RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Khamis, 30 Julai 2015

Nurseri Mat Pasu


NURSERI MAT PASU


WAKAF BAHARU, KELANTAN: Sudah semakin ramai di kalangan bumiputera yang bergiat di bidang nurseri khususnya di negeri Kelantan. Kelantan yang terkenal dengan tanah-tanihnya yang subur memang sesuai ditanam dengan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan seperti pokok buah-buahan, hiasan, bunga-bungaan dan herba. Bukan itu saja, pokok herba dan ulam seperti bawang merah, bawang besar dan bawang putih amat sesuai ditanam jika dibuat batas dan disiram dengan air yang secukupnya.

Namun, kelebihan dalam mengusahakan nurseri apabila pokok-pokok yang sesuai dalam kategori ini memang telah disiapkan dengan kelengkapannya seperti pasu, baja dan tanah yang sesuai untuk tumbuh-tumbuhan itu. Bahkan, ia boleh dibeli dengan harga yang murah dan berpatutan yang sememangnya mampu dibeli oleh peminat-peminatnya.

Sejarah pembukaan nurseri memang panjang. Ada di kalangan bumiputera yang berusaha mencari pengalaman untuk tujuan itu. Namun, terdapat di kalangan pengusaha nurseri yang dimaksudkan telah mengusahakannya sejak dari tahun 1970-an lagi. Pengusaha Nurseri Mat Pasu, Mohamad bin Wan Yusof, 66, atau Mat Pasu dari Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baharu, Kelantan misalnya telah mengusahakan nurserinya itu sejak dari tahun 1975 lagi.

“Saya buka nurseri ini ketika masih berkhidmat dalam Felcra lagi. Disebabkan saya selalu ke tempat yang jauh, adalah baik diwujudkan nurseri terbabit”, ujarnya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim baru-baru ini.

Katanya, dia begitu berminat dengan pembukaan nurseri berkenaan apabila pokok-pokok hidup subur dalam barisan yang agak cantik apabila melihatnya dari pelbagai sudut. Menurutnya, dalam segi kos untuk mewujudkan nurseri pada tahun 1970-an itu adalah dalam sekitar RM500 sahaja. Manakala kos yang diperlukan pada tahun 2015 ini adalah sebanyak RM20,000.

Tambah Mat Pasu lagi, kebanyakan pokok yang ada di nurserinya itu didatangkan dari negara jiran (Thailand) kerana Kelantan bersempadan dengan negara itu, memudahkan pokok-pokok dari negara terbabit dibawa masuk ke Kelantan. Jadi, beliau menempahnya dari sebuah syarikat di Rantau Panjang yang mengimpot pokok-pokok tersebut dari Thailand itu. Lazimnya, apabila dibuat tempahan, pihak pembekal akan membawa ke nurserinya sebagaimana yang dijanjikan dan beliau tidak perlu ke sana untuk mendapatkannya.

Selepas tiba di nurserinya dia akan membiak baka pokok-pokok tersebut supaya menjadi bertambah subur. Dia tidak memerlukan khidmat asas lain seperti membiak baka pokok itu kerana beliau sebagai penjawat awam ketika itu sudah mahir dalam bidang membiak tumbuh-tumbuhan.

Di antara pokok yang ada di nurserinya seperti keladi pisang (RM250), Draco (sejenis pokok dari Mexico yang dibawa masuk oleh pembekal dari Thailand, harganya yang besar RM200, sementara yang kecil RM40), pokok pinang, keladi merah, pokok herba (mas cotek, belalai gajah).

Menurut Mat Pasu, pokok herba seperti pokok belalai gajah berkhasiat untuk mencuci buah pinggang dan jantung manusia dengan cara merebus dan meminumnya sebanyak tiga kali sehari. Selain itu, pada masa dulu pokok tongkat ali juga dijual di nurserinya, tetapi kini pokok tersebut tiada lagi. Sementara pokok herba seperti lidah jin dan pokok ajaib turut dijualnya dan ada peminatnya yang tersendiri.

Apabila ditanya tentang “pokok mata jin” untuk merawat penyakit batu karang, dia tidak menjual pokok tersebut, tetapi pernah ada pembeli yang bertanya kepadanya tentang pokok itu sebelum ini.

“Dari segi tempahan pula khususnya oleh pihak sekolah, saya menetapkan diskaun, namun jika pihak berkenaan beria-ia, saya akan menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus dari harga biasa”, ujarnya apabila ditanya tentang potongan harga terhadap beberapa jenis tumbuh-tumbuhan itu.

Selain pokok herba, beberapa jenis pokok lain turut dijual kepada peminat dan pembeli seperti pokok bunga, buah-buahan, hiasan dan pokok karpet. Misalnya pokok bunga menurutnya akan hidup subur dan berbunga mengikut musim. Apabila keadaan kemarau, pokok berkenaan akan berbunga dan apabila hujan semua bunga akan gugur semuanya. Di antara pokok bunga yang pernah dijualnya seperti pokok kemuning.   

Di antara pokok yang paling laris dan mendapat perhatian di kalangan pembeli adalah pokok tin. Katanya, pokok tin ini sejenis pokok baharu yang dibawa masuk. Mungkin disebabkan pokok berkenaan terlalu sukar diperolehi menyebabkannya terlalu laris di pasaran sekarang. Sementara pokok-pokok lain terdiri dari kelapa, palm dan sebagainya

“Pokok buah-buahan seperti rambutan dan manggis misalnya, kebanyakan pokok-pokok ini didatangkan dari Thailand dan kita (Kelantan) tidak membiak bakanya”, ujar Mat Pasu.

Ditanya tentang kebanyakan pokok-pokok buah-buahan semuanya didatangkan dari Thailand tetapi tidak ditemui pokok-pokok dari Kelantan. Beliau menjelaskan, kebanyakan benih pokok buah-buahan adalah dari Kelantan disemai di Thailand yang akhirnya dibeli oleh penduduk Kelantan pula. Ada juga di kalangan penduduk kampung yang turut menyemai pokok berkenaan, namun tidak sesuai untuk dikomersialkan atas pelbagai sebab tertentu. Salah satu sebabnya ialah pihak pertanian kita tidak menumpukan ke arah bidang semaian untuk tujuan komersial berbanding negara Thailand.

Sementara berhubung dengan pokok hiasan menurut Mat Pasu, kebanyakan pembeli membeli pokok hiasan disebabkan minat mereka kepada hiasan sama ada untuk mewujudkan taman atau kebun bunga atau hiasan (landskap). Jadi menurutnya, pada katika ini pokok hiasan dikatakan begitu laris dan ramai peminatnya yang datang ke nurserinya.

Manakala pokok lain pula terdiri dari pokok Rosida Batik. Pokok Rosida Batik adalah pokok hiasan yang boleh dijadikan sebagai tempat untuk berteduh dari sebarang cuaca sama ada panas matahari dan hujan disebabkan daunnya yang merimbun.

“Sebelum ini, saya pernah menjual pokok karpet itu, tetapi disebabkan tiada sambutan saya tidak lagi menjualnya”, katanya apabila ditanya tentang pokok karpet yang dikatakan di sesetengah nurseri begitu laris terhadap pokok jenis itu.

Menurutnya, di antara pembeli yang paling ramai adalah dari luar Kelantan seperti dari Terengganu. Sementara dari luar Wakaf Baharu ini seperti dari Pasir Mas. Manakala pembeli tempatan lazimnya di kalangan pihak sekolah yang ingin mewujudkan taman bunga dan herba. Misalnya pokok yang sering dibeli adalah pokok palm dan herba.

“Kebanyakan lelaki berminat membeli pokok buah-buahan dan hiasan. Sementara wanita pula gemar kepada pokok-pokok bunga”, ujarnya.

Mat Pasu menambah, selain pelbagai jenis pokok dijual di nurserinya, dia juga turut menjual pelbagai jenis baja pokok. Baja-baja ini dihantar oleh pihak pembekal ke nurserinya apabila pihaknya membuat tempahan tersebut.

Dari segi harga jualan pula, bagi baja yang beratnya 400 gram dijualnya dengan harga RM5. Sementara tanah untuk pokok yang didatangkan dari negeri Perak dijualnya dengan harga RM2-50 (satu beg).

Menurutnya, sememangnya kebanyakan baja dan tanah untuk kegunaan pokok didatangkan dari luar Kelantan terutamanya dari Perak kerana negeri berkenaan tempat pemprosesan bahan-bahan itu. Walau bagaimanapun, di Kelantan sendiri bekalan baja dan tanah diproses sendiri oleh kalangan penduduk-penduduk kampung.

Apabila ditanya, kenapa kebanyakan baja dan tanah untuk pokok didatangkan dari Perak tidak diproses di Kelantan sendiri secara komersial disebabkan baja dan tanah dari Perak itu amat sesuai untuk kegunaan pokok. Sementara baja dan tanah pernah diproses di Jalan Pasir Hor, Kota Bharu tetapi tidak sesuai untuk kegunaan pokok-pokok.

Dalam pada itu, dia juga turut menjual pasu bunga di mana bekalan pasu-pasu berkenaan diperolehinya dari negeri Perak yang dijualnya dengan harga RM5 (1 buah) dan RM8 (2 buah).

Sementara, bagi pasu nombor satu dijualnya dengan harga RM15, sementara bagi pasu bunga yang agak baik dijualnya dengan harga RM25 (sebuah).

Apabila ditanya, adakah golongan remaja tidak berminat dengan nurseri melihatkan kebanyakan pembukaan nurseri di banyak tempat di Kelantan ini dimonopili oleh golongan veteran dan telah lanjut usia. Dia amat setuju dengan pendapat Penulis, kerana tiada golongan belia dan remaja yang berminat untuk menceburi pembukaan nurseri. Mungkin mereka tiada pengalaman dengan tumbuh-tumbuhan yang dianggap terlalu rumit dan sukar diberikan perhatian sehingga golongan terbabit tidak menceburi bidang berkenaan.

Mohamad bin Wan Yusof atau Mat Pasu boleh dihubungi di talian: 019-9498133

Mohamad bin Wan Yusof atau Mat Pasu.

Mat Pasu ketika ditemubual Wartawan RELATIF di nurserinya.

Inilah premis atau nurseri milik Mat Pasu yang terletak di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Baharu, Kelantan.












Sebahagian pokok bunga, buah-buahan, hiasan dan herba yang ada di Nurseri Mat Pasu.

 Tanah dan baja untuk pokok turut dijual.


Pasu juga dijual.



Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan