MISTERI LINTASAN JIN
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Makhluk halus tidak mengenal siapa yang akan
menjadi mangsanya, sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda, bayi, kanak-kanak mahupun remaja dan orang-orang dewasa. Jika manusia yang terserempak dengan
makhluk halus, makhluk berkenaan akan nampak di manakah manusia menjadi lemah,
tetapi bagi manusia yang tidak nampak mereka pasti menjadi mangsanya.
Begitu halnya kejadian yang
dialami oleh mangsa, Saidi bin Awang, 43, atau lebih dikenali sebagai Di dari
Kampung Bendang Kerian, Tumpat, Kelantan yang menceritakannya pengalamannya
kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim
yang turut serta ke tempat kejadian beliau diusik makhluk halus itu.
Kejadian yang menimpanya pada
tahun 2014 itu berlaku kira-kira jam 6.00 petang. Kebetulan pula pada ketika
itu dia sedang menunggang motosikal sambil memboncengkan bapanya dari arah
rumah bapa saudaranya yang terletak di Morak, Tumpat. Kedua-dua beranak itu
sedang melalui lokasi kejadian di Kampung Mensira itu untuk cepat sampai ke
rumah mangsa di Kampung Kubang Kerian.
“Saya pada ketika itu sedang
menunggang motosikal bersama bapa dari rumah bapa saudara. Apabila di tempat
kejadian, dengan tiba-tiba tubuh saya berasa agak lain macam saja, seluruh
tubuh meremang, macam ada sesatu yang mengganggu”, ujar Saidi.
Melihat keadaannya ketika itu, bapanya
mula membaca beberapa potong ayat Al-Quran untuk menghindarkan ketakutan dan
gangguan yang mengenai dirinya. Mungkin secara sedar atau tidak sedar dengan
gangguan dan semasa bapanya sedang membaca beberapa potong ayat Al-Quran untuk
menghindarkan gangguan itu, namun gangguannya semakin tidak keruan dan semakin
menjadi-jadi sehinggalah mereka tiba di sebuah jambatan di Kampung Mensira itu.
Menurutnya, jambatan di kampung itu letaknya berhampiran dengan kediaman
penduduk-penduduk kampung menyebabkan gangguan berkenaan berkurangan dan hilang
serta-merta.
Apabila ditanya, adakah beliau
dapat melihat bentuk makhluk yang mengganggunya itu, dia menjelaskan makhluk
yang turut bersama motosikalnya itu tidak kelihatan pada pandangannya kecuali
bulu romanya berasa meremang saja. Dia juga tidak tahu makhluk halus jenis apa
yang mengganggu dia bersama bapanya pada ketika itu.
Dia beranggapan, kemungkinan
makhluk terbabit keluar dari arah hutan yang terletak di laluan itu dan setelah
berhenti di tepi jalan berkenaan dia pun tiba. Mungkin makhluk itu ingin
membonceng dengan motosikalnya tetapi apabila dilihat sudah ada pembonceng
bersamanya menyebabkan makhluk itu geram sehingga kejadian gangguan itu
berlaku.
“Inilah kejadian pertama saya
diganggu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebelum ini, saya
pernah beberapa kali melalui tempat ini, tetapi di sebelah tengah hari.
“Ketika melalui sebelah petang
tahun lalu, ketika itulah saya terkena gangguan seperti ini”, jelas Saidi.
Katanya, setakat ini hanya
kejadian itu adalah kejadian pertama yang dialaminya, mungkin makhluk itu ingin
mengetahui tahap keberanian yang dimilikinya. Sebelum ini, dia pernah melalui
lokasi kejadian tetapi agak awal sedangkan pada masa kejadian gangguan itu waktu
petang. Disebabkan gangguan itu menyebabkan dia menunggang motosikalnya seperti
tidak seimbang.
Ditanya kepada beliau adakah
beliau mengetahui dari lisan penduduk kampung terbabit bahawa laluan yang
sedang dilaluinya ketika itu adalah kawasan keras yang sering mengusik, beliau
menjelaskan bahawa beliau sememangnya tidak mengetahui tentangnya. Ini kerana,
tiada penduduk kampung tersebut yang membicarakannya di warung-warung kopi.
Malah orang ramai masih tetap menggunakan laluan terbabit sebagai jalan singkat
untuk ke destinasi yang pantas.
Walau bagaimanapun, dia
beranggapan bahawa kejadian itu secara kebetulan terjadi ke atasnya untuk
menguji tahap kesabaran dirinya.
Saidi bin Awang atau Di.
Saidi ketika menceritakan pengalamannya diusik makhluk halus di tempat kejadian.
"Makhluk halus itu mungkin berdiri di tepi jalan ini", Saidi bin Awang.
"Setelah sampai di hujung jambatan sana, gangguan makhluk halus itu tiada lagi", Saidi bin Awang.
Kemungkinan, makhluk halus itu muncul dari arah rumah kosong dan semak-samun ini.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan