RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Ahad, 1 Mac 2015

Banjir Lumpur Landa Kuala Krai


BANJIR LUMPUR LANDA KUALA KRAI

KUALA KRAI, KELANTAN: Setiap kali berlakunya banjir, kawasan utara Negeri Kelantan yang menjadi mangsa. Ini berikutan punca sungai bermula dari bahagian utara negeri tersebut. Selain air yang datang dari arah bukit dan tempat tinggi, kejadian air akan semakin mengganas apabila kesemua tempat telah bercantum. Lazimnya, kawasan utara seperti Gua Musang dan Kuala Krai menerima banjir lebih awal berbanding di bahagian hilir Negeri Kelantan seperti di Kota Bharu dan kawasan lainnya.

Misalnya sebuah lagi kawasan yang dinaiki air seperti di Kampung Sungai Embak yang terletak di Kuala Krai, Kelantan juga turut menjadi mangsa. Walaupun banjir seumnpamanya pernah berlaku pada tahun 1967 dulu, namun banjir 2014 ini dianggap banjir terbesar dan terburuk apatah lagi yang membawa bersama aliran itu ialah lumpur.

Di Kampung Sungai Embak, Kuala Krai terdapat kira-kira lima buah keluarga yang menjadi mangsa banjir yang terpaksa berpindah sendiri untuk menyelamatkan diri. Seorang mangsa, Esah binti Yaacob, 62, atau lebih dikenali dengan panggilan Mek dari kampung berkenaan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, air mula naik di kampungnya itu pada 26 Disember, 2014 setelah Sungai Embak sebak dan akhirnya melimpah. Katanya, air itu mengalir dari arah belakang rumahnya yang di situ terletaknya sawah padi.  

Katanya, air ketika itu mula naik pada 26.12.2014  jam 5.00 petang dan pada ketika itu telah memenuhi di sekitar laman rumahnya. Apabila malam menjelang, beliau berasa tidak sedap hati dengan keadaan paras air itu yang semakin naik lantas beliau bersama-sama anak-anaknya dan sebuah keluarga (jirannya) berhimpun di atas rumah anaknya yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Menurutnya, disebabkan air semakin naik walaupun secara perlahan tetapi agak mendadak, beliau bersama anak-anaknya mula berpindah ke kawasan tebing tinggi yang terletak di hadapan laluan rumahnya kira-kira jam 4.00 pagi bersama salah seorang anaknya yang masih dalam pantang kerana bersalin beberapa hari yang lalu.

“Air melewati paras leher anak. Mek terpaksa berpindah segera dan didukung oleh cucu kerana tidak mampu untuk berjalan dengan baik untuk naik ke tempat tinggi itu”, katanya apabila ditanya tentang kenaikan paras air di laman rumahnya ketika itu

Jelasnya lagi, air yang mula naik itu dianggap sebagai aliran biasa kerana keadaannya yang tidak begitu deras tetapi warna air tersebut berkeadaan keruh. Katanya, dalam keadaan usianya itu hanya banjir 2014 inilah yang dianggap banjir besar berbanding banjir sebelum ini.

“Walaupun rumah mek tidak tenggelam, namun banjir itu telah memasuki rumah Mek walaupun tidak pernah berlaku sebelum ini. Keempat-empat rumah anak dan termasuk rumah beliau memang dimasuki air”, ujarnya.

Menyentuh tentang barangan yang ada dalam rumahnya beliau berkata, mana-mana barangan yang sempat diambil dan dibawa ke tempat tinggi dan selamat akan dipunggah pergi. Namun, bagi barangan yang tidak sempat diselamatkan seperti almari, sofa, tikar getah dan sebagainya terpaksalah ditinggalkan ditenggelami banjir itu dan barangan tersebut memang rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi akibat dijamah air. Manakala peti sejuk dan mesin basuh memang terkena banjir namun tidak rosak.

Selain itu katanya, sejak awal beliau telah berkemas dan melakukan persiapan awal semata-mata untuk menghadapi banjir yang tidak diduga. Misalnya tentang pakaian, sebahagiannya agak selamat kerana telah berkemas dan diletakkan di tempat yang agak tinggi. Namun katanya, terdapat juga beberapa pakaian yang tidak sempat disusun pada malam air itu naik dan terpaksalah ditinggalkan begitu saja.

Apabila ditanya tentang perbezaan banjir besar antara banjir 2014 dengan 1967 beliau akan menjawab banjir 2014 lebih besar dari banjir-banjir sebelum ini. Hal ini disebabkan banjir 2014  telah memasuki rumahnya, manakala banjir sebelum ini keadaan rumahnya tidak ditenggelami banjir itu.

Beliau menambah, setahunya air sering melimpah apabila hujan turun dari parit dan saliran yang terletak di hadapan rumahnya terus ke Sungai Embak itu. Tetapi, apabila Sungai Embak telah sebak menyebabkan air tidak lagi dapat mengalir ke destinasinya dan akhirnya sungai itu pula memuntahkan aliran itu ke serata arah sehingga mengalir ke laman rumahnya pula.

Ditanya tentang punca banjir itu naik, beliau tidak dapat menyatakan puncanya, namun segelintir penduduk kampung itu menyatakan disebabkan hujan. Walau bagaimanapun, baginya keadaan purata hujan dalam keadaan biasa saja, kadang kala lebat dan perlahan. Beliau tidak mengetahui dari mana datangnya air yang begitu banyak itu melihatkan keadaan demikian.

Katanya, beliau bersama ahli keluarganya yang terdiri daripada anak-anak sebanyak empat buah rumah bersama sebuah rumah jirannya yang meliputi lima buah rumah berpindah ke tempat yang selamat apabila mengetahui air telah memasuki rumahnya pada 26.12.2014. Ini berikutan kawasannya boleh dikatakan dikepung banjir kerana kiri dan kanan telah dinaiki air. Syukurlah beliau mempunyai tempat yang tinggi dan selamat untuk dijadikan sebagai tempat berpindah kerana tiada pihak yang mengambil tahu tentang nasibnya di kawasan Kampung Sungai Embak itu.

“Setahu Mek, tiada keluarga di Kampung Sungai Embak ini yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang dikhususkan oleh pihak berkuasa”, katanya.

Menurut Esah, apabila air mula melimpah tebing, bekalan air dan elektrik yang disalurkan ke setiap rumah termasuk ke rumahnya terpaksa dihentikan. Pada ketika itu katanya, keadaan air semakin naik yang memaksa bekalan berkenaan terpaksa dihentikan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketika bekalan elektrik dihentikan, beliau terpaksa menggunakan bantuan lilin pula menyebabkan hawa panas menyelinap setiap ruang rumahnya. Ini berikutan, kipas tidak lagi dapat digunakan disebabkan pemotongan bekalan elektrik itu.

Katanya, penggunaan lilin terpaksa digunakan disebabkan beliau menpunyai cucu (bayi) yang memerlukan pencahayaan. Katanya, bagi kanak-kanak akan menyebabkan pernafasan yang terganggu manakala bagi beliau pula beliau akan berkeadaan mamai apabila tinggal dan tidur di dalam keadaan gelap. Namun, disebabkan suasana yang terpaksa beliau melaluinya sebagai satu pengalaman baharu.

Bekalan air dan elektirk kemudiannya disambung kembali kira-kira genap seminggu lamanya. Hal ini berlaku berikutan janakuasa elektrik di Sungai Durian juga ditenggelami banjir.

Menurutnya, sebagai mangsa banjir keluarganya turut menerima bantuan makanan seperti beras, gula, minyak masak, gandum, makanan segera Maggi dan teh. Ditanya tentang pemberian wang tunai kepada mangsa banjir beliau hanya memperolehi bekalan makanan sahaja.

“Mek rasa air mula surut pada 28.12.2014. Mek dan anak-anak bermalam di atas tebing di hadapan rumahnya itu hanya semalam saja”, ujar Esah ketika ditanya tentang tarikh air surut.

Menceritakan tentang selut yang ditinggalkan banjir pula, rumahnya terpaksa dicuci dengan alat pencuci (pam berenjin). Katanya, beliau terpaksa mencucinya sebanyak tiga kali sehari, lebih seminggu terpaksa mencuci selut itu yang cepat melekat dan meninggalkan kesan kuning.

Pada mulanya, beliau menyedut air dari bendang yang terletak di belakang rumahnya. Kemudian, apabila air dari bendang mulai kering, beliau menyedutnya dari perigi yang terletak bersebelahan kediamannya. Manakala selepas itu menggunakan bekalan air paip pula.

Beliau tidak pernah dikunjungi oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberikan khidmat pertolongan mencuci dan membersihkan dari masalah banjir. Ini kerana, beliau bersama anak-anaknya yang melakukannya sendiri walaupun dalam keadaan penat untuk mengelakkan masalah tidak dapat ditanggalkan apabila selut itu telah mengeras.

Esah binti Yaacob atau Mek.

Esah binti Yaacob ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Halaman rumah yang dinaiki dan digenangi banjir 2014 baru-baru ini.


Laluan air dari arah bendang di Sungai Embak.


Sebahagian perkakasan rumah yang dirosakkan banjir.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan