RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Jumaat, 10 Julai 2015

Nurseri Morning Garden


NURSERI MORNING GARDEN

WAKAF BAHARU, KELANTAN: Pembukaan sesuatu nurseri berdasarkan kepada minat terhadap pokok yang tumbuh subur dan merimbun, apatah lagi ia turut memberikan pulangan yang agak lumayan kepada pengusahanya yang menyebabkan ramai di kalangan bumiputera menceburi bidang tersebut menyaingi kaum-kaum yang lain terutamanya golongan Cina. Ini kerana, apabila dikatakan nurseri tentunya di dalamnya terdapat taman yang mengandungi pelbagai jenis pokok yang disusun indah seperti pokok herba, hiasan dan pokok bunga.

Menurut Pengurus Morning Garden, Tengku A. Rahim bin Tengku A. Kadir atau Pok Ku, 56, dari Kampung Kubang Batang, Wakaf Baharu, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin berkata, dia pada asasnya tidak berminat dengan pembukaan nurseri itu kerana beliau merupakan seorang penjaja air pepsi secara kecil-kecilan.

“Semasa saya membawa air pepsi untuk dijaja kepada pembeli, saya tertarik dengan sebuah nurseri di Tanah Merah. Saya cuba membeli beberapa jenis pokok seperti pokok cabai untuk dibawa pulang.

“Manakala pada hari Jumaat pula saya menjaja air pepsi di Rantau Panjang. Kesempatan melihat beberapa pengusaha nurseri yang berjaya telah mendatangkan ilham kepada saya untuk menceburi dalam bidang yang sama. Bertolak dari situlah saya berhenti menjaja air pepsi apabila berjaya membuka nurseri walaupun secara kecil-kecilan”, ujarnya kepada RELATIF.

Menurutnya, sejak dari itulah iaitu pada tahun 2000 dia mula menubuhkan nurseri yang dinamakan Nurseri Morning Garden terletak di atas tanah miliknya sendiri di kampung itu bermodalkan keseluruhannya secara berdikit kira-kira RM100,000 dengan keluasan tanah kira-kira setengah ekar yang menempatkan pelbagai jenis pokok. 

Katanya menambah, untuk menubuhkan nurseri berkenaan terutamanya nurseri yang lebih baik bukan calang-calang. Ini kerana, sebelum dia mewujudkan nurseri berkenaan terlebih dahulu ketika remajanya beliau belajar dan mendalami tentang pokok, tetapi bukan cara-cara menanam pokok seperti kebanyakan pengusaha nurseri yang lain. Sebaliknya dia belajar bagaimana cara dan kaedah mengahwinkan pokok, cantuman dan tut pokok itu supaya tumbesaran pokok lebih sempurna dan kelihatan menarik di negara jiran, Thailand.

Sementelah pula pengalaman semasa mudanya yang pernah mengambil upah di sebuah estet di Kerilla, Temangan pada ketika remajanya. Katanya, beliau mempunyai asas tentang pokok namun pada masa itu masih belum mempunyai modal lagi. Disebabkan hal itu beliau terpaksa pendamkan hasratnya itu setelah modal yang diharapkan diperolehi yang sememangnya untuk pembukaan sesuatu nurseri memerlukan tempat dan modal yang mencukupi untuk membeli dan menempatkan pokok-pokok yang dimaksudkan.

Pada masa yang sama, dia berkhidmat dengan pihak istana Negeri Sembilan. Disebabkan terdapatnya masalah, ada di antara pekerja itu terpaksa berhenti termasuk beliau. Beliau yang memperolehi pampasan kira-kira RM50,000 berusaha membeli van, lori dan keperluan yang lain untuk tujuan penubuhan nurseri itu.

“Jumlah pokok yang ada di nurseri saya ini melebihi 50 jenis atau mungkin lebih dari 100 pokok. Semua pokok yang diperlukan oleh peminat dan pembeli ada di nurseri saya ini”, ujarnya.

Menurutnya, di antara pokok-pokok yang dibelinya di awal pembukaan nurserinya itu adalah pokok bunga yang dibelinya di Cameron Highlands. Di antara pokok bunga awal yang dibelinya seperti bunga ros, daisy, lavenda dan sebagainya. Banyak nama dan jenis bunga yang dibelinya tetapi beliau tidak sempat menyenaraikannya satu persatu.

“Ketika pembukaan nurseri ini, hanya pokok-pokok bunga yang dibawa masuk berbanding dengan pokok-pokok yang lain. Ini kerana, bunga adalah tarikan manusia kerana manusia melihat bunga adalah sesuatu yang indah, cantik dan menarik”, jelasnya.

Selepas pokok-pokok bunga agak banyak di taman nurserinya, pada tahun 2000 itu juga beliau membeli beberapa jenis pokok lain seperti herba, hiasan dan sebagainya sebagai tambahan.

Menceritakan harga pokok-pokok yang dibelinya di Cameron Highlands pada ketika itu ialah kira-kira RM3 sahaja tetapi sekarang setahunya telah dinaikkan harga sehingga RM6 malah terdapat beberapa jenis pokok dinaikan sehingga RM10 (sepokok).

Kata Tengku A. Rahim lagi, selain pokoknya diperolehi di Cameron Highland, beliau juga turut mendapatkan bekalan dan anak-anak pokok dari Johor, Thailand selain dari Rantau Panjang dan Mundok yang diperolehinya sendiri untuk dibawa masuk ke nurserinya. Di antara pokok-pokok buah-buahan yang lazim dijualnya seperti pokok rambutan, durian, mangga, anggur, kelapa (kelapa pandan, berangan, mawar, jelly) dan banyak lagi.

Manakala pokok puding (angsa, mayang mengurai, katak dan kura-kura). Pokok hiasan pula seperti pokok karpet ramai yang mempunyai ramai peminatnya tersendiri. Jika pembeli memperolehinya dalam jumlah yang sedikit dijualnya dengan harga RM4, tetapi jika dibeli dalam jumlah yang banyak dijualnya dengan harga RM3.

Sementara pokok herba pula terdiri dari mas cotek, tongkat ali, misai kucing, belalai gajah, pokok ajaib. Katanya, beliau memperolehi pokok-pokok herba berkenaan di tempat-tempat itu dengan harga RM2-50 dan dijual dengan harga RM5.

Walau bagaimanapun menurutnya, jualan pokok herba agak kurang diminati pembeli di kampung itu berikutan terdapat di kalangan masyarakat yang masih tidak mempercayai khasiat herba itu. Tetapi pembeli yang paling ramai adalah di kalangan pengamal rawatan tradisional dan pembuat minyak urut. Di antara pokok herba yang paling laris adalah “pokok ajaib”.

“Sambutan pembeli terhadap pokok-pokok yang ada di nurseri saya setakat ini, Alhamdulillah agak memberangsangkan.

“Walau bagaimanapun, saya amat jarang menjual pokok-pokok di nurseri saya ini. Saya lebih menumpukan jualan pokok-pokok ini di pasar pagi. Misalnya hari Sabtu ke Bachok, Ahad ke Geting, Tumpat, Khamis ke Jeli, Kelantan dan  Jumaat ke Kuala Balah, Jeli”, ujarnya.

Walau bagaimanapun, lazimnya pokok-pokok berkenaan dijual di nurserinya apabila pokok-pokok yang ditempahnya tiba di nurserinya pada hari Rabu. Ketika itu memang agak ramai pembeli sedang menunggu di laman nurserinya apatah lagi yang tiba itu adalah pokok-pokok baharu yang masih segar. Bukan itu sahaja, pemborong pokok juga tidak ketinggalan membeli dalam jumlah yang banyak di nurserinya pada hari itu.

“Nurseri saya juga turut menjual baja untuk keperluan pokok. Cuma saya tidak mengkhususkan jualan pasu disebabkan bekalan pasu sukar diperolehi”, kata Tengku A. Rahim.

Tentang baja berkenaan, Tengku A. Rahim menjelaskan, banyak baja yang digunakan berdasarkan kepada kategori pokok-pokok. Misalnya jenis baja sepeti Rambo dan baja K. Katanya, fungsi baja itu adalah untuk anak pokok, subur, akar, daun dan buah.

Dari segi warna baja memang berbeza misalnya baja daun (warna hijau), bunga (merah), buah (biru), baja single (satu warna sahaja). Baja juga boleh dicampurkan dalam kategori tertentu seperti baja 3 dalam 1.

Menurutnya, baja dalam paket dijualnya dengan harga RM5. Manakala baja organik (baja timbang) dijual dengan harga RM2 sahaja. Baja organik ini amat sesuai untuk semua jenis pokok. Sementara tentang penggunaan pasir pula, kadang-kadang pasir diperlukan hanya 1/3 sahaja yang bertindak untuk mengalirkan air (bimbang bertakung dalam pasu). Tetapi kalau guna sabut saja adalah lebih baik lagi (sebab di bahagian atas memang kering, bahagian bawah adalah basah, sesuai untuk pokok).

“Bagi saya, di antara penggunaan pasir, tanah dan sabut, pokok bunga amat sesuai menggunakan tanah dan sabut kerana ia membantu pepeluhan air tetapi tidak menakung air”, katanya.

Ditanya tentang pembukaan nurseri dan pengwujudan laman web di internet sebagai media paling baik untuk mempromosi nursery yang dikembangkannya itu, dia tidak begitu berminat dengan penggunaan teknologi itu yang dianggapnya rumit berbanding jualan pokok secara terus kepada pembeli.

Membicarakan tentang pembeli pula, dia tidak dapat memberikan anggarannya. Namun, daripada pemerhatiannya, kaum lelaki dan wanita mempunyai minat yang hampir sama terhadap pokok yang pernah datang ke nurserinya. Misalnya bagi lelaki minat terhadap pokok bonsai. Walaupun harganya beratus ringgit, mereka sanggup membelinya walaupun dianggap mahal. Sementara wanita pula gemarkan kepada pokok hiasan dan pokok bunga-bungaan.

“Di antara pokok bunga yang paling laris dan sering mendapat permintaan yang tinggi dari pembeli wanita setakat ini ialah bunga ros. Pokok bunga ros begitu laris kerana pokok berkenaan amat menarik dari segi warnanya, sementelah jenis bunga ros yang baharu mempunyai banyak warna (kuning, putih purple, pink dan merah).

“Sementara, pengalaman saya ketika menjual di kawasan Jeli, Kelantan, saya pernah membawa 100 jenis pokok, semuanya habis dibeli”, ujar Tengku A. Rahim lagi.

Ditanya tentang susunan pokok-pokok untuk ditempatkan di nurserinya setelah pokok-pokok terbabit tiba, dia akan melihat keadaan tempat itu untuk menyusun bunga mana yang paling sesuai di kawasan itu bagi menarik minat pembeli. Misalnya, terdapat jenis bunga yang perlukan landskap batu, bunga ros pula perlukan tempat yang agak teduh, sementara bunga-bunga yang lain boleh diletakkan di tenpat yang paling panas kerana bunga-bunga berkenaan tahan kepada cuaca panas.

Terdapat pokok bunga yang begitu tahan apabila terkena air yang terlalu banyak (seperti hujan lebat). Misalnya pokok bunga kaktus dan kemboja memang tidak perlukan kehadiran air yang banyak, kalau tidak pokok bunga ini akan mati (musim panas dan kemarau, pokok bunga ini sesuai dan tahan dengan cuaca seperti itu). Jadi, jika hujan turun dia akan mengalihkan pokok bunga kaktus dan kemboja ke tempat yang agak teduh dan bebas dari hujan. 

Sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Tengku A. Rahim bin
Tengku A. Kadir di talian: 017-9750026

Tengku A. Rahim bin Tengku A. Kadir atau Pok Ku.
   
Tengku A. Rahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF di Nurseri Morning Garden.

Lori yang digunakan untuk mengangkut pokok-pokok ke promosi jualan yang jauh.










Inilah sebahagian pokok bunga, hiasan dan herba di Nurseri Morning Garden.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

1 ulasan: