RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Rabu, 1 Julai 2015

Pulau Impian (Pasir Mas)


PULAU IMPIAN
(PASIR MAS)


PASIR MAS, KELANTAN: Kalau di Kedah terkenal dengan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau yang unik malah terdapat pelbagai cerita yang menarik tentang pulau itu. Tetapi tahukah anda bahawa, Kelantan juga tidak kurang dengan pulau-pulaunya yang menarik yang tidak diketahui oleh kebanyakan warga Kelantan itu sendiri. Salah satu pulau yang lebih dikenali sebagai “Fantasy Island Kelantan” atau Pulau Impian memang wujud sejak dulu yang letaknya di Kampung Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan.

Kalau Danau Tok Uban mempunyai keindahan tasiknya yang mempesonakan juga terletak di Pasir Mas, tetapi Pulau Impian juga tidak kurang dengan persekitaran dan tasik yang menarik mata memandang. Apatah lagi, Pulau Impian itu sendiri melingkari keseluruhan kawasan itu, sehinggakan digelarkan sebagai sebuah pulau yang hakikatnya tidak diketahui oleh seluruh warga Kelantan itu sendiri.

Menyedari tentang unik sehinggakan digelar sebagai "Fantasy Island Kelantan", Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim sempat menjejak dan menemui penduduk jatinya, Siti Fatimah Abdul Ghani (Siti), 27, dan Mohd. Zawawi bin Musa (Awie), 37. Menariknya, RELATIF adalah media pertama yang menemui pulau itu untuk dititipkan kepada umum tentang hakikat di sebaliknya.

“Pulau Impian telah wujud sejak sebelum tahun 1957, ketika itu saya masih lagi kanak-kanak.

“Kawasan ini pada masa dulu adalah tempat peliharaan pelbagai jenis kucing. Pernah menjadi kawasan perkhemahan dan tempat paling menarik ditemui di Kelantan”, ujar Siti Fatimah Abdul Ghani kepada Wartawan RELATIF.

Sambungnya, salah seorang peneroka asal yang menemui dan mengetahui tentang Pulau Impian ialah dikenali Tok Adam. Disebabkan Tok Adam adalah orang bertanggungjawab meneroka dan membangunkan pulau berkenaan, beliau telah menamakan pulau berkenaan pada masa itu sebagai “Pulau Impian Tok Adam”.

Ditanya, adakah Pulau Impian mempunyai kaitan dengan Danau Tok Uban yang letaknya di Kampung Rasal, Pasir Mas. Beliau menjelaskan, Pulau Impian dengan Danau Tok Uban adalah dari pulau yang sama, tasik yang mengalir adalah tasik yang sama juga. Ini kerana, tasik yang terdapat di Pulau Impian bersambung dengan tasik yang terdapat di Danau Tok Uban itu.

“Selepas Tok Adam menemui, meneroka dan membangunkan kawasan Pulau Impian ini, selepas itu Tok Hussein pula yang datang diikuti Tok Amin selepas itu”, ujar Siti Fatimah.

Menurutnya, orang luar dari Pulau Impian memang mengetahui tentang kewujudan Pulau Impian sejak dulu sebagai sebuah pulau yang menarik ketika itu, hairannya Pulau Impian tidak membangun tidak sebagaimana di Danau Tok Uban yang pernah menjadi kawasan perkelahan dan perkhemahan tersohor pada masa dulu. Dalam hal ini menurutnya, disebabkan Pulau Impian menjadi milik persendirian, jadi mungkin kerajaan sukar untuk membangunkannya sebagaimana di Danau Tok Uban itu.

Katanya, Pulau Impian bukan sahaja cantik dan menarik terutamanya tentang aliran air tasiknya agak jernih dan bersih memang memukau pandangan.

Menurut Siti Fatimah terdapat pelbagai jenis ikan yang menghuni dalam tasik di Pulau Impian seperti ikan toman, baung, jelawat, lampam dan sebarau. Malah katanya, kebanyakan penduduk Pulau Impian dan di Kampung Rong Chenok sendiri sememangnya seratus peratus bergantung hidup kepada tasik berkenaan yang menampung pelbagai jenis ikan air tawar sebagai sumber rezeki mereka sendiri.

Jelas Siti Fatimah lagi, merekalah nelayan kecil yang masih menggunakan pukat tradisional dan pancing semata-mata untuk mendapatkan ikan-ikan yang menjadi sumber rezeki mereka. Selain itu katanya, Pulau Impian sejak dulu sehingga kini menjadi tumpuan kaki pancing kerana golongan berkenaan mengetahui terdapatnya spesis ikan besar yang menghuni dalam tasik di Pulau Impian itu.

Apabila ditanya, adakah pihak media yang pernah membuat laporan awal di Pulau Impian? Beliau menjelaskan, setahunya tiada media yang datang ke Pulau Impian untuk membuat liputan tentang pulau berkenaan. Maka majalah RELATIF dan Siar.TV adalah majalah web yang terawal datang membuat liputan di Pulau Impian berkenaan.

“Setahu saya, tiada media yang datang ke pulau ini selain RELATIF dan Siar.TV yang bertandang membuat liputan ketika ini”, cetus Siti Fatimah.

Katanya, beliau berharap Pulau Impian tidak lagi sebagaimana sekarang yang didapati terbiar tanpa pembangunan. Harapannya supaya ada pihak-pihak yang datang melihat tempat berkenaan dan membangunkannya sebagai tempat peranginan dan pelancongan menarik.

Rugilah katanya, jika lokasi peranginan menarik terbiar begitu tanpa sebarang usaha untuk menjadikan pulau berkenaan lebih dikenali. Beliau amat berharap supaya RELATIF mengetengahkan hal berkenaan kepada umum supaya orang di luar sana  mengetahui bahawa di Kelantan ini terdapat kawasan “Fantasy Island” yang terlindung dari pengetahuan umum.

Beliau mencadangkan, jika ada pihak yang ingin membangunkan kawasan Pulau Impian patut menjadikan satu kawasan kaki pancing, taman, tempat berehat, perkhemahan supaya dapat saling berkongsi rezeki dengan mewujudkan beberapa gerai dan tempat-tempat untuk penduduk berniaga. Katanya, jika ada idea yang menarik, tentunya Pulau Impian akan menjadi bertambah menarik.

Sementara itu, menurut salah seorang penduduk, Mohd. Zawawi Musa, 37, atau Awie berkata, Pulau Impian sememangnya telah wujud sejak awal dan apabila beliau dilahirkan pulau berkenaan telah mendapat namanya.

“Pulau Impian ini memang bercantum dengan Danau Tok Uban yang terletak di Kampung Rasal kerana Kampung Rong Chenok adalah dalam daerah yang sama. Dengan kata lain, tasik Pulau Impian ini sememangnya bercantum dengan tasik di Danau Tok Uban itu” jelasnya sambil menunjukkan jarinya ke arah pulau berkenaan.

Membicarakan tentang banjir pula, sebelum banjir buruk Disember 2014 melanda Pulau Impian, Pulau Impian boleh dikatakan sebuah tempat peranginan yang menarik bukan dari konteks pemandangannya tetapi keadaan tasiknya yang jernih dan jauh mata memandang.

Pulau Impian boleh dianggapkan sebagai “Fantasy Island Kelantan” kerana tiada lagi tempat lain yang dianggap cantik dan menarik kecuali yang terdapat di Pulau Impian yang terletak di Kampung Rong Chenok. Berdasarkan kepada pandangan Mohd. Zawawi, keindahan Pulau Impian hampir menyamai keindahan yang terdapat di Danau Tok Uban, cuma perbezaan paling ketara adalah dari segi keluasannya.

Kata Mohd. Zawawi lagi, dia juga berasa terkilan apabila banjir besar 2014 dikenali “bah kuning” telah menyebabkan Pulau Impian hilang serinya kerana dirubah banjir itu. Kawasan yang menarik tentang pasir dan tasiknya terus berubah apabila banjir menyapu bersih tempat-tempat yang dikatakan menarik itu.

Sambungnya, tanah di kawasan Pulau Impian adalah tanah “hak persendirian”, apabila lokasi berkenaan telah rosak, menyebabkan pemilik tanah berkenaan tidak lagi mempedulikan atau memberikan perhatian terhadap kerosakan akibat dilanda banjir itu, dengan kata lain pemiliknya telah putus semangat.

“Bagi saya, jika kerajaan mengambil peranan memaju dan membangunkan kembali kawasan Pulau Impian ini, berkemungkinan pelancong akan sentiasa bertumpu ke sini”, jelas Mohd. Zawawi.

Dari segi keluasan Pulau Impian menurut kacamata Mohd. Zawawi, pulau berkenaan memang agak luas. Ini kerana, tempat berkenaan dikelilingi pulau berbeza pula dengan Danau Tok Uban. Ini bermakna tempat temubual antara Penulis dengan beliau adalah dikelilingi tasik dan pulau.

Apabila ditanya tentang pengunjung yang pernah datang ke Pulau Impian, kebanyakan pemilik tanah di Pulau Impian adalah kepunyaan orang-orang kenamaan dan salah seorang yang dikenalinya ialah Datuk Buniyamin.

Manakala sesetengah masyarakat luar seperti kaki pancing memang telah beberapa kali datang ke Pulau Impian bukanlah ingin menyaksikan pemandangan pulau itu tetapi golongan berkenaan datang bertujuan memancing, kerana banyak ikan yang segar dan besar tinggal dalam tasik di Pulau Impian. Sementara segelintirnya pula semata-mata datang untuk mempelajari bidang keagamaan di Institut Pendidikan Tahfiz Al-Balaghulmubin itu.

Ditanya tentang masyarakat luar bahawa Pulau Impian adalah Fantasy Island Kelantan, kebanyakan penduduk di Kelantan tidak mengetahui Pulau Impian ini adalah tempat yang menarik yang boleh dijadikan kawasan rehat, rehlah, perkelahan dan perkhemahan. Cuma bagi segelintir penduduk hanya mengetahui tentang adanya Institut Pendidikan Tahfiz Al-Balaghulmubin dan golongan pemancing pula mengetahui adanya ikan-ikan yang besar dalam tasik itu. Kalau di Danau Tok Uban pula, mereka dilarang untuk memancing tetapi tidak di Pulau Impian.

Pulau Impian pada masa dulu pernah dijadikan tempat berkursus, tetapi apabila pengasasnya telah meninggal menyebabkan kawasan berkenaan terbiar dan tidak lagi dikunjungi. Misalnya sebuah kem yang agak tersohor pada masa itu, kini agak terbiar dan tidak lagi diberikan perhatian.

Siti Fatimah Abdul Ghani atau Siti (kanan) ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Mohd. Zawawi Musa atau Awie (kanan) ketika ditemubual Wartawan RELATIF.







Beginilah keadaan Pulau Impian selepas banjir pada Disember 2014 lalu.

Institut Pendidikan Tahfiz Al-Balaghulmubin di Pulau Impian.



Tonton Video:

1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan