KELANTAN: BANJIR LUMPUR 2014
PALEKBANG, KELANTAN: Banjir yang melanda Kelantan khususnya di
Palekbang, Tumpat, Kelantan adalah banjir lumpur. Ini jelas, kalau jarak dari
Hulu Kelantan seperti Gua Musang dan Kuala Krai dan aliran air berkenaan dapat
dilihat kesan yang dibawa oleh banjir itu adalah lumpur menunjukkan terdapat
aktiviti yang tidak sihat berlaku di kawasan Hulu Kelantan itu. Air tidak
berbohong kepada manusia, air akan tunjukkan apa yang berlaku dan kesan
berikutnya jika sesuatu kawasan itu dicemari atau dimusnahkan, hanya manusia
yang suka berbohong dan menipu diri manusia sendiri lalu berdusta terhadap
orang lain pula. Inilah wajah dan sikap manusia yang sebenarnya.
Di dalam Al-Quran dengan jelas
Allah memberikan amanat kepada bukit dan gunung-ganang, namun bukit dan gunung
enggan memikul tugas dan amanah itu kerana bimbang diperhitungkan oleh Allah S.W.T nanti. Lantas Allah serahkan kepada manusia
pula, lalu manusia menerima amanah itu. Tetapi hakikatnya, manusia memang pecah
amanah lalu terjadilah pelbagai kerosakan akibat pecah amanah dan salah satunya
ialah kejadian banjir ini.
Walaupun kita sedia maklum,
banjir berlaku di atas ketentuan Allah sama ada berlaku atau tidak. Namun, jika
berlaku bukan sahaja kehendak Allah, namun atas sebab dan musabab tertentu.
Justeru, manusia tidak perlu menyalahkan Allah kerana Allah berhak melakukannya
kerana alam ini Dia (Allah) yang menciptakannya dan Dia juga boleh memusnahkannya jika
Dia mahu. Tetapi manusia yang sepatutnya menjaga dan memelihara alam ini kerana
manusia telah diberikan amanah itu untuk menjaganya. Jadi, manusia rakus yang
tidak sihat mencabuli amanah itu lalu terjadilah pelbagai masalah
terhadap alam ini. Natijahnya pula dirasai oleh orang lain yang tidak berdosa.
Tidak selesai membicarakan soal
banjir 2014 kerana rata-ratanya mendakwa
banjir 2014 adalah banjir besar dan sifatnya merosakkan dan apatah lagi
berlumpur pula. Sedangkan banjir sebelum ini banjir membawa bersama pasir-pasir
yang putih lalu dilonggokkan di beberapa kawasan berlubang dan berlembah.
Namun, kesan banjir 2014 adalah kesan selut dan lumpur berwarna kuning yang
sukar ditanggalkan.
Salah seorang mangsa banjir, Che
Rahim bin Che Leh dari Kampung Datuk, Palekbang, Tumpat, Kelantan yang sempat
ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim
turut mendakwa kediamannya juga dipenuhi selut dan lumpur kuning yang sukar
ditanggalkan walaupun berhari-hari cuba mencucinya.
Menceritakan kejadian banjir 2014
itu, banjir berkenaan melanda kawasan kediamannya itu datang dari arah sungai
yang letaknya berhampiran dengan rumahnya. Menurutnya, banjir tersebut mula
naik dan mencecah kawasan rumahnya pada 23.12.2014 (Selasa). Katanya, aliran
air itu melalui laluan jalan raya yang terletak di hadapan rumahnya dari arah
sungai itu kemudiannya melimpah di kawasan terbabit sehingga paras pinggang.
Manakala pada petang 24.12.2014,
air itu kemudiannya melimpah hingga ke bahagian tangga rumahnya. Seterusnya
pada pagi 25.12.2014 (Khamis) itu pula, air terus naik sehingga ke paras
pinggang dan kemudiannya terus naik sehingga memasuki rumahnya pula. Pada
tarikh 25.12.2015 (Khamis) itulah beliau bersama keluarganya mula berpindah
disebabkan air telah mencecah masuk ke dalam rumahnya walaupun sebahagian
jiran-jirannya telah mula berpindah sejak 23.12.2014 (Selasa) lagi.
Menurutnya, beliau menghantar
isterinya untuk berpindah ke kawasan yang agak selamat berdekatan dengan
landasan keretapi Palekbang itu. Pada ketika itu, pagar rumahnya telah mula
tenggelam secara perlahan-lahan akibat dinaiki air yang agak pantas.
Jelas Che Rahim lagi, air yang
melanda penempatannya itu agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Katanya,
air yang melanda kediamannya itu didapati agak luar biasa malah berpusar pula.
Ketika air melimpah melalui sungai yang terletak berhampiran rumahnya itu pada
26.12.2014, keadaan aliran air dari sungai itu agak ganas dan menakutkan.
Sehingga air memenuhi sepenuhnya
pada 26.12.2014 menyebabkan pagar rumahnya mula goyang lalu roboh dihempas air
yang berlumpur itu. Pada mulanya, beliau ingin berpindah ke rumah sewa anaknya
yang terletak di kawasan Kok Pasir, tetapi rumah tersebut juga dinaiki air dan akhirnya
terpaksa berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kok Pasir. Namun, menurutnya, walaupun
sekolah tersebut telah dijadikan sebagai pusat pemindahan, tetapi hakikatnya
air juga telah sampai ke sekolah tersebut.
“Walaupun banjir sampai ke pusat
pemindahan di sekolah Kok Pasir itu, namun mangsa banjir berkeadaan selamat
apabila kebanyakan mereka ditempatkan di tingkat tiga sekolah itu.
“Dari atas, mereka dapat lihat
dengan jelas, banjir telah mula melingkari sekolah tersebut dengan cepat”, ujar
Che Rahim.
Ditanya pengalamannya berbanding
banjir 1967 dengan banjir 2014 baru-baru ini, beliau menjelaskan banjir 2014
lebih besar lagi jika dilihat dengan keadaan itu. Jika diukur dengan banjir
2004 (tsunami), paras air yang masuk ke dalam rumahnya hanya di bawah paras
pinggang sahaja dan banjir pada tahun itu beliau tidak berpindah kerana
dianggap masih bertahan dengan keadaan air ketika itu.
“Banjir 2014 adalah banjir
lumpur, walaupun beberapa kali saya cuba mencucinya, kesan lumpur masih
belum tanggal dan apabila kering lumpur itu masih melekat lagi yang menunjukkan
sukar ditanggalkan”, cetus Che Rahim.
Apabila ditanya sebab banjir 2014
yang dikatakan banjir lumpur, beliau menjelaskan hakikatnya keadaan bukit di
Dabong itu telah menjadi botak kerana wujudnya aktiviti menarah bukit itu
dengan rakus. Baginya, masalah kedatangan banjir itu dia tidak ambil kisah,
namun yang menjadi masalahnya ialah perihal “lumpur” itu yang tidak sepatutnya
mengalir bersama air itu.
Katanya, setelah surut kesan
lumpur yang tinggal di atas rumahnya di bawah paras lutut suatu kejadian yang
tidak pernah berlaku sebagaimana banjir-banjir sebelum ini.
Jika dikatakan beberapa bahagian
rumah pecah dan roboh di kawasannya itu memang berlaku, misalnya beberapa
bangsal, garaj kenderaan dan warung makanan yang didapati telah roboh dihempas
banjir memang berlaku. Tetapi jika dikatakan rumah hanyut beliau berasa
kejadian sedemikian tidak pernah berlaku.
Apabila ditanya tentang kesan dan
tanda-tanda untuk menunjukkan berlakunya kejadian banjir, dia tidak pasti
tentang itu kecuali tiupan angin yang agak berbeza. Ketika tiupan angin itu dia
memang tidak menyangka air akan naik kerana taburan hujan turun juga hanya
sekali-sekala saja.
Sebagaimana yang dialaminya, dia
meletakkan pakaian di tempat yang lazimnya kerana tidak menyangka air akan
memenuhi tempat tersebut kerana banjir sebelum ini memang kawasan yang
dimaksudkan dikatakan agak tinggi dan tidak mungkin banjir boleh sampai ke
tahap itu. Tetapi banjir 2014 ini air tiba-tiba menenggelamkannya.
Di antara barangan elektrik yang
ditenggelamkan banjir seperti dua buah peti sejuk, mesin basuh. Manakala
pakaian juga ditenggelami banjir terpaksa dicuci dengan sabun sebanyak dua kali
untuk menanggalkan kesan selut yang masih melekat di celah-celah benang.
Barangan lain seperti langsir, kusyen dan kerusi juga mengalami nasib yang
sama.
“Apabila terpaksa berpindah hanya
manusia sahaja yang berpindah, namun barangan yang tidak sempat dipindahkan
terpaksa ditinggalkan dan ditenggelami banjir itu. Itulah hakikat yang perlu
manusia terima”, katanya.
Dari segi banjir naik agak
pantas, namun surutnya agak cepat dan setelah air surut meninggalkan
kesan-kesan selut yang sukar ditanggalkan.
Keadaan banjir sebelum ini
tidaklah seteruk banjir 2014. Tetapi banjir 2014 menyebabkan air mencecah ke
dalam rumah. Walaupun kelihatan rumahnya agak tinggi namun banjir 2014
meninggalkan segala-galanya.
Menurutnya, banjir 2014 ini juga
penyebabnya adalah jalan raya terlibat kerana laluan air seperti terhalang
tidak sebagaimana banjir-banjir dulu di mana ketika itu jalan raya masih belum
dibina lagi.
Che Rahim bin Che Leh atau Rahim.
Che Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Inilah kediaman Che Rahim yang dinaiki air sehingga atas rumahnya.
Wajah Sungai Kelantan di Palekbang yang membanjirkan kawasan terbabit.
Inilah laluan air banjir dari Sungai Kelantan memasuki rumah Che Rahim.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN