SENINYA ALAT MUZIK TRADISIONAL
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Dalam
mana-mana majlis seperti majlis perkahwinan, silat, tarian, main puteri dan
makyong, peranan alat-alat muzik tradisional seperti serunai, gong, gendang,
rebana dan beduk begitu sinonim dan akan bertambah berseri apabila alat-alat
muzik itu bergabung. Pada masa itu, alat-alat muzik tradisional adalah sehati
dan sejiwa dan masyarakat setempat yang mewarisinya sejak turun-temurun, bukan
sahaja mahir bermain tetapi juga kaya dengan seni pembuatannya.
Namun, kenangan alat-alat muzik
itu yang pernah menyerikan wadah negeri Kelantan pada masa dulu hanya tinggal
suku dan sebahagiannya telah terkubur dan dewasa ini kehebatan alat-alat muzik
tradisional itu telah diambil alih oleh alat-alat muzik moden. Hanya yang masih
tinggal hanya beberapa generasi, namun disebabkan faktor usia, mereka tidak
lagi dapat bergiat ke arah itu. Salah seorang yang dimaksudkan, Wan Ismail bin
Wan Ibrahim, 97, atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Wan Ismail dari
Kampung Mensira, Wakaf Baharu, Kelantan.
Menurut Tok Wan Ismail, beliau
memulakan kerjaya meniup serunai sejak 15 tahun lalu, bermula ketika usia 18
tahun, ketika itu beliau sudah pun berumahtangga tetapi masih belum dikurniakan
anak. Ditanya, bagaimana beliau memperolehi ilmu meniup serunai itu, katanya,
beliau memperolehinya dengan cara membawa serunainya sendiri kemudian meminta
orang mahir atau pakar serunai itu memperdengarkan atau menunjuk cara meniup
atau memainkan sesuatu muzik terbabit.
Beliau akan meminta pakar
terbabit supaya meniupnya terlebih dahulu, dari situ beliau akan mendengarnya
dengan tekun dan secara tidak langsung beliau mampu meniupnya mengikut rentak
irama orang yang meniupnya.
Katanya, di antara individu yang
pakar dalam meniup serunai yang pernah beliau minta menunjuk ajar ialah
kira-kira lima
(5) orang. Menurutnya, beliau akan mula meniup serunai setelah mendengar muzik
lain dipalu, misalnya gendang, rebana atau beduk. Dari situlah beliau
mengetahui apakah irama yang sesuai untuk tujuan itu seperti gendang wayang,
main puteri, silat, makyong dan tarian, kecuali dikir barat. Dengan kata lain,
apabila satu kali pukulan gendang, beliau bermula dengan meniup serunai
sehingga selesai. Tetapi kalau bersilat, serunai akan ditiupnya terlebih
dahulu. Dia menjadi minat dengan serunai setelah mendengar bunyinya yang lunak
dan merdu sehingga beliau terpanggil untuk melakukannya sendiri.
“Hanya dikir barat saja tiupan
serunai tidak masuk”, kata Tok Wan Ismail ketika ditemui Wartawan RELATIF,
Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya itu.
Katanya, beliau berkebolehan dan
mahir meniup mengikut rentak irama terbaik ketika usianya 35 tahun. Dalam bab
meniup serunai sama ada lama dan moden, hanya yang masuk mengikut rentak
serunai seperti wayang kulit, silat dan tarian sahaja. Namun, dikir barat tidak
tersenarai.
Kata Tok Wan Ismail, sekiranya
beliau dijemput ke tempat yang jauh semata-mata untuk meniup serunai misalnya
ke Kuala Lumpur,
beliau diberi upah tunai sebanyak RM40 semalam. Kalau ke Negeri Sembilan dan
Johor pula beliau diberi upah sebanyak RM50. Selain itu, beliau banyak menerima
jemputan untuk membuat persembahan di Kuala Terengganu.
“Tok Wan sering dijemput untuk
membuat persembahan di beberapa tempat seperti di Negeri Sembilan (2 kali), Kuala Lumpur (2 kali),
Pahang (2 kali), Kuala Terengganu (2 kali) dan lain-lain tempat di Gelanggang
Seni di Kota Bharu sendiri”, apabila diminta jumlah beliau menerima jemputan
untuk membuat persembahan.
Di samping itu, beliau juga turut
diundang dalam majlis perkahwinan pasangan
pengantin bersama pesilat yang membuat persembahan di hadapan pengantin.
Menurutnya, dalam majlis perkahwinan orang dulu-dulu, banyak pihak dijemput
untuk mempersembahkan kesenian di hadapan pengantin seperti tiupan serunai,
pesilat dan paluan gendang, tetapi kini tiada lagi.
Tambah Tok Wan Ismail, minatnya
meniup serunai disebabkan “angin” dalam jiwanya berasa begitu ingin meniup
serunai sehingga membawanya mempelajari seni dan kaedah meniup alat muzik itu.
Apabila beliau sudah berkebolehan, mahir dan mampu meniup secara lebih sempurna
ketika itulah beliau sering menerima ajakan sesiapa saja untuk menghadiri
mana-mana majlis yang melibatkan “tiupan serunainya” umpama “apabila mengantuk
disorongkan bantal”, beliau tidak melepaskan peluang itu.
“Kebanyakan alat-alat muzik
tradisional seperti serunai, rebana, gong, beduk dan gendang Tok Wan sendiri
yang membuatnya. Itu, bangsal membuat alat-alat muzik masih ada”, kata Tok Wan
Ismail apabila ditanya tentang alat muzik itu dibuat sendiri atau dibeli sambil
menunjukkan ke arah sebuah bangsal untuk membuat peralatan muzik yang
dimaksudkannya itu.
Beliau bukan sahaja mahir dalam
membuat dan bermain alat-alat muzik itu tetapi turut menjualnya kepada individu
atau pertubuhan yang ingin membelinya. Dari segi harga pula, misalnya sebatang
serunai yang suaranya baik tetapi bodinya tidak berapa menarik dijual dengan
harga RM200, gendang pula berharga di antara RM600 dan RM700.
Katanya menambah, setelah
mengetahui alat-alat muzik itu dapat disiapkan akan ada pihak yang menempah dan
datang ke rumah untuk membelinya. Pada ketika itu, beliau tidak menang tangan
untuk membuatnya berdasarkan jumlah tempahan yang datang silih berganti.
Kebanyakan alat-alat muzik itu menurutnya dibeli oleh beberapa pihak dari luar
Kelantan seperti dari Kuala Lumpur yang
kemudiannya pihak berkenaan akan menjualnya pula di sana. Namun, terdapat juga beberapa keluarga
dari kampungnya yang sering membeli alat-alat muzik darinya kerana minat yang
sama sepertinya.
Tok Wan Ismail begitu seronok
bukan sahaja sudah memperolehi ilmu alat-alat muzik itu, namun sesuatu yang
paling berharga dalam hidupnya ialah dapat melunaskan kehendak naluri dan
menyumbangkan bakatnya kepada masyarakat sekitarnya pula.
Di Kelantan misalnya, sehingga
hari ini hanya yang masih mewarisi kemahiran membuat dan bermain alat muzik
tradisional adalah beliau seorang sahaja yang masih tinggal. Namun, melihatkan
kepada usianya yang hanya tiga (3) tahun lagi ke usia 100 tahun, beliau tidak
lagi mempunyai kudrat untuk mencari kayu yang baik apatah lagi untuk menebang
kayu itu di hutan untuk tujuan membuat alat muzik, sementelah pula cuba bermain
dan menjualnya. Tetapi apabila diminta meniup serunai yang sering menjadi teman
ketika sunyinya, beliau masih lagi mampu untuk mempersembahkan bakat yang sedia
mengalir dalam darah, naluri dan jiwanya sejak dari usia 18 tahun itu.
Wan Ismail bin Wan Ibrahim atau Tok Wan Ismail.
Tok Wan Ismail ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Salah satu hobinya, meniup serunai yang dibuatnya sendiri. Di sebelah belakangnya itu adalah bangsal membuat alat muzik tradisional seperti serunai, gendang, gong, beduk dan rebana.
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan