KG. BUKIT ABAL
(PASIR PUTEH)
PASIR PUTEH, KELANTAN: Tiada pihak yang membuat kajian dan menulis
tentang Sejarah Bukit Abal. Sebab itulah, apabila dikemukakan persoalan kepada
beberapa penduduk terbabit, mereka tidak dapat memberikan jawapannya. Apatah
lagi, setelah mereka dilahirkan, nama Kampung Bukit Abal yang terletak dalam
Mukim Cherang Rotan itu telah wujud sejak zaman berzaman. Sementelah pula, hal
berkenaan tidak pernah diceritakan oleh orang tua masing-masing kepada
anak-anak mereka. Apa yang mereka pastikan, nama kampung itu wujud berpunca
daripada nama sebuah bukit yang berdiri gagah di kampung itu.
Menurut Penghulu Kampung Bukit
Abal, Mukim Cherang Rotan, Mhd. Yasin bin Bebakar, 65, atau lebih dikenali
sebagai Tok Penghulu Yasin ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh
dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, beliau juga tidak dapat menceritakan
secara jelas tentang nama kampung itu.
Walau bagaimanapun, beliau
mendapat tahu dari beberapa penduduk kampung itu sebelum ini yang mendakwa
Kampung Bukit Abal mendapat nama berdasarkan kepada dua versi cerita. Dari
versi pertama menceritakan istilah “Abal” itu merujuk kepada tanah lapang dan
rata. Bukit berkenaan berbeza dengan lain-lain bukit yang terdapat di negeri
Kelantan.
Manakala dari versi kedua pula,
beliau mendapat tahu bahawa dinamakan Bukit Abal yang brdasarkan satu cerita
berlaku pada tahun 1950 apabila penduduk-penduduk kampung terbabit dihujani
ribut yang agak kuat. Kejadian ribut itu datangnya dari arah Timur lalu meluru
ke kampung dan penempatan mereka.
“Sebahagian kecil penduduk
veteran Bukit Abal menyatakan nama berkenaan bermula apabila berlakunya
kejadian ribut yang datangnya dari arah Timur. Jadi, pada masa itu bukit inilah
(bentuknya agak kecil dari bukit-bukit lain) telah dijadikan tempat penduduk-penduduk
kampung untuk berlindung.
“Saya tidak pasti sama ada ia
dianggap sebagai sejarah atau dongengan orang-orang tua dahulu. Sejarah tepat
memang tidak diketahui kerana tiada cerita atau perbualan dari orang-orang tua
dan selepasnya”, ujar Tok Penghulu Yasin.
Beliau sebagai generasi baharu
yang lahir pada tahun 1950 berkata, dia tidak menolak maklumat yang disampaikan
oleh orang-orang terdahulu tentang nama bukit itu sehingga menjadikannya sebuah
kampung sehingga hari ini sebagai karut.
Keadaan ini setahunya, di
sekeliling bukit itu adalah tanah bendang padi. Di puncak bukit itu pula
dinamakan Sri Maharaja kerana dikatakan telah membuka kawasan itu. Nama
berkenaan juga turut dipahatkan kepada sebuah sekolah dikenali Sekolah Sri
Maharaja. Di bukit itulah yang dikatakan penduduk-peduduk kampung berlindung
dari tiupan angin/ribut kuat pada masa itu.
Cuma apa yang dapat beliau
nyatakan bahawa, Bukit Abal juga ada kaitan dengan tanah beraja kerana pernah
menjadi petempatan Sri Maharaja itu. Nama Sri Maharaja itu dipahatkan sebagai
mengambil sempena Y.T.M Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan dan beliau
juga yang merasmikan sekolah terbabit pada waktu itu.
Sebagaimana arwah ulama tersohor
dari Bukit Abal bernama Haji Daud bin Haji Umar atau dikenali Tuan Guru Haji
Daud Bukit Abal memang telah dimakamkan di tanah perkuburan di kampung
berkenaan. Beliau merupakan anak murid Tok Kenali yang juga seorang yang
bermulut masin yang mahir dalam Ilmu Tasauf. Disebabkan arwah juga menyebabkan
Kampung Bukit Abal tersohor dan dikenali di serata tempat.
“Pada masa hayat arwah Tuan Guru,
saya masih menuntut dalam Tahun 3 dan ketika Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal
meninggal, saya menuntut dalam Tahun 4 atau Tahun 5”, katanya.
Bukan itu sahaja, salah seorang
pendikir tersohor Kelantan yang juga seorang tukang karut dikenali Daud Bukit
Abal pernah mengharumkan nama Kampung Bukit Abal dengan persembahan dikirnya
yang bersahaja tetapi berhemah.
Menurut Tok Penghulu Yasin, pada
masa dulu para penduduk di setiap kampung dikira mengikut mukim. Jika Kampung
Bukit Abal dikira menurut mukim memang tidak begitu ramai, sementelah pula pada
ketika itu masih belum diwujudkan sistem bancian dari rumah ke rumah tidak
sebagaimana hari ini. Walau bagaimanapun, menurut purata pada tahun 1970
penduduk kampung terbabit berjumlah kira-kira 15,000 orang. Berbanding
selepasnya yang semakin meningkat.
Sambung beliau lagi, dari segi
taraf pekerjaan atau mata pencarian keseluruhan penduduk di Kampung Bukit Abal
adalah kawasan jelapang padi. Apabila dikatakan “jelapang padi” tentulah
hubungan penduduk agak akrab. Turut ditubuhkan di kampung berkenaan beberapa
persatuan penduduk meliputi pelbagai unit dan persatuan peladang (PPK).
Apabila ditanya dengan mata
pencarian Bukit Abal zaman sekarang, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan
anak-anak muda mempunyai kelulusan akademik. Ini bermakna, mata pencarian
golongan zaman ini menandingi golongan petani tidak sebagaimana tahun-tahun
1970-an dulu. Hal ini disebabkan tiada galakan dan dorongan daripada ibu bapa.
Maknanya, berkurangnya golongan petani apabila golongan terpelajar dari lulusan
pelbagai pusat pengajian tinggi kerajaan, swasta dan kolej telah mengambil alih
komuniti kampung tersebut.
Sebagai contohnya, pengalaman
beliau di zaman kanak-kanak ingin membeli sebuku roti dengan hanya berharga
RM0-05 sen pun tidak mampu disebabkan kepayahan keluarganya dari mendapatkan
sumber kewangan pada masa itu berbanding dengan hari ini.
Jika dibandingkan dengan wang
saku sekolah dewasa ini, pelajar dibekalkan dengan wang tunai sebanyak RM2
bahkan ibu bapa sekarang sudah mampu memberikan wang tunai untuk tujuan mengisi
minyak petrol ke dalam tangki motosikal anak-anak masing untuk menunjukkan
perbezaan sumber kewangan pada masa itu dengan hari ini agak ketara.
“Kebanyakan golongan muda hari
ini lebih memberi tumpuan “makan gaji” di pejabat-pejabat kerajaan. Sedangkan
orang-orang tua dahulu terpaksa membanting tulang empat kerat dengan
mengerjakan sawah padi”, ujar Tok Penghulu Yasin lagi.
Secara jujurnya beliau
menjelaskan tentang fenomena bidang kerja hari ini, masih terdapat golongan
pemuda dan pemudi kampung berkenaan yang masih menganggur disebabkan masalah
mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Hal ini disebabkan begitu ramainya golongan
pelajar pusat pengajian tinggi dari kampung berkenaan yang baharu keluar dari
pusat-pusat pengajian itu.
Berbanding tahun-tahun 1970-an
dulu sebagai petani, sekarang kebanyakan pekerja-pekerja kampung menumpukan
kepada bidang pertukangan sebagai melakukan pekerjaan dan atas usaha sendiri.
Apabila ditanya tentang
kedai-kedai makan dan restoran, beliau menjelaskan kebanyakan penduduk kampung
berkenaan tidak berminat dengan bidang perniagaan makanan kecuali sekadar
warung kopi berbanding dengan pertukangan. Walaupun dianggapkan usaha tersebut
sebagai “hidup segan mati tak mahu”, namun atas dasar mencari rezeki mereka
sanggup melakukan kerja-kerja terbabit berdasarkan pengalaman yang diperolehi.
Katanya, kebanyakan warung-warung
kopi yang dibuka di kampung itu dimiliki sendiri oleh petani-petani oleh orang
yang sama. Maksudnya, jika pagi mereka membuka warung kopi, waktu petang pula
mereka ke sawah padi dan begitulah seterusnya. Manakala penduduk luar tidak
pernah cuba
membuka warung-warung kopi di kampung berkenaan kecuali dari kalangan penduduk
Kampung Bukit Abal itu sendiri.
“Bercakap bidang agama pula,
setakat ini Alhamdulillah, ibu bapa begitu mengambil berat pendidikan anak-anak
khususnya pendidikan keagamaan. Bidang agama di kampung ini menandingi
bidang-bidang lain”, katanya.
Dalam pada itu, beliau turut
menjelaskan tentang masih terdapat golongan veteran yang berusia sekitar 90
tahun. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan butiran jelas jumlah
usia yang paling tua di kampung itu kerana tidak membuat bancian khusus
tentangnya.
“Bercakap tentang banjir pula,
Kampung Bukit Abal pernah dilanda banjir sekitar tahun 1972 dan 1998. Namun,
selepas itu tiada lagi banjir melanda kampung ini.
“Buktinya banjir tsunami tahun
2004 dan banjir besar yang melanda Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu,
Kampung Bukit Abal terselamat dari banjir itu, sebaliknya kita mengalami
kemarau dan musim kering kerana tidak menerima banjir”, jelasnya.
Justeru menurutnya, jangan sangka
banjir tidak berlaku di bukit-bukau dan gunung, jika ditakdirkan Allah banjir akan
tiba pastinya kesemuanya akan tenggelam. Buktinya kejadian banjir besar Kelantan
pada bulan Disember 2014 lalu memberikan
pengajaran kepada kita ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap kita.
Mhd. Yasin bin Bebakar atau Tok Penghulu Yasin.
Tok Penghulu Yasin ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Papan tanda nama kampung yang dipamerkan di laluan umum.
Keluarga Tok Penghulu Yasin menyambut kru kami dengan berhemah dan mesra.
Inilah Makam Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar atau lebih popular Haji Daud Bukit Abal.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan