URUT DAN BERBIDAN
TUMPAT, KELANTAN: Mengurut dan
berbidan adalah dua rawatan tradisional yang masih lagi diamal dan dikekalkan
sehingga hari ini. Bidang rawatan tradisional yang dikatakan amalan
pengamal-pengamal tradisional yang telah dicetuskan sejak 1,400 tahun lalu ini,
walaupun sedikit terhakis disebabkan diambil alih oleh rawatan moden, namun
berikutan sumbangannya kepada keperluan umum, ia masih lagi menjadi harapan di
kalangan segelintir penduduk di negara ini.
Cuma rawatan seumpama ini
terpaksa berlaku perubahan dan pengubahsuaian atas dasar peraturan moden, namun
sumbangan rawatan tradisional dengan moden boleh bergabung yang hakikatnya
dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Rawatan
tradisional tidak wajar disisihkan dalam zaman moden kerana kalau tidak kerana
rawatan tradisional sebagai perintis, rawatan moden pastinya tidak wujud.
Bidang rawatan tradisional yang
masih kekal dan diamalkan oleh segelintir pengamal-pengamal rawatan tradisional
seperti urutan dan berbidan diperlukan dalam arus kemodenan dunia hari ini
kerana kemahiran pengamal-pengamal rawatan tradisional yang masih meneruskan
amalan seumpama ini berdasarkan ilmu mantap yang dimiliki oleh
pengamal-pengamalnya amat perlu.
Salah seorang Pakar Urut dan Bidan Tradisional, Wan Salma binti Said atau Kak Ma, 58, dari
Kampung Kok Bedullah, Tumpat, Kelantan berkata, dia memulakan bidang dan
berbidan ini sejak berusia 26 tahun lagi. Dia memperolehi ilmu mengurut dan
berbidan melalui mimpi yang dialaminya pada suatu malam. Walau bagaimanapun,
tidak sekadar mimpi yang menunjukkan ilmu itu kepadanya, keturunannya juga yang
berasal dari Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat memang tersohor sebagai tukang
urut dan berbidan yang disegani di kampung itu.
Kata Kak Ma lagi, keturunan awal
yang mahir dalam hal urutan dan bidan ini adalah bidansari. Sementara moyangnya
yang perempuan, arwah Mariam serta yang lelakinya bernama Awang. Ini bermakna
kedua-dua pihak sama ada sebelah bapa dan ibunya memang tukang urut dan bidan
yang tersohor di Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat. Dia berpindah ke Kampung Kok
Bedullah ini kira-kira 40 tahun lalu.
“Kak Ma memperolehi ilmu mengurut
dan berbidan secara serentak yang diajarkan kepada Kak Ma melalui mimpi dan
kepandaian Kak Ma juga melalui mimpi itu.
“Dalam mimpi itu, Kak Ma
ditunjukkan cara dan kaedah merawat dan memulihkan penyakit. Kak Ma juga
diberikan satu ayat untuk diamalkan ketika merawat pesakit.
“Jika ditanya tentang ilmu,
memanglah kedua-dua orang tua Kak Ma tidak memperturunkan ilmu mereka kepada
Kak Ma”, ujar Wan Salma ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan
Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.
Cerita Kak Ma tentang bidang
mengurut, jika menurut kaedah urutan, dia akan memulakan urutan pesakit wanita
di bahagian dada dahulu (jika dimulakan sebelah kanan), diikuti sebelah lengan,
ke bahagian perut, ke bahagian paha dan seterusnya ke bahagian kaki pula
sehingga lengkap dan sempurna keseluruhannya yang berakhirnya ke sebelah kanan.
Manakala di bahagian perut itu pula, dia akan membuat urutan secara merata-rata
bahagian saraf sehingga keseluruhannya.
Selepas itu menurutnya, dia akan
mulakan pula di sebelah kiri dada ke bahagian bawah dan lengkap urutan sehingga
ke sebelah kanan. Begitulah yang dilakukannya menurut kaedah urutan yang diajar
dan diperolehinya. Setelah selesai di bahagian hadapan tubuh, dia akan
mengakhirkan urutan di bahagian belakang badan pula.
Apabila ditanya, kenapa kaedah
urutannya itu dimulakan di bahagian atas badan (dada). Dia menjelaskan, menurut
kaedah moyangnya berkata, wanita jika dimulakan urutan di bahagian bawah badan
(terutamanya di bahagian kaki), cara urutan ini dianggap “songsang”. Dalam hal
ini menurutnya, penyakit yang dihidapi wanita yang diurutnya itu tidak akan
keluar.
Misalnya masalah penyakit gastrik
dan medu yang dialami wanita, dia akan mengurut urat dan saraf pesakit terbabit
supaya angin yang berligar dalam urat-urat saraf dan perut pesakit itu keluar
dengan sempurna.
Lazim penyakit yang dialami oleh
golongan wanita adalah “penyakit medu”. Penyakit medu adalah diakibatkan oleh
tekanan angin dalam tubuh (terutamanya dalam perut) pesakit itu dan ia tidak
melibatkan urat dan saraf pesakit terbabit. Dalam hal ini menurutnya, dia juga
akan mengurut untuk membuang angin yang mengganggu badan pesakit terbabit,
tetapi pesakit terbabit dinasihatkan tidak meninggalkan makanan walaupun
dirasakan “tidak berselera makan”.
Selain itu menurut Kak Ma,
wanita-wanita juga sering menghidapi penyakit pinggang. Menurutnya, masalah
yang dihidapi wanita berkenaan adalah berpunca daripada urat-urat dalam perut
pesakit itu telah mengeras. Dalam masalah ini, dia akan membuat urutan di
bahagian perut dan pinggang pesakit wanita itu supaya dirasakan urat-uratnya berasa
lembut. Tukang urut sepertinya akan mudah berasa urat-urat di bahagian itu
telah berkeadaan lembut dan selepas itu pesakit wanita itu akan berasa selesa
kerana urat-urat yang bermasalah itu sudah berkeadaan sempurna dan aliran darah
pun sudah kembali normal.
“Kak Ma tidak begitu selesa
menggunakan minyak masak atau minyak benar. Kak Ma tidak menggunakan minyak
masak tetapi menggunakan minyak khusus untuk mengurut yang boleh diperolehi
dari farmasi.
“Minyak khas untuk mengurut ini
memang bagus kerana jika pesakit memakai baju baharu, minyak ini tidak
meninggalkan kesan bau, kesan minyak kepada kulit pesakit”, ujarnya apabila
ditanya tentang beza minyak masak dengan minyak khas untuk mengurut.
Menurut Kak Ma lagi, selain mahir
dan pakar mengurut, Kak Ma juga mahir sebagai seorang bidan tradisional.
Disebabkan beliau telah ditauliahkan oleh pihak hospital dan Kementerian
Kesihatan tentunya memudahkan beliau untuk bersama-sama dengan bidan kerajaan
untuk memberikan rawatan kepada ibu-ibu hamil dan bersalin. Apabila menerima
panggilan dari pesakit khususnya wanita-wanita yang akan bersalin dia akan
bersama-sama dengan bidan kerajaan sama-sama memberikan khidmat mengikut
kepakaran masing-masing.
Katanya, selepas bidan kerajaan
sempurna memotong pusat bayi yang telah lahir, maka peranan itu dimainkan oleh
Kak Ma pula sebagai bidan tradisional untuk membuat urutan kepada ibu-ibu
bersalin, mencuci lendir bayi, bertuku dan sebagainya yang bersangkut-paut
dengan peranan bidang tradisional sepertinya. Tentang hal bertuku dan mengurut
wanita-wanita yang telah bersalin, hal ini bergantung kepada kehendak mereka,
jika memerlukan masa selama 10 hari dia melakukannya sebagaimana yang diminta.
“Kak Ma pernah mengikuti kursus
berbidan, kursus penyusuan ibu dan kursus urutan kaki”, apabila ditanya tentang
apa-apa kursus yang perlu dihadirinya sebagai pra-syarat untuk dapat bergerak
bersama bidan kerajaan.
Katanya, dia menghadiri kursus
ini kira-kira dua tahun lalu. Sementara kursus berbidan kira-kira enam tahun
lalu iaitu meliputi cara mengurut (perut). Kursus berbidan ini dilaksanakan di
Hospital Kelaboran, Tumpat, sementara kursus urutan kaki selama seminggu
dilaksanakan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.
Setiap peserta kursus menurutnya
adalah melalui program yang diatur pihak Jabatan Pertanian. Melalui Jabatan
Pertanian ini, kira-kira seminggu kursus melibatkan urutan kaki selama seminggu
(peringkat pertama) dan bagi peringkat kedua (sebulan selepas kursus pertama)
pula kursus “berbekam” iaitu selama seminggu (kaedah mengambil darah).
“Jumlah pesakit yang menerima
rawatan urut dan berbidan berdasarkan keadaan. Kadang-kadang mencecah empat (4)
orang sehari, sama ada di sebelah pagi mahupun malam.
“Biasanya, pesakit yang datang waktu
malam bagi pesakit yang datang dari jauh seperti dari Kota Bharu (seperti
Pengkalan Chepa), Tanah Merah dan beberapa tempat lain”, ujar Kak Ma.
Berhubung dengan masa mengurut
pula, kalau sebelah pagi dia mulakan urutan bermula jam 9.00 pagi dan selesai
jam 11.45 pagi. Sementara pada sebelah malam pula, kadang-kadang selepas solat
Maghrib dan kadang-kadang selepas solat Isyak dia akan mulakan urutan itu
bergantung kepada kehadiran pesakit yang tinggal jauh. Kalau mereka datang
awal, akan awallah urutan dan jika lambat akan lambatlah beliau mengurut.
Menurutnya, dia lebih
mengutamakan urutan di rumah pesakit dan amat jarang urutan di rumahnya
sendiri. Dia akan mengurut di rumahnya sendiri apabila menerima panggilan
daripada sesetengah pesakit yang ingin datang ke rumahnya sama ada sebelah pagi
atau malam dan dia akan menunggu pesakit terbabit.
Sementara kalau “bertuku” , dia
hanya menetapkan hanya dua orang sehari kerana proses bertuku memerlukan masa
yang lama iaitu kira-kira tiga (3) jam.
Ditanya tentang bayaran yang
dikenakan sebagai upah kedua-dua rawatan itu, dia menjelaskan bahawa, dia tidak
menetapkan harga dalam setiap khidmat yang dicurahkannya kepada setiap pesakit,
hanya sekadar ikhlas dari pihak pesakit itu sendiri. Dia tidak meletakkan harga
kerana ilmu tidak boleh dijual-beli.
Tambah Kak Ma, kalau ditanya
tentang bidangnya sekarang, pastinya dia akan menjawa dia begitu seronok dengan
bidang yang diceburinya sekarang (sebagai tukang urut dan berbidan). Ini
kerana, memang cita-citanya sejak dulu apabila menjadi tukang urut ketika usia
muda, sehingga hari ini dia masih meneruskan bidang yang diminatinya itu.
Di samping itu menurut Kak Ma,
tiada beza di antara pesakit yang makan dahulu sebelum berurut atau tidak
adalah sama. Katanya, bukan penyebab berlakunya masalah urat saraf jika pesakit
itu makan atau tidak sebelum mengurut.
“Memanglah bagi sesetengah tukang
urut akan timbul masalah ketika mengurut apabila pesakit makan sebelum berurut.
Namun, hal ini tidak menjadi masalah kepada Kak Ma sebagai tukang urut malah
hal berkenaan adalah lebih baik lagi.
“Hal tersebut tidak bersabit
dengan makanan itu kerana ketika dia menyentuh urat dan saraf pesakit
sememangnya berkeadaan sama, sama ada pesakit itu makan ataupun tidak”, ujarnya.
Ditanya pula tentang serangan
angin ahmar atau penyakit strok, beliau berpendapat penyakit strok ini juga
melibatkan urat-urat yang terkena serangan strok itu menjadi keras. Banyak
pengalamannya ketika mengurut pesakit strok apabila disentuh urat-urat itu
didapati agak keras dan amat sukar untuk dilembutkan.
Katanya, setakat pengalamannya
mengurut pesakit strok memang menemui kejayaan hasil daripada maklumbalas yang
memberangsangkan apabila pesakit terbabit pulih seperti biasa.
Walau bagaimanapun menurut Kak
Ma, dalam 10 orang pesakit strok yang pernah diurutnya, didapati hanya seorang
sahaja yang gagal untuk dipulihkan terutamanya apabila suara dan pergerakan
bibir mulut yang tidak dapat dibuka. Namun, pergerakan anggota lain yang
terkena strok berjaya diatasi.
“Bagi Kak Ma, bukan lelaki saja
yang mengalami strok, namun wanita juga mengalami masalah yang sama sebab
penyakit tidak mengenal status lelaki atau wanita.
“Setakat pengalaman Kak Ma
mengurut pesakit strok, kalau dikira tentang jumlah penghidapnya lelaki dan
wanita adalah sama banyak”, tambah Kak Ma apabila diminta mengklasifikasikan
penyakit strok di kalangan lelaki dan wanita berdasarkan pengalamannya itu.
Kak Ma menyarankan kepada
pesakit-pesakit strok, jika telah diserang strok dan telah dimasukkan ke wad
hospital apabila keluar wad, penyakit strok perlu diurut dengan kadar yang
segera. Jika tidak tentunya akan menghadapi masalah dan kadar pulihnya tidak
akan sama seperti sebelumnya. Lazimnya dalam masa tiga hari selepas keluar
hospital, pesakit strok perlu diurut dengan kadar yang segera untuk memulihkan
urat-urat yang bermasalah itu baik dan sempurna seperti sediakala.
Menurut Kak Ma penyakit strok
boleh diurut dan berjaya sepenuhnya, namun memakan masa juga supaya urat-urat
yang bermasalah itu dapat dibetulkan kepada keadaan asalnya.
Bercakap tentang penyakit wanita,
wanita sering mengalami masalah sakit urat, masalah peranakan (sesetengahnya
mendakwa ada peranakan wanita turun). Namun, bagi Kak Ma dia menafikan
(mustahil) tentang dakwaan peranakan wanita turun yang menyebabkan wanita
berasa sakit.
“Bagi Kak Ma, kalau ada orang
kata peranakan wanita turun adalah tidak benar dan mustahil. Hal berkenaan
adalah disebabkan urat di bahagian itu bermasalah sehingga menyebabkan wanita
berasa sakit dan bukannya peranakan (rahim) turun.
“Jadi, apabila menghadapi
wanita-wanita seperti ini, Kak Ma akan mengurut urat-urat yang bermasalah di
kawasan itu sehingga pulih sepenuhnya”, ujarnya.
Katanya menambah, dia pernah mengurut
pesakit wanita terbabit dan pesakit terbabit menyatakan akan berasa sakit
ketika diurut. Hal ini menurut Kak Ma, urat di bahagian yang wanita itu berasa
sakit disebabkan urat berkenaan telah “membengkak”. Apabila dia mengurut
urat-urat yang bengkak itu akhirnya akan pulih seperti sediakala.
Berhubung dengan maklumbalas
daripada pelanggan (pesakit) yang pernah berurut dan berbidan dengannya, memang
banyak pesakit mengakui bahawa urutan yang dilakukannya agak halus, seni dan
sesuai dengan urat saraf mereka.
“Memanglah kita sebagai tukang
urut tidak mengetahui dengan keadaan pesakit yang kita urut. Tetapi apabila
mendengar perkhabaran sedemikian, tentunya menambahkan semangat Kak Ma untuk
terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat Kak Ma sebagai tukang
urut dan bidan”, jelasnya.
Apa yang dilakukannya sebagai
tukang urut, peringkat awalnya dia akan membuat urutan selama tiga hari
berturut-turut dan selepas itu dia akan berehat selama dua hari untuk
memberikan kerehatan urat dan saraf dapat menyesuaikan dengan sistem saraf yang
lain. Selepas berehat dua atau tiga hari, dia akan menyambung urutan sehingga
selesai.
Untuk pertanyaan, Wan Salma binti Said atau Kak Ma boleh dihubungi: 019-9792830
Wan Salma binti Said atau Kak Ma.
Kak Ma ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Kak Ma sedang menunjukkan cara mengurut urat dan saraf dengan betul.
Antara bahan mengurut dan berbidan yang digunakan Kak Ma.
Inilah minyak khas yang digunakan oleh Kak Ma untuk mengurut.
Kediaman Kak Ma.
Papan tanda kampung ini terletak berhampiran dengan kediaman Kak Ma.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN