RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Selasa, 10 Februari 2015

Musibah Banjir Kelantan 2014


MUSIBAH BANJIR KELANTAN 2014

TUMPAT, KELANTAN: Kejadian banjir melanda Kelantan bulan Disember 2014 yang lalu adalah kejadian bersejarah dianggap banjir besar yang pernah melanda Negeri Kelantan walaupun banjir besar yang dikenali “banjir merah” yang berlaku pada tahun 1967 dulu. Banjir 2014 yang dikenali “banjir kuning” atau sesetengah penduduk menggelarkannya “banjir lumpur” adalah banjir luar biasa yang menakutkan dan kejadian banjir seumpama ini pastinya menjadikan kenangan sepanjang hayat.

Walaupun banjir 2014 telahpun surut, tetapi kesan dilanda banjir berkenaan amat memilukan. Ada yang mendakwa kedatangan banjir 2014 baru-baru ini memang tidak disangka, malah ada juga yang menyatakan mustahil banjir besar akan berlaku. Ada juga yang berpendapat kediamannya tidak akan dijamah air kerana dianggap terletak di kawasan tinggi. Namun, setelah kehadiran aliran air yang tidak mengenal manusia sama ada kecil atau besar, tua atau muda, kediaman cantik atau tidak, namun atas perintah Allah banjir pasti hadir yang meninggalkan kesan kenaikan dan surutnya.

Membicarakan tentang banjir ini, misi Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin menjenguk di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan untuk meninjau tentang kejadian dan kesan banjir selepas surutnya di kampung itu. Kami kemudiannya singga di teratak Bekas Penghulu Kampung Laut, Tumpat, Kelantan, Che Bakar bin Che Deraman, 65, yang lebih dikenali di kampung itu sebagai Abang Nik menceritakan tentang kejadian Kampung Laut dilanda banjir besar yang agak luar biasa tahun 2014.

Menurut Che Bakar, banjir mula naik dan melimpah di Kampung Laut pada 25 Disember, 2014 iaitu hari Selasa. Air berkenaan mula naik memenuhi tebing pada tarikh tersebut jam 5.00 petang tersebut. Air berkenaan terus naik memenuhi ruang sehingga waktu malam, namun menurutnya air memenuhi pada waktu malam dengan agak pantas.

Katanya, jika diukur dengan keadaan banjir yang melanda Kampung Laut dengan tempat-tempat lain di Kelantan adalah banjir yang dianggap biasa bagi kebanyakan penduduk di kampung itu kerana lazimnya apabila sungai melimpah, banjir pasti berlaku. Namun, yang membezakannya dengan banjir-banjir sebelum ini, banjir 2014 adalah dianggap “banjir pelik”. Kejadian banjir pelik menurutnya adalah kehendak Allah, namun banjir 2014 bukan banjir biasa atau banjir tahun-tahun sebelumnya. Disebabkan banjir pelik itu, kebanyakan barangan penting tidak dapat diselamatkan berbanding banjir-banjir yang pernah melanda kampung itu sebelum ini.

Katanya, tentang barangan pula, pada peringkat awal beliau telah menyimpan barangan yang dimaksudnya secara biasa di kedai yang disewanya sekarang kerana lazimnya sebelum ini tempat simpanan barangan ketika itu sebelum ini banjir tidak akan sampai ke situ. Selepas dia menyimpan barangan di kedainya itu dia pun pulang ke rumah. Tetapi disebabkan air melimpah agak luar biasa, dia tidak lagi dapat datang ke kedainya untuk melihat keadaan barangan yang disimpannya itu berikutan air sudah memenuhi agak luar biasa dan alirannya juga agak laju, tidak boleh lagi hendak mengharung ataupun berenang.

Katanya lagi, apabila malam menjelma, keadaan air banjir semakin memenuhi tempat-tempat dan ruang-ruang yang sebelum ini masih belum dinaiki air. Disebabkan keadaan itu, beliau tidak lagi dapat datang ke tempat simpanan barangan tersebut disebabkan terhalang banjir yang semakin meningkat.

“Pada malam itu air mula melimpah dan memenuhi keseluruhan rumah di Kampung Laut itu termasuk di rumahnya”, katanya.

Manakala kawasan rumahnya pula air mula memenuhi dengan agak pantas dan kalau tidak silapnya air mula memenuhi semua ruang kira-kira jam 3.00 pagi. Pada ketika itu ramai penduduk di Kampung Laut mula berpindah. Pihak Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis dan tentera mula memasuki Kampung Laut untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir dengan memindahkan mereka dengan segera ke tempat pusat-pusat pemindahan.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan banjir sebelum ini, banjir 2014 ini dianggap paling besar. Katanya, kita tidak perasan dengan kenaikan air tersebut, kecuali jika kita perhatikan kenaikan air itu di gigi air. Walau bagaimanapun, dia hanya berpedomankan kepada paras tangga sahaja untuk mengukur kenaikan air itu kerana didapatinya tangga rumahnya tenggelam dari satu tangga ke satu tangga yang lain dengan pantas hingga paras air berkenaan sampai kepada katil di rumahnya. Apabila mengetahui keadaan paras air memang sampai kepada tahap itu (memasuki ke dalam rumahnya), beliau mula berpindah. Pada ketika itu, semua penghuni rumah di kawasan tersebut telahpun berpindah sejak awal air naik lagi kecuali beliau dan keluarganya.

Keadaan air yang naik pada ketika itu memang agak deras dan agak takut melihatnya. Hanya di beberapa kawasan seperti berhampiran dengan pokok didapati keadaan air yang naik agak seperti biasa, namun keadaan air yang mengalir di kawasan laluan umum (laluan atau jalan) yang dilalui oleh manusia sebelumnya agak menakutkan. Jika ada kudrat untuk berenang pun tentunya tidak akan mampu melihatkan keadaan air yang naik seperti itu.

“Berhubung dengan banjir itu, keadaan sungai pada ketika itu telah sebak dan tekanannya semakin rendah. Namun, jika dilihat tentang keadaan air yang merempuh beberapa bahagian dan kawasan kampung tersebut sudah amat jelas banjir tersebut datangnya dari arah hulu Kelantan iaitu air yang datang dari bukit di hulu Kelantan”, jelasnya.

Kata Che Bakar lagi, lazimnya banjir sebelum ini amat berbeza dengan banjir 2014 yang didapati warnanya “kuning pekat”. Baginya, sebab musabab tentang banjir 2014 ini adalah dari arah bukit, berbanding banjir dulu, keadaan hutan di Hulu Kelantan masih banyak (merimbun) dan banjir pun tidaklah selaju banjir 2014 ini. Apabila banjir ketika itu telah surut, kelihatanlah pasir yang memutih tidaklah lumpur sebagaimana banjir 2014 lalu. Beliau masih dengan pendapatnya bahawa banjir 2014 boleh digelarkan “banjir lumpur” kerana air telah membawa bersama lumpur dari bukit itu.

Beliau menambah, kejadian banjir adalah kejadian yang Allah tentukan tetapi sebab musababnya adalah disebabkan perbuatan manusia juga. Jika tidak kerana bukit itu telah diusik dan diruntuhkan, apabila berlakunya hujan dan banjir, tentunya bukit yang telah diusik, digondol dan diratakan itu rosak dan apabila air melaluinya akan menyapu semua tanah-tanih yang telah dirosakkan itu. Sebab itulah airnya kelihatan berwarna kuning disebabkan tanah-tanih dari bukit itu yang telah dirosakkan. Beliau menganggap banjir 2014 adalah banjir lumpur, namun sesetengah pihak menggelarkannya sebagai “banjir kuning” atau “bah kuning”. Namun bagi beliau menggelarkan banjir tahun 2014 adalah “banjir lumpur”.

Ditanya tentang kejadian rumah hanyut di Kampung Laut itu, menurutnya setakat ini walaupun banjir 2014 agak besar dan menakutkan namun tiada kejadian rumah hanyut sebagaimana yang berlaku di Kuala Krai dan Gua Musang. Walaupun begitu, terdapat beberapa buah rumah di kampung berkenaan yang didapati beberapa bahagian hadapan rumah yang runtuh dirempuh banjir sebagaimana yang berlaku terhadap rumahnya yang didapati telah “pecah” apabila beberapa batang kayu telah merempuh bahagian hadapan dan pintu rumahnya.

“Terdapat tanda-tanda sebelum berlakunya banjir 2014 lalu. Pertama sekali, saya mendengar berita dari Hulu Kelantan terutamanya Tangga Krai. Apabila mendengar berita Tangga Krai telah sampai kepada parasnya, semua penduduk di Kampung Laut terpaksalah bersiap-sedia kerana aliran air begitu pantas turun ke sebelah hilir.

“Saya sendiri mendengar berita tersebut, namun pada awalnya saya sendiri tidak begitu percaya dan menganggap tidak munasabah dengan berita tersebut melihatkan keadaan cuaca ketika itu dan adalah dianggap mustahil akan berlakunya banjir”, jelas Che Bakar.

Apabila ditanya tentang bunyi sesuatu letupan di sebelah Hulu Kelantan. Beliau tidak mengetahui tentang bunyi itu kerana jarak di Hulu Kelantan dengan sebelah hilir Kelantan seperti di Kampung Laut agak jauh. Namun, jika berlaku letupan di Hulu Kelantan sebagai menandakan air menerjah keluar dari bumi dia tidak mendengarnya. Cuma, pernah berlaku letupan di hilir Kelantan ketika beberapa kuala diletupkan untuk menghalang air sebak dan bagi memudahkan aliran air sungai.

Ditanya tentang barangan dalam rumah ketika banjir melanda, beliau menjelaskan kebanyakan barangan yang ada di rumah memang kesemuanya tidak selamat. Sebab menurutnya, sejak usianya sekarang 65 tahun banjir sebelum ini tidak pernah terjadi sebagaimana banjir 2014. Banjir dulu semua barang yang disimpan dan diletakkan di kawasan khas agak selamat berbanding banjir 2014 ini yang telah mencecah kawasan itu walau pada awalnya agak yakin kawasan terbabit tidak mungkin dinaiki air.

Bahkan menurutnya, sejak dia tinggal di situ dan walaupun banjir pernah dialaminya sendiri, beliau tidak pernah berpindah. Namun, sejak kedatangan banjir 2014 dia dan keluarganya mula berpindah. Perpindahan banjir 2014 ini adalah perpindahan pertama buat keluarganya untuk menyelamatkan diri dari mangsa banjir. Sebab itulah menurutnya, ramai juga yang tidak percaya dengan banjir 2014 itu.

“Saya sendiri pernah alami beberapa kejadian banjir seperti banjir 1967 yang dikenali “banjir merah”. Walaupun banjir tahun 1967 juga dianggap banjir besar pernah melanda Kelantan, namun banjir tahun 1967 membolehkan air mengalir dengan sempurna ke serata arah walaupu  ketika itu jalan raya telah dibina.

“Sementara banjir 2014 juga adalah banjir besar dan jalan raya juga telah dibina bahkan air dapat mengalir dengan sempurna, namun kali ini banjir ini turut terhalang apabila keadaan sungai sebak disebabkan air laut naik begitu mendadak”, ujar Che Bakar.

Ditanya tentang masalah sistem perparitan, saliran dan longkang yang tersumbat dan sesetengah longkang yang telah ditutup dan ditimbus yang menyebabkan aliran air tersekat, beliau menjelaskan pada peringkat awalnya hal berkenaan dianggap salah satu sebab kejadian banjir 2014 itu kerana air tidak mengalir secara lebih sempurna. Walau bagaimanapun menurutnya, jika berlaku banjir sistem berkenaan tidak lagi berguna kerana apabila ditakrifkan banjir air akan mengalir ke semua tempat walaupun tempat itu ada longkang atau tidak. Sebagai contoh, di hadapan rumahnya itu sentiasa akan berlaku air melimpah apabila hujan lebat dan tidak berhenti.  

“Paras air yang melanda Kampung Laut baru-baru ini memang mencatat sejarah kerana kenaikannya mencapai paras kira-kira 7 kaki. Maknanya, kita tidak lagi mampu berjalan dalam air sedalam 7 kaki itu kecuali terpaksa berenang, namun berenang juga tidak akan mampu kerana keadaan air yang melanda ketika itu begitu laju, jika diteruskan juga kemungkinan akan hanyut dan lemas dibawa arus.

“Sementara ukuran paras air banjir sebelum ini dalam kadar kira-kira 5 kaki sahaja dan kelajuan air mengalir tidaklah begitu menakutkan sangat”, katanya.

Dalam hal ini menurutnya, jika berlakunya banjir di kawasan Tumpat, Kampung Laut yang sering menjadi mangsa berkenaan kerana letaknya berhampiran dengan Sungai Kelantan. Dengan kelajuan aliran air keupayaan bot untuk melaluinya dalam keadaan bahaya kerana tidak mampu mengharung aliran air itu.

Boleh dikatakan 95 peratus mangsa banjir di Kampung Laut berpindah ke tempat selamat walaupun sebelum ini kejadian berkenaan tidak sampai ke tahap itu. Cuma, beliau bersyukur kerana walaupun banjir 2014 adalah banjir besar dengan kelajuan aliran air yang deras dan menakutkan tetapi tiada rumah yang rosak, pecah atau dihanyutkan air.

Che Bakar bin Che Deraman atau Abang Nik.

Abang Nik ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kedai miliknya.

Foto kenangan.





Kesan banjir selepas surutnya.


Membersihkan longkang tersumbat selut selepas banjir surut.







Misi banjir oleh Badan NGO.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH


Jurufoto:
 MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan