RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Selasa, 30 Jun 2015

Citarasa Cik Siti Soya


CITARASA CIK SITI SOYA


WAKAF BAHARU, KELANTAN: Lazimnya kebanyakan produk kegemaran ramai seperti air soya dan pati soya di Kelantan ketika ini dipelopori oleh kalangan individu yang menghasilkannya secara kecil-kecilan untuk pasaran di bulan Ramadan semata-mata. Berbeza pula dengan kebanyakan air soya yang dipekkan ke dalam kotak lazim dipelopori oleh syarikat-syarikat besar untuk pasaran secara komersial yang dikatakan mudah dibawa ke mana-mana.

Sebagaimana yang dilakukan oleh seorang pengusaha bumiputera yang menyewa sebuah premis “Citarasa Cik Siti” yang diusahakan oleh Siti Asiah binti Salleh (Siti), 31, yang turut dibantu oleh seorang kakitangannya, Nurul Fatihah Che Musa (Fatin), 19 tahun. Walaupun premisnya agak baharu dibuka pada bulan Mac 2015 lalu itu yang beroperasi di Lot 2232, Kampung Kutan Hilir, Jalan Pasir Pekan, 16250 Wakaf Baharu, Kelantan juga telah mendapat tempat di hati penggemarnya.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim, Siti Asiah menjelaskan, premisnya juga turut memproses dan membekal air soya, pati soya, teh bunga, jus lohan dan sasajus. 

“Kami mendapat tunjukajar, dorongan dan khidmat nasihat Mr. Yeap Hong Soon yang juga Pengurus Simma Jaya Enterprise”, ujar Siti Asiah kepada RELATIF.

Katanya, minat untuk mewujudkan premis memproses minuman seumpama itu memang sesuatu yang dinantikannya selama ini tetapi agak tidak sangka apabila hasratnya selama ini tercapai juga dan beliau gembira dengan hal berkenaan.

Lazim menurutnya, jika air soya itu dibungkus dalam bekas plastik dijual dengan harga RM2. Manakala jika dibekal kepada peruncit pihaknya menjualnya dengan harga RM3. Harga berkenaan dianggap berpatutan dan kebanyakan harga produk seumpamanya di kawasan itu juga dijual sebagaimana yang disarankannya.

“Setakat ini, kami tidak mengiklankan premis ini di mana-mana media. Namun pihaknya bercadang dan sedang berusaha untuk mewujudkan laman web sendiri bagi memudahkan pihak pengguna mengakses pengeluaran produk tersebut kepada umum melalui internet”, ujarnya.

Katanya, air dan pati soya yang dihasilkannya itu diproses secara asli dan segar tanpa menggunakan bahan pengawet atau dicampur air. Jadi, pembeli akan dapat merasai rasa keaslian kacang soya secara segar apabila membeli air soya di premisnya.

“Kira-kira RM10,000 modal diperlukan untuk mewujudkan premis seumpama ini dengan  kadar sewa RM800 sebulan” jelasnya.

Sementara menurut kakitangan Citarasa Cik Siti, Nurul Fatihah Che Musa atau Fatin, 19, berkata Citarasa Cik Siti memproses dan membekal air soya, pati soya, teh bunga, jus lohan dan sasajus. Kebanyakan peralatan yang digunakan di premisnya itu menggunakan peralatan ringkas seperti mesin mengisar, pemerah, penapis serta kuali besar untuk memasak kacang soya itu di samping penggunaan gas untuk memasak bahan-bahan tersebut.

Apabila ditanya tentang penggunaan kacang soya, katanya kira-kira 4 kg kacang soya diperlukan dalam sehari untuk memproses menjadi soya. Jumlah ini adalah sekali masak dalam sehari untuk menghasilkan air dan pati soya itu. Dalam konteks ini katanya, kacang soya akan melalui dua kali perahan untuk menghasilkan air soya sebanyak 4 kg itu.

Menurutnya, setelah air soya selesai diproses, air soya itu akan dimasukkan ke dalam bekas (gelas plastik) dan plastic sebagaimana yang dijual oleh individu di gerai-gerai. Bahkan jika membekalnya kepada peruncit, pihaknya menggunakan botol sebagai langkah keselamatan untuk dibawa ke tempat itu.   

Apabila ditanya, adakah air soya dijual pada bulan Ramadan sahaja, beliau menjelaskan bahawa premisnya akan meneruskan jualan berkenaan bukan sahaja pada bulan puasa tetapi turut akan berada di pasaran pada bulan-bulan yang lain kerana menurutnya permintaan terhadap air soya agak tinggi berikutan pengguna masa kini menggemari air minuman yang lazat itu apatah lagi jika diperolehi dengan harga yang murah dan dalam tahap segar dan asli pula.

“Pihak kita bercadang untuk memasarkannya dalam laman web sebagai alternatif terkini apabila laman web berkenaan dapat diwujudkan dalam masa terdekat nanti.

“Setakat ini pihak kami menggunakan alternatif “business card” dan menyebarkannya dari mulut ke mulut sebagai medium untuk menyampaikan maklumat terus kepada pengguna”, jelasnya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya membekalkan air soya itu kepada beberapa buah kedai makan dan restoran seperti di Wakaf Baharu kerana tempat-tempat berkenaan menjadi tumpuan pengguna. Manakala di Kota Bharu pula di Tesco.

Katanya, dia berminat dengan kerja seumpama itu berikutan kerja berkenaan agak mudah apatah lagi dengan menceburi bidang seumpama itu akan dapat menambah pengalaman. Mana tahu katanya, suatu masa nanti dia dapat menghasilkan sendiri produk seumpama itu.

Sebarang pertanyaan dan tempahan boleh menghubungi beliau di talian: 012-9289340

Siti Asiah binti Salleh (kiri) dan Nurul Fatihah Che Musa (kanan) ketika ditemubual Wartawan RELATIF di premisnya.







Salah satu peralatan yang digunakan.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 10 Jun 2015

Kg. Padang Rokma (Tumpat)


KG. PADANG ROKMA
(TUMPAT)

TUMPAT, KELANTAN: Banyak dari sejarah dan asal usul kampung yang kita huni hari ini agak kabur dan tidak diketahui oleh penduduk asal sesebuah kampung itu. Hal berkenaan wujud apabila peneroka atau pengasas sesebuah kampung itu tidak menceritakannya kepada generasi seterusnya kepada anak-anak mereka. Akhirnya anak-anak mereka juga tidak mengetahui untuk disampaikan kepada generasi yang terkemudian. Akibatnya, apabila dikemukakan pertanyaan, ramai di kalangan mereka yang ternganga kerana pengetahuan tentangnya tidak dimaklumkan.

Misalnya tentang Kampung Padang Rokma yang kini letaknya dalam jajahan Tumpat, Kelantan, asal usul tentang kampung berkenaan juga agak kabur. Hal ini menyebabkan, generasi seterusnya itu sekadar tinggal di tempat itu tanpa mengetahui tentang sejarah sebenar yang sepatutnya diketahui oleh mereka.

Menurut salah seorang penduduk, Mohamed Saupi bin Awang Lah, 50, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Pi dari Kampung Padang Rokma, Tumpat, Kelantan berkata, pada masa dulu Kampung Padang Rokma sekadar sebuah padang yang luas yang ditumbuhi pokok tar, senduduk dengan agak subur dan selepas itu ditanam padi tugal dan pokok kelapa pula. Berdekatan dengan parit dan saliran itu pula dibina sebuah rumah kecil (bangsal) sebagai premis untuk membuat dan memproses manisan daripada pokok tar.

“Berkemungkinan nama “Rokma” itu berasal dari pokok tar itu berdasarkan kepada panggilan pengasas asal pada ketika itu bernama Tok Ali”, jelas Pakcu Pi ketika ditemubual Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin. 

Pakcu Pi menambah, pengasas kampung berkenaan ketika itu ialah Tok Ali. Tok Ali mempunyai lima keluarga sebagai peneroka awal kampung berkenaan. Namun sekarang ini keluarganya itu tidak lagi tinggal di kampung itu setelah semuanya berkeluarga.

“Hanya yang kekal menetap di Kampung Padang Rokma ini adalah keluarga Tok Musa dan bapa saya, Awang Lah sahaja”, ujarnya.

Apabila ditanya, bilakah Kampung Padang Rokma mendapat nama, beliau pun tidak pasti kerana pada masa itu beliau masih kecil lagi. Namun, daripada perbualan yang pernah didengari dari orang tuanya, Kampung Padang Rokma mendapat nama sejak dulu hasil pembuatan manisan dari pokok tar pada tahun 1940-an lagi.

Katanya, selain keluarga pengasas kampung berkenaan iaitu Tok Ali, keluarga lain seperti Tok Daud, Tok Musa, Pakcik Him dan terakhir adalah bapanya, Awang Lah. Menurutnya, hanya tiga nama besar yang bertanggungjawab sehingga wujudnya nama Kampung Padang Rokma itu, sementara nama-nama lain selepas itu sudah pulang menemui Illahi.

“Ingin saya jelaskan lagi, maksud “Rokma” adalah aktiviti pengasas awal yang menjalankan aktiviti untuk menghasilkan manisan tar.

“Jadi, dapat disimpulkan juga makna rokma itu adalah sejenis manisan daripada pokok tar yang paling awal dihasilkan di Kelantan datangnya dari Kampung Padang Rokma ini”, ujar Pakcu Pi lagi.

Menurut Pakcu Pi, setelah manisan tar itu berjaya dihasilkan, ia kemudiannya dihantar ke Pasar Besar Wakaf Baharu dan Pasar Atas Parit (kini tiada lagi) dan Pasar Cabang Empat, Tumpat. Menurutnya, pada masa dulu manisan berkenaan dihantar ke Tumpat itu dengan hanya berjalan kaki kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan sama ada basikal atau sebagainya.

“Pembuatan dan proses membuat manisan dari pokok tar itu berkubur ketika saya dilahirkan dan sementelah pula pengasasnya, Tok Ali telah meninggal dunia.

Nama-nama lain selepas itu seperti Tok Daud, Tok Musa, Pakcik Him dan Awang Lah tidak menyambung generasi itu kerana berlainan bidang dan kemahiran.

“Ketika zaman kanak-kanak saya, banyak pokok buah-buahan telah ditanam tidak sebagaimana dulu yang dipenuhi pokok senduduk dan tar”, ujar Pakcu Pi.

Katanya lagi, bangsal yang digunakan oleh arwah Tok Ali untuk menghasilkan pembuatan manisan tar itu juga kini tiada lagi. Kawasan itu kini telah dibangunkan beberapa buah rumah selain pokok buah-buahan. Katanya, dari agakannya rumah-rumah yang dibina kawasan bangsal manisan itu kini melebihi 20 buah rumah di situ.

Di antara taraf pekerjaan penduduk Kampung Padang Rokma hari ini meliputi kerja-kerja kampung dan sebahagiannya adalah kakitangan awam dan terdapat juga yang berkerja sendiri seperti berniaga.

Dia tidak dapat memberikan jumlah sebenar keluasan Kampung Padang Rokma apabila diminta oleh RELATIF. Namun, dari agakannya keluasan Kampung Padang Rokma boleh dianggarkan sekilometer persegi iaitu dari Pasir Besar Wakaf Baharu ke Kampung Padang Rokma sejauh 1.5 kilometer.

Kampung Padang Rokma menurut Saupi boleh dimasuki dari mana-mana arah seperti dari arah Balai Polis, Pasar Besar Wakaf Baharu, Kampung Kebakat, Kampung Berangan (Tumpat) dan Cabang Empat (Tumpat). Ini menurutnya, Kampung Padang Rokma boleh dimasuki dari mana-mana arah kerana kampung berkenaan terletak di tengah-tengah kampung berkenaan.

Mohamed Saupi bin Awang Lah atau Pakcu Pi.

Pakcu Pi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Salah satu jabatan kerajaan di Kampung Padang Rokma.


Tonton Video:

1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Isnin, 1 Jun 2015

Penculikan Warga Emas


PENCULIKAN WARGA EMAS

TUMPAT, KELANTAN: Lazimnya sebelum ini, setiap kejadian jenayah kerap berlaku di kawasan bandar dan kota-kota besar sahaja. Tetapi akibat peredaran dunia, pertukaran musim dan sikap manusia yang sentiasa berubah watak menyebabkan kejadian di kawasan itu kini beralih arah ke kampung-kampung dan bahagian pedalaman pula. Masalah rempit, penagihan najis dadah dan ganja, samun, rompakan dan pecah rumah. Kini kejadian menculik mangsa pula dilakukan di kawasan-kawasan kampung. Kalau tidak kanak-kanak yang menjadi mangsa, kadang-kadang orang tua dan warga emas juga tidak terlepas dari perhatian penjenayah. Hanya satu yang mereka harapkan ialah barang kemas yang dipakai oleh mangsa.

Kejadian menculik warga emas sebagaimana yang dialami oleh mangsa, Meksom binti Teh atau Mek, 88, dari Kampung Padang Tembesu, Tumpat, Kelantan pada 7 Apri, 2015 lalu adalah contoh jelas, kejadian jenayah juga dilakukan di kawasan kampung.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Meksom memberitahu, kejadian itu berlaku berhampiran dengan Masjid Abdul Rahman ketika beliau berjalan kaki ke masjid itu yang letaknya berhampiran dengan kediamannya untuk menunaikan solat Maghrib. Katanya, ketika hampir dengan masjid tersebut, sebuah kereta melalui laluan yang sama menghala ke arahnya, sementara anak-anaknya pula bermotosikal sambil bergerak perlahan dari arah belakang.

Meksom menambah, ketika beliau hampir untuk menaiki tangga masjid itu, sebuah kereta yang melalui laluan yang sama berhenti berdekatan dengannya, sambil salah seorangnya membuka pintu kereta berkenaan seolah-olah ingin bertanya hal jalan. Dalam keadaan Meksom tidak menyedari bahaya yang pasti berlaku terhadapnya, dengan tiba-tiba suspek terbabit menelangkup Meksom dengan kain tudung yang dipakainya sehingga menyebabkannya berasa lemas kerana terkejut dengan kejadian yang begitu pantas itu.

Meksom yang berasa dia dalam bahaya itu, segera mengangkat tangan meminta pertolongan tetapi tidak didengari oleh sesiapa termasuk dari jemaah masjid dan anak-anak yang sedang mengekorinya dengan motosikal dari arah belakang itu. Ini disebabkan, ketika itu, kain tudungnya masih menelangkup bahagian mukanya yang menyebabkan suaranya yang tidak bermaya itu amat perlahan kerana dilindungkan kain tudungnya.

“Makcik mengangkat tangan dan kain tudung sambil bertempik meminta tolong, tetapi tiada siapa yang dengar”, ujar Meksom.

Namun, Meksom masih berteriak meminta pertolongan dengan berteriak sehingga suaranya serak dengan menyebut orang jahat telah menculiknya. Suara tempikannya dianggapnya paling nyaring namun tidak didengari oleh sesiapa, tiada orang yang datang memberikan pertolongan kerana ketika itu waktu solat telah bermula.

Menurutnya, anaknya yang sedang mengekorinya dengan motosikalnya ketika itu hanya dapat melihat selipar yang dipakai oleh ibunya itu telah tertanggal dari kaki. Katanya, pada ketika itu dia rasakan pintu kereta tersebut masih belum ditutup, pemandunya mula memandu pada ketika itu juga kerana tidak ingin disyakki oleh sesiapa. Beliau ditarik dan disumbat ke dalam kereta itu seperti guni beras.

Beliau berasa sedihnya, dia dapat tahu anaknya memang telah melihatnya dia dalam keadaan bahaya ketika beliau disumbat ke dalam kereta itu, pintu kereta masih terbuka. Katanya, anak-anaknya seperti tercengang dan tidak dapat berbuat apa-apa dengan kejadian itu apabila anak-anaknya masuk ke masjid untuk bersolat. Mereka tidak perasan, bahawa ibunya tiada dalam masjid ketika itu.

“Makcik sedih juga sebab anak-anak tercengang tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka sangka makcik telah ada dalam masjid itu”, katanya.

Selepas anaknya selesai solat sunat, baharulah anaknya itu perasan ibunya tiada dalam masjid itu, akhirnya mereka bergegas keluar masjid untuk melihat keadaan di luar pula.

Katanya, kejadian itu berlaku hampir solat Maghrib pada 7 Apri, 2015 lalu. Dia tidak begitu perasan jenis kenderaan yang digunakan oleh penculik itu, namun beliau mendengar anaknya menyebut seperti Proton Saga model baharu berwarna coklat.

Sambungnya, selepas beliau dimasukkan ke dalam kereta Proton Saga coklat itu, kereta itu membuat pusingan “U” melalui hadapan rumahnya. Beliau tidak tahu ke manakah beliau dibawa oleh dua penculik itu setelah dia dimasukkan ke dalam kereta tersebut kerana keadaan mukanya masih bertutup dengan kain telekung yang dipakainya.

Ditanya, jumlah penculik dalam kenderaan itu, beliau menjelaskan seperti dua orang sahaja berdasarkan daripada perbualan mereka. Beliau turut mendengar perbualan kedua-dua penculik itu yang membicarakan tentang “gelang” dan “cincin” yang dipakainya ketika itu.

Katanya, gelang dan cincin itu dipakainya sejak dulu sehingga sekarang, bukannya beliau membawa barang kemas. Selepas itu, beliau mendengar perbualan pemandu kereta itu yang mengarahkan rakannya supaya meraba di lehernya pula. Rakannya meraba di lehernya tetapi tiada, selepas itu beralih ke telinganya pula, juga tiada barang kemas yang dipakainya. Pada ketika itu, beliau bersuara bahawa dia tidak membawa apa-apa barang kemas sebab beliau memang tiada barang kemas kerana dia (membahasakan mak) sudah tua kepada kedua-dua penculik itu.

Apabila ditanya, apakah dialek perbualan kedua-dua penculik itu, beliau menjelaskan bahawa amat jelas dialek yang dibualkan oleh kedua-dua penculik itu adalah dialek Kelantan. Nalurinya dapat membaca bahawa kedua-dua penculik itu mungkin dari kampung yang sama dengannya.

“Makcik dengar perbualan mereka dalam dialek Kelantan. Makcik syak penculik itu dari kampung ini juga”, jelas Meksom.

Selepas itu, salah seorang penculik itu meraba badannya pula untuk mengesan barang kemas lain yang mungkin dibawa oleh beliau. Beliau bertempik tiada barang yang dibawa, baharulah penculik itu melepaskannya. Di antara barang-barang kemas yang dapat diambil oleh kedua-dua penculik itu ialah dua utas cincin dan seutas gelang tangan.

Tambah Mek Som, ketika kain tudungnya itu ditelangkupkan ke muka dan kepalanya dia tidak berasa lemas, cuma tangannya berasa sakit kerana diperlakukan dengan kasar oleh kedua-dua penculik itu. Pada ketika itulah dia mengangkat kedua-dua tangannya ke atas supaya dilihat oleh semua jemaah masjid itu, namun tiada sesiapa yang perasan dengan bahaya yang dihadapinya ketika itu. Begitu juga dengan anak-anaknya yang mengekori dengan motosikal serta berjalan kaki seperti tidak menyedari bahawa beliau dalam keadaan bahaya akan dimasukkan ke dalam kereta penculik itu. Selepas beliau dilarikan dengan kereta itu, baharulah anak-anaknya mula perasan apabila melihat selipar ibunya tetapi ibunya tiada bersama selipar yang tertanggal di lokasi kejadian.

Dia mengetahui beliau telah dilarikan dan dicampakkan di tepi di jalan di Kampung Gelang Kechik setelah seorang lelaki bermotosikal yang kebetulan melalui tempat itu lalu memboncengkan beliau untuk dihantar pula ke rumahnya (sebelum itu dia merayu jangan ditinggalkan seorang diri di situ).

Menurut Meksom, semasa di dalam kenderaan penculik itu, beliau beberapa kali merayu bahawa beliau bukan orang jahat dan meminta supaya mencampakkannya di tepi jalan berhampiran dengan rumah orang, sehinggalah beliau dicampakkan di Kampung Gelang Kechik itu. Beliau sendiri pun tidak mengetahui Kampung Gelang Kechik itu di lokasi mana.

Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada anaknya yang membuat laporan polis sehingga penculik terbabit dapat ditangkap.

Meksom binti Teh atau Mek.

Meksom ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Lokasi kejadian.

Selipar yang dipakai Meksom tertanggal di sini dalam kejadian itu.

Inilah selipar dalam kejadian yang dimaksudkan.


Tonton Video:

1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN