CETUSAN MANGSA BANJIR
TANAH MERAH, KELANTAN: Aktiviti
menarah tempat tinggi, menggondol bukit-bukau, gunung dan gua serta penebangan
pokok (atau pembalakan) dan pemusnahan hutan secara berleluasa akan menyebabkan
kemusnahan eko-sistem. Hal seumpama ini pernah dilapor dan dimaklumkan oleh
beberapa pertubuhan alam sekitar sedunia tentang bahayanya mengganggu
eko-sistem kerana jika salah satunya diusik atau dimusnahkan akan menimbulkan
bencana yang paling besar. Apatah lagi, hal berkenaan telah termaktub dalam
undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hal-hal
seumpama itu.
Kejadian banjir besar yang
melanda Kelantan pada musim tengkujuh dalam bulan Disember 2014 yang lalu
merupakan natijah buruk yang melanda Kelantan dan rata-ratanya masyarakat
mendakwa banjir tahun 2014 adalah banjir terburuk berbanding dengan banjir yang
pernah melanda Kelantan sama ada tahun 1927, 1967, 1985, 2004 (banjir tsunami
di Aceh bulan Disember) dan banjir 2007. Kalau banjir besar dikenali “banjir
naga” atau disebut juga “banjir merah” pada tahun 1967, namun banjir tahun 2014
dikenali “bah kuning” atau “banjir kuning”.
Akibat gangguan terhadap
eko-sistem atau alam sekitar akan mewujudkan ketidak seimbangan terhadap
ketiga-tiga unsur itu. Ini kerana, dalam bumi kita ini terdapat air yang
sentiasa bertakung dan mengalir di bawahnya tanpa manusia sedari. Kita akan
dapat mendengar bunyi air itu mengalir seperti ada sungai di bawahnya apabila
kita memasuki gua. Salah satu sebab yang mendorong air begitu selesa mengalir
apabila keadaan tempat tinggi, bukit-bukau dan gunung tidak diusik. Apatah
lagi, terdapat batu yang menahan air tersebut begitu tenang di situ dikenali
“batu hampar”. Batu hampar ini yang bertindak menahan kawasan tadahan air. Jika
batu hampar ini telah pecah dan rosak atau dirosakkan, batu yang menahan air
itu akan mengalir keluar.
Dalam konteks ini, jika penduduk
kampung dan desa tahu tentang keseimbangan alam sekitar yang perlu dipelihara
dan sebarang aktiviti terhadapnya akan merosakkan alam itu, kenapa pula orang
yang berpendidikan tinggi tidak tahu tentang itu? Sebarang usaha yang
mengganggu sistem itu sama ada secara haram dan terancang perlu dielakkan.
Perbuatan tidak sihat yang melibatkan individu atau pihak tertentu yang
mengganggu eko-sistem itu sama ada untuk kepentingan sendiri dan kelompok sama
ada secara terang dan tersembunyi atau pelbagai aktiviti yang menyalahi
undang-undang perlu diambil tindakan.
Dalam konteks banjir yang melanda
seluruh Kelantan dalam bulan Disember 2014 lalu, rata-ratanya agak terkejut
dengan perkembangan itu. Walaupun mereka sedia maklum tentang gelombang pertama
banjir, itu sekadar banjir air hujan yang sekadar melimpah dan memenuhi kawasan
rendah semata-mata malah setelah beberapa hari hujan reda dan mentari mula menyinar,
air yang melimpah itu mula kering kerana diserap bumi dan tenaga matahari itu.
Tetapi banjir 2014 ini tidak
seperti itu. Pada awalnya, ada yang mendakwa pelepasan dari empangan elektrik,
namun terdapat juga yang menafikannya. Walau bagaimanapun pelbagai dakwaan
tentang banjir 2014, kemusnahan harta benda di luar dugaan, rumah hanyut dan
musnah dibawa dan dipukul arus, nyawa tergadai kerana dihanyutkan arus deras
dan pelbagai lagi.
Wartawan RELATIF, Azmi Mohd.
Salleh bersama Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin cuba mendapatkan komen tentang isu
banjir 2014 yang melanda Kelantan apabila sempat menemui mangsa berkenaan,
Noraini binti Haron dan ibunya, Mariam binti Abd. Rahman dari Jalan Sekolah
Abdul Kadir Adabi, Tanah Merah, Kelantan.
Menurut Noraini binti Haron, 42,
atau dikenali sebagai Acu berkata, banjir 2014 adalah banjir agak luar biasa
apabila air dari kedua-dua arah yang bertentangan mula bertembung antara
keduanya menyebabkan kawasan berkenaan mula dipenuhi air. Sedangkan pada
kebiasaannya, air itu akan mengalir dari arah laluan bandar memasuki kawasan
laluan di hadapan rumahnya. Katanya lagi, air mula memenuhi kawasan terbabit
pada 25 Disember, 2014 dan aliran air itu mula memenuhi kawasan terbabit dari
Sungai Taman Kiara.
“Akibat pertembungan dan percantuman
di antara air yang mengalir dari sebelah kanan dengan air dari sebelah kiri
rumah ini menjadikannya seperti sebuah “pulau” kerana air begitu pantas naik”,
ujar Noraini.
Katanya, pada pagi 25.12.2014 itu
keadaan hujan yang kadang-kadang lebat agak tidak munasabah untuk menyakinkan
air akan memenuhi kawasan itu. Namun, setahunya, beberapa orang jirannya yang
menetap berhampiran dengan kawasan Sungai Taman Kiara sudah mula berpindah
untuk menunjukkan air semakin naik. Kata Noraini lagi, jiran yang dimaksudkannya
itu telah mula berpindah pada 24.12.2014 lagi dan air berkenaan mula memenuhi
kawasan rumahnya pada 25.12.2014. Manakala pada 26.12.2014 itu keadaan banjir
sudah mula bercantum sepenuhnya. Pada ketika itu, hanya yang pandai berenang
sahaja yang mampu mengharungi banjir dan jika sebaliknya, beliau tidak pasti
apa yang akan berlaku.
“Pada awal air memenuhi tebing,
keadaan airnya agak jernih dan selepas melimpah dan melepasi tebing, air itu
kemudiannya bertukar warna menjadi keruh”, katanya apabila ditanya tentang
warna air yang dimaksudkan.
Dalam pada itu, beliau juga
berpendapat bahawa banjir yang melanda itu akibat air sungai tidak dapat
mengalir ke laut dengan sempurna. Walau bagaimanapun, kemungkinan banjir
berkenaan berpunca dari masalah aktiviti mengerjakan bukit dan penebangan hutan
sewenang-wenangnya sebagaimana yang berlaku di Hulu Kelantan mungkin salah satu
sebab yang mendorong banjir berkenaan berlaku.
Katanya, inilah pertama kali
ketika usianya 42 tahun beliau dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri
banjir begitu besar melanda kawasan kediamannya dengan agak pantas dan aliran
airnya agak deras bahkan keadaan kediamannnya pula hanya tinggal beberapa meter
lagi untuk tenggelam.
Noraini menambah, pada
pendapatnya banjir 2014 ini dianggap banjir terbesar menandingi banjir merah
atau “bah merah” yang berlaku pada tahun 1967 dulu. Ini bukan berpandukan
kepada pandangnnya saja, namun beberapa warga emas di kampungnya itu juga
mendakwa banjir 2014 ini menandingi banjir 1967 itu. Ini kerana, melihat
keadaan laut yang didakwanya air pasang tinggi akan mendorong banjir lebih
besar.
Selain itu menurutnya, banjir
berkenaan berlaku disebabkan masalah sistem perparitan yang tidak sempurna,
longkang yang tersumbat dan sengaja menutup atau menimbus longkang (menutup
aliran air) dengan sengaja. Sepatutnya menurutnya, setiap kali bulan tengkujuh
tiba di antara bulan-bulan Oktober hingga Disember yang sentiasa berlaku setiap
tahun, adalah sewajarnya parit, saliran dan longkang dikorek supaya aliran air
nanti lebih sempurna dan tidak terganggu sebagaimana sekarang. Ini agak
terbalik, apabila tiba bulan Disember, terdapat dari longkang terus ditimbus
menjadikan air semakin bermasalah untuk mengalir.
“Di kawasan Tanah Merah ini,
tempat-tempat pemindahan bagi mangsa-mangsa banjir seperti di Sekolah Suria 1,
Sekolah Suria 2, Sekolah Datuk Mahmud, Sekolah Menengah Tanah Merah dan Bukit
Panau.
“Bukit Panau itu adalah tempat
pemindahan mangsa dan alternatif yang terakhir paling tinggi jika kawasan lain
dilanda banjir dan apabila wujudnya kesukaran untuk berpindah”, ujarnya.
Katanya, berhubung dengan
sumbangan dan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir, terdapat masalah
penghantaran bantuan banjir ke tempat pemindahan banjir di Sekolah Suria 1
kerana keadaan air di kawasan itu agak deras dan merbahaya. Masalah semakin
mendesak apabila bantuan kepada mangsa-mangsa banjir agak terlalu lambat.
Ditanya tentang sikap
mangsa-mangsa banjir 2014 di Kelantan yang dimaklumkan oleh pihak penyelamat
dan pemberi bantuan kepada mangsa menyatakan, mangsa-mangsa banjir yang menetap
di pusat-pusat pemindahan hanya bertindak sebagai mangsa tetapi dianggap “berat
tulang” dan mereka dianggap tidak bersatu hati dengan mangsa-mangsa yang lain
pada hal mereka sepatutnya berganding bahu kerana bencana berkenaan seolah-olah
ingin melihat sikap mereka ke arah itu.
Berhubung dengan hal tersebut,
beliau menjelaskan, hal-hal yang ditimbulkan itu memang wujud. Ini kerana,
apabila satu pihak dapat tempat memasak (dapur), mereka enggan menyerahkannya
kepada orang lain, yang sepatutnya boleh dibuat bersama ibarat pepatah “berat
sama dipikul dan ringan sama dijinjing”. Apabila pihak berkenaan dapat
menggunakan tempat berkenaan, mereka akan nampak keluarga mereka semata-mata
tetapi menafikan keluarga yang lain.
Satu perkara lagi menurutnya,
wujud sikap memilih “bulu” di kalangan Penghulu. Contohnya, jika kita menumpang
di tempat mereka, orang yang menumpang itu akan diasingkan dan kita pula akan
berasa tersisih padahal hal berkenaan tidak sepatutnya berlaku. Dalam hal ini
menurutnya, jika berlaku bencana sedemikian, sudah tiba masanya rakyat di
kalangan mangsa banjir misalnya perlu bersatu hati dan tolong-menolong antara
satu sama lain baharulah mendapat berkat. Katanya, ketika itu tidak perlu wujud
fahaman parti mana kerana ketika itu hanyalah satu nyawa sahaja, tetapi hal
berkenaan masih menebal dan sukar dilupakan.
“Saya mengambil contoh di pusat
pemindahan yang saya duduki ketika itu wujud kejadian sedemikian sampai
berlakunya bertekak sesama sendiri terutamanya dalam soal pemberian bantuan
kepada mangsa-mangsa banjir di pusat itu.
“Kalau berlaku terhadap ibu bapa,
saya percaya hal berkenaan tidak timbul, tetapi jika melibatkan anak-anak yang
merengek, menjerit dan menangis kerana kelaparan, bantuan makanan sebenarnya
ada sebaliknya ada pihak mendakwa bekalan makanan yang dimaksudkan tiada.
Soalnya, ke mana bantuan makanan itu akan diberikan?” ujarnya yang agak
dukacita dengan situasi ketika itu.
Dalam hal ini, Noraini
mencadangkan supaya bantuan diberikan kepada mangsa banjir perlulah adil malah
tidak wajar ada pihak lain yang membolotnya. Bahkan beliau juga berharap supaya
pihak-pihak yang diberi tanggungjawab tentang bantuan supaya bersikap amanah
dengan tidak memilih bulu. Bahkan, Noraini juga berharap suatu masa nanti,
tanggungjawab sebagai tukang masak diserahkan kepada pihak tentera yang
dianggap lebih professional dan bertanggungjawab daripada individu yang lebih
bersifat mementingkan diri sendiri.
Tambah Noraini seterusnya, ketika
air melanda dan memenuhi kawasan pada 25.12.2014 hujan turun dengan lebatnya di
Tanah Merah dan mula berhenti pada 27.12.2014. Air mula surut pada 28.12.2014
kerana apa yang dilihatnya pada 27.12.2014 banjir tersebut masih ada. Katanya,
selepas banjir surut, didapati selut melepasi tahap buku lali dan keadaan dalam
rumahnya selepas surut memang selutnya sukar ditanggalkan. Katanya, tahap
banjir mencapai tahap bumbung rumahnya dianggap banjir pecah rekod kerana
sebelum ini tidak pernah berlaku hal yang seumpama itu.
Banjir pada tahun 2004 (tsunami
bulan Disember 2004) memang kediamannya itu dinaiki air tetapi setakat paras
paha sahaja. Namun, banjir tahun 2014 ini agak luar biasa kerana paras air
hampir mencecah bumbung dan sehinggakan dinding rumahnya menjadi senget kerana
ditolak arus yang deras itu. Katanya, banjir tahun 2014 ini air beralun tidak
sebagaimana banjir sebelum ini. Sejak usianya 42 tahun, inilah pertama kali
beliau menyaksikan banjir yang agak besar tidak sebagaimana sebelum ini malah
apabila beliau melihat air banjir itu beliau menjadi takut dan fobia
terhadapnya.
Selain keadaan banjir ini agak
sejuk airnya, malah kaki kita juga mudah lemah dan mudah luka apabila terkena
lumpur kelodak yang dibawa banjir itu. Apatah lagi, keadaan selutnya yang sukar
ditanggalkan walaupun berkali-kali cuba mencucinya. Beliau tidak
menolak, lumpur yang dibawa banjir banyak bercampur dengan kuman yang merbahaya
sebab itulah kulit mudah luka dan terkoyak.
Kata Noraini lagi, banjir di
tempatnya itu pernah berlaku pada tahun 2004 (banjir tsunami). Jadi bermakna,
banjir 2014 ini adalah genaplah tempatnya menerima banjir dalam tempoh 10
tahun. Katanya, ketika gelombang pertama dulu kawasan kediamannya tidak ada
air, namun gelombang kedua ini kediamannya mula menerima banjir.
Sementara itu, menurut ibu
Noraini, Mariam binti Abd. Rahman, 82, atau dikenali Makcik Yam mendakwa,
keadaan air tersebut agak laju dan ketika aliran air itu melalui laluan di
hadapan rumahnnya, beliau dapat melihat dengan jelas aliran air dari sebelah
kiri rumahnya menuju ke sebelah kanan rumahnnya dengan pantas. Kemudiannya
bertembung dengan aliran air dari sebelah kanan rumahnya mewujudkan pusaran air
yang agak menakutkannya.
Menurutnya, pada ketika itu, air
yang memenuhi kawasan hadapan laluan rumahnya itu berada pada paras lutut dan
dalam masa lima
(5) minit saja, air tersebut sudah mencecah paras pinggang dengan begitu
pantas.
Ditanya pula tentang banjir 2014
juga berpunca dari mata air yang terbit dari bumi dengan begitu banyak. Hal
berkenaan memang tidak dinafikan oleh Makcik Yam yang mendakwa, beliau pernah
mendengarnya daripada jiran-jirannya yang turut membicarakannya bahawa
terbitnya “mata air” dari bumi sebagai menandakan wujudnya aktiviti menarah
atau merosakkan bukit untuk pelbagai tujuan yang hakikatnya boleh mengundang
padah kepada eko-sistem. Katanya, apabila bukit ditarah sesuka hati menyebabkan
“batu hampar” yang boleh menakung air telah pecah dan akibatnya menyebabkan air
keluar dari bumi dengan banyaknya.
Beliau menafikan tentang takungan
di empangan elektrik dilepaskan sebagai salah satu punca banjir melanda
Kelantan. Katanya, jika takungan di empangan elektrik dilepaskan kemungkinan
kediamannya itu terus ditenggelami air melepasi bumbung rumahnya tetapi tidak
seperti sekarang.
Menurut Mariam, berhubung dengan
bantuan banjir kepadanya sebagai warga emas memang agak cukup dan beliau tidak
menafikannya tentang itu yang diberikan oleh pihak Sukarelawan, Bomba dan
Tentera. Tentang makanan, beliau agak bersyukur kerana tidak pernah timbul
masalah tentangnya. Tentang minuman panas pula, memang telah disediakan oleh
pihak yang menguruskan untuk mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan yang
didudukinya khusus kepada warga emas sepertinya.
Tentang air minuman di pusat
pemindahan itu pula, beliau berkata di kawasan itu terdapat empat buah tangki
yang boleh menampung mangsa banjir untuk beberapa hari. Apabila air dalam
tangki itu telah kering yang digunakan sebagai air minuman dan memasak nasi,
terpaksalah mangsa banjir menadah air hujan untuk dijadikan air minuman. Hujan
di Tanah Merah pada ketika itu agak lebat dan dengan demikian dapatlah menadah
air hujan itu dalam beberapa buah botol yang disediakan khusus untuk tujuan
itu.
Ketika hujan turun dengan
lebatnya di Tanah Merah pada ketika itu, tidak seorang pun golongan wanita yang
menghuni di pusat pemindahan itu yang turun mandi hujan kecuali di kalangan
lelaki yang berbuat demikian.
Ditanya tentang sifat air banjir
2014 baru-baru ini berbanding banjir sebelum ini yang sememangnya agak
berlainan. Jika banjir yang melanda kediamannya sebelum ini dianggap hangat,
namun banjir tahun 2014 ini keadaan airnya agak sejuk dan tubuhnya menggigil.
Manakala harta benda dan
peralatan dapur yang ada dalam rumahnya ialah pinggan mangkuk yang masih ada
dan boleh digunakan lagi. Barangan dan peralatan lain memang tidak boleh
digunakan kerana tenggelam atau dihanyutkan arus. Misalnya perkakasan elektrik
terus rosak dan pakaian juga dihanyutkan arus kerana tidak sempat mengambilnya
kecuali pakaian yang masih tersusun dalam almari pakaian yang masih dalam
keadaan selamat.
Noraini binti Haron atau Acu.
Mariam binti Abd. Rahman atau Makcik Yam.
Kedua-dua mangsa sedang ditemubual Wartawan RELATIF.
Arah laluan air.
Keadaan kediaman mereka hampir ditenggelami banjir.
Keadaan di laman rumahnya.
Barangan elektrik turut rosak akibat banjir.
Keadaan banjir di laluan yang sama.
Tonton Video:
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=jAQXqCf73cg
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan