RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Ahad, 10 Mei 2015

Rawat Patah Tulang Secara Tradisional


RAWAT PATAH TULANG SECARA TRADISIONAL


TUMPAT, KELANTAN: Lazimnya mangsa yang mengalami tulang yang patah akan terus dibawa ke hospital untuk dirawat sebagai kaedah terbaik rawatan masa kini. Tetapi tahukah anda, rawat patah tulang sebenarnya telah diamalkan sejak nenek moyang lagi (diperturunkan secara warisan) dan dilakukan secara tradisional melalui kaedah dan amalan zikir, ayat-ayat suci Al-Quran dan beberapa kaedah tertentu yang hanya diketahui oleh kalangan perawat itu sendiri yang masih kekal sehingga hari ini.

Hal ini diakui sendiri oleh seorang Pengamal Rawatan Patah Tulang Tradisional, Ramzi bin Ibrahim, 42, atau hanya dikenali dengan panggilan Zi dari Kampung Tanjung Kuala, Tumpat, Kelantan.

“Ilmu rawat patang tulang ini diperolehi oleh warisan keluarga saya melalui mimpi. Kemudiannya diperturunkan kepada bapa. Selepas itu, saya pula yang mempelajarinya dari bapa”, katanya ketika ditemubual Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di kediamannya.

Katanya, dia bukan sahaja hanya merawat patah tulang, sebaliknya turut merawat sendi tercabut dan luka. Walau bagaimanapun, rawatan patah tulang adalah bidang utama yang digemarinya.

Menceritakan sedikit pengalamannya memperolehi ilmu berkenaan, beliau berkata, sebelum bapanya mengalami masalah kesihatan iaitu diserang strok pada tahun 2004, pada ketika itu dia sudah mula mempelajari dan mendalami rawatan patah tulang secara sempurna dan tersusun. Sejak itu, dia mula menjalankan rawatan terbabit sehinggalah hari ini.

Setelah mahir dengan rawatan yang dimaksudkan, dia menerima pesakit untuk dirawat dan kesempatan berkenaan digunakannya untuk melihat sejauh mana keberkesanan ilmu yang diperolehi dan dipelajari itu. Alhamdulillah dengan izin Allah menurutnya, pesakit terbabit sembuh. Sejak itu pesakit yang pernah menerima rawatan darinya mula menceritakannya kepada rakan-rakan kerana kemahiran dan kebolehan yang dimilikinya. Malah sejak itu pula, dia memang tidak menang tangan melayan setiap pesakit yang sering berkunjung ke rumahnya semata-mata ingin menerima rawatan yang melibatkan tulang.

“Kebanyakan mangsa patah tulang berasal dari beberapa daerah di Kelantan. Namun, terdapat juga mangsa dari Kuala Terengganu, Kedah dan Kuala Lumpur.

“Dalam sehari, kira-kira lima pesakit pasti akan datang ke rumah saya untuk menerima rawatan”, ujarnya.

Kata Ramzi lagi, dia sering juga menerima maklumbalas dari beberapa mangsa patah tulang yang memberikan maklumbalas tentang kemampuannya merawat masalah tulang mangsa. Jadi, pesakit terbabit akan menceritakannya pula kepada orang lain dari mulut ke mulut.

“Saya merawat patah tulang yang disebabkan kemalangan, bermain bola, patah tangan, patah tulang rusuk, tulang belakang dan sebagainya.

“Rawatan yang dijalankan berdasarkan kaedah yang saya perolehi dan saya pelajari semasa hayat bapa mengikut keadaan yang dialami mangsa”, katanya.

Menurutnya, setelah merawat tulang yang patah dia akan memerlukan masa selama 10 hari untuk melihat keberkesanan rawatan yang telah dilakukannya itu. Pada masa rawatan awal, dia memperuntukkan masa di antara tiga (3) hingga empat (4) hari sudah memadai atau tidak untuk rawatan terbabit. Sessi kedua pula selama seminggu, insya Allah akan diketahui sama ada telah sembuh atau sebaliknya.

Membicarakan tentang golongan yang pernah datang menerima rawatan darinya, selain Melayu yang paling ramai, kaum Cina juga pernah datang semata-mata untuk mendapatkan rawatan darinya dengan nisbah 1:4.

Katanya, masalah patah tulang bukan sahaja dialami kaum lelaki namun pernah juga kaum perempuan yang pernah dirawatnya. Jika perempuan itu telah bersuami dan suami telah memberikan keizinan kepadanya untuk merawat, dia akan merawatnya. Malah jika dialami oleh kanak-kanak pula, jika kedua ibu bapa kanak-kanak itu memberikan keizinan dia akan merawatnya.

Ditanya tentang bayaran dari rawatan yang dijalankannya, beliau menjelaskan, dia tidak meletakkan harga perkhidmatan yang telah diberikannya kepada mangsa, hanya di atas keikhlasan pesakit itu sendiri. Katanya, jika dia meletakkan harga terhadap mangsa seolah-olah dia takbur dengan ilmu Allah yang menyuruh untuk berbakti kepada orang yang memerlukan rawatan.

“Saya tidak meletakkan harga bayaran ke atas pesakit. Hanya ikhlas pesakit itu sendiri. Sebab, saya sekadar ingin membantu meringankan beban pesakit supaya mereka dapat menjalani kehidupan ini dengan sempurna. Selebihnya, hanya Allah yang mengetahuinya”, katanya ketika ditanyakan tentang bayaran yang dikenakannya terhadap pesakit yang pernah dirawatnya. 

Ditanya pula tentang minyak sapu untuk merawat setiap masalah patah tulang sekiranya dia ada menjualnya kepada pelanggan. Beliau menjelaskan, dia tidak menjual minyak rawatan sebagaimana yang dimaksudkan. Walau bagaimanapun, minyak berkenaan akan diberikan kepada setiap pesakit secara percuma apabila pesakit itu datang menerima rawatan darinya. Namun, sekali-kali dia tidak menjual kepada sesiapa atau kepada mana-mana pesakit jika ada pihak yang ingin membelinya.

Ramzi Ibrahim (Zi) boleh dihubungi di talian:
019-9079301

Razmi bin Ibrahim atau Zi.

Ramzi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


 Inilah kediaman Ramzi di Kampung Tanjung Kuala, Tumpat, Kelantan.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan