RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Rabu, 10 Jun 2015

Kg. Padang Rokma (Tumpat)


KG. PADANG ROKMA
(TUMPAT)

TUMPAT, KELANTAN: Banyak dari sejarah dan asal usul kampung yang kita huni hari ini agak kabur dan tidak diketahui oleh penduduk asal sesebuah kampung itu. Hal berkenaan wujud apabila peneroka atau pengasas sesebuah kampung itu tidak menceritakannya kepada generasi seterusnya kepada anak-anak mereka. Akhirnya anak-anak mereka juga tidak mengetahui untuk disampaikan kepada generasi yang terkemudian. Akibatnya, apabila dikemukakan pertanyaan, ramai di kalangan mereka yang ternganga kerana pengetahuan tentangnya tidak dimaklumkan.

Misalnya tentang Kampung Padang Rokma yang kini letaknya dalam jajahan Tumpat, Kelantan, asal usul tentang kampung berkenaan juga agak kabur. Hal ini menyebabkan, generasi seterusnya itu sekadar tinggal di tempat itu tanpa mengetahui tentang sejarah sebenar yang sepatutnya diketahui oleh mereka.

Menurut salah seorang penduduk, Mohamed Saupi bin Awang Lah, 50, atau lebih dikenali sebagai Pakcu Pi dari Kampung Padang Rokma, Tumpat, Kelantan berkata, pada masa dulu Kampung Padang Rokma sekadar sebuah padang yang luas yang ditumbuhi pokok tar, senduduk dengan agak subur dan selepas itu ditanam padi tugal dan pokok kelapa pula. Berdekatan dengan parit dan saliran itu pula dibina sebuah rumah kecil (bangsal) sebagai premis untuk membuat dan memproses manisan daripada pokok tar.

“Berkemungkinan nama “Rokma” itu berasal dari pokok tar itu berdasarkan kepada panggilan pengasas asal pada ketika itu bernama Tok Ali”, jelas Pakcu Pi ketika ditemubual Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin. 

Pakcu Pi menambah, pengasas kampung berkenaan ketika itu ialah Tok Ali. Tok Ali mempunyai lima keluarga sebagai peneroka awal kampung berkenaan. Namun sekarang ini keluarganya itu tidak lagi tinggal di kampung itu setelah semuanya berkeluarga.

“Hanya yang kekal menetap di Kampung Padang Rokma ini adalah keluarga Tok Musa dan bapa saya, Awang Lah sahaja”, ujarnya.

Apabila ditanya, bilakah Kampung Padang Rokma mendapat nama, beliau pun tidak pasti kerana pada masa itu beliau masih kecil lagi. Namun, daripada perbualan yang pernah didengari dari orang tuanya, Kampung Padang Rokma mendapat nama sejak dulu hasil pembuatan manisan dari pokok tar pada tahun 1940-an lagi.

Katanya, selain keluarga pengasas kampung berkenaan iaitu Tok Ali, keluarga lain seperti Tok Daud, Tok Musa, Pakcik Him dan terakhir adalah bapanya, Awang Lah. Menurutnya, hanya tiga nama besar yang bertanggungjawab sehingga wujudnya nama Kampung Padang Rokma itu, sementara nama-nama lain selepas itu sudah pulang menemui Illahi.

“Ingin saya jelaskan lagi, maksud “Rokma” adalah aktiviti pengasas awal yang menjalankan aktiviti untuk menghasilkan manisan tar.

“Jadi, dapat disimpulkan juga makna rokma itu adalah sejenis manisan daripada pokok tar yang paling awal dihasilkan di Kelantan datangnya dari Kampung Padang Rokma ini”, ujar Pakcu Pi lagi.

Menurut Pakcu Pi, setelah manisan tar itu berjaya dihasilkan, ia kemudiannya dihantar ke Pasar Besar Wakaf Baharu dan Pasar Atas Parit (kini tiada lagi) dan Pasar Cabang Empat, Tumpat. Menurutnya, pada masa dulu manisan berkenaan dihantar ke Tumpat itu dengan hanya berjalan kaki kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan sama ada basikal atau sebagainya.

“Pembuatan dan proses membuat manisan dari pokok tar itu berkubur ketika saya dilahirkan dan sementelah pula pengasasnya, Tok Ali telah meninggal dunia.

Nama-nama lain selepas itu seperti Tok Daud, Tok Musa, Pakcik Him dan Awang Lah tidak menyambung generasi itu kerana berlainan bidang dan kemahiran.

“Ketika zaman kanak-kanak saya, banyak pokok buah-buahan telah ditanam tidak sebagaimana dulu yang dipenuhi pokok senduduk dan tar”, ujar Pakcu Pi.

Katanya lagi, bangsal yang digunakan oleh arwah Tok Ali untuk menghasilkan pembuatan manisan tar itu juga kini tiada lagi. Kawasan itu kini telah dibangunkan beberapa buah rumah selain pokok buah-buahan. Katanya, dari agakannya rumah-rumah yang dibina kawasan bangsal manisan itu kini melebihi 20 buah rumah di situ.

Di antara taraf pekerjaan penduduk Kampung Padang Rokma hari ini meliputi kerja-kerja kampung dan sebahagiannya adalah kakitangan awam dan terdapat juga yang berkerja sendiri seperti berniaga.

Dia tidak dapat memberikan jumlah sebenar keluasan Kampung Padang Rokma apabila diminta oleh RELATIF. Namun, dari agakannya keluasan Kampung Padang Rokma boleh dianggarkan sekilometer persegi iaitu dari Pasir Besar Wakaf Baharu ke Kampung Padang Rokma sejauh 1.5 kilometer.

Kampung Padang Rokma menurut Saupi boleh dimasuki dari mana-mana arah seperti dari arah Balai Polis, Pasar Besar Wakaf Baharu, Kampung Kebakat, Kampung Berangan (Tumpat) dan Cabang Empat (Tumpat). Ini menurutnya, Kampung Padang Rokma boleh dimasuki dari mana-mana arah kerana kampung berkenaan terletak di tengah-tengah kampung berkenaan.

Mohamed Saupi bin Awang Lah atau Pakcu Pi.

Pakcu Pi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Salah satu jabatan kerajaan di Kampung Padang Rokma.


Tonton Video:

1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan