RUKUN TETANGGA WAKAF BAHARU SATU
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Atas dasar komited dan tekun dengan tugas
untuk melihat masyarakat Wakaf Baharu berperanan sebagai warga yang berhemah
menyebabkan beliau dipilih sebulat suara menjawat tugas Pengerusi Rukun Tetangga
Wakaf Baharu Satu. Sebelum ini, beliau menyandang sebagai Timbalan Pengerusi
melebihi 15 tahun.
Hal berkenaan juga berikutan
sifatnya yang gemar melakukan kerja-kerja kemasyarakatan secara sukarela dan
peranannya begitu menyerlah yang akhirnya beliau dipilih sebagai Pengerusi
sejak dua (2) tahun lalu apabila Pengerusi itu kini menghadapi masalah
kesihatan.
Begitulah latar belakang
Pengerusi Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu (KRT 1) yang baharu, Haji Yahya
Mamat ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd.
Kamal Ibrahim di kediamannya di Kota Kubang Labu, Wakaf Baharu, Kelantan
baru-baru ini.
Sebagai Pengerusi Rukun Tetangga
Wakaf Baharu Satu ketika beliau mengambil alih tugas itu, pelbagai aktiviti
telah disusun dan dijalankan sepanjang dua tahun beliau dipilih itu. Sepanjang
tahun 2014 sahaja, Rukun Tetangga berkenaan telah menjalankan tujuh (7)
aktiviti di mana salah satunya ialah mengadakan majlis asyura, ceramah agama
untuk komuniti sekitar Wakaf Baharu Satu, mengadakan sukan rakyat yang
melibatkan golongan (veteran dan warga emas, remaja dan kanak-kanak).
“Dalam aktiviti sukan rakyat
tersebut, Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu menitikberatkan tentang perpaduan di
mana kami telah menjemput kalangan kaum Cina di sekitar Wakaf Baharu Satu untuk
menyertai sukan rakyat yang dianjurkan Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu”,
katanya.
Manakala pada bulan Oktober 2014,
Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu telah mengadakan aktiviti lawatan sambil
belajar yang melibatkan 40 orang ahli Rukun Tetangga berkenaan melibatkan warga
emas, ibu tunggal dan remaja dengan mengadakan lawatan ke Pulau Langkawi di
mana ahli-ahli berkenaan pergi ke beberapa lokasi dan meninjau tentang
pembangunan dan melihat secara lebih dekat kehidupan masyarakat di Pulau
Langkawi. Dari lawatan dan tinjauan itu, beliau berpendapat keadaan masyarakat
di Pulau Langkawi agak lebih baik dari konteks kemajuan dan kemewahan yang
dikecapi berbanding dengan keadaan masyarakat Kelantan hari ini khususnya di
Wakaf Baharu Satu.
Lain-lain aktiviti yang pernah
diadakan oleh Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu seperti mengadakan sambutan Hari
Raya di mana pihaknya telah menjemput beberapa pegawai dari Jabatan Perpaduan
Negeri Kelantan. Jumlah kehadiran pada ketika itu agak menggalakkan kerana
mereka berpendapat dengan menyertai aktiviti yang sedemikian akan dapat
merapatkan hubungan di antara ahli, masyarakat sekitar dan khususnya di
kalangan masyarakat Cina di Wakaf Baharu.
Katanya, satu lagi aktiviti yang paling mendapat tempat terutamanya di kalangan kanak-kanak ialah majlis berkhatan. Majlis berkhatan ini menurutnya telah diadakan sejak tujuh (7) tahun lalu mendapat sambutan yang agak menggalakkan apabila terdapat kira-kira 25 kanak-kanak yang menyertai majlis berkenaan diberikan secara percuma, cuma dikenakan yuran pendaftaran berjumlah RM10.
Katanya, satu lagi aktiviti yang paling mendapat tempat terutamanya di kalangan kanak-kanak ialah majlis berkhatan. Majlis berkhatan ini menurutnya telah diadakan sejak tujuh (7) tahun lalu mendapat sambutan yang agak menggalakkan apabila terdapat kira-kira 25 kanak-kanak yang menyertai majlis berkenaan diberikan secara percuma, cuma dikenakan yuran pendaftaran berjumlah RM10.
Menurutnya, aktiviti sedemikian
tidak selesai setakat itu sahaja tetapi dijalankan dari semasa ke semasa di
mana kalau di bulan Ramadan, pihaknya mengadakan majlis berbuka puasa dan
pihaknya menjemput penduduk sekitar dan komuniti bistari untuk menyertai sama
aktiviti tersebut dalam usaha merapatkan hubungan yang sedia ada. Malah katanya,
aktiviti seperti ini akan lebih diutamakan dan dititikberatkan untuk masa-masa
yang akan datang.
“Rukun Tetangga ini telah
ditubuhkan hampir 20 tahun lalu. Pada masa dulu, Rukun Tetangga Wakaf Baharu
Satu adalah meliputi kawasan SBJ Pasir Pekan, Kota Kubang Labu, Kampung Mulong,
Kampung Kubang Palas dan Jalan Stesen Keretapi Wakaf Baharu termasuk Kampung
Bukit” ujar Haji Yahya lagi.
Menurutnya, beliau mengucapkan
syukur kerana pihaknya mendapat restu pihak Kada yang bermurah hati di mana
terdapat sebuah rumah Kada di Kampung Mulong, Alor Pasir yang memberikan
bangunan berkenaan untuk dijadikan pejabat Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu dan
tempat untuk menjalankan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Cuma pihaknya hanya
perlu membayar bekalan air dan elektrik. Beliau amat berterima kasih kepada
pihak Kada dengan bantuan rumah tersebut untuk kegunaan pihaknya. Beliau tidak
mengetahui bangunan berkenaan perlu digunakan sampai bila, namun setakat ini
seudah hampir 20 tahun bangunan itu telah digunakan oleh Rukun Tetangga Wakaf
Baharu Satu sebagai pejabat dan pusat aktiviti.
Katanya, setelah pihak Jabatan
Perpaduan Negeri memerhatikan agak terlalu luas skop kawasan yang ditadbir oleh
Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu, maka pihak jabatan telah mengasingkan kawasan
SBJ Pasir Pekan itu kerana kawasan berkenaan telah mempunyai komuniti sendiri.
Sekarang pihaknya dalam proses untuk mendaftarkan keahlian kawasan Kampung
Padang Tok Ku pula dan pendaftarannya mungkin akan bermula pertengahan bulan
Mei 2015 nanti.
“Dengan pengecilan saiz kawasan
komuniti itu akan lebih menambahkan lagi aktiviti pihaknya kerana setiap
aktiviti tentunya melibatkan sumber kewangan. Dengan demikian, kemungkinan
aktiviti yang lebih menarik akan dapat dijalankan sebaik mungkin nanti” ,
katanya.
Menurut Haji Yahya lagi, pihaknya
juga ada mengadakan aktiviti bersama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM)
dan setakat ini telah beberapa kali anggotanya dipanggil oleh pihak polis untuk
tujuan memberikan taklimat berhubung dengan kawalan keselamatan terutamanya
pada waktu malam. Dengan adanya Skim Rondaan Sukarela (SRS) ini menjadikan
aktiviti yang dijalankan oleh pihaknya sentiasa aktif dan mendapat sambutan
baik di kalangan anggota-anggotanya.
Ditanya tentang skop Rukun
Tetangga, menurut Haji Yahya bahawa Rukun Tetangga diletakkan bawah Jabatan
Perpaduan Negara, cuma memilih kawasan dan sektor-sektor tertentu terutamanya
di kawasan komuniti yang berbilang kaum. Contohnya, di kawasan Rukun Tetangga
Wakaf Baharu Satu ini ada penduduk yang bukan beragama Islam iaitu kaum Cina
yang menetap di sebelah laluan keretapi turut berada di bawah Rukun Tetangga
Wakaf Baharu Satu. Manakala di kawasan Taman Perumahan Baharu Kota Billion
terdapat kira-kira 60 peratus penduduknya adalah masyarakat Tionghua. Apabila
ditubuhkan Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu ini, pihaknya menjemput kalangan
mereka untuk sama-sama melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan
perpaduan.
Malah sehingga hari ini kaum Cina
yang terdiri dari masyarakat kaum Tionghua itu sanggup bekerjasama dengan
pihaknya dan pihaknya telah mengadakan aktiviti sukan dengan menjemput mereka
bersama dengan mengadakan majlis sukan rakyat yang turut melibatkan mereka.
Berdasarkan kepada perkembangan ini, beliau berpendapat hal berkenaan dapat
merapatkan hubungan antara kaum. Sebagaimana di kawasan lain yang mempunyai
pelbagai kaum seperti masyarakat Thai juga turut memberikan tumpuan dengan
mengadakan aktiviti yang sama.
“Misalnya jika ada sambutan Hari
Kemerdekaan, mereka juga turut menyertai majlis berkenaan seperti memegang,
menaikkan dan mengibarkan “Jalur Gemilang”.
“Setakat hari ini misalnya di
kawasan Wakaf Baharu yang terdiri dari masyarakat Tionghua bersedia bekerjasama
dengan pihak Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu dan hal ini dianggap perkembangan
yang terbaik”, ujar Haji Yahya.
Begitu juga dengan remaja yang
pada pandangannya menggemari bidang sukan. Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu
pernah mewakili perlawanan bolasepak tujuh sebelah yang dianjurkan oleh Ahli
Parlimen. Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu telah berjaya memasuki separuh akhir
dalam bidang sukan seperti bolasepak, badminton dan sepaktakraw. Malah Rukun
Tetangga Wakaf Baharu Satu mempunyai gelanggang badminton dan sepaktakraw di
Ibu Pejabat Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu yang terletak di Kampung Mulong,
Wakaf Baharu. Di gelanggang berkenaan, golongan remaja sering mengadakan
latihan seperti permainan badminton dan sepaktakraw di gelanggang itu.
Manakala bagi remaja wanita dan
ibu-ibu pula, Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu mengadakan aktiviti kelas agama
dan kelas membaca Al-Quran yang diadakan tiap-tiap hari Jumaat dan Sabtu.
Baru-baru ini, atas saranan kaum ibu, Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu telah
mengadakan kelas gubahan bunga untuk dipersembahkan kepada golongan wanita yang
belum pernah melihatnya. Katanya, terdapat dari gubahan bunga itu dianggap yang
terbaik pernah dipamerkan.
Membicarakan tentang dana pula,
setiap Rukun Tetangga memang mendapat peruntukan khas daripada pihak Jabatan
Perpaduan Negeri bergantung kepada aktiviti yang dijalankan oleh pihak Rukun
Tetangga itu sendiri. Peruntukan ini lazimnya dalam lingkungan kira-kira
RM4,000 lebih setahun.
Walau bagaimanapun menurutnya,
apabila Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu mengadakan aktiviti kita akan membuat
tuntutan balik dengan kos yang telah dibuat itu di samping mendapat sumbangan
daripada pihak-pihak tertentu di mana pihak berkenaan sentiasa memberikan
bantuan dan sumbangan dalam usaha untuk terus menghidupkan Rukun Tetangga Wakaf
Baharu Satu itu dengan mengadakan majlis-majlis yang sesuai.
“Ini kerana, jika hanya
mengharapkan sumber kewangan daripada pihak Jabatan Perpaduan sahaja, tentunya
tidak mencukupi untuk mempelbagaikan aktiviti seperti aktiviti sukan dan jamuan
yang memerlukan kos yang banyak.
“Jadi, Alhamdulillah setakat hari
ini ada pihak di kalangan individu yang sanggup membiayai kos Rukun Tetangga
Wakaf Baharu Satu untuk tujuan supaya rukun tetangga meneruskan usaha yang baik
itu”, katanya.
Apabila ditanya tentang Skim
Rondaan Sukarela (SRS), beliau menjelaskan Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu
mempunyai pasukan SRS yang mempunyai seorang ketua dan dianggotai seramai 20
orang. Pasukan SRS berkenaan diberi tugas untuk meronda melibatkan tiga anggota
petugas untuk satu malam yang diberikan secara bergilir-gilir sehinggalah
sampai kepada pusingan yang awalnya.
Kawalan SRS ini pula dibekalkan
dengan peralatan perhubungan “walkie-talkie” dan mereka telah menggunakan
peralatan berkenaan sebaik mungkin. Cuma sejak di akhir-akhir ini wujud
percanggahan kerana terdapat di kalangan anggota berkenaan yang merajuk
disebabkan berebutkan peralatan tersebut. Walau bagaimanapun, hal berkenaan
telah dapat diselesaikan dan hari ini kita masih menjalankan rondaan seperti
biasa.
“Kawalan dan rondaan SRS ini
tidak hanya dilakukan oleh pihak Rukun Tetangga semata-mata, sebaliknya turut
dibantu oleh anggota Rela untuk menjaga keselamatan kawasan Wakaf Baharu”,
katanya.
Bercakap tentang musim banjir
pula, baru-baru ini pihak Jabatan Perpaduan Negeri telah memanggil beberapa
ahli jawatankuasa Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu bagi mengikuti kursus
bagaimana untuk bertindak sekiranya berlaku banjir yang besar. Sehingga ini,
hanya Pengerusi dan Setiausaha telah dipanggil oleh pihak berkenaan untuk
taklimat. Sehingga temubual ini, pihaknya masih belum mendapat sebarang
makluman daripada pihak Jabatan Perpaduan Negeri berhubung tindakan seterusnya
dalam usaha menghadapi masalah banjir. Beliau beranggapan, belum tiba masanya
pihak Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu bergerak sejauh itu. Namun, pihak
anggota Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu memang bersedia jika pihak berkenaan
memberikan tanggungjawab kepada pihak Rukun Tetangga berkenaan nanti.
Tentang keahlian Rukun Tetangga
Wakaf Baharu Satu pula menurutnya, sekarang ini masih ada beberapa kampung yang
menaungi beberapa kampung seperti Kampung Dusun Langgar, Kota Kubang Labu,
Kampung Padang Tok Ku, Kampung Kubang Palas dan Kampung Mulong
Katanya, jumlah anggota dalam
Rukun Tetangga Wakaf Baharu Satu memang ramai, namun anggota yang aktifnya agak
berkurangan. Inilah suatu masalah yang berlaku. Apabila mereka dipanggil untuk
menjalankan peranan, mereka memberikan beberapa alasan tertentu.
“Ahli yang berdaftar dengan Rukun
Tetangga Wakaf Baharu Satu melebihi 300 orang. Kalau berdasarkan naungan
kampung-kampung berkenaan agak lebih dari jumlah itu. Namun, dengan jumlah
keahlian berkenaan kami akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna demi
perpaduan dan keselamatan”, ujarnya.
Menutup bicara, beliau berharap
kepada golongan remaja supaya seboleh-bolehnya berdampinglah dengan pihak Rukun
Tetangga Wakaf Baharu Satu. Kadang-kadang menurutnya, keterlibatan remaja ke
kancah gejala sosial disebabkan sikap remaja-remaja itu sendiri.
Justeru, inilah peluang terbaik
golongan remaja supaya bersama-sama dengan pihak Rukun Tetangga untuk
menjalankan aktiviti yang bermanfaat untuk memasyarakatkan Wakaf Baharu untuk
mengelakkan mereka terjebak dalam aktiviti yang tidak sihat. Setahunya, apabila
pihak Rukun Tetangga membuat rondaan pihaknya sering kali terserempak dengan
beberapa kalangan remaja yang melakukan masalah sosial.
Menurutnya, pihaknya sentiasa
mencari jalan untuk mengajak golongan remaja agar tidak terjebak ke kancah gejala
sosial dengan melakukan pelbagai aktiviti yang digemari remaja dan berharap
mereka menyertai Rukun Tetangga demi untum kebaikan masa depan mereka sendiri
juga.
Haji Yahya bin Mamat.
Haji Yahya Mamat ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Tugas awalnya ialah sebagai Pegawai Perubatan.
Haji Yahya ketika menerima A.S.K semasa Istiadat Pengurniaan Kehormat Kebesaran Negeri Tahun 2010 pada 6 Mei, 2010 di Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan