NURSERI MAT PASU
WAKAF BAHARU, KELANTAN: Sudah
semakin ramai di kalangan bumiputera yang bergiat di bidang nurseri khususnya
di negeri Kelantan. Kelantan yang terkenal dengan tanah-tanihnya yang subur
memang sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan seperti pokok
buah-buahan, hiasan, bunga-bungaan dan herba. Bukan itu saja, pokok herba dan
ulam seperti bawang merah, bawang besar dan bawang putih amat sesuai ditanam
jika dibuat batas dan disiram dengan air yang secukupnya.
Namun, kelebihan dalam mengusahakan nurseri apabila pokok-pokok yang sesuai dalam kategori ini memang telah
disiapkan dengan kelengkapannya seperti pasu, baja dan tanah yang sesuai untuk
tumbuh-tumbuhan itu. Bahkan, ia boleh dibeli dengan harga yang murah dan
berpatutan yang sememangnya mampu dibeli oleh peminat-peminatnya.
Sejarah pembukaan nurseri memang
panjang. Ada di
kalangan bumiputera yang berusaha mencari pengalaman untuk tujuan itu. Namun,
terdapat di kalangan pengusaha nurseri yang dimaksudkan telah mengusahakannya
sejak dari tahun 1970-an lagi. Pengusaha Nurseri Mat Pasu, Mohamad bin Wan
Yusof, 66, atau Mat Pasu dari Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baharu, Kelantan
misalnya telah mengusahakan nurserinya itu sejak dari tahun 1975 lagi.
“Saya buka nurseri ini ketika
masih berkhidmat dalam Felcra lagi. Disebabkan saya selalu ke tempat yang jauh,
adalah baik diwujudkan nurseri terbabit”, ujarnya ketika ditemui Wartawan
RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim baru-baru ini.
Katanya, dia begitu berminat
dengan pembukaan nurseri berkenaan apabila pokok-pokok hidup subur dalam
barisan yang agak cantik apabila melihatnya dari pelbagai sudut. Menurutnya,
dalam segi kos untuk mewujudkan nurseri pada tahun 1970-an itu adalah dalam
sekitar RM500 sahaja. Manakala kos yang diperlukan pada tahun 2015 ini adalah
sebanyak RM20,000.
Tambah Mat Pasu lagi, kebanyakan
pokok yang ada di nurserinya itu didatangkan dari negara jiran (Thailand)
kerana Kelantan bersempadan dengan negara itu, memudahkan pokok-pokok dari
negara terbabit dibawa masuk ke Kelantan. Jadi, beliau menempahnya dari sebuah
syarikat di Rantau Panjang yang mengimpot pokok-pokok tersebut dari Thailand
itu. Lazimnya, apabila dibuat tempahan, pihak pembekal akan membawa ke
nurserinya sebagaimana yang dijanjikan dan beliau tidak perlu ke sana untuk
mendapatkannya.
Selepas tiba di nurserinya dia
akan membiak baka pokok-pokok tersebut supaya menjadi bertambah subur. Dia
tidak memerlukan khidmat asas lain seperti membiak baka pokok itu kerana beliau
sebagai penjawat awam ketika itu sudah mahir dalam bidang membiak tumbuh-tumbuhan.
Di antara pokok yang ada di
nurserinya seperti keladi pisang (RM250), Draco (sejenis pokok dari Mexico yang dibawa masuk oleh pembekal dari Thailand,
harganya yang besar RM200, sementara yang kecil RM40), pokok pinang, keladi
merah, pokok herba (mas cotek, belalai gajah).
Menurut Mat Pasu, pokok herba
seperti pokok belalai gajah berkhasiat untuk mencuci buah pinggang dan jantung
manusia dengan cara merebus dan meminumnya sebanyak tiga kali sehari. Selain
itu, pada masa dulu pokok tongkat ali juga dijual di nurserinya, tetapi kini
pokok tersebut tiada lagi. Sementara pokok herba seperti lidah jin dan pokok
ajaib turut dijualnya dan ada peminatnya yang tersendiri.
Apabila ditanya tentang “pokok
mata jin” untuk merawat penyakit batu karang, dia tidak menjual pokok tersebut,
tetapi pernah ada pembeli yang bertanya kepadanya tentang pokok itu sebelum
ini.
“Dari segi tempahan pula
khususnya oleh pihak sekolah, saya menetapkan diskaun, namun jika pihak
berkenaan beria-ia, saya akan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus dari harga
biasa”, ujarnya apabila ditanya tentang potongan harga terhadap beberapa jenis
tumbuh-tumbuhan itu.
Selain pokok herba, beberapa
jenis pokok lain turut dijual kepada peminat dan pembeli seperti pokok bunga,
buah-buahan, hiasan dan pokok karpet. Misalnya pokok bunga menurutnya akan
hidup subur dan berbunga mengikut musim. Apabila keadaan kemarau, pokok
berkenaan akan berbunga dan apabila hujan semua bunga akan gugur semuanya. Di
antara pokok bunga yang pernah dijualnya seperti pokok kemuning.
Di antara pokok yang paling laris
dan mendapat perhatian di kalangan pembeli adalah pokok tin. Katanya, pokok tin
ini sejenis pokok baharu yang dibawa masuk. Mungkin disebabkan pokok berkenaan
terlalu sukar diperolehi menyebabkannya terlalu laris di pasaran sekarang.
Sementara pokok-pokok lain terdiri dari kelapa, palm dan sebagainya
“Pokok buah-buahan seperti
rambutan dan manggis misalnya, kebanyakan pokok-pokok ini didatangkan dari Thailand dan
kita (Kelantan) tidak membiak bakanya”, ujar Mat Pasu.
Ditanya tentang kebanyakan
pokok-pokok buah-buahan semuanya didatangkan dari Thailand tetapi tidak ditemui
pokok-pokok dari Kelantan. Beliau menjelaskan, kebanyakan benih pokok
buah-buahan adalah dari Kelantan disemai di Thailand yang akhirnya dibeli oleh
penduduk Kelantan pula. Ada
juga di kalangan penduduk kampung yang turut menyemai pokok berkenaan, namun
tidak sesuai untuk dikomersialkan atas pelbagai sebab tertentu. Salah satu
sebabnya ialah pihak pertanian kita tidak menumpukan ke arah bidang semaian
untuk tujuan komersial berbanding negara Thailand.
Sementara berhubung dengan pokok
hiasan menurut Mat Pasu, kebanyakan pembeli membeli pokok hiasan disebabkan
minat mereka kepada hiasan sama ada untuk mewujudkan taman atau kebun bunga
atau hiasan (landskap). Jadi menurutnya, pada katika ini pokok hiasan dikatakan
begitu laris dan ramai peminatnya yang datang ke nurserinya.
Manakala pokok lain pula terdiri
dari pokok Rosida Batik. Pokok Rosida Batik adalah pokok hiasan yang boleh
dijadikan sebagai tempat untuk berteduh dari sebarang cuaca sama ada panas
matahari dan hujan disebabkan daunnya yang merimbun.
“Sebelum ini, saya pernah menjual
pokok karpet itu, tetapi disebabkan tiada sambutan saya tidak lagi menjualnya”,
katanya apabila ditanya tentang pokok karpet yang dikatakan di sesetengah
nurseri begitu laris terhadap pokok jenis itu.
Menurutnya, di antara pembeli
yang paling ramai adalah dari luar Kelantan seperti dari Terengganu. Sementara
dari luar Wakaf Baharu ini seperti dari Pasir Mas. Manakala pembeli tempatan
lazimnya di kalangan pihak sekolah yang ingin mewujudkan taman bunga dan herba.
Misalnya pokok yang sering dibeli adalah pokok palm dan herba.
“Kebanyakan lelaki berminat
membeli pokok buah-buahan dan hiasan. Sementara wanita pula gemar kepada
pokok-pokok bunga”, ujarnya.
Mat Pasu menambah, selain
pelbagai jenis pokok dijual di nurserinya, dia juga turut menjual pelbagai
jenis baja pokok. Baja-baja ini dihantar oleh pihak pembekal ke nurserinya
apabila pihaknya membuat tempahan tersebut.
Dari segi harga jualan pula, bagi
baja yang beratnya 400 gram dijualnya dengan harga RM5. Sementara tanah untuk
pokok yang didatangkan dari negeri Perak dijualnya dengan harga RM2-50 (satu
beg).
Menurutnya, sememangnya
kebanyakan baja dan tanah untuk kegunaan pokok didatangkan dari luar Kelantan
terutamanya dari Perak kerana negeri berkenaan tempat pemprosesan bahan-bahan
itu. Walau bagaimanapun, di Kelantan sendiri bekalan baja dan tanah diproses
sendiri oleh kalangan penduduk-penduduk kampung.
Apabila ditanya, kenapa
kebanyakan baja dan tanah untuk pokok didatangkan dari Perak tidak diproses di
Kelantan sendiri secara komersial disebabkan baja dan tanah dari Perak itu amat
sesuai untuk kegunaan pokok. Sementara baja dan tanah pernah diproses di Jalan
Pasir Hor, Kota Bharu tetapi tidak sesuai untuk kegunaan pokok-pokok.
Dalam pada itu, dia juga turut
menjual pasu bunga di mana bekalan pasu-pasu berkenaan diperolehinya dari
negeri Perak yang dijualnya dengan harga RM5 (1 buah) dan RM8 (2 buah).
Sementara, bagi pasu nombor satu
dijualnya dengan harga RM15, sementara bagi pasu bunga yang agak baik dijualnya
dengan harga RM25 (sebuah).
Apabila ditanya, adakah golongan
remaja tidak berminat dengan nurseri melihatkan kebanyakan pembukaan nurseri di
banyak tempat di Kelantan ini dimonopili oleh golongan veteran dan telah lanjut
usia. Dia amat setuju dengan pendapat Penulis, kerana tiada golongan belia dan
remaja yang berminat untuk menceburi pembukaan nurseri. Mungkin mereka tiada
pengalaman dengan tumbuh-tumbuhan yang dianggap terlalu rumit dan sukar
diberikan perhatian sehingga golongan terbabit tidak menceburi bidang
berkenaan.
Mohamad bin Wan Yusof atau Mat Pasu boleh dihubungi di talian: 019-9498133
Mohamad bin Wan Yusof atau Mat Pasu.
Mat Pasu ketika ditemubual Wartawan RELATIF di nurserinya.
Inilah premis atau nurseri milik Mat Pasu yang terletak di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baharu, Kelantan.
Sebahagian pokok bunga, buah-buahan, hiasan dan herba yang ada di Nurseri Mat Pasu.
Tanah dan baja untuk pokok turut dijual.
Tanah dan baja untuk pokok turut dijual.
Pasu juga dijual.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM
MOHD. KAMAL IBRAHIM