KG. KUBANG RAMBUTAN
(RANTAU PANJANG)
RANTAU PANJANG, KELANTAN:
Sesetengah kampung dinamakan berdasarkan kepada nama bukit. Malah terdapat juga
kampung diberi nama berdasarkan bongkah batu atau batu hampar besar. Namun
tidak kurang juga beberapa buah kampung dinamakan disebabkan kampung tersebut
banyak ditumbuhi tumbuh-tumbuhan renek dan sebagainya. Tetapi nama Kampung
Kubang Rambutan ini diberi nama kerana terdapat di kawasan terbabit sebuah
lubang besar tempat air bertakung dinamakan “kubang”, manakala rambutan pula
apabila terdapat sebatang pokok rambutan yang tumbang ke dalam kubang itu.
Sejak itu, kampung berkenaan dikenali sebagai Kampung Kubang Rambutan.
“Nama kampung ini Kampung Kubang
Rambutan disebabkan terdapatnya sebuah kubang besar yang letaknya di sebalik
serumpun buluh itu” jelas bekas Imam Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang,
Kelantan, Haji Mohammad bin Salleh, 80, sambil menunjukkan ke arah rumpunan
pohon buluh tempat temubual kami yang hanya beberapa meter saja dari lokasi
itu.
Ketika ditemui Wartawan RELATIF,
Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Haji Mohammad
menceritakan, pada masa dulu kubang tersebut pula adalah sebatang sungai yang
mengalir ke negara jiran (Thailand)
dan merupakan sebuah sungai yang mempunyai dua cabang di mana salah satu cabang
(laluan) sungai itu telah terputus. Sungai yang terputus itu pula lama kelamaan
menakung air lalu membentuk sebuah kubang (lubang tinggalan yang agak besar).
Katanya lagi, di dalam salah satu
sungai yang terputus (membentuk sebuah kubang) itu pula didapati sebatang pokok
rambutan yang tumbang. Jadi, ketika kampung berkenaan dibuka oleh individu
peneroka yang membuka kampung berkenaan melihat ada sebatang pokok rambutan
tumbang di dalam kubang besar itu, lantas kampung berkenaan dinamakan “Kampung
Kubang Rambutan” bersempena dengan pokok rambutan dan kubang yang dimaksudkan
itu.
Haji Mohammad berkata, setahunya
orang yang bertanggungjawab membuka kampung berkenaan hanya dikenali dengan
nama Tok Penghulu Bongsu (nama sebenar bernama Bongsu) yang merupakan seorang anak
yang bongsu. Beliau difahamkan, kampung berkenaan dibuka dalam tahun 1940-an
malah dia mengenali Tok Penghulu Bongsu ketika beliau mula-mula mendaftar
kelahirannya pada tahun 1948.
Apabila ditanya tentang jumlah
penduduk di kampung itu pada tahun pembukaan kampung berkenaan, beliau tidak
dapat memberikan anggaran sebenar. Namun, ketika beliau dipilih sebagai seorang
Imam pada tahun 1960, jumlah penduduk kampung itu kira-kira 150 buah rumah dan
jika dikira purata sebuah rumah dianggarkan kira-kira tiga belas orang bagi
setiap rumah.
“Jenis pekerjaan kebanyakan
pekerjaan penduduk kampung ini pada masa itu adalah menanam padi selain menoreh
getah sebagai pekerjaan utama bagi setiap penduduk.
“Manakala tanaman kelapa
sebagaimana yang dapat dilihat di sepanjang laluan di kampung itu adalah
tanaman yang baharu diperkenalkan dari kalangan generasi baharu yang menduduki
kampung ini”, ujarnya.
Ketika membicarakan tentang
aktiviti keagamaan berhubung dengan pendidikan Islam kesemua penduduk di
kampung itu, aktiviti berkenaan pada masa itu masih belum dilaksanakan lagi. Ia
dibawa ke kampung itu pada tahun 1957 iaitu ketika Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan.
Katanya, di antara Tuan Guru yang
turut bertanggungjawab menyiarkan Islam dikenali Tok Guru Abdullah dan Tuan
Guru Haji Omar yang memainkan peranan utama sehingga Islam berkembang dan
diterima umum.
Kini, Kampung Kubang Rambutan
telah berkembang pesat khususnya dari sudut aktiviti keagamaan dengan penubuhan
beberapa buah masjid di kampung bekenaan yang dikenali Masjid Kampung Kubang
Rambutan.
Justeru, dengan pembinaan masjid
berkenaan dapatlah ditingkatkan syiar Islam melalui aktiviti kuliah ilmu dan
tazkirah kepada penduduk setempat, selain sebagai tempat ibadat dan untuk
kegunaan solat lima
waktu, tarawikh dan aktiviti-aktiviti lain yang dianggap bermanfaat.
Wartawan RELATIF dan Jurufoto
juga sempat melakukan solat Zohor pada 27 Jun, 2015 baru-baru ini ketika
singgah di masjid berkenaan.
Haji Mohammad bin Salleh
Haji Mohammad bin Salleh ketika ditemubual Wartawan RELATIF di sebuah pondok rehat di tepi laluan umum Kampung Kubang Rambutan.
Gambar kenangan, Wartawan dan Jurufoto RELATIF.
Kubang rambutan itu letaknya di sebalik rimpunan pohon buluh ini.
Laluan umum di Kampung Kubang Rambutan.
Masjid Kampung Kubang Rambutan: Wartawan dan Jurufoto RELATIF pernah menunaikan solat Zohor di masjid ini pada 27.6.2015 lalu.
Papan tanda laluan ke Kampung Kubang Rambutan.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan