MISTERI MAKHLUK BUNIAN
PADA 27 Mac, 2015 yang lalu,
Wartawan RELATIF telah menulis dalam facebooknya tentang makhluk halus dikenali
makhluk “jin” yang berbondong-bondong datang ke alam manusia semata-mata untuk
mendapatkan air. Ini memungkinkan juga, alam makhluk terbabit telah kekeringan
air.
Walaupun benar atau tidak,
makhluk jin sebenarnya gemarkan kebebasan dan suka pergi dan balik ke alam
manusia kerana itulah sifat makhluk terbabit yang gemar ke sana ke mari menurut kehendak sendiri.
Makhluk jin sebenarnya tidak suka tinggal menetap di alam dan dalam
kelompoknya, sebab itu mereka akan menjelma di alam manusia sehingga
kadang-kadang dapat dilihat oleh segelintir manusia yang dibukakan hijab mata
oleh Allah.
Namun, berbeza pula dengan
makhluk bunian yang suka hidup berkelompok dalam koloni mereka sahaja, tidak
suka mengganggu sehingga menyusahkan makhluk lain khususnya manusia dan jin, makhluk
bunian suka bantu-membantu dan tolong-menolong di kalangan mereka. Sebab
itulah, jarang manusia melihat makhluk berkenaan walaupun ada segelintir di
kalangan manusia yang mendakwa makhluk “jin” dan “bunian” adalah dari makhluk
yang sama. Hakikat sebenarnya, makhluk jin dan bunian adalah makhluk yang
berbeza dari banyak segi sama ada taraf hidup, pekerjaan, bentuk tubuh dan rupa
parasnya juga berbeza.
Membicarakan tentang makhluk
halus ini, sebelum ini sering kali Penulis bertembung dan melihat makhluk jin
di mana-mana sama ada di kawasan halaman rumah, di jalanan dan sebagainya,
namun tidak pernah melihat kelibat makhluk bunian sebagaimana yang dimaksudkan.
Sehinggalah kejadian berlaku pada 29 Mac, 2015 lalu (bermula jam 2.00 hingga
4.00 pagi).
Segalanya bermula pada 28 Mac,
2015 (Sabtu), setelah Penulis pulang dari merakam foto dan mendapatkan
bahan-bahan berita untuk disiarkan dalam majalah RELATIF. Setelah tiba di
rumah, Penulis terus melakukan solat Zohor tanpa membersihkan diri (mandi)
kerana badan terlalu panas dan
berkeringat, dengan hanya menyapu sedikit air ke serata tubuh. Sementara
menunggu waktu Asar berkemumandang, Penulis baring sekejap di atas tilam dengan
menanggalkan baju yang dipakai ketika solat itu.
Dengan tidak disangka-sangka,
Penulis tertidur. Dalam tidur itulah, Penulis yang mungkin juga bermimpi sedang
menjadi Imam Solat kepada satu golongan atau koloni lelaki yang tidak dikenali
yang bilangannya agak ramai di atas sebuah masjid. Wajah mereka agak bulat,
kelihatan juga sebahagian rambut mereka yang hitam dan telah beruban. Penulis
tersedar setelah mengucapkan kalimah “Assalamualaikum” ke sebelah kanan dan
kiri. Jadi, Penulis berasa malu kerana ketika tertidur tadi Penulis
menanggalkan baju tetapi bagaimana pula ketika menjadi Imam, Penulis siap
memakai baju?
Kejadian berkenaan tidak selesai
setakat itu sahaja kerana kejadian memasuki sebuah alam dan dapat melihat serta
bertutur dengan makhluk yang tidak pernah dilihat sebelum ini seolah-olah
kejadian tersebut benar-benar di alam realiti. Tempat terbabit, Penulis telah
memasukinya sebanyak dua kali tetapi tidak menemui penghuninya dan pada 29 Mac,
2015 itu adalah kali ketiga dengan melalui jalan yang sama. Dua kali dulu
sekadar melihat alam mereka yang hampir sama dengan alam manusia, jin dan
bunian itu. Tetapi kali ketiga ini dapat melihat dan bertutur dengan makhluk
itu sekali.
Sebelum kejadian dapat menapak ke
alam makhluk itu berlaku, Penulis cuba melelapkan mata (untuk tidur)
jam 2.00 pagi dengan cara mengiring ke sebelah kiri dan kepala menghala ke arah
Kiblat. Penulis merasakan, hanya sekejap saja selepas baring secara mengiring
itu, Penulis tiba-tiba seperti berjalan kaki seorang diri di sebuah tebing
sungai yang kadang-kadang berjalan di dalam air (kaki terkena air tetapi dirasakan tidak basah). Dalam
sungai yang jernih airnya itu tidak kelihatan sebarang makhluk yang hidup baik
ikan, ular mahupun buaya. Sementara, di sebelah kirinya pula terdapat hutan
tebal yang berbukit.
Ketika sedang melaluinya,
didapati bumi dan suasananya agak basah, dalam hati Penulis terdetik mungkin
hujan telah turun awal di alam itu. Malah kelihatannya ketika itu cahaya
mentari sedang menerobos di dedaunan pokok dan dalam agakan hati Penulis,
mungkin ketika itu pukul 5.30 atau 6.30 petang melihatkan suasananya yang remang-remang itu. Sementara di alam manusia pula
pada masa itu jam 2.00 pagi.
Setelah berjalan agak biasa tanpa
menoleh ke belakang, kanan atau kiri, Penulis akhirnya tiba di sebuah kawasan
yang agak cantik, di mana kelihatan daun-daun kayu yang gugur seperti tersusun
indah, seolah-olah ada yang menjaganya. Paling menarik, apabila Penulis tiba di
sebatang palang kayu yang seolah-olah sebagai penutup pagar kawasan terbabit.
Dalam keadaan itu, Penulis kemudiannya terdengar bunyi suara mendayu-dayu
seperti suara gadis sedang mendendangkan lagu merdu. Sebelum ini pernah tiba di
situ tetapi tidak mendengar suara sebagaimana yang dimaksudkan. Bahasanya
memang tidak pernah diketahui, bukannya dialek “Kelantan” atau bahasa Melayu,
mungkin bahasa makhluk itu. Cuma yang enak didengarnya ialah suara si
pemiliknya sedang mendendangkan lagu itu.
Disebabkan ingin mengetahui
siapakah yang pemilik suara itu, Penulis membuka kata dan bertanya secara
jelas, “sedapnya suara. Suara siapa itu?” Dengan tidak disangka-sangka,
menjelmalah tiga gadis bertubuh montok (sekitar 4 hingga 5 kaki sahaja
berbanding makhluk jin berketinggian 6 hingga 8 kaki) yang seolah-olah telah
mendengar suara Penulis berkata seperti itu.
Dua gadis sedang berdiri dengan
mengenakan pakaian seperti skirt labuh, terdapat bunga-bunga kecil yang
disunting dengan tali melilit di atas kepalanya (sebagai topi), manakala di
leher masing-masing dililit bunga-bunga seperti di atas kepala itu juga,
lagaknya seperti gadis di Miami, Amerika Latin. Sementara, yang seorang lagi
sedang baring mengiring seperti ikan duyung, lagaknya seperti anak perempuan
seorang ketua.
Penulis merasakan ketiga-tiga
gadis itu adalah “anak dara” melihatkan watak mereka. Kedua-dua gadis yang
sedang berdiri itu, wajah mereka bercampur putih dan sedikit warna coklat,
sementara gadis yang sedang baring seperti ikan duyung itu wajahnya agak gelap
berwarna coklat. Melihat wajah dan rupa mereka seperti kaum orang asli.
Setelah melihat ketiga-tiga gadis
itu, Penulis bertanya lagi di antara mereka “suara siapakah yang menyanyi itu”.
Lalu dijawab oleh salah seorang dari dua gadis itu sambil menunjukkan kedua-dua
tangan ke arah gadis yang sedang baring mengiring seperti ikan duyung itu sambil
mengukir senyuman kepada
Penulis. Penulis kemudiannya melihat ke arah pemilik suara itu
yang juga seorang gadis yang bersuara merdu yang sedang baring itu sambil
melemparkan senyuman malu kepada Penulis kerana identitinya telah diketahui.
Dengan tiba-tiba, muncullah dua
lelaki yang bertubuh sasa, dada dan bodinya berketul dengan mengenakan seluar
jeans berwarna biru tua yang telah lusuh tanpa memakai baju. Disebabkan
kedua-duanya tidak memakai baju dapat dilihat bentuk tubuh mereka berbanding
dengan makhluk jin yang sentiasa memakai baju.
Kelihatan bagi Penulis dua lelaki
itu adalah pemuda yang sasa, tampan dan kacak. Salah seorang darinya memandang
ke arah Penulis seraya memberikan amaran supaya tidak menegur atau mengganggu
ketiga-tiga anak dara itu. Baharulah Penulis mengetahui bahawa, jika ada
lilitan bunga-bungaan di leher itu tandanya gadis yang masih dara dan tidak
pernah disentuh oleh mana-mana lelaki di kalangan makhluk mereka.
Dapat disimpulkan salah seorang
pemuda tampan itu melarang menegur atau mengganggu ketiga-tiga gadis itu dengan
apa cara sekalipun kerana katanya, hal itu akan diketahui oleh Penghulunya yang
melarang mana-mana gadis ditegur atau diganggu. Penulis menjawab persoalan yang
ditimbulkan oleh pemuda tampan itu dengan menyatakan, Penulis bersedia menunggu
kehadiran kerana ingin melihat wajah sebenar Penghulu Bunian sebagaimana yang
dinyatakan oleh pemuda itu.
Seketika kemudian, muncullah dari
bahagian atas (di hadapan Penulis) objek yang menyerupai seekor buaya (bentuk
zahirnya yang kelihatan seperti tilam kekabu) yang menyerlahkan sinar
gemerlapan berwarna kekuningan seperti emas. Beberapa saat selepas itu,
kelihatan suasana sekitarnya terang-benderang dengan cahaya kuning keemasan.
Penulis agak ketika itu, Penghulu
Bunian telah tiba. Lalu Penulis terpandang di antara pokok-pokok kayu yang
dapat diterangi cahaya kilauan emas itu berlubang seperti pintu masuk yang
seakan sebuah khemah atau rumah yang boleh dimasuki, lalu Penulis memasuki
salah satu pokok di antara pokok-pokok yang tersusun rapi di kawasan itu dengan
hasrat untuk melihat wajah Penghulu mereka dari dekat. Namun, Penghulu makhluk
berkenaan tidak datang menemui Penulis sebaliknya, ghaib dari situ.
Selepas Penghulu Bunian yang
dimaksudkan itu telah ghaib, ketika itulah Penulis tersedar. Melihat jam di
dinding rumah Penulis menunjukkan pukul 4.00 pagi, tiba-tiba hujan lebat turun
mencurah di luar rumah. Terlalu pantas masa di alam mereka, Penulis agak antara
dua (2) hingga lima
(5) minit sahaja, berbanding di alam manusia sehingga mencecah dua (2) jam.
Penulis kemudiannya melakukan “qiamullail” dengan menunaikan solat Tahajjud,
membaca Al-Quran dan berzikir seperti yang selalu dilakukan.
Dalam konteks ini, jika benar
makhluk berkenaan yang bertubuh montok berukuran di antara 4 hingga 5 kaki itu
adalah makhluk bunian, sudah jelas ia berbeza dengan makhluk jin kerana makhluk
jin berketinggian di antara 6 hingga 8 kaki.
Nota:
Kisah ini adalah
pengalaman Penulis di atas izin Allah S.W.T
jua.
Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh
"Keadaan kawasan yang tersusun indah menggambarkan ada penghuni yang sentiasa
menyelia tempat itu" - Penulis.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan