RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Isnin, 1 Jun 2015

Penculikan Warga Emas


PENCULIKAN WARGA EMAS

TUMPAT, KELANTAN: Lazimnya sebelum ini, setiap kejadian jenayah kerap berlaku di kawasan bandar dan kota-kota besar sahaja. Tetapi akibat peredaran dunia, pertukaran musim dan sikap manusia yang sentiasa berubah watak menyebabkan kejadian di kawasan itu kini beralih arah ke kampung-kampung dan bahagian pedalaman pula. Masalah rempit, penagihan najis dadah dan ganja, samun, rompakan dan pecah rumah. Kini kejadian menculik mangsa pula dilakukan di kawasan-kawasan kampung. Kalau tidak kanak-kanak yang menjadi mangsa, kadang-kadang orang tua dan warga emas juga tidak terlepas dari perhatian penjenayah. Hanya satu yang mereka harapkan ialah barang kemas yang dipakai oleh mangsa.

Kejadian menculik warga emas sebagaimana yang dialami oleh mangsa, Meksom binti Teh atau Mek, 88, dari Kampung Padang Tembesu, Tumpat, Kelantan pada 7 Apri, 2015 lalu adalah contoh jelas, kejadian jenayah juga dilakukan di kawasan kampung.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Meksom memberitahu, kejadian itu berlaku berhampiran dengan Masjid Abdul Rahman ketika beliau berjalan kaki ke masjid itu yang letaknya berhampiran dengan kediamannya untuk menunaikan solat Maghrib. Katanya, ketika hampir dengan masjid tersebut, sebuah kereta melalui laluan yang sama menghala ke arahnya, sementara anak-anaknya pula bermotosikal sambil bergerak perlahan dari arah belakang.

Meksom menambah, ketika beliau hampir untuk menaiki tangga masjid itu, sebuah kereta yang melalui laluan yang sama berhenti berdekatan dengannya, sambil salah seorangnya membuka pintu kereta berkenaan seolah-olah ingin bertanya hal jalan. Dalam keadaan Meksom tidak menyedari bahaya yang pasti berlaku terhadapnya, dengan tiba-tiba suspek terbabit menelangkup Meksom dengan kain tudung yang dipakainya sehingga menyebabkannya berasa lemas kerana terkejut dengan kejadian yang begitu pantas itu.

Meksom yang berasa dia dalam bahaya itu, segera mengangkat tangan meminta pertolongan tetapi tidak didengari oleh sesiapa termasuk dari jemaah masjid dan anak-anak yang sedang mengekorinya dengan motosikal dari arah belakang itu. Ini disebabkan, ketika itu, kain tudungnya masih menelangkup bahagian mukanya yang menyebabkan suaranya yang tidak bermaya itu amat perlahan kerana dilindungkan kain tudungnya.

“Makcik mengangkat tangan dan kain tudung sambil bertempik meminta tolong, tetapi tiada siapa yang dengar”, ujar Meksom.

Namun, Meksom masih berteriak meminta pertolongan dengan berteriak sehingga suaranya serak dengan menyebut orang jahat telah menculiknya. Suara tempikannya dianggapnya paling nyaring namun tidak didengari oleh sesiapa, tiada orang yang datang memberikan pertolongan kerana ketika itu waktu solat telah bermula.

Menurutnya, anaknya yang sedang mengekorinya dengan motosikalnya ketika itu hanya dapat melihat selipar yang dipakai oleh ibunya itu telah tertanggal dari kaki. Katanya, pada ketika itu dia rasakan pintu kereta tersebut masih belum ditutup, pemandunya mula memandu pada ketika itu juga kerana tidak ingin disyakki oleh sesiapa. Beliau ditarik dan disumbat ke dalam kereta itu seperti guni beras.

Beliau berasa sedihnya, dia dapat tahu anaknya memang telah melihatnya dia dalam keadaan bahaya ketika beliau disumbat ke dalam kereta itu, pintu kereta masih terbuka. Katanya, anak-anaknya seperti tercengang dan tidak dapat berbuat apa-apa dengan kejadian itu apabila anak-anaknya masuk ke masjid untuk bersolat. Mereka tidak perasan, bahawa ibunya tiada dalam masjid ketika itu.

“Makcik sedih juga sebab anak-anak tercengang tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka sangka makcik telah ada dalam masjid itu”, katanya.

Selepas anaknya selesai solat sunat, baharulah anaknya itu perasan ibunya tiada dalam masjid itu, akhirnya mereka bergegas keluar masjid untuk melihat keadaan di luar pula.

Katanya, kejadian itu berlaku hampir solat Maghrib pada 7 Apri, 2015 lalu. Dia tidak begitu perasan jenis kenderaan yang digunakan oleh penculik itu, namun beliau mendengar anaknya menyebut seperti Proton Saga model baharu berwarna coklat.

Sambungnya, selepas beliau dimasukkan ke dalam kereta Proton Saga coklat itu, kereta itu membuat pusingan “U” melalui hadapan rumahnya. Beliau tidak tahu ke manakah beliau dibawa oleh dua penculik itu setelah dia dimasukkan ke dalam kereta tersebut kerana keadaan mukanya masih bertutup dengan kain telekung yang dipakainya.

Ditanya, jumlah penculik dalam kenderaan itu, beliau menjelaskan seperti dua orang sahaja berdasarkan daripada perbualan mereka. Beliau turut mendengar perbualan kedua-dua penculik itu yang membicarakan tentang “gelang” dan “cincin” yang dipakainya ketika itu.

Katanya, gelang dan cincin itu dipakainya sejak dulu sehingga sekarang, bukannya beliau membawa barang kemas. Selepas itu, beliau mendengar perbualan pemandu kereta itu yang mengarahkan rakannya supaya meraba di lehernya pula. Rakannya meraba di lehernya tetapi tiada, selepas itu beralih ke telinganya pula, juga tiada barang kemas yang dipakainya. Pada ketika itu, beliau bersuara bahawa dia tidak membawa apa-apa barang kemas sebab beliau memang tiada barang kemas kerana dia (membahasakan mak) sudah tua kepada kedua-dua penculik itu.

Apabila ditanya, apakah dialek perbualan kedua-dua penculik itu, beliau menjelaskan bahawa amat jelas dialek yang dibualkan oleh kedua-dua penculik itu adalah dialek Kelantan. Nalurinya dapat membaca bahawa kedua-dua penculik itu mungkin dari kampung yang sama dengannya.

“Makcik dengar perbualan mereka dalam dialek Kelantan. Makcik syak penculik itu dari kampung ini juga”, jelas Meksom.

Selepas itu, salah seorang penculik itu meraba badannya pula untuk mengesan barang kemas lain yang mungkin dibawa oleh beliau. Beliau bertempik tiada barang yang dibawa, baharulah penculik itu melepaskannya. Di antara barang-barang kemas yang dapat diambil oleh kedua-dua penculik itu ialah dua utas cincin dan seutas gelang tangan.

Tambah Mek Som, ketika kain tudungnya itu ditelangkupkan ke muka dan kepalanya dia tidak berasa lemas, cuma tangannya berasa sakit kerana diperlakukan dengan kasar oleh kedua-dua penculik itu. Pada ketika itulah dia mengangkat kedua-dua tangannya ke atas supaya dilihat oleh semua jemaah masjid itu, namun tiada sesiapa yang perasan dengan bahaya yang dihadapinya ketika itu. Begitu juga dengan anak-anaknya yang mengekori dengan motosikal serta berjalan kaki seperti tidak menyedari bahawa beliau dalam keadaan bahaya akan dimasukkan ke dalam kereta penculik itu. Selepas beliau dilarikan dengan kereta itu, baharulah anak-anaknya mula perasan apabila melihat selipar ibunya tetapi ibunya tiada bersama selipar yang tertanggal di lokasi kejadian.

Dia mengetahui beliau telah dilarikan dan dicampakkan di tepi di jalan di Kampung Gelang Kechik setelah seorang lelaki bermotosikal yang kebetulan melalui tempat itu lalu memboncengkan beliau untuk dihantar pula ke rumahnya (sebelum itu dia merayu jangan ditinggalkan seorang diri di situ).

Menurut Meksom, semasa di dalam kenderaan penculik itu, beliau beberapa kali merayu bahawa beliau bukan orang jahat dan meminta supaya mencampakkannya di tepi jalan berhampiran dengan rumah orang, sehinggalah beliau dicampakkan di Kampung Gelang Kechik itu. Beliau sendiri pun tidak mengetahui Kampung Gelang Kechik itu di lokasi mana.

Kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada anaknya yang membuat laporan polis sehingga penculik terbabit dapat ditangkap.

Meksom binti Teh atau Mek.

Meksom ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Lokasi kejadian.

Selipar yang dipakai Meksom tertanggal di sini dalam kejadian itu.

Inilah selipar dalam kejadian yang dimaksudkan.


Tonton Video:

1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan