KELANTAN: MUSIBAH BANJIR 2014
KELANTAN: SETIAP kejadian yang Allah
tunjukkan kepada hamba-hamba-Nya mempunyai tanda-tanda tertentu sebelum
kejadian tersebut berlaku. Begitu juga halnya dengan kejadian banjir yang
berlaku di negeri-negeri Pantai Timur pada bulan Disember 2014 lalu. Kalau di Terengganu, berlaku pendaratan
kerang agak luar biasa banyaknya. Kalau di Kelantan pula berlaku hembusan angin
panas yang berlaku setiap pagi sejak 17 Disember, 2014 lalu walaupun sebelum
ini hembusan angin berkenaan agak sejuk.
Kita tidak perlu ukur setiap
kejadian hujan turun dengan lebat dan kejadian banjir lazimnya berlaku hanya di musim
tengkujuh di antara bulan Oktober hingga Disember setiap tahun. Malah kejadian
tidak pasti berlaku walaupun hujan turun mencurah sebagaimana yang berlaku di
beberapa kawasan di pedalaman Kelantan sebelum ini. Kalaupun air memenuhi ruang
terutamanya di kawasan rendah yang mudah ditenggelami air, itu sekadar air
hujan dan juga air yang terbit dari bumi. Air yang terbit dari bumi dalam
pengertian “mata air” itu juga sebagai tanda akan berlakunya banjir, namun beberapa
hari kemudian air tersebut akan kering apabila hujan tidak lagi turun. Ini
menggambarkan, hujan dan air yang terbit dari bumi itu seperti rakan yang
akrab. Situasi ini pernah berlaku ketika banjir di Kelantan pada tahun 2007 dulu.
Walau bagaimanapun, banjir 2014 ini
agak berbeza. Ini kerana gelombang pertama banjir di Kelantan berlaku pada 7
Disember, 2014 lalu apabila angin bertiup ke serata arah diikuti hujan yang
berterusan, sesekali renyai dan kadangkala lebat di bahagian hulu Kelantan
sejak bulan November 2014 lagi untuk menunjukkan banjir akan berlaku. Peranan
angin juga turut menggambarkan situasi yang berlaku. Kalau tiupan angin monsun
Timur Laut (tiupan ke serata arah), air tidak akan naik dan banjir tidak akan
berlaku.
Tetapi jika tiupan monsun Barat
Daya, jelas banjir pasti berlaku. Tiupan angin monsun Barat Daya bukan bertiup
ke serata arah tetapi bertiup selari yang menolak air laut dan air laut akan
menolak sungai melalui kuala atau muara. Hakikat air masin tidak akan bercantum
dengan air tawar amat jelas dan dengan demikian air tawar pasti mengalah,
dengan itu air akan naik. Apabila air telah naik lalu memenuhi ruang dan
kawasan, hujan tidak lagi akan turun dan angin tidak lagi akan bertiup kerana
selepas itu, banjir akan surut. Ketentuan ini pernah berlaku dalam setiap
kejadian banjir sebelum ini.
Selain paras air Sungai Golok ketika itu yang mengalir dan melimpah menyebabkan beberapa
kawasan rendah dan mudah ditenggelami air seperti di Pekan Rantau Panjang yang terawal
menerima banjir akibat hujan dan tiupan angin yang berterusan. Kemuncaknya
ialah apabila beberapa batang sungai di bahagian hulu Kelantan seperti Sungai
Bertam, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri mula memenuhi tebing sehinggalah
kejadian yang tidak diduga itu berterusan. Air yang turun dari bahagian hulu
itu kemudiannya mengalir ke laut yang akhirnya singgah di Kota Bharu pada 23
Disember, 2014 apabila sebahagian kawasan rendah terutamanya di Tambatan
Diraja, Jalan Padang Bank mula memenuhi ruang.
Pada 24 Disember, 2014, air yang
mengalir dari Sungai Kelantan yang begitu pantas mula memasuki pusat bandar
Kota Bharu apabila beberapa laluan yang rendah mula ditenggelami air seperti
Jalan Pantai Cahaya Bulan, Jalan Tengku Petra Semerak, Jalan Gajah Mati (berhampiran dengan Sungai Kelantan), Jalan Sultanah Zainab dan Bulatan Tuan Padang.
Di laluan Bunut Payong pula, air
yang ganas terus mengalir melalui Sungai Mulong di Jalan Kuala Krai. Sungai ini
mengalir di bawah laluan berkenaan dan air berkenaan mula memenuhi semua
kawasan di Kota Bharu kira-kira jam 8.00 malam. Menariknya tentang banjir 2014
ini ialah apabila beberapa kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini
mula melimpah. Manakala sesetengah kawasan yang pernah dinaiki air kelihatannya
agak selamat. Hanya tiga tempat di Kelantan yang agak selamat dan tidak dinaiki
air ialah di Melor, Bachok dan Pasir Puteh.
Kalau banjir yang berlaku pada tahun 1967 dulu dikenali banjir naga atau “banjir
merah”, namun banjir 2014 ini dikenali “banjir kuning”. Banjir kali ini membawa
bersama kayu-kayu dan lumpur yang tidak dapat ditanggalkan walaupun dicuci
beberapa kali. Mungkin warna kuning berpunca daripada aktiviti menarah, menggondol dan merosakkan bukit, gunung dan gua
serta aktiviti menebang dan mencantas pokok sesuka hati menyebabkan
beberapa kawasan tadahan air musnah sehingga mengeluarkan air dengan banyak
lalu mengalir ke serata arah dengan membawa bersama tanah-tanih itu.
Dari segi mangsa yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan terutama di Gua
Musang, Kuala Krai, Jeli, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tumpat, Tanah Merah
dan Kota Bharu kira-kira 32,343 orang iaitu suatu jumlah yang agak tinggi
berbanding dengan mangsa-mangsa banjir dari negeri lain.
Apa pun, diperingatkan, jangan lagi memusnahkan alam sekitar yang
diciptakan oleh Allah khusus untuk kegunaan manusia juga. Jika tempat-tempat
berkenaan dimusnahkan, akan berlaku musibah dan bencana yang kita tidak akan
dapat menduganya. Ini kerana, air (hujan, sungai, tasik dan saliran),
tumbuh-tumbuhan, tanah (bukit, gunung, gua) adalah tiga sahabat sejati yang
saling bantu-membantu mengukuhkan alam ini. Ingatlah, setiap gunung, bukit dan
gua ada batu hampar yang menahan dan merelakan air mengalir di bawahnya. Jika
salah satunya dinoda dan dirosakkan oleh tangan-tangan gatal manusia, akan
pecahlah batu hampar itu akhirnya jadilah musibah sebagaimana banjir 2014 itu.
Semoga banjir yang mula surut pada 28 Disember, 2014 lalu tidak lagi
melonjak kembali dalam situasi gelombang ketiga. Ini kerana, jika berlaku lagi,
kemungkinannya akan lebih buruk. Malah kemusnahan harta akan berlaku lebih
teruk lagi. Namun, manusia juga harus beringat, setiap nasib buruk itu adalah
disebabkan tangan-tangan dan perbuatan manusia sendiri, tetapi sebahagian
manusia itu lalai dan tidak menyedarinya.
Jalan Padang Bank.
Jalan Gajah Mati.
Bulatan Tuan Padang.
Jalan Sultanah Zainab dekat Kampung Sireh.
Bunut Payong, Jalan Kuala Krai kawasan Sungai Lubok Mulong.
Wakaf Siku.
Jalan Pekeliling.
Jalan Tengku Mohd. Ma'asum.
Kg. Bawah Lembah juga dinaiki air walaupun sebelum ini tidak.
Wartawan RELATIF sendiri terpaksa berpindah apabila kediaman dinaiki air.
Air mula surut pada 28.12.2014.
Banjir meninggalkan kelodak selut apabila air telah surut.
Air dari mata air yang terbit dari bumi.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=HSfWD2uxBVY
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan