RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Ahad, 20 September 2015

Urut dan Berbidan


URUT DAN BERBIDAN

TUMPAT, KELANTAN: Mengurut dan berbidan adalah dua rawatan tradisional yang masih lagi diamal dan dikekalkan sehingga hari ini. Bidang rawatan tradisional yang dikatakan amalan pengamal-pengamal tradisional yang telah dicetuskan sejak 1,400 tahun lalu ini, walaupun sedikit terhakis disebabkan diambil alih oleh rawatan moden, namun berikutan sumbangannya kepada keperluan umum, ia masih lagi menjadi harapan di kalangan segelintir penduduk di negara ini.

Cuma rawatan seumpama ini terpaksa berlaku perubahan dan pengubahsuaian atas dasar peraturan moden, namun sumbangan rawatan tradisional dengan moden boleh bergabung yang hakikatnya dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Rawatan tradisional tidak wajar disisihkan dalam zaman moden kerana kalau tidak kerana rawatan tradisional sebagai perintis, rawatan moden pastinya tidak wujud.

Bidang rawatan tradisional yang masih kekal dan diamalkan oleh segelintir pengamal-pengamal rawatan tradisional seperti urutan dan berbidan diperlukan dalam arus kemodenan dunia hari ini kerana kemahiran pengamal-pengamal rawatan tradisional yang masih meneruskan amalan seumpama ini berdasarkan ilmu mantap yang dimiliki oleh pengamal-pengamalnya amat perlu.

Salah seorang Pakar Urut dan Bidan Tradisional, Wan Salma binti Said atau Kak Ma, 58, dari Kampung Kok Bedullah, Tumpat, Kelantan berkata, dia memulakan bidang dan berbidan ini sejak berusia 26 tahun lagi. Dia memperolehi ilmu mengurut dan berbidan melalui mimpi yang dialaminya pada suatu malam. Walau bagaimanapun, tidak sekadar mimpi yang menunjukkan ilmu itu kepadanya, keturunannya juga yang berasal dari Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat memang tersohor sebagai tukang urut dan berbidan yang disegani di kampung itu.    

Kata Kak Ma lagi, keturunan awal yang mahir dalam hal urutan dan bidan ini adalah bidansari. Sementara moyangnya yang perempuan, arwah Mariam serta yang lelakinya bernama Awang. Ini bermakna kedua-dua pihak sama ada sebelah bapa dan ibunya memang tukang urut dan bidan yang tersohor di Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat. Dia berpindah ke Kampung Kok Bedullah ini kira-kira 40 tahun lalu.

“Kak Ma memperolehi ilmu mengurut dan berbidan secara serentak yang diajarkan kepada Kak Ma melalui mimpi dan kepandaian Kak Ma juga melalui mimpi itu.

“Dalam mimpi itu, Kak Ma ditunjukkan cara dan kaedah merawat dan memulihkan penyakit. Kak Ma juga diberikan satu ayat untuk diamalkan ketika merawat pesakit.

“Jika ditanya tentang ilmu, memanglah kedua-dua orang tua Kak Ma tidak memperturunkan ilmu mereka kepada Kak Ma”, ujar Wan Salma ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Cerita Kak Ma tentang bidang mengurut, jika menurut kaedah urutan, dia akan memulakan urutan pesakit wanita di bahagian dada dahulu (jika dimulakan sebelah kanan), diikuti sebelah lengan, ke bahagian perut, ke bahagian paha dan seterusnya ke bahagian kaki pula sehingga lengkap dan sempurna keseluruhannya yang berakhirnya ke sebelah kanan. Manakala di bahagian perut itu pula, dia akan membuat urutan secara merata-rata bahagian saraf sehingga keseluruhannya.

Selepas itu menurutnya, dia akan mulakan pula di sebelah kiri dada ke bahagian bawah dan lengkap urutan sehingga ke sebelah kanan. Begitulah yang dilakukannya menurut kaedah urutan yang diajar dan diperolehinya. Setelah selesai di bahagian hadapan tubuh, dia akan mengakhirkan urutan di bahagian belakang badan pula.

Apabila ditanya, kenapa kaedah urutannya itu dimulakan di bahagian atas badan (dada). Dia menjelaskan, menurut kaedah moyangnya berkata, wanita jika dimulakan urutan di bahagian bawah badan (terutamanya di bahagian kaki), cara urutan ini dianggap “songsang”. Dalam hal ini menurutnya, penyakit yang dihidapi wanita yang diurutnya itu tidak akan keluar.

Misalnya masalah penyakit gastrik dan medu yang dialami wanita, dia akan mengurut urat dan saraf pesakit terbabit supaya angin yang berligar dalam urat-urat saraf dan perut pesakit itu keluar dengan sempurna.

Lazim penyakit yang dialami oleh golongan wanita adalah “penyakit medu”. Penyakit medu adalah diakibatkan oleh tekanan angin dalam tubuh (terutamanya dalam perut) pesakit itu dan ia tidak melibatkan urat dan saraf pesakit terbabit. Dalam hal ini menurutnya, dia juga akan mengurut untuk membuang angin yang mengganggu badan pesakit terbabit, tetapi pesakit terbabit dinasihatkan tidak meninggalkan makanan walaupun dirasakan “tidak berselera makan”.

Selain itu menurut Kak Ma, wanita-wanita juga sering menghidapi penyakit pinggang. Menurutnya, masalah yang dihidapi wanita berkenaan adalah berpunca daripada urat-urat dalam perut pesakit itu telah mengeras. Dalam masalah ini, dia akan membuat urutan di bahagian perut dan pinggang pesakit wanita itu supaya dirasakan urat-uratnya berasa lembut. Tukang urut sepertinya akan mudah berasa urat-urat di bahagian itu telah berkeadaan lembut dan selepas itu pesakit wanita itu akan berasa selesa kerana urat-urat yang bermasalah itu sudah berkeadaan sempurna dan aliran darah pun sudah kembali normal.

“Kak Ma tidak begitu selesa menggunakan minyak masak atau minyak benar. Kak Ma tidak menggunakan minyak masak tetapi menggunakan minyak khusus untuk mengurut yang boleh diperolehi dari farmasi.

“Minyak khas untuk mengurut ini memang bagus kerana jika pesakit memakai baju baharu, minyak ini tidak meninggalkan kesan bau, kesan minyak kepada kulit pesakit”, ujarnya apabila ditanya tentang beza minyak masak dengan minyak khas untuk mengurut.

Menurut Kak Ma lagi, selain mahir dan pakar mengurut, Kak Ma juga mahir sebagai seorang bidan tradisional. Disebabkan beliau telah ditauliahkan oleh pihak hospital dan Kementerian Kesihatan tentunya memudahkan beliau untuk bersama-sama dengan bidan kerajaan untuk memberikan rawatan kepada ibu-ibu hamil dan bersalin. Apabila menerima panggilan dari pesakit khususnya wanita-wanita yang akan bersalin dia akan bersama-sama dengan bidan kerajaan sama-sama memberikan khidmat mengikut kepakaran masing-masing.

Katanya, selepas bidan kerajaan sempurna memotong pusat bayi yang telah lahir, maka peranan itu dimainkan oleh Kak Ma pula sebagai bidan tradisional untuk membuat urutan kepada ibu-ibu bersalin, mencuci lendir bayi, bertuku dan sebagainya yang bersangkut-paut dengan peranan bidang tradisional sepertinya. Tentang hal bertuku dan mengurut wanita-wanita yang telah bersalin, hal ini bergantung kepada kehendak mereka, jika memerlukan masa selama 10 hari dia melakukannya sebagaimana yang diminta.

“Kak Ma pernah mengikuti kursus berbidan, kursus penyusuan ibu dan kursus urutan kaki”, apabila ditanya tentang apa-apa kursus yang perlu dihadirinya sebagai pra-syarat untuk dapat bergerak bersama bidan kerajaan.

Katanya, dia menghadiri kursus ini kira-kira dua tahun lalu. Sementara kursus berbidan kira-kira enam tahun lalu iaitu meliputi cara mengurut (perut). Kursus berbidan ini dilaksanakan di Hospital Kelaboran, Tumpat, sementara kursus urutan kaki selama seminggu dilaksanakan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Setiap peserta kursus menurutnya adalah melalui program yang diatur pihak Jabatan Pertanian. Melalui Jabatan Pertanian ini, kira-kira seminggu kursus melibatkan urutan kaki selama seminggu (peringkat pertama) dan bagi peringkat kedua (sebulan selepas kursus pertama) pula kursus “berbekam” iaitu selama seminggu (kaedah mengambil darah).

“Jumlah pesakit yang menerima rawatan urut dan berbidan berdasarkan keadaan. Kadang-kadang mencecah empat (4) orang sehari, sama ada di sebelah pagi mahupun malam.

“Biasanya, pesakit yang datang waktu malam bagi pesakit yang datang dari jauh seperti dari Kota Bharu (seperti Pengkalan Chepa), Tanah Merah dan beberapa tempat lain”, ujar Kak Ma.

Berhubung dengan masa mengurut pula, kalau sebelah pagi dia mulakan urutan bermula jam 9.00 pagi dan selesai jam 11.45 pagi. Sementara pada sebelah malam pula, kadang-kadang selepas solat Maghrib dan kadang-kadang selepas solat Isyak dia akan mulakan urutan itu bergantung kepada kehadiran pesakit yang tinggal jauh. Kalau mereka datang awal, akan awallah urutan dan jika lambat akan lambatlah beliau mengurut.

Menurutnya, dia lebih mengutamakan urutan di rumah pesakit dan amat jarang urutan di rumahnya sendiri. Dia akan mengurut di rumahnya sendiri apabila menerima panggilan daripada sesetengah pesakit yang ingin datang ke rumahnya sama ada sebelah pagi atau malam dan dia akan menunggu pesakit terbabit.

Sementara kalau “bertuku” , dia hanya menetapkan hanya dua orang sehari kerana proses bertuku memerlukan masa yang lama iaitu kira-kira tiga (3) jam.

Ditanya tentang bayaran yang dikenakan sebagai upah kedua-dua rawatan itu, dia menjelaskan bahawa, dia tidak menetapkan harga dalam setiap khidmat yang dicurahkannya kepada setiap pesakit, hanya sekadar ikhlas dari pihak pesakit itu sendiri. Dia tidak meletakkan harga kerana ilmu tidak boleh dijual-beli.

Tambah Kak Ma, kalau ditanya tentang bidangnya sekarang, pastinya dia akan menjawa dia begitu seronok dengan bidang yang diceburinya sekarang (sebagai tukang urut dan berbidan). Ini kerana, memang cita-citanya sejak dulu apabila menjadi tukang urut ketika usia muda, sehingga hari ini dia masih meneruskan bidang yang diminatinya itu. 

Di samping itu menurut Kak Ma, tiada beza di antara pesakit yang makan dahulu sebelum berurut atau tidak adalah sama. Katanya, bukan penyebab berlakunya masalah urat saraf jika pesakit itu makan atau tidak sebelum mengurut.

“Memanglah bagi sesetengah tukang urut akan timbul masalah ketika mengurut apabila pesakit makan sebelum berurut. Namun, hal ini tidak menjadi masalah kepada Kak Ma sebagai tukang urut malah hal berkenaan adalah lebih baik lagi.

“Hal tersebut tidak bersabit dengan makanan itu kerana ketika dia menyentuh urat dan saraf pesakit sememangnya berkeadaan sama, sama ada pesakit itu makan ataupun tidak”, ujarnya.

Ditanya pula tentang serangan angin ahmar atau penyakit strok, beliau berpendapat penyakit strok ini juga melibatkan urat-urat yang terkena serangan strok itu menjadi keras. Banyak pengalamannya ketika mengurut pesakit strok apabila disentuh urat-urat itu didapati agak keras dan amat sukar untuk dilembutkan.

Katanya, setakat pengalamannya mengurut pesakit strok memang menemui kejayaan hasil daripada maklumbalas yang memberangsangkan apabila pesakit terbabit pulih seperti biasa.

Walau bagaimanapun menurut Kak Ma, dalam 10 orang pesakit strok yang pernah diurutnya, didapati hanya seorang sahaja yang gagal untuk dipulihkan terutamanya apabila suara dan pergerakan bibir mulut yang tidak dapat dibuka. Namun, pergerakan anggota lain yang terkena strok berjaya diatasi.

“Bagi Kak Ma, bukan lelaki saja yang mengalami strok, namun wanita juga mengalami masalah yang sama sebab penyakit tidak mengenal status lelaki atau wanita.

“Setakat pengalaman Kak Ma mengurut pesakit strok, kalau dikira tentang jumlah penghidapnya lelaki dan wanita adalah sama banyak”, tambah Kak Ma apabila diminta mengklasifikasikan penyakit strok di kalangan lelaki dan wanita berdasarkan pengalamannya itu.

Kak Ma menyarankan kepada pesakit-pesakit strok, jika telah diserang strok dan telah dimasukkan ke wad hospital apabila keluar wad, penyakit strok perlu diurut dengan kadar yang segera. Jika tidak tentunya akan menghadapi masalah dan kadar pulihnya tidak akan sama seperti sebelumnya. Lazimnya dalam masa tiga hari selepas keluar hospital, pesakit strok perlu diurut dengan kadar yang segera untuk memulihkan urat-urat yang bermasalah itu baik dan sempurna seperti sediakala.

Menurut Kak Ma penyakit strok boleh diurut dan berjaya sepenuhnya, namun memakan masa juga supaya urat-urat yang bermasalah itu dapat dibetulkan kepada keadaan asalnya.

Bercakap tentang penyakit wanita, wanita sering mengalami masalah sakit urat, masalah peranakan (sesetengahnya mendakwa ada peranakan wanita turun). Namun, bagi Kak Ma dia menafikan (mustahil) tentang dakwaan peranakan wanita turun yang menyebabkan wanita berasa sakit.

“Bagi Kak Ma, kalau ada orang kata peranakan wanita turun adalah tidak benar dan mustahil. Hal berkenaan adalah disebabkan urat di bahagian itu bermasalah sehingga menyebabkan wanita berasa sakit dan bukannya peranakan (rahim) turun.

“Jadi, apabila menghadapi wanita-wanita seperti ini, Kak Ma akan mengurut urat-urat yang bermasalah di kawasan itu sehingga pulih sepenuhnya”, ujarnya.

Katanya menambah, dia pernah mengurut pesakit wanita terbabit dan pesakit terbabit menyatakan akan berasa sakit ketika diurut. Hal ini menurut Kak Ma, urat di bahagian yang wanita itu berasa sakit disebabkan urat berkenaan telah “membengkak”. Apabila dia mengurut urat-urat yang bengkak itu akhirnya akan pulih seperti sediakala.

Berhubung dengan maklumbalas daripada pelanggan (pesakit) yang pernah berurut dan berbidan dengannya, memang banyak pesakit mengakui bahawa urutan yang dilakukannya agak halus, seni dan sesuai dengan urat saraf mereka.

“Memanglah kita sebagai tukang urut tidak mengetahui dengan keadaan pesakit yang kita urut. Tetapi apabila mendengar perkhabaran sedemikian, tentunya menambahkan semangat Kak Ma untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat Kak Ma sebagai tukang urut dan bidan”, jelasnya.

Apa yang dilakukannya sebagai tukang urut, peringkat awalnya dia akan membuat urutan selama tiga hari berturut-turut dan selepas itu dia akan berehat selama dua hari untuk memberikan kerehatan urat dan saraf dapat menyesuaikan dengan sistem saraf yang lain. Selepas berehat dua atau tiga hari, dia akan menyambung urutan sehingga selesai.

Untuk pertanyaan, Wan Salma binti Said atau Kak Ma boleh dihubungi: 019-9792830

Wan Salma binti Said atau Kak Ma.

Kak Ma ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Kak Ma sedang menunjukkan cara mengurut urat dan saraf dengan betul.


Antara bahan mengurut dan berbidan yang digunakan Kak Ma.

Inilah minyak khas yang digunakan oleh Kak Ma untuk mengurut.

Kediaman Kak Ma.

Papan tanda kampung ini terletak berhampiran dengan kediaman Kak Ma.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan