RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Jumaat, 30 Januari 2015

Perabot Rotan Zakaria


PERABOT ROTAN ZAKARIA


PASIR MAS, KELANTAN:  Manusia dan tumbuh-tumbuhan tidak akan dapat dipisahkan dari sumber itu. Ini kerana, dalam apa jua hal pun, manusia pasti menggunakan sumber dari tumbuh-tumbuhan untuk kesenangan dan kesinambungan kehidupan mereka sama ada manusia itu sedar atau tidak, manusia tetap menggunakan pelbagai sumber dari tumbuh-tumbuhan.

Begitu halnya dengan penggunaan rotan, sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak gunanya dalam kehidupan manusia khususnya dalam konteks pembuatan perabot kraf rotan. Rotan, lazimnya banyak diperolehi di kawasan-kawasan hutan, bukit, gunung dan gua kerana sumber ini melingkari kawasan tersebut yang pastinya turut digunakan oleh makhluk haiwan selain manusia.

Sebut tentang rotan, kita pastinya akan dapat melihat beberapa kedai perabot yang menjual kraf berkenaan. Apabila ada kedai yang menjual barangan itu, kita pastinya akan terbayang tentang kilang yang mengeluarkan kraf terbabit dan bagaimana mereka mencipta dan mengeluarkan pelbagai perabot yang bersumberkann dari rotan seperti buaian dari rotan, kuda-kuda untuk kanak-kanak, kerusi dan kusyen dan sebagainya lagi. Di antara kedai, premis dan kilang yang membuat perabot itu ialah Perabot Rotan Zakaria.

“Perabot Rotan Zakaria ini ditubuhkan lebih 20 tahun lalu. Saya ketika itu berusia dalam lingkungan 13 tahun. Awal penubuhan kilang ini memang keadaannya agak sukar khususnya untuk menempatkan produk kraf rotan ini di hati pembeli.

“Apatah lagi, kesusahan yang dimaksudkan itu apabila cara pembuatan perabot itu dibuat secara tradisional atau manual yang tidak menggunakan sebarang peralatan dan mesin khas. Berbeza dengan kini yang menggunakan mesin menjadikan segala kerja yang lambat menjadi semakin pantas”, ujar Pengurus Perabot Rotan Zakaria, Azman bin Zakaria, 38, yang turut dikenali dengan panggilan Jeman ketika ditemui Wartawan RELATIF di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini.

Katanya, pada masa dulu, usaha membuat perabot memerlukan masa selama sehari untuk menyiapkannya berbanding kini yang hanya separuh hari sahaja. Manakala tentang perabot lain pula, beliau akan meminta dalam tempoh selama sebulan untuk menghasilkannya dalam keadaan baik, sempurna dan bermutu.

Keadaan ini disebabkan penggunaan peralatan moden dan terkini yang dapat mempercepatkan pembuatan perabot tersebut. Apatah lagi pada masa itu terpaksa menggunakan seratus peratus tenaga manusia, berbeza sekarang menggunakan kedua-duanya.

“Di antara peralatan yang digunakan untuk menghasilkan perabot seperti paku, tukul, alat spana untuk membentuk dan membetulkan rotan serta gas (dulu minyak tanah)”, ujar Azman lagi.

Apabila ditanya tentang kerja di masa dulu dengan sekarang, katanya beliau lebih gemar bekerja dalam suasana sekarang yang dianggap moden, mudah dan menjimatkan masa. Barangan perabot pula dapat disiapkan lebih awal dari yang dijanjikan tanpa menggunakan tenaga yang banyak berbanding pada masa lampau.

Membicarakan tentang awal penubuhan kilang rotan dan minat beliau dalam bidang pembuatan perabot rotan tersebut, beliau menjelaskan, bapanya pernah bekerja dengan Pengurus Perabot di Kota Bharu, Kelantan selama tujuh (7) tahun. Selepas berhenti kerja dan memperolehi banyak pengalaman di kilang perabot itu bapanya itu mula berhasrat menjadikan kediamannya sekarang sebagai kilang perabot sehingga hari ini.

Tentang modal untuk menubuhkan kilang berkenaan menurutnya, modal yang dikumpul oleh bapanya untuk membuka kilang perabot di tempatnya sekarang adalah kira-kira RM600 sahaja. Bermula dari tempahan itu, bapanya itu mengumpul perbelanjaan secara berdikit untuk memperkemas, menggiatkan dan membesarkan lagi cara pembuatan sebagaimana yang dapat dilihat hari ini.

“Kebanyakan bekalan rotan diperolehi di Kuala Terengganu disebabkan dari Kelantan kini agak berkurangan.

“Pada masa dulu, bekalan rotan boleh diperolehi dengan banyak di tiga tempat seperti di Pasir Mas dan juga Wakaf Baharu, tetapi di tempat-tempat itu sekarang sudah tiada lagi.

“Bekalan rotan yang agak kecil yang belum dimasak, saya perolehi dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak. Ketiga-tiga tempat ini mempunyai kilang membuat rotan siap. Begitu juga dengan rotan kasar terpaksa didatangkan dari Perak”, jelasnya.

Menurutnya, di antara produk rotan yang dibuat di kilangnya seperti kuda-kuda (untuk kanak-kanak), kerusi malas (untuk kanak-kanak) dan boleh dikatakan semua produk berasaskan rotan boleh dihasilkannya untuk kegunaan rumah termasuk set sofa. 

Katanya, apabila dikatakan produk berasaskan rotan pihaknya boleh membuatnya menurut kehendak pelanggan. Tambahnya, jika pelanggan melihat produk di tempat lain lalu meminta pihaknya membuatnya, pihaknya bersedia melakukannya dalam usaha memuaskan kehendak pelanggan terbabit.

Ditanya tentang pelanggan pula, beliau menjelaskan, kebanyakan pelanggan di Kelantan sering membeli dan ada yang menempah perabot di kedainya, lazimnya pelanggan yang dimaksudkan kebanyakannya dari Kota Bharu. Hal begini disebabkan, beberapa pelanggannya pernah memaklumkan mereka tertarik dengan kehalusan seni pembuatannya yang agak teliti berbanding dengan produk rotan lain.

Manakala di luar Kelantan pula, beliau menghantar produk rotan itu ke Terengganu (sebulan sekali dan paling lewat dua bulan sekali), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan.

Sambungnya, betapa kukuhnya produk yang dibuat dari rotan walaupun harganya dikatakan agak mahal oleh segelintir masyarakat tentang produk kraf terbabit, namun ketahanannya boleh dijamin berbanding sofa yang harganya agak mahal dalam lingkungan RM2,000 hingga RM3,000 tetapi dalam masa setahun sudah rosak dan runtuh.

Tambahnya, pihaknya pernah menerima produk rotan dari seorang pengguna yang usianya telah mencecah 40 tahun yang meminta pihaknya membaiki perabot terbabit yang berkeadaan uzur. Pengguna terbabit meminta beliau supaya membaiki dan pihaknya melakukan produk rotannya itu seperti berkeadaan baharu semula. Perabot rotan itu menurutnya kukuh dan tahan dalam tempoh 10 tahun pula.

Ditanya tentang pengguna dari Gua Musang yang dikatakan pernah membeli produk rotan di beberapa jajahan sebelah sini. Katanya, pengguna di Gua Musang lazimnya membeli produk rotan yang agak kecil. Beliau tidak pasti tentang hal itu memandangkan pada masa dulu di Gua Musang juga mempunyai gedung rotan yang pernah menghasilkan produk rotan yang dimaksudkan. Ini kerana, terdapat kilang rotan yang agak besar yang diwujudkan di Gua Musang sejak 15 tahun lalu yang merupakan salah satu pembuat produk rotan yang agak tersohor juga di kawasan itu.

Membicarakan tentang harga produk rotan yang dijualnya, beliau akan membandingkan dengan keadaan rotan itu. Jika produk tersebut menggunakan rotan yang agak keras dan berkualiti harganya memang tinggi. Sebagaimana pengalamannya tentang produk berkenaan, pernah beliau ditanyakan oleh beberapa orang pembeli yang terkeliru tentang perbezaan harga walaupun produk yang sama. Jadi, jelas perbezaan harganya berdasarkan penggunaan rotan untuk menghasilkan produk terbabit.

Sementara, harga satu set sofa di antara RM2,000 hingga RM8,000 berdasarkan kepada rekabentuknya.

“Lazimnya, nama-nama rotan yang sering digunakan seperti seperti rotan pana, rotan gajah, rotan batang dan rotan merah. Jenis “rotan pana” ini harganya agak mahal kerana rotan berkenaan agak keras dan berkualiti tinggi.

“Sebagai contohnya, apabila kita paku di rotan jenis ini paku tersebut dalam keadaan asal dan tidak berkarat malah rotan tersebut juga tidak mudah pecah walau dalam sebarang jenis paku yang digunakan. Malah rotan ini juga digelarkan “tidak makan paku”. Justeru, apabila tidak makan paku menunjukkan rotan itu dalam keadaan kemas dan terbaik”, ujar Azman lagi.

Menurutnya, jika ada pengguna yang membeli produk rotan di kedai lain kemudian apabila rosak lalu meminta pihaknya untuk membaiki perabot itu pihaknya bersedia membaikinya. Ini kerana, beliau melihat kepercayaan pembeli terhadap kemahiran dan kepakaran tentang rotan di kedainya amat terjamin dan beliau amat mengalu-alukan hal tersebut apatah lagi kedainya terlibat secara seratus peratus dengan produk rotan.

Menurutnya, setakat hari ini bekalan rotan masih banyak dan mencukupi untuk tujuan menghasilkan produk dan perabot rotan tersebut kerana menurutnya, selagi ada bukit selagi itulah wujudnya rotan.

“Cuma satu masalah yang sering dihadapi, kerana rotan dari bukit masih tidak dapat digunakan untuk menghasilkan perabot. Ini kerana, rotan tersebut masih mentah. Untuk menggunakan rotan itu, rotan itu perlu melalui proses dimasak terlebih dahulu dan hal ini tentunya mengambil masa juga.

“Rotan yang diambil dari bukit jika dibiarkan tanpa melalui proses tertentu, rotan tersebut akan mengalami masalah “kecut” disebabkan terlalu mentah. Justeru, kebanyakan rotan yang digunakan di premis ini telah melalui proses itu dan masak sepenuhnya bagi memudahkannya membentuk produk yang diminta”, ujarnya.

Selain itu apabila ditanyakan tentang perabot rotan berwarna sebagaimana yang digemari oleh segelintir pelanggan, beliau berkata, rotan yang digunakan di kedainya tidak boleh dicat disebabkan rotan itu mempunyai kulit dan kalau dicat pun cat itu tidak akan meresap masuk dan pastinya dalam beberapa hari ia akan luntur. Sebagaimana dengan contoh  produk yang dibuat dari buluh yang dicat, cat tidak akan melekat dan pastinya akan luntur kerana terdapat lapisan kulit buluh di luarnya, kecuali jika kulitnya dibuang baharulah warna dan cat akan melekat. Begitu jugalah dengan rotan.

“Jika pembeli berminat dengan rotan yang berwarna, kulit rotan itu perlu dibuang dengan kata lain menggunakan “pulurnya”. Hanya pulurnya saja yang boleh dicat tidak pada kulitnya. Dengan demikian, catnya akan tahan lama kerana telah meresap masuk ke dalam isi rotan itu”, katanya.

Katanya, setiap pengguna produk rotan perlu mengetahui tentang kelemahan rotan. Walaupun barangan yang dihasilkan dari rotan agak menarik dan tahan lebih lama, namun kelemahan rotan ialah alahan kepada hujan.

“Jika terkena air lalu dikeringkan ia tidak mengalami masalah dan ketahanannya tidak terbantut. Tetapi jika terkena air lalu dikeringkan berulang kali atau sentiasa terdedah di tempat lembab akan menyebabkan rotan itu akan menghadapi masalah tidak bermutu dan mudah rosak, mudah berkulat dan keadaan asal rotan itu akan luntur dan kecut” ujarnya tentang kelemahan rotan apabila dibiarkan terdedah kepada kelembapan yang berpanjangan.

Di tempatnya tidak ada saingan, hanya kedai perabotnya saja masih kekal beroperasi sehingga hari ini. Cuma apa yang diketahuinya sekarang adalah saingan dari kedai perabot Indonesia. Dari kualitinya beliau tidak menafikan kualiti produk rotan Indonesia adalah hampir sama dengan Kelantan, tetapi yang membezakannya dari segi harga produk Indonesia lebih murah. Itupun hanya produk rotan yang agak kecil, kalau produk yang agak besar sukar untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Hubungi Azman Zakaria atau Jeman untuk perbincangan dan tempahan:
09-7963359
017-9705734

Azman bin Zakaria atau Jeman.

Azman Zakaria ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kilang perabotnya.


Pejabat produk kraf rotannya.


Perabot Rotan Zakaria mempunyai pekerja yang mahir di bidangnya.










Sebahagian produk rotan di kilangnya.



Jerami rotan.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Selasa, 20 Januari 2015

Cetusan Mangsa Banjir 2014


CETUSAN MANGSA BANJIR

TANAH MERAH, KELANTAN: Aktiviti menarah tempat tinggi, menggondol bukit-bukau, gunung dan gua serta penebangan pokok (atau pembalakan) dan pemusnahan hutan secara berleluasa akan menyebabkan kemusnahan eko-sistem. Hal seumpama ini pernah dilapor dan dimaklumkan oleh beberapa pertubuhan alam sekitar sedunia tentang bahayanya mengganggu eko-sistem kerana jika salah satunya diusik atau dimusnahkan akan menimbulkan bencana yang paling besar. Apatah lagi, hal berkenaan telah termaktub dalam undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hal-hal seumpama itu.

Kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada musim tengkujuh dalam bulan Disember 2014 yang lalu merupakan natijah buruk yang melanda Kelantan dan rata-ratanya masyarakat mendakwa banjir tahun 2014 adalah banjir terburuk berbanding dengan banjir yang pernah melanda Kelantan sama ada tahun 1927, 1967, 1985, 2004 (banjir tsunami di Aceh bulan Disember) dan banjir 2007. Kalau banjir besar dikenali “banjir naga” atau disebut juga “banjir merah” pada tahun 1967, namun banjir tahun 2014 dikenali “bah kuning” atau “banjir kuning”.

Akibat gangguan terhadap eko-sistem atau alam sekitar akan mewujudkan ketidak seimbangan terhadap ketiga-tiga unsur itu. Ini kerana, dalam bumi kita ini terdapat air yang sentiasa bertakung dan mengalir di bawahnya tanpa manusia sedari. Kita akan dapat mendengar bunyi air itu mengalir seperti ada sungai di bawahnya apabila kita memasuki gua. Salah satu sebab yang mendorong air begitu selesa mengalir apabila keadaan tempat tinggi, bukit-bukau dan gunung tidak diusik. Apatah lagi, terdapat batu yang menahan air tersebut begitu tenang di situ dikenali “batu hampar”. Batu hampar ini yang bertindak menahan kawasan tadahan air. Jika batu hampar ini telah pecah dan rosak atau dirosakkan, batu yang menahan air itu akan mengalir keluar.

Dalam konteks ini, jika penduduk kampung dan desa tahu tentang keseimbangan alam sekitar yang perlu dipelihara dan sebarang aktiviti terhadapnya akan merosakkan alam itu, kenapa pula orang yang berpendidikan tinggi tidak tahu tentang itu? Sebarang usaha yang mengganggu sistem itu sama ada secara haram dan terancang perlu dielakkan. Perbuatan tidak sihat yang melibatkan individu atau pihak tertentu yang mengganggu eko-sistem itu sama ada untuk kepentingan sendiri dan kelompok sama ada secara terang dan tersembunyi atau pelbagai aktiviti yang menyalahi undang-undang perlu diambil tindakan.

Dalam konteks banjir yang melanda seluruh Kelantan dalam bulan Disember 2014 lalu, rata-ratanya agak terkejut dengan perkembangan itu. Walaupun mereka sedia maklum tentang gelombang pertama banjir, itu sekadar banjir air hujan yang sekadar melimpah dan memenuhi kawasan rendah semata-mata malah setelah beberapa hari hujan reda dan mentari mula menyinar, air yang melimpah itu mula kering kerana diserap bumi dan tenaga matahari itu.

Tetapi banjir 2014 ini tidak seperti itu. Pada awalnya, ada yang mendakwa pelepasan dari empangan elektrik, namun terdapat juga yang menafikannya. Walau bagaimanapun pelbagai dakwaan tentang banjir 2014, kemusnahan harta benda di luar dugaan, rumah hanyut dan musnah dibawa dan dipukul arus, nyawa tergadai kerana dihanyutkan arus deras dan pelbagai lagi.

Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh bersama Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin cuba mendapatkan komen tentang isu banjir 2014 yang melanda Kelantan apabila sempat menemui mangsa berkenaan, Noraini binti Haron dan ibunya, Mariam binti Abd. Rahman dari Jalan Sekolah Abdul Kadir Adabi, Tanah Merah, Kelantan.

Menurut Noraini binti Haron, 42, atau dikenali sebagai Acu berkata, banjir 2014 adalah banjir agak luar biasa apabila air dari kedua-dua arah yang bertentangan mula bertembung antara keduanya menyebabkan kawasan berkenaan mula dipenuhi air. Sedangkan pada kebiasaannya, air itu akan mengalir dari arah laluan bandar memasuki kawasan laluan di hadapan rumahnya. Katanya lagi, air mula memenuhi kawasan terbabit pada 25 Disember, 2014 dan aliran air itu mula memenuhi kawasan terbabit dari Sungai Taman Kiara.

“Akibat pertembungan dan percantuman di antara air yang mengalir dari sebelah kanan dengan air dari sebelah kiri rumah ini menjadikannya seperti sebuah “pulau” kerana air begitu pantas naik”, ujar Noraini.

Katanya, pada pagi 25.12.2014 itu keadaan hujan yang kadang-kadang lebat agak tidak munasabah untuk menyakinkan air akan memenuhi kawasan itu. Namun, setahunya, beberapa orang jirannya yang menetap berhampiran dengan kawasan Sungai Taman Kiara sudah mula berpindah untuk menunjukkan air semakin naik. Kata Noraini lagi, jiran yang dimaksudkannya itu telah mula berpindah pada 24.12.2014 lagi dan air berkenaan mula memenuhi kawasan rumahnya pada 25.12.2014. Manakala pada 26.12.2014 itu keadaan banjir sudah mula bercantum sepenuhnya. Pada ketika itu, hanya yang pandai berenang sahaja yang mampu mengharungi banjir dan jika sebaliknya, beliau tidak pasti apa yang akan berlaku.

“Pada awal air memenuhi tebing, keadaan airnya agak jernih dan selepas melimpah dan melepasi tebing, air itu kemudiannya bertukar warna menjadi keruh”, katanya apabila ditanya tentang warna air yang dimaksudkan.

Dalam pada itu, beliau juga berpendapat bahawa banjir yang melanda itu akibat air sungai tidak dapat mengalir ke laut dengan sempurna. Walau bagaimanapun, kemungkinan banjir berkenaan berpunca dari masalah aktiviti mengerjakan bukit dan penebangan hutan sewenang-wenangnya sebagaimana yang berlaku di Hulu Kelantan mungkin salah satu sebab yang mendorong banjir berkenaan berlaku.

Katanya, inilah pertama kali ketika usianya 42 tahun beliau dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri banjir begitu besar melanda kawasan kediamannya dengan agak pantas dan aliran airnya agak deras bahkan keadaan kediamannnya pula hanya tinggal beberapa meter lagi untuk tenggelam.

Noraini menambah, pada pendapatnya banjir 2014 ini dianggap banjir terbesar menandingi banjir merah atau “bah merah” yang berlaku pada tahun 1967 dulu. Ini bukan berpandukan kepada pandangnnya saja, namun beberapa warga emas di kampungnya itu juga mendakwa banjir 2014 ini menandingi banjir 1967 itu. Ini kerana, melihat keadaan laut yang didakwanya air pasang tinggi akan mendorong banjir lebih besar.

Selain itu menurutnya, banjir berkenaan berlaku disebabkan masalah sistem perparitan yang tidak sempurna, longkang yang tersumbat dan sengaja menutup atau menimbus longkang (menutup aliran air) dengan sengaja. Sepatutnya menurutnya, setiap kali bulan tengkujuh tiba di antara bulan-bulan Oktober hingga Disember yang sentiasa berlaku setiap tahun, adalah sewajarnya parit, saliran dan longkang dikorek supaya aliran air nanti lebih sempurna dan tidak terganggu sebagaimana sekarang. Ini agak terbalik, apabila tiba bulan Disember, terdapat dari longkang terus ditimbus menjadikan air semakin bermasalah untuk mengalir.

“Di kawasan Tanah Merah ini, tempat-tempat pemindahan bagi mangsa-mangsa banjir seperti di Sekolah Suria 1, Sekolah Suria 2, Sekolah Datuk Mahmud, Sekolah Menengah Tanah Merah dan Bukit Panau.

“Bukit Panau itu adalah tempat pemindahan mangsa dan alternatif yang terakhir paling tinggi jika kawasan lain dilanda banjir dan apabila wujudnya kesukaran untuk berpindah”, ujarnya.

Katanya, berhubung dengan sumbangan dan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, terdapat masalah penghantaran bantuan banjir ke tempat pemindahan banjir di Sekolah Suria 1 kerana keadaan air di kawasan itu agak deras dan merbahaya. Masalah semakin mendesak apabila bantuan kepada mangsa-mangsa banjir agak terlalu lambat.

Ditanya tentang sikap mangsa-mangsa banjir 2014 di Kelantan yang dimaklumkan oleh pihak penyelamat dan pemberi bantuan kepada mangsa menyatakan, mangsa-mangsa banjir yang menetap di pusat-pusat pemindahan hanya bertindak sebagai mangsa tetapi dianggap “berat tulang” dan mereka dianggap tidak bersatu hati dengan mangsa-mangsa yang lain pada hal mereka sepatutnya berganding bahu kerana bencana berkenaan seolah-olah ingin melihat sikap mereka ke arah itu.

Berhubung dengan hal tersebut, beliau menjelaskan, hal-hal yang ditimbulkan itu memang wujud. Ini kerana, apabila satu pihak dapat tempat memasak (dapur), mereka enggan menyerahkannya kepada orang lain, yang sepatutnya boleh dibuat bersama ibarat pepatah “berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing”. Apabila pihak berkenaan dapat menggunakan tempat berkenaan, mereka akan nampak keluarga mereka semata-mata tetapi menafikan keluarga yang lain.

Satu perkara lagi menurutnya, wujud sikap memilih “bulu” di kalangan Penghulu. Contohnya, jika kita menumpang di tempat mereka, orang yang menumpang itu akan diasingkan dan kita pula akan berasa tersisih padahal hal berkenaan tidak sepatutnya berlaku. Dalam hal ini menurutnya, jika berlaku bencana sedemikian, sudah tiba masanya rakyat di kalangan mangsa banjir misalnya perlu bersatu hati dan tolong-menolong antara satu sama lain baharulah mendapat berkat. Katanya, ketika itu tidak perlu wujud fahaman parti mana kerana ketika itu hanyalah satu nyawa sahaja, tetapi hal berkenaan masih menebal dan sukar dilupakan.

“Saya mengambil contoh di pusat pemindahan yang saya duduki ketika itu wujud kejadian sedemikian sampai berlakunya bertekak sesama sendiri terutamanya dalam soal pemberian bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat itu.

“Kalau berlaku terhadap ibu bapa, saya percaya hal berkenaan tidak timbul, tetapi jika melibatkan anak-anak yang merengek, menjerit dan menangis kerana kelaparan, bantuan makanan sebenarnya ada sebaliknya ada pihak mendakwa bekalan makanan yang dimaksudkan tiada. Soalnya, ke mana bantuan makanan itu akan diberikan?” ujarnya yang agak dukacita dengan situasi ketika itu.

Dalam hal ini, Noraini mencadangkan supaya bantuan diberikan kepada mangsa banjir perlulah adil malah tidak wajar ada pihak lain yang membolotnya. Bahkan beliau juga berharap supaya pihak-pihak yang diberi tanggungjawab tentang bantuan supaya bersikap amanah dengan tidak memilih bulu. Bahkan, Noraini juga berharap suatu masa nanti, tanggungjawab sebagai tukang masak diserahkan kepada pihak tentera yang dianggap lebih professional dan bertanggungjawab daripada individu yang lebih bersifat mementingkan diri sendiri.

Tambah Noraini seterusnya, ketika air melanda dan memenuhi kawasan pada 25.12.2014 hujan turun dengan lebatnya di Tanah Merah dan mula berhenti pada 27.12.2014. Air mula surut pada 28.12.2014 kerana apa yang dilihatnya pada 27.12.2014 banjir tersebut masih ada. Katanya, selepas banjir surut, didapati selut melepasi tahap buku lali dan keadaan dalam rumahnya selepas surut memang selutnya sukar ditanggalkan. Katanya, tahap banjir mencapai tahap bumbung rumahnya dianggap banjir pecah rekod kerana sebelum ini tidak pernah berlaku hal yang seumpama itu.

Banjir pada tahun 2004 (tsunami bulan Disember 2004) memang kediamannya itu dinaiki air tetapi setakat paras paha sahaja. Namun, banjir tahun 2014 ini agak luar biasa kerana paras air hampir mencecah bumbung dan sehinggakan dinding rumahnya menjadi senget kerana ditolak arus yang deras itu. Katanya, banjir tahun 2014 ini air beralun tidak sebagaimana banjir sebelum ini. Sejak usianya 42 tahun, inilah pertama kali beliau menyaksikan banjir yang agak besar tidak sebagaimana sebelum ini malah apabila beliau melihat air banjir itu beliau menjadi takut dan fobia terhadapnya.

Selain keadaan banjir ini agak sejuk airnya, malah kaki kita juga mudah lemah dan mudah luka apabila terkena lumpur kelodak yang dibawa banjir itu. Apatah lagi, keadaan selutnya yang sukar ditanggalkan walaupun berkali-kali cuba mencucinya. Beliau tidak menolak, lumpur yang dibawa banjir banyak bercampur dengan kuman yang merbahaya sebab itulah kulit mudah luka dan terkoyak.

Kata Noraini lagi, banjir di tempatnya itu pernah berlaku pada tahun 2004 (banjir tsunami). Jadi bermakna, banjir 2014 ini adalah genaplah tempatnya menerima banjir dalam tempoh 10 tahun. Katanya, ketika gelombang pertama dulu kawasan kediamannya tidak ada air, namun gelombang kedua ini kediamannya mula menerima banjir.  

Sementara itu, menurut ibu Noraini, Mariam binti Abd. Rahman, 82, atau dikenali Makcik Yam mendakwa, keadaan air tersebut agak laju dan ketika aliran air itu melalui laluan di hadapan rumahnnya, beliau dapat melihat dengan jelas aliran air dari sebelah kiri rumahnya menuju ke sebelah kanan rumahnnya dengan pantas. Kemudiannya bertembung dengan aliran air dari sebelah kanan rumahnya mewujudkan pusaran air yang agak menakutkannya.

Menurutnya, pada ketika itu, air yang memenuhi kawasan hadapan laluan rumahnya itu berada pada paras lutut dan dalam masa lima (5) minit saja, air tersebut sudah mencecah paras pinggang dengan begitu pantas.

Ditanya pula tentang banjir 2014 juga berpunca dari mata air yang terbit dari bumi dengan begitu banyak. Hal berkenaan memang tidak dinafikan oleh Makcik Yam yang mendakwa, beliau pernah mendengarnya daripada jiran-jirannya yang turut membicarakannya bahawa terbitnya “mata air” dari bumi sebagai menandakan wujudnya aktiviti menarah atau merosakkan bukit untuk pelbagai tujuan yang hakikatnya boleh mengundang padah kepada eko-sistem. Katanya, apabila bukit ditarah sesuka hati menyebabkan “batu hampar” yang boleh menakung air telah pecah dan akibatnya menyebabkan air keluar dari bumi dengan banyaknya.

Beliau menafikan tentang takungan di empangan elektrik dilepaskan sebagai salah satu punca banjir melanda Kelantan. Katanya, jika takungan di empangan elektrik dilepaskan kemungkinan kediamannya itu terus ditenggelami air melepasi bumbung rumahnya tetapi tidak seperti sekarang.

Menurut Mariam, berhubung dengan bantuan banjir kepadanya sebagai warga emas memang agak cukup dan beliau tidak menafikannya tentang itu yang diberikan oleh pihak Sukarelawan, Bomba dan Tentera. Tentang makanan, beliau agak bersyukur kerana tidak pernah timbul masalah tentangnya. Tentang minuman panas pula, memang telah disediakan oleh pihak yang menguruskan untuk mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan yang didudukinya khusus kepada warga emas sepertinya.

Tentang air minuman di pusat pemindahan itu pula, beliau berkata di kawasan itu terdapat empat buah tangki yang boleh menampung mangsa banjir untuk beberapa hari. Apabila air dalam tangki itu telah kering yang digunakan sebagai air minuman dan memasak nasi, terpaksalah mangsa banjir menadah air hujan untuk dijadikan air minuman. Hujan di Tanah Merah pada ketika itu agak lebat dan dengan demikian dapatlah menadah air hujan itu dalam beberapa buah botol yang disediakan khusus untuk tujuan itu.

Ketika hujan turun dengan lebatnya di Tanah Merah pada ketika itu, tidak seorang pun golongan wanita yang menghuni di pusat pemindahan itu yang turun mandi hujan kecuali di kalangan lelaki yang berbuat demikian.

Ditanya tentang sifat air banjir 2014 baru-baru ini berbanding banjir sebelum ini yang sememangnya agak berlainan. Jika banjir yang melanda kediamannya sebelum ini dianggap hangat, namun banjir tahun 2014 ini keadaan airnya agak sejuk dan tubuhnya menggigil.

Manakala harta benda dan peralatan dapur yang ada dalam rumahnya ialah pinggan mangkuk yang masih ada dan boleh digunakan lagi. Barangan dan peralatan lain memang tidak boleh digunakan kerana tenggelam atau dihanyutkan arus. Misalnya perkakasan elektrik terus rosak dan pakaian juga dihanyutkan arus kerana tidak sempat mengambilnya kecuali pakaian yang masih tersusun dalam almari pakaian yang masih dalam keadaan selamat.

Noraini binti Haron atau Acu.

Mariam binti Abd. Rahman atau Makcik Yam.

Kedua-dua mangsa sedang ditemubual Wartawan RELATIF.

Arah laluan air.


Keadaan kediaman mereka hampir ditenggelami banjir.

Keadaan di laman rumahnya.

Barangan elektrik turut rosak akibat banjir.


Keadaan banjir di laluan yang sama.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Sabtu, 10 Januari 2015

Kelantan: Musibah Banjir 2014


KELANTAN: MUSIBAH BANJIR 2014

KELANTAN: SETIAP kejadian yang Allah tunjukkan kepada hamba-hamba-Nya mempunyai tanda-tanda tertentu sebelum kejadian tersebut berlaku. Begitu juga halnya dengan kejadian banjir yang berlaku di negeri-negeri Pantai Timur pada bulan Disember 2014 lalu. Kalau di Terengganu, berlaku pendaratan kerang agak luar biasa banyaknya. Kalau di Kelantan pula berlaku hembusan angin panas yang berlaku setiap pagi sejak 17 Disember, 2014  lalu walaupun sebelum ini hembusan angin berkenaan agak sejuk.

Kita tidak perlu ukur setiap kejadian hujan turun dengan lebat dan kejadian banjir lazimnya berlaku hanya di musim tengkujuh di antara bulan Oktober hingga Disember setiap tahun. Malah kejadian tidak pasti berlaku walaupun hujan turun mencurah sebagaimana yang berlaku di beberapa kawasan di pedalaman Kelantan sebelum ini. Kalaupun air memenuhi ruang terutamanya di kawasan rendah yang mudah ditenggelami air, itu sekadar air hujan dan juga air yang terbit dari bumi. Air yang terbit dari bumi dalam pengertian “mata air” itu juga sebagai tanda akan berlakunya banjir, namun beberapa hari kemudian air tersebut akan kering apabila hujan tidak lagi turun. Ini menggambarkan, hujan dan air yang terbit dari bumi itu seperti rakan yang akrab. Situasi ini pernah berlaku ketika banjir di Kelantan pada tahun 2007 dulu.

Walau bagaimanapun, banjir 2014 ini agak berbeza. Ini kerana gelombang pertama banjir di Kelantan berlaku pada 7 Disember, 2014 lalu apabila angin bertiup ke serata arah diikuti hujan yang berterusan, sesekali renyai dan kadangkala lebat di bahagian hulu Kelantan sejak bulan November 2014 lagi untuk menunjukkan banjir akan berlaku. Peranan angin juga turut menggambarkan situasi yang berlaku. Kalau tiupan angin monsun Timur Laut (tiupan ke serata arah), air tidak akan naik dan banjir tidak akan berlaku.

Tetapi jika tiupan monsun Barat Daya, jelas banjir pasti berlaku. Tiupan angin monsun Barat Daya bukan bertiup ke serata arah tetapi bertiup selari yang menolak air laut dan air laut akan menolak sungai melalui kuala atau muara. Hakikat air masin tidak akan bercantum dengan air tawar amat jelas dan dengan demikian air tawar pasti mengalah, dengan itu air akan naik. Apabila air telah naik lalu memenuhi ruang dan kawasan, hujan tidak lagi akan turun dan angin tidak lagi akan bertiup kerana selepas itu, banjir akan surut. Ketentuan ini pernah berlaku dalam setiap kejadian banjir sebelum ini.

Selain paras air Sungai Golok ketika itu yang mengalir dan melimpah menyebabkan beberapa kawasan rendah dan mudah ditenggelami air seperti di Pekan Rantau Panjang yang terawal menerima banjir akibat hujan dan tiupan angin yang berterusan. Kemuncaknya ialah apabila beberapa batang sungai di bahagian hulu Kelantan seperti Sungai Bertam, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri mula memenuhi tebing sehinggalah kejadian yang tidak diduga itu berterusan. Air yang turun dari bahagian hulu itu kemudiannya mengalir ke laut yang akhirnya singgah di Kota Bharu pada 23 Disember, 2014 apabila sebahagian kawasan rendah terutamanya di Tambatan Diraja, Jalan Padang Bank mula memenuhi ruang. 

Pada 24 Disember, 2014, air yang mengalir dari Sungai Kelantan yang begitu pantas mula memasuki pusat bandar Kota Bharu apabila beberapa laluan yang rendah mula ditenggelami air seperti Jalan Pantai Cahaya Bulan, Jalan Tengku Petra Semerak, Jalan Gajah Mati (berhampiran dengan Sungai Kelantan), Jalan Sultanah Zainab dan Bulatan Tuan Padang.

Di laluan Bunut Payong pula, air yang ganas terus mengalir melalui Sungai Mulong di Jalan Kuala Krai. Sungai ini mengalir di bawah laluan berkenaan dan air berkenaan mula memenuhi semua kawasan di Kota Bharu kira-kira jam 8.00 malam. Menariknya tentang banjir 2014 ini ialah apabila beberapa kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini mula melimpah. Manakala sesetengah kawasan yang pernah dinaiki air kelihatannya agak selamat. Hanya tiga tempat di Kelantan yang agak selamat dan tidak dinaiki air ialah di Melor, Bachok dan Pasir Puteh.

Tentang banjir 2014 ini, ada yang mendakwa banjir berkenaan adalah banjir yang “mengejutkan”. Berbanding “banjir kilat” pada tahun 1975, dikatakan banjir ini agak besar juga. Ada yang mendakwa banjir 2014 ini lebih hebat berbanding banjir yang berlaku pada tahun 1927, 1967, 1975, 1985, 2004 (tsunami di Aceh juga berlaku bulan Disember) dan banjir 2007.

Kalau banjir yang berlaku pada tahun 1967 dulu dikenali banjir naga atau “banjir merah”, namun banjir 2014 ini dikenali “banjir kuning”. Banjir kali ini membawa bersama kayu-kayu dan lumpur yang tidak dapat ditanggalkan walaupun dicuci beberapa kali. Mungkin warna kuning berpunca daripada aktiviti menarah, menggondol dan merosakkan bukit, gunung dan gua serta aktiviti menebang dan mencantas pokok sesuka hati menyebabkan beberapa kawasan tadahan air musnah sehingga mengeluarkan air dengan banyak lalu mengalir ke serata arah dengan membawa bersama tanah-tanih itu.

Walaupun banyak pengertian dan dakwaan tentang banjir ini, jelas banjir kali ini (2014) bukan sahaja menyebabkan harta benda musnah, rumah hanyut, ternakan turut terkorban, banyak barangan keperluan tidak dapat diselamatkan, tetapi juga banyak nyawa terkorban bukan sahaja tidak sempat berpindah tetapi telah dihanyutkan arus deras. Semoga banjir ini menjadikan ujian yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada insan seperti kita tabah dan jadikannya sebagai suatu pengajaran dan pedoman.

Dari segi mangsa yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan terutama di Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah dan Kota Bharu kira-kira 32,343 orang iaitu suatu jumlah yang agak tinggi berbanding dengan mangsa-mangsa banjir dari negeri lain.

Apa pun, diperingatkan, jangan lagi memusnahkan alam sekitar yang diciptakan oleh Allah khusus untuk kegunaan manusia juga. Jika tempat-tempat berkenaan dimusnahkan, akan berlaku musibah dan bencana yang kita tidak akan dapat menduganya. Ini kerana, air (hujan, sungai, tasik dan saliran), tumbuh-tumbuhan, tanah (bukit, gunung, gua) adalah tiga sahabat sejati yang saling bantu-membantu mengukuhkan alam ini. Ingatlah, setiap gunung, bukit dan gua ada batu hampar yang menahan dan merelakan air mengalir di bawahnya. Jika salah satunya dinoda dan dirosakkan oleh tangan-tangan gatal manusia, akan pecahlah batu hampar itu akhirnya jadilah musibah sebagaimana banjir 2014 itu.

Semoga banjir yang mula surut pada 28 Disember, 2014 lalu tidak lagi melonjak kembali dalam situasi gelombang ketiga. Ini kerana, jika berlaku lagi, kemungkinannya akan lebih buruk. Malah kemusnahan harta akan berlaku lebih teruk lagi. Namun, manusia juga harus beringat, setiap nasib buruk itu adalah disebabkan tangan-tangan dan perbuatan manusia sendiri, tetapi sebahagian manusia itu lalai dan tidak menyedarinya. 



Jalan Padang Bank.


Jalan Gajah Mati.


 Bulatan Tuan Padang.


Jalan Sultanah Zainab dekat Kampung Sireh.

Bunut Payong, Jalan Kuala Krai kawasan Sungai Lubok Mulong.

Wakaf Siku.

Jalan Pekeliling.


Jalan Tengku Mohd. Ma'asum.

Kg. Bawah Lembah juga dinaiki air walaupun sebelum ini tidak.

Wartawan RELATIF sendiri terpaksa berpindah apabila kediaman dinaiki air.

Air mula surut pada 28.12.2014.

Banjir meninggalkan kelodak selut apabila air telah surut.

Air dari mata air yang terbit dari bumi.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH