempat dan bahagian yang menyebabkan laluan berkenaan berkeadaan licin walaupun jalannya telah diturap.

Air Terjun Lata Berangin yang letaknya di kawasan Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) KESEDAR Sungai Pas boleh dilalui di antara lebuh raya Kuala Krai – Gua Musang. Jaraknya dari Kota Bharu adalah kira-kira 88 kilometer dengan tempoh perjalanan selama 1 jam 32 minit, sementara jaraknya dari Kuala Krai pula adalah kira-kira 25 kilometer dengan tempoh masa 26 minit.

Pengunjung yang ingin ke tempat Air Terjun Lata Berangin hendaklah membelok ke sebelah kiri apabila melihat papan tanda Batu Balai dan Sungai Pas dekat Kuala Krai. Pengunjung juga akan melalui kira-kira enam buah kampung untuk sampai ke Air Terjun Lata Berangin itu seperti Kampung Bukit Che Si, Kampung Tengah, Kampung Batu Balai, Kampung Bechah Salak, Kampung Mengkebang dan Kampung Sungai Pas sendiri.

Terjunan Air Terjun Lata Berangin ini dikatakan setinggi kira-kira 120 meter dan amat sesuai bagi yang gemarkan aktiviti perkhemahan. Walau bagaimanapun, terdapat sebuah rumah rehat yang agak kosong (tanpa bekalan elektrik) untuk kemudahan pengunjung untuk bersalin pakaian dan berehat.

Keadaan persekitaran ini separa menarik kerana di banyak tempat telah terbentuk kolam mandi malah terdapat begitu banyak ikan, anak-anak ikan dan udang yang setia seperti terbau dengan kehadiran pengunjung. Apabila dicampakkan makanan, ikan-ikan berkenaan berebut-rebut sesama sendiri untuk mendapatkan makanan itu yang nyata rezeki haiwan itu. Bahkan menyaksikan beberapa orang kanak-kanak yang turut memancing di jeram sebelah hilir menunjukkan jumlah ikan di jeram air terjun itu memang banyak.

Selain sesuai untuk aktiviti perkhemahan, di tebing jeramnya juga amat sesuai untuk pelbagai aktiviti keluarga seperti bar-b-que dan santai-santai selain aktiviti mandi, berenang dan menyelam dalam beberapa kolam di jeram berkenaan. Namun, keadaan air jeram kini yang dalam apabila hujan turun dan mengalir melalui jeram itu sejak beberapa hari lalu, pengunjung perlulah berhati-hati kerana “malang memang tidak berbau”.

Papan tanda Batu Balai dan Sungai Pas di bandar Kuala Krai.










Air Terjun Lata Berangin, sebuah air terjun mendamaikan. Banyak kawanan ikan di kawasan jeram air terjun ini.



Tempat sesuai untuk santai dan bar-b-que.

Terdapat rumah rehat dengan ruang yang agak luas.


Bersebelahan air terjun ini adalah bukit.


Di kawasan air terjun ini kaya dengan pokok-pokok ulam terutamanya pucuk sawi.

Laluan ke kawasan terjun yang agak sempit.




Kira-kira enam buah kampung perlu ditempuhi oleh pengunjung sebelum tiba di kawasan Air Terjun Lata Berangin.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.my

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan