PERABOT ROTAN ZAKARIA
PASIR MAS, KELANTAN: Manusia dan tumbuh-tumbuhan tidak akan dapat
dipisahkan dari sumber itu. Ini kerana, dalam apa jua hal pun, manusia pasti
menggunakan sumber dari tumbuh-tumbuhan untuk kesenangan dan kesinambungan
kehidupan mereka sama ada manusia itu sedar atau tidak, manusia tetap
menggunakan pelbagai sumber dari tumbuh-tumbuhan.
Begitu halnya dengan penggunaan
rotan, sejenis tumbuh-tumbuhan yang banyak gunanya dalam kehidupan manusia
khususnya dalam konteks pembuatan perabot kraf rotan. Rotan, lazimnya banyak
diperolehi di kawasan-kawasan hutan, bukit, gunung dan gua kerana sumber ini
melingkari kawasan tersebut yang pastinya turut digunakan oleh makhluk haiwan
selain manusia.
Sebut tentang rotan, kita
pastinya akan dapat melihat beberapa kedai perabot yang menjual kraf berkenaan.
Apabila ada kedai yang menjual barangan itu, kita pastinya akan terbayang
tentang kilang yang mengeluarkan kraf terbabit dan bagaimana mereka mencipta
dan mengeluarkan pelbagai perabot yang bersumberkann dari rotan seperti buaian
dari rotan, kuda-kuda untuk kanak-kanak, kerusi dan kusyen dan sebagainya lagi.
Di antara kedai, premis dan kilang yang membuat perabot itu ialah Perabot Rotan
Zakaria.
“Perabot Rotan Zakaria ini
ditubuhkan lebih 20 tahun lalu. Saya ketika itu berusia dalam lingkungan 13
tahun. Awal penubuhan kilang ini memang keadaannya agak sukar khususnya untuk
menempatkan produk kraf rotan ini di hati pembeli.
“Apatah lagi, kesusahan yang
dimaksudkan itu apabila cara pembuatan perabot itu dibuat secara tradisional
atau manual yang tidak menggunakan sebarang peralatan dan mesin khas. Berbeza
dengan kini yang menggunakan mesin menjadikan segala kerja yang lambat menjadi
semakin pantas”, ujar Pengurus Perabot Rotan Zakaria, Azman bin Zakaria, 38,
yang turut dikenali dengan panggilan Jeman ketika ditemui Wartawan RELATIF di
Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini.
Katanya, pada masa dulu, usaha
membuat perabot memerlukan masa selama sehari untuk menyiapkannya berbanding
kini yang hanya separuh hari sahaja. Manakala tentang perabot lain pula, beliau
akan meminta dalam tempoh selama sebulan untuk menghasilkannya dalam keadaan
baik, sempurna dan bermutu.
Keadaan ini disebabkan penggunaan
peralatan moden dan terkini yang dapat mempercepatkan pembuatan perabot
tersebut. Apatah lagi pada masa itu terpaksa menggunakan seratus peratus tenaga
manusia, berbeza sekarang menggunakan kedua-duanya.
“Di antara peralatan yang
digunakan untuk menghasilkan perabot seperti paku, tukul, alat spana untuk membentuk
dan membetulkan rotan serta gas (dulu minyak tanah)”, ujar Azman lagi.
Apabila ditanya tentang kerja di
masa dulu dengan sekarang, katanya beliau lebih gemar bekerja dalam suasana
sekarang yang dianggap moden, mudah dan menjimatkan masa. Barangan perabot pula
dapat disiapkan lebih awal dari yang dijanjikan tanpa menggunakan tenaga yang
banyak berbanding pada masa lampau.
Membicarakan tentang awal
penubuhan kilang rotan dan minat beliau dalam bidang pembuatan perabot rotan
tersebut, beliau menjelaskan, bapanya pernah bekerja dengan Pengurus
Perabot di Kota Bharu, Kelantan selama tujuh (7) tahun. Selepas berhenti kerja
dan memperolehi banyak pengalaman di kilang perabot itu bapanya itu mula
berhasrat menjadikan kediamannya sekarang sebagai kilang perabot sehingga hari
ini.
Tentang modal untuk menubuhkan
kilang berkenaan menurutnya, modal yang dikumpul oleh bapanya untuk
membuka kilang perabot di tempatnya sekarang adalah kira-kira RM600 sahaja.
Bermula dari tempahan itu, bapanya itu mengumpul perbelanjaan secara berdikit
untuk memperkemas, menggiatkan dan membesarkan lagi cara pembuatan sebagaimana
yang dapat dilihat hari ini.
“Kebanyakan bekalan rotan
diperolehi di Kuala Terengganu disebabkan dari Kelantan kini agak berkurangan.
“Pada masa dulu, bekalan rotan
boleh diperolehi dengan banyak di tiga tempat seperti di Pasir Mas dan juga
Wakaf Baharu, tetapi di tempat-tempat itu sekarang sudah tiada lagi.
“Bekalan rotan yang agak kecil
yang belum dimasak, saya perolehi dari Kuala
Lumpur, Pulau Pinang dan Perak. Ketiga-tiga tempat ini
mempunyai kilang membuat rotan siap. Begitu juga dengan rotan kasar terpaksa
didatangkan dari Perak”, jelasnya.
Menurutnya, di antara produk
rotan yang dibuat di kilangnya seperti kuda-kuda (untuk kanak-kanak), kerusi
malas (untuk kanak-kanak) dan boleh dikatakan semua produk berasaskan rotan
boleh dihasilkannya untuk kegunaan rumah termasuk set sofa.
Katanya, apabila dikatakan produk
berasaskan rotan pihaknya boleh membuatnya menurut kehendak pelanggan.
Tambahnya, jika pelanggan melihat produk di tempat lain lalu meminta pihaknya
membuatnya, pihaknya bersedia melakukannya dalam usaha memuaskan kehendak
pelanggan terbabit.
Ditanya tentang pelanggan pula,
beliau menjelaskan, kebanyakan pelanggan di Kelantan sering membeli dan ada
yang menempah perabot di kedainya, lazimnya pelanggan yang dimaksudkan
kebanyakannya dari Kota Bharu. Hal begini disebabkan, beberapa pelanggannya
pernah memaklumkan mereka tertarik dengan kehalusan seni pembuatannya yang agak
teliti berbanding dengan produk rotan lain.
Manakala di luar Kelantan pula,
beliau menghantar produk rotan itu ke Terengganu (sebulan sekali dan paling
lewat dua bulan sekali), Kuala Lumpur,
Negeri Sembilan.
Sambungnya, betapa kukuhnya
produk yang dibuat dari rotan walaupun harganya dikatakan agak mahal oleh
segelintir masyarakat tentang produk kraf terbabit, namun ketahanannya boleh
dijamin berbanding sofa yang harganya agak mahal dalam lingkungan RM2,000
hingga RM3,000 tetapi dalam masa setahun sudah rosak dan runtuh.
Tambahnya, pihaknya pernah
menerima produk rotan dari seorang pengguna yang usianya telah mencecah 40
tahun yang meminta pihaknya membaiki perabot terbabit yang berkeadaan uzur.
Pengguna terbabit meminta beliau supaya membaiki dan pihaknya melakukan produk
rotannya itu seperti berkeadaan baharu semula. Perabot rotan itu menurutnya
kukuh dan tahan dalam tempoh 10 tahun pula.
Ditanya tentang pengguna dari Gua
Musang yang dikatakan pernah membeli produk rotan di beberapa jajahan sebelah
sini. Katanya, pengguna di Gua Musang lazimnya membeli produk rotan yang agak
kecil. Beliau tidak pasti tentang hal itu memandangkan pada masa dulu di Gua
Musang juga mempunyai gedung rotan yang pernah menghasilkan produk rotan yang
dimaksudkan. Ini kerana, terdapat kilang rotan yang agak besar yang diwujudkan
di Gua Musang sejak 15 tahun lalu yang merupakan salah satu pembuat
produk rotan yang agak tersohor juga di kawasan itu.
Membicarakan tentang harga produk
rotan yang dijualnya, beliau akan membandingkan dengan keadaan rotan itu. Jika
produk tersebut menggunakan rotan yang agak keras dan berkualiti harganya
memang tinggi. Sebagaimana pengalamannya tentang produk berkenaan, pernah
beliau ditanyakan oleh beberapa orang pembeli yang terkeliru tentang perbezaan
harga walaupun produk yang sama. Jadi, jelas perbezaan harganya berdasarkan
penggunaan rotan untuk menghasilkan produk terbabit.
Sementara, harga satu set sofa di
antara RM2,000 hingga RM8,000 berdasarkan kepada rekabentuknya.
“Lazimnya, nama-nama rotan yang
sering digunakan seperti seperti rotan pana, rotan gajah, rotan batang dan
rotan merah. Jenis “rotan pana” ini harganya agak mahal kerana rotan berkenaan
agak keras dan berkualiti tinggi.
“Sebagai contohnya, apabila kita
paku di rotan jenis ini paku tersebut dalam keadaan asal dan tidak berkarat
malah rotan tersebut juga tidak mudah pecah walau dalam sebarang jenis paku
yang digunakan. Malah rotan ini juga digelarkan “tidak makan paku”. Justeru,
apabila tidak makan paku menunjukkan rotan itu dalam keadaan kemas dan
terbaik”, ujar Azman lagi.
Menurutnya, jika ada pengguna
yang membeli produk rotan di kedai lain kemudian apabila rosak lalu meminta
pihaknya untuk membaiki perabot itu pihaknya bersedia membaikinya. Ini kerana,
beliau melihat kepercayaan pembeli terhadap kemahiran dan kepakaran tentang
rotan di kedainya amat terjamin dan beliau amat mengalu-alukan hal tersebut
apatah lagi kedainya terlibat secara seratus peratus dengan produk rotan.
Menurutnya, setakat hari ini
bekalan rotan masih banyak dan mencukupi untuk tujuan menghasilkan produk dan
perabot rotan tersebut kerana menurutnya, selagi ada bukit selagi itulah
wujudnya rotan.
“Cuma satu masalah yang sering
dihadapi, kerana rotan dari bukit masih tidak dapat digunakan untuk
menghasilkan perabot. Ini kerana, rotan tersebut masih mentah. Untuk
menggunakan rotan itu, rotan itu perlu melalui proses dimasak terlebih dahulu
dan hal ini tentunya mengambil masa juga.
“Rotan yang diambil dari bukit
jika dibiarkan tanpa melalui proses tertentu, rotan tersebut akan mengalami
masalah “kecut” disebabkan terlalu mentah. Justeru, kebanyakan rotan yang
digunakan di premis ini telah melalui proses itu dan masak sepenuhnya bagi
memudahkannya membentuk produk yang diminta”, ujarnya.
Selain itu apabila ditanyakan
tentang perabot rotan berwarna sebagaimana yang digemari oleh segelintir
pelanggan, beliau berkata, rotan yang digunakan di kedainya tidak boleh dicat
disebabkan rotan itu mempunyai kulit dan kalau dicat pun cat itu tidak akan
meresap masuk dan pastinya dalam beberapa hari ia akan luntur. Sebagaimana
dengan contoh produk yang dibuat dari
buluh yang dicat, cat tidak akan melekat dan pastinya akan luntur kerana
terdapat lapisan kulit buluh di luarnya, kecuali jika kulitnya dibuang
baharulah warna dan cat akan melekat. Begitu jugalah dengan rotan.
“Jika pembeli berminat dengan
rotan yang berwarna, kulit rotan itu perlu dibuang dengan kata lain menggunakan
“pulurnya”. Hanya pulurnya saja yang boleh dicat tidak pada kulitnya. Dengan
demikian, catnya akan tahan lama kerana telah meresap masuk ke dalam isi rotan
itu”, katanya.
Katanya, setiap pengguna produk
rotan perlu mengetahui tentang kelemahan rotan. Walaupun barangan yang
dihasilkan dari rotan agak menarik dan tahan lebih lama, namun kelemahan rotan
ialah alahan kepada hujan.
“Jika terkena air lalu
dikeringkan ia tidak mengalami masalah dan ketahanannya tidak terbantut. Tetapi
jika terkena air lalu dikeringkan berulang kali atau sentiasa terdedah di
tempat lembab akan menyebabkan rotan itu akan menghadapi masalah tidak bermutu
dan mudah rosak, mudah berkulat dan keadaan asal rotan itu akan luntur dan
kecut” ujarnya tentang kelemahan rotan apabila dibiarkan terdedah kepada
kelembapan yang berpanjangan.
Di tempatnya tidak ada saingan,
hanya kedai perabotnya saja masih kekal beroperasi sehingga hari ini. Cuma apa
yang diketahuinya sekarang adalah saingan dari kedai perabot Indonesia. Dari kualitinya beliau
tidak menafikan kualiti produk rotan Indonesia
adalah hampir sama dengan Kelantan, tetapi yang membezakannya dari segi harga
produk Indonesia
lebih murah. Itupun hanya produk rotan yang agak kecil, kalau produk yang agak
besar sukar untuk dibawa masuk ke Malaysia.
Hubungi Azman Zakaria atau Jeman untuk perbincangan dan tempahan:
09-7963359
017-9705734
Azman bin Zakaria atau Jeman.
Azman Zakaria ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kilang perabotnya.
Pejabat produk kraf rotannya.
Perabot Rotan Zakaria mempunyai pekerja yang mahir di bidangnya.
Sebahagian produk rotan di kilangnya.
Jerami rotan.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 2 - http://siartv-2.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan