RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Jumaat, 20 Februari 2015

Kelantan: Banjir Lumpur 2014


KELANTAN: BANJIR LUMPUR 2014

PALEKBANG, KELANTAN:  Banjir yang melanda Kelantan khususnya di Palekbang, Tumpat, Kelantan adalah banjir lumpur. Ini jelas, kalau jarak dari Hulu Kelantan seperti Gua Musang dan Kuala Krai dan aliran air berkenaan dapat dilihat kesan yang dibawa oleh banjir itu adalah lumpur menunjukkan terdapat aktiviti yang tidak sihat berlaku di kawasan Hulu Kelantan itu. Air tidak berbohong kepada manusia, air akan tunjukkan apa yang berlaku dan kesan berikutnya jika sesuatu kawasan itu dicemari atau dimusnahkan, hanya manusia yang suka berbohong dan menipu diri manusia sendiri lalu berdusta terhadap orang lain pula. Inilah wajah dan sikap manusia yang sebenarnya.

Di dalam Al-Quran dengan jelas Allah memberikan amanat kepada bukit dan gunung-ganang, namun bukit dan gunung enggan memikul tugas dan amanah itu kerana bimbang diperhitungkan oleh Allah S.W.T  nanti. Lantas Allah serahkan kepada manusia pula, lalu manusia menerima amanah itu. Tetapi hakikatnya, manusia memang pecah amanah lalu terjadilah pelbagai kerosakan akibat pecah amanah dan salah satunya ialah kejadian banjir ini.

Walaupun kita sedia maklum, banjir berlaku di atas ketentuan Allah sama ada berlaku atau tidak. Namun, jika berlaku bukan sahaja kehendak Allah, namun atas sebab dan musabab tertentu. Justeru, manusia tidak perlu menyalahkan Allah kerana Allah berhak melakukannya kerana alam ini Dia (Allah) yang menciptakannya dan Dia juga boleh memusnahkannya jika Dia mahu. Tetapi manusia yang sepatutnya menjaga dan memelihara alam ini kerana manusia telah diberikan amanah itu untuk menjaganya. Jadi, manusia rakus yang tidak sihat mencabuli amanah itu lalu terjadilah pelbagai masalah terhadap alam ini. Natijahnya pula dirasai oleh orang lain yang tidak berdosa.

Tidak selesai membicarakan soal banjir 2014  kerana rata-ratanya mendakwa banjir 2014 adalah banjir besar dan sifatnya merosakkan dan apatah lagi berlumpur pula. Sedangkan banjir sebelum ini banjir membawa bersama pasir-pasir yang putih lalu dilonggokkan di beberapa kawasan berlubang dan berlembah. Namun, kesan banjir 2014 adalah kesan selut dan lumpur berwarna kuning yang sukar ditanggalkan.

Salah seorang mangsa banjir, Che Rahim bin Che Leh dari Kampung Datuk, Palekbang, Tumpat, Kelantan yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim turut mendakwa kediamannya juga dipenuhi selut dan lumpur kuning yang sukar ditanggalkan walaupun berhari-hari cuba mencucinya.  

Menceritakan kejadian banjir 2014 itu, banjir berkenaan melanda kawasan kediamannya itu datang dari arah sungai yang letaknya berhampiran dengan rumahnya. Menurutnya, banjir tersebut mula naik dan mencecah kawasan rumahnya pada 23.12.2014 (Selasa). Katanya, aliran air itu melalui laluan jalan raya yang terletak di hadapan rumahnya dari arah sungai itu kemudiannya melimpah di kawasan terbabit sehingga paras pinggang.

Manakala pada petang 24.12.2014, air itu kemudiannya melimpah hingga ke bahagian tangga rumahnya. Seterusnya pada pagi 25.12.2014 (Khamis) itu pula, air terus naik sehingga ke paras pinggang dan kemudiannya terus naik sehingga memasuki rumahnya pula. Pada tarikh 25.12.2015 (Khamis) itulah beliau bersama keluarganya mula berpindah disebabkan air telah mencecah masuk ke dalam rumahnya walaupun sebahagian jiran-jirannya telah mula berpindah sejak 23.12.2014 (Selasa) lagi.

Menurutnya, beliau menghantar isterinya untuk berpindah ke kawasan yang agak selamat berdekatan dengan landasan keretapi Palekbang itu. Pada ketika itu, pagar rumahnya telah mula tenggelam secara perlahan-lahan akibat dinaiki air yang agak pantas.

Jelas Che Rahim lagi, air yang melanda penempatannya itu agak berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini. Katanya, air yang melanda kediamannya itu didapati agak luar biasa malah berpusar pula. Ketika air melimpah melalui sungai yang terletak berhampiran rumahnya itu pada 26.12.2014, keadaan aliran air dari sungai itu agak ganas dan menakutkan.

Sehingga air memenuhi sepenuhnya pada 26.12.2014 menyebabkan pagar rumahnya mula goyang lalu roboh dihempas air yang berlumpur itu. Pada mulanya, beliau ingin berpindah ke rumah sewa anaknya yang terletak di kawasan Kok Pasir, tetapi rumah tersebut juga dinaiki air dan akhirnya terpaksa berpindah ke Sekolah Kebangsaan Kok Pasir. Namun, menurutnya, walaupun sekolah tersebut telah dijadikan sebagai pusat pemindahan, tetapi hakikatnya air juga telah sampai ke sekolah tersebut.

“Walaupun banjir sampai ke pusat pemindahan di sekolah Kok Pasir itu, namun mangsa banjir berkeadaan selamat apabila kebanyakan mereka ditempatkan di tingkat tiga sekolah itu.

“Dari atas, mereka dapat lihat dengan jelas, banjir telah mula melingkari sekolah tersebut dengan cepat”, ujar Che Rahim.

Ditanya pengalamannya berbanding banjir 1967 dengan banjir 2014 baru-baru ini, beliau menjelaskan banjir 2014 lebih besar lagi jika dilihat dengan keadaan itu. Jika diukur dengan banjir 2004 (tsunami), paras air yang masuk ke dalam rumahnya hanya di bawah paras pinggang sahaja dan banjir pada tahun itu beliau tidak berpindah kerana dianggap masih bertahan dengan keadaan air ketika itu.

“Banjir 2014 adalah banjir lumpur, walaupun beberapa kali saya cuba mencucinya, kesan lumpur masih belum tanggal dan apabila kering lumpur itu masih melekat lagi yang menunjukkan sukar ditanggalkan”, cetus Che Rahim.

Apabila ditanya sebab banjir 2014 yang dikatakan banjir lumpur, beliau menjelaskan hakikatnya keadaan bukit di Dabong itu telah menjadi botak kerana wujudnya aktiviti menarah bukit itu dengan rakus. Baginya, masalah kedatangan banjir itu dia tidak ambil kisah, namun yang menjadi masalahnya ialah perihal “lumpur” itu yang tidak sepatutnya mengalir bersama air itu.

Katanya, setelah surut kesan lumpur yang tinggal di atas rumahnya di bawah paras lutut suatu kejadian yang tidak pernah berlaku sebagaimana banjir-banjir sebelum ini.

Jika dikatakan beberapa bahagian rumah pecah dan roboh di kawasannya itu memang berlaku, misalnya beberapa bangsal, garaj kenderaan dan warung makanan yang didapati telah roboh dihempas banjir memang berlaku. Tetapi jika dikatakan rumah hanyut beliau berasa kejadian sedemikian tidak pernah berlaku.

Apabila ditanya tentang kesan dan tanda-tanda untuk menunjukkan berlakunya kejadian banjir, dia tidak pasti tentang itu kecuali tiupan angin yang agak berbeza. Ketika tiupan angin itu dia memang tidak menyangka air akan naik kerana taburan hujan turun juga hanya sekali-sekala saja.

Sebagaimana yang dialaminya, dia meletakkan pakaian di tempat yang lazimnya kerana tidak menyangka air akan memenuhi tempat tersebut kerana banjir sebelum ini memang kawasan yang dimaksudkan dikatakan agak tinggi dan tidak mungkin banjir boleh sampai ke tahap itu. Tetapi banjir 2014 ini air tiba-tiba menenggelamkannya.

Di antara barangan elektrik yang ditenggelamkan banjir seperti dua buah peti sejuk, mesin basuh. Manakala pakaian juga ditenggelami banjir terpaksa dicuci dengan sabun sebanyak dua kali untuk menanggalkan kesan selut yang masih melekat di celah-celah benang. Barangan lain seperti langsir, kusyen dan kerusi juga mengalami nasib yang sama.

“Apabila terpaksa berpindah hanya manusia sahaja yang berpindah, namun barangan yang tidak sempat dipindahkan terpaksa ditinggalkan dan ditenggelami banjir itu. Itulah hakikat yang perlu manusia terima”, katanya.

Dari segi banjir naik agak pantas, namun surutnya agak cepat dan setelah air surut meninggalkan kesan-kesan selut yang sukar ditanggalkan.

Keadaan banjir sebelum ini tidaklah seteruk banjir 2014. Tetapi banjir 2014 menyebabkan air mencecah ke dalam rumah. Walaupun kelihatan rumahnya agak tinggi namun banjir 2014 meninggalkan segala-galanya.

Menurutnya, banjir 2014 ini juga penyebabnya adalah jalan raya terlibat kerana laluan air seperti terhalang tidak sebagaimana banjir-banjir dulu di mana ketika itu jalan raya masih belum dibina lagi.

Che Rahim bin Che Leh atau Rahim.

Che Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Inilah kediaman Che Rahim yang dinaiki air sehingga atas rumahnya.


Wajah Sungai Kelantan di Palekbang yang membanjirkan kawasan terbabit.

Inilah laluan air banjir dari Sungai Kelantan memasuki rumah Che Rahim.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan