SEDIH: RUMAH DIJILAT API
TUMPAT, KELANTAN: Malang memang tidak berbau, apatah lagi yang
melibatkan kebakaran rumah. Hakikat ini kita sering dengar berlakunya kebakaran
di beberapa tempat sehinggakan mangsa tinggal sehelai sepinggang. Lazimnya,
kebakaran yang seumpama ini melibatkan rumah dan kediaman yang dibina dari
kayu. Apabila api semakin marak, tentunya tindakan untuk mengawalnya menemui
kegagalan. Namun, berbeza pula dengan rumah yang dibina dari simen.
Membicarakan tentang hakikat
kebakaran kejadian yang sama turut dialami oleh mangsa, Abdullah @ Muhammad bin
Awang, 74, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat ketika ditemui Wartawan RELATIF,
Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim yang menyewa di Kampung
Morak, Tumpat, Kelantan. Rumahnya yang terletak di Kampung Mensira yang dibina dengan
papan dan kayu hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 14
Mac, 2015 (Sabtu).
Menceritakan tentang kejadian malang itu, Pak Mat
berkata ketika itu beliau bersama anak lelakinya sama-sama membina sebuah reban
ayam. Katanya, kira-kira 20 minit kemudian, dia terhidu bau hangit yang menusuk
hidungnya agak terlalu kuat. Disebabkan baunya yang agak kuat itu, beliau
lantas berlari keluar rumah lalu bertanya isterinya perihal bau seperti ada
benda terbakar. Pada masa itu, isterinya sudah bersedia untuk menghidangkan
makanan (nasi), di samping isterinya memintanya membeli timun dan sebiji
tembikai untuk dimakan bersama hidangan itu nanti.
“Bau hangit benda terbakar memang
agak menusuk hidung, tetapi tidak tahu dari arah mana”, katanya ketika
menceritakan detik-detik awal api mula membakar sebahagian peralatan rumahnya.
Sambung Pak Mat, beberapa ketika
kemudian, bau seperti benda terbakar kian menusuk hidungnya seraya secara
sepontan beliau berpaling untuk mengesan bau hangit itu. Apabila berpaling ke
arah bau itu, didapatinya kepala plug elektrik yang menyambungkan wayar
elektrik ke rumahnya didapati terbakar. Plug itu turut melibatkan beberapa
peralatan elektrik lain seperti televisyen dan sebagainya. Melihatkan kebakaran
yang tidak diduga itu, beliau beristighfar panjang kerana agak terkejut.
Tanpa berlengah lagi, dia
serta-merta berlari untuk mendapatkan sebekas air lalu menyimbah ke arah benda
yang terbakar itu tanpa memikirkan bahaya melakukannya begitu. Setelah api itu disimbah air sebanyak dua kali, dia melihat
api semakin marak memakan bahagian atas rumahnya dengan pantas. Pada ketika
itu, dia tidak begitu sedar di saat dan ketika mana api itu telah menyambar
bahagian anggota tubuhnya. Rasa panas tubuhnya memang tidak terkata lagi
sehingga menyebabkan dia tidak dapat beredar dari tempat dia disambar api itu.
Dia sekali lagi bergegas keluar
rumah lalu berteduh di bawah sebatang pokok jambu berjarak kira-kira 50 hingga
100 meter untuk tujuan mendapatkan udara bagi menyejukkan tubuhnya yang agak
menyirap oleh kepanasan api. Dengan tiba-tiba, dia disapa oleh anak
perempuannya yang memintanya segera ke klinik berdekatan untuk mendapatkan
rawatan kecemasan. Anak perempuannya berkata begitu melihatkan keadaan bahagian
belakang tubuhnya yang terkena percikan api menyebabkannya melecur pada ketika
itu juga.
“Anak perempuan saya tak sampai
hati kerana melihat saya dalam keadaan lemah dan tubuh telah terkena percikan
api”, jelasnya.
Sebentar kemudian, anak lelakinya
yang bongsu pulang. Pada ketika itu juga, bahang kepanasan akibat percikan api
itu memang tidak digambarkan dengan kata-kata, sakit dan pedihnya bukan
kepalang, seperti menghanguskan kulit dan daging tubuhnya. Percikan api itu
bukan sahaja mengenai bahagian belakang tubuhnya secara tidak sedar, namun kepalanya
juga dihinggap percikan api sehinggakan kepalanya juga didapati melecur.
Ketika anaknya membawanya ke
klinik berdekatan untuk menerima rawatan, didapati klinik terbabit tutup pada
hari itu, lantas anaknya membawanya ke Klinik Kelaboran di Tumpat, Kelantan.
Sesuatu yang tidak dapat dilupakannya ketika dalam perjalanan semasa beliau
dibawa ke klinik pada hari itu, tubuhnya menyelinap panas bukan sahaja
disebabkan kepanasan percikan api itu tetapi disebabkan kereta Perodua Kancil
yang dinaikinya itu berhawa panas, keadaannya memang tidak dapat digambarkan
lagi bahang panasnya.
Ketika beliau ke bilik rawatan di
Klinik Kelaboran itu, beliau diberikan ubat berwarna putih oleh doktor yang
merawatnya pada hari itu. Doktor itu menggunakan kedua-dua belah tangan lalu
menyapu ubat yang dimaksudkan ke bahagian yang terkena percikan api itu.
Kira-kira 10 hingga 15 minit
bahagian kepala dan belakangnya dilumurkan ubat itu oleh doktor yang
merawatnya, dengan tiba-tiba dia berasa agak sejuk sehingga tubuhnya tiba-tiba
menggigil pula. Dia memaklumkannya kepada doktor berkenaan keadaan tubuhnya
yang sejuk itu sehingga menyebabkannya berasa agak tidak selesa dan seperti
akan demam.
“Ketika ubat itu menyerap ke
dalam kulit yang terpercik api, Pakcik berasa terlalu sejuk, tubuh tiba-tiba
menggigil dan seperti berasa nak demam pula”, ujar Pak Mat lagi.
Namun, beliau kemudiannya
ditenteramkan oleh doktor tersebut dengan memberikan dua suntikan. Doktor itu
kemudiannya meminta untuk memasukkan air, namun dimaklumkan olehnya dia masih
tidak begitu selesa dengan keadaannya ketika itu, lantas penggunaan air
dibatalkan. Katanyam layanan doktor terbabit tidak dapat dilupakannya apabila
doktor itu sendiri memberi sedekah kepadanya berjumlah RM50.
Apabila ditanya tentang punca
kebakaran itu berlaku. Pak Mat menjelaskan, dia agak mungkin berlakunya litar
pintas. Dia berkata demikian, berikutan dalam awal kejadian matanya melihat ke
arah plug elektrik didapati api elektrik memercik dari dalam lubang plug itu.
Kebakaran pantas itu menyebabkan rumah kayu miliknya yang dibangunkan pada 1400
Hijrah dan kini 1436 Hijrah (berusia 36 tahun) dengan harga kira-kira RM15,000
hangus dijilat api. Rumah itu dibinanya dengan tangan dan kudratnya sendiri
sebagai tukang rumah akhirnya hangus dijilat api. Katanya, jika dihitung harga
rumah pada ketika ini berjumlah RM46,000.
Menurutnya, ketika rumahnya mula
dijilat api sehingga ke bahagian atas bumbugnya, pihak Bomba telah dihubungi
beberapa kali. Namun, disebabkan pelbagai masalah yang tidak dapat dielakkan
kedatangan Bomba tidak dapat menyelamatkan keadaan rumahnya yang sudah hangus
terbakar.
Menurut Pak Mat, pada ketika itu,
dia tidak dapat bertutur dan seperti mulutnya terkunci kerana agak terlalu
terkejut dan kepalanya mula berasa pening. Katanya, dia juga tidak dapat
mengenali Wakil Rakyat kawasan terbabit yang pernah melawatnya pada hari
kejadian kerana keadaan kepalanya yang masih berasa pening dan matanya yang
kabur disebabkan kepanasan api yang pernah terpercik ke atasnya.
Apabila ditanya tentang bantuan
daripada pihak-pihak lain, dia menjelaskan bantuan yang dimaksudkan memang ada
dan telah dimaklumkan kepadanya dan keluarganya, namun pada masa itu masih
belum tiba lagi. Pelbagai pihak swasta pernah datang melawat beliau dan
keluarganya untuk menghulurkan bantuan, namun sehingga temubual ini dibuat,
bantuan yang diharapkannya masih belum tiba.
Melihatkan keadaan rumah lamanya
itu telah terbakar, beliau terpaksa menyewa sebuah rumah di Kampung Morak, Tumpat
dengan harga RM150 sebulan sementara rumah lamanya yang telah terbakar itu
diganti baharu. Namun menurutnya, ketika temubual ini dibuat pada 21 Mac,
2015 rumah yang dimaksudkan masih belum
dibina lagi.
Katanya, rumahnya yang akan
diganti baharu itu akan dibina di atas lot tanahnya sendiri di sebelah hulu
yang terletak di Lorong Pendekar dalam jajahan Tumpat.
Walau bagaimanapun, beliau juga
bersyukur kerana turut dibantu oleh anak dan menantunya yang pulang melihat
keadaannya dan isterinya yang tidak begitu sihat setelah diketahui keadaan
rumahnya dijilat api.
Abdullah @ Muhammad bin Awang atau Pak Mat.
Pak Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF di rumah sewanya.
Keadaan kepala dan bahagian belakangnya yang melecur. Kelihatan juga isteri dan menantu perempuannya.
Rumah yang dibina dengan tangannya sendiri di Kampung Mensira, Wakaf Baharu musnah dijilat api.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan