RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Ahad, 30 Ogos 2015

Nurseri Che Hashim Che Mah


NURSERI CHE HASHIM CHE MAH


TANAH MERAH, KELANTAN: Perniagaan di bidang nurseri memang menguntungkan walaupun sekadar tumbuh-tumbuhan. Namun, ketahuilah walaupun sekadar tumbuh-tumbuhan yang dianggap penyeri laman, tetapi peminat terhadap pokok-pokok buah-buahan, hiasan, bunga dan herba agak ramai juga. Mungkin pada awal menceburi bidang terbabit, akan wujud cabaran terhadapnya, tetapi percayalah ia hanya bersifat sementara.

Hal ini memang diakui sendiri oleh seorang Pembantu Pengurus Nurseri Che Hashim Che Mah, Rodiah binti Mamat, 46, dari Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim baru-baru ini.

Katanya, pengalamannya dalam nurserinya itu yang mula ditubuh dan beroperasi pada bulan April tahun 2013 dianggap satu cabaran yang agak hebat. Ketika mula-mula beroperasi di Kampung Lalang Pepuyu itu hanya pokok buah-buahan seperti rambutan, dokong dan mangga dibekalkan. Sementara pokok bunga mula dijual di nurserinya pada tahun 2014.

Sementara pokok hiasan seperti pokok kemboja dan bunga kertas adalah dalam ala kadar sahaja kerana itu yang sekadar mampu disediakannya.Namun, dia tidak menjual pokok herba. Bukan bermaksud dia tidak berminat dengan pokok herba, sebaliknya pokok berkenaan kehabisan bekalan dan untuk mendapatkan bekalan baharu memang terlalu sukar. Dalam hal ini, dia sememangnya agak kecewa disebabkan ramai pelanggannya yang sering bertanya tentang pokok herba itu.

“Pokok herba sudah lama kehabisan bekalan. Untuk mendapat bekalan baharu agakr sukar. Kak Yah memang agak kecewa kerana pelanggan sering bertanya tentang pokok ini”, katanya.

Menurut Rodiah, ketika nurserinya mula-mula beroperasi di kampung itu, modal yang diperlukan untuk mewujudkan nurseri pada tahun 2013 itu adalah sebanyak RM20,000. Tetapi pada tahun 2015 ini, modal yang diperlukan adalah kira-kira RM100,000. Peningkatan harga setiap pokok dari RM10 pada masa dulu, kini memerlukan mencecah RM50.

“Harga borong pokok-pokok di nurseri ini adalah RM2-50. Tetapi jika jualan runcit, bergantung kepada pokok itu sendiri.

“Kalau pokok bunga ros dijual dengan harga RM6. Sementara pokok-pokok yang lain dijual di antara RM9 atau RM10”, ujarnya lagi.

Menurut Rodiah, kebanyakan pokok-pokok dibekalkan atau didatangkan dari Thailand. Pihak pembekal akan menghantarkannya apabila ditempah dan setelah melunaskan semua bayaran. Selain itu, dia kini banyak menjual pokok kelapa yang cepat berbuah yang khusus didatangkan dari Bangkok (Thailand) dan Johor.

Sementara menurutnya, dari apa yang diperhatikannya, di antara jenis-jenis pokok yang digemari ialah pokok bunga. Katanya, minat kepada pokok bunga ini bukan sahaja menjadi tumpuan di kalangan kaum wanita sahaja, sebaliknya kaum lelaki juga menjurus ke arah yang sama.

“Pokok kemboja adalah pokok yang paling digemari pelanggan Kak Yah. Hal ini disebabkan, pokok kemboja amat menarik perhatian. Namun, ada juga yang minat kepada bunga orkid.

“Sekarang ini, jualan bunga orkid agak memberangsangkan, kerana bentuk bunganya juga menarik, apatah lagi pokok bunga orkid sentiasa subur dan sesuai dalam pelbagai keadaan”, ujarnya.

Walau bagaimanapun menurutnya, setiap pokok yang ada di nurserinya sentiasa menjadi pilihan pelanggannya berdasarkan kepada pandangan masing-masing. Sebab itulah, dia cuba mempelbagaikan jenis-jenis pokok kerana tahap minat di kalangan pelanggannya sememangnya berbeza.

Bercakap tentang keuntungan dalam bidang nurseri berkenaan, bidang nurseri memberikan keuntungan kepada peniaga kerana pelanggan sentiasa memerlukan pokok yang diinginkan seperti pokok buah-buahan, bunga, hiasan dan herba.

Menurutnya, dengan hanya bermodalkan RM20,000 (permulaan), perolehan pendapatan dari jualan melebihi dari nilai modal kerana pelanggan sentiasa datang membeli.

“Purata kehadiran pelanggan dalam sehari kadang-kadang mencapai 20 orang, ini bergantung kepada hari cuti mingguan (Jumaat dan Sabtu).

“Jika hari-hari biasa (seperti hari bekerja) pelanggan kadang-kadang boleh dibilang dengan jari malah kadang-kadang tiada seorang pun yang datang pernah berlaku.

“Dari segi purata perolehan pendapatan sehari, kadang-kadang mencapai RM2,000 sehari dan kadang-kadang RM5,000 memang tidak menentu”, kata Rodiah lagi.

Menurutnya, dia tidak berhasrat menjual baja. Ini kerana, baja yang dapat dilihat di nurserinya itu adalah untuk kegunaan pihaknya semata-mata. Malah jika pelanggan-pelanggannya ingin membeli baja-baja terbabit, dia tidak menjual sebagaimana dalam kampit dan bungkusan asal, sebaliknya dijualnya secara sedikit-sedikit sahaja.

Malah menurutnya, selain baja, dia juga tidak menjual pasu kepada pelanggan-pelanggannya walau walaupun ada permintaan terhadapnya. Pasu itu katanya hanya digunakan untuknya sendiri.

Ditanya tentang adakah berhasrat untuk menjual baja dan pasu secara komersial. Dia menjelaskan, jika ada modal yang mencukupi ke arah itu, mungkin keinginan itu ada. Katanya, pada masa dulu dia pernah meletakkan pasu di bahagian hadapan nurserinya. Namun, apabila wujudnya aktiviti mencuri pasu-pasunya oleh individu yang tidak bertanggungjawab, jadi keinginannya untuk menjual pasu-pasu itu hilang. Hal ini pernah dilihatnya beberapa kali apabila ada individu yang memunggahnya melalui lori dan kereta dari nurserinya.

“Kebanyakan pelanggan Kak Yah terdiri dari luar Kelantan seperti dari Terengganu. Namun, Kak Yah tidak pernah melihat pelanggan dari kalangan warga tempatan datang ke nursery ini, mungkin tidak berminat dengannya”, ujarnya.

Apabila ditanya, kenapa pelanggan dari luar Kelantan tahu beliau sebagai peniaga nurseri. Katanya, kebanyakan maklumat berkenaan dari mulut ke mulut, apatah lagi harga yang ditawarkannya agak rendah berbanding dengan nurseri yang lain.

Misalnya, jika di nurseri lain dijual dengan harga RM7, tetapi di nurserinya boleh dibeli dengan harga RM5 sahaja. Sebab menurutnya, dia tidak tergamak untuk meletakkan harga yang tinggi kerana kebanyakan pokok-pokok lazimnya dengan harga pasaran sebanyak itu. Malah jika ada pelanggan minta dikurangkan harga, kadang-kadang untuk tidak mengecewakan pelanggannya yang berharap, terpaksalah beliau menurunkan harga tersebut sebagaimana permintaan pelanggannya.

Ditanya tentang pelanggannya yang kerap datang, adakah pembeli yang sama. Katanya, lazimnya pelanggannya sentiasa berubah. Namun, terdapat juga pelanggan yang pernah datang membeli di nurserinya akan datang lagi seminggu selepas itu. Namun, jika dikatakan pelanggan tetap memang ada dan pastinya mereka tentunya tidak akan ke nurseri yang lain di kampung itu.

“Purata pelanggan Kak Yah sejak dari tahun 2013 sehingga sekarang memang agak ramai. Rasanya sudah lebih 1,000 orang”, tambah Rodiah.

Katanya, beliau pernah menerima maklumbalas dari beberapa orang pelanggannya yang berpuas hati malah memuji bahawa harga pelbagai jenis pokok itu adalah murah malah kesuburan pokok juga adalah yang terbaik.

Nurseri Che Hashim Che Mah boleh dihubungi melalui talian Rodiah binti Mamat: 014-5434462

Rodiah binti Mamat atau Kak Yah.

Kak Yah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di nurserinya.













Sebahagian pokok yang ada di nurserinya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
 

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 20 Ogos 2015

Nurseri Erver Star Enterprise


NURSERI ERVER STAR ENTERPRISE


WAKAF BAHARU, KELANTAN: Perniagaan di bidang nurseri memang memberikan hasil dan pulangan yang lumayan jika sentiasa diberikan perhatian terhadap bidang tersebut. Walaupun dari luar kelihatannya agak kabur dan ragu-ragu, namun daripada pengalaman beberapa pengusaha nurseri yang mendakwa, bidang nurseri mempunyai peminat dan pelanggannya yang tersendiri. Buktinya, ramai pengusaha nurseri yang menarik nafas lega kerana pokok yang dijual di nurseri mereka sentiasa mendapat permintaan yang agak menggalakkan daripada pelanggan setempat malah ada juga yang datang dari luar.

Misalnya Nurseri Erver Star Enterprise yang letaknya di No. 57, Jalan Baru, Wakaf Baharu, Kelantan sentiasa mendapat perhatian daripada kebanyakan pelanggannya kerana nurserinya banyak membekalkan beberapa jenis pokok menarik apatah lagi harganya agak murah dan berpatutan yang sememangnya mampu dibeli oleh pelanggan yang merupakan penggemar beberapa jenis pokok seperti bunga, hiasan dan herba.

Menurut Pembantu Pengurus, Nurseri Erver Star Enterprise, Medam Owi Lian Eng berkata, nurseri berkenaan mula beroperasi pada tahun 2013 dan dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang (pada hari-hari biasa). Sementara pada bulan puasa dibuka sehingga 7.00 malam setiap hari. Pada masa itu katanya, kira-kira 50 jenis sahaja yang dijual di nurserinya seperti pokok bunga, hiasan dan herba.

Manakala pada tahun ini (2015), dianggarkan lebih 50 dan mungkin lebih 100 jenis pokok yang dijual di nurserinya yang ternyata menjadi pilihan dan minat pelbagai peringkat penggemar. Lazim di antara jenis pokok yang ada di nurserinya seperti bunga raya, issora dan puding. Selain itu terdapat juga pelbagai jenis herba seperti mas cotek serta pokok hiasan pula terdiri dari keladi, pudina putih, pudina hijau dan rosinda). Banyak lagi pokok-pokok yang tidak dapat dinyatakannya satu persatu.

“Antara pokok yang laris dan mendapat sambutan pembeli ialah rosinda hijau. Manakala pokok herba pula digemari oleh golongan veteran, malah pihak nursery kami kerap menjadi tumpuan golongan yang mengamalkan minuman air/pokok herba.

“Sementara pokok bunga pula digemari oleh golongan perempuan disebabkan keunikan dan kecantikannya yang begitu menyerlah jika ditanam di laman rumah”, ujar Owi ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di nurserinya.

Kata Owi lagi, pihaknya menjual pelbagai jenis pokok itu berharga di antara RM5 hingga RM6 sahaja berdasarkan kepada keadaan pokok itu sendiri sama ada jenis kecil atau besar.

Menurut Owi, golongan wanita yang paling ramai datang ke kedainya untuk mendapatkan pokok terutamanya pokok bunga yang setakat ini jenis pokok paling laris dibeli dari nurserinya.

Kata Owi lagi, beliau pernah dimaklumkan oleh beberapa pembeli terutamanya di kalangan wanita menyatakan, pokok bunga yang dijual di nurserinya agak murah dan pokoknya berkeadaan subur.

Lazimnya pembeli yang sering datang ke kedai nurserinya itu adalah di kalangan penduduk setempat iaitu dari Wakaf Baharu itu sendiri kerana lokasi kedai nurserinya itu berhampiran dengan kediaman pembeli terbabit. Ini tentunya memudahkan pembeli datang sama ada dengan motosikal atau kereta apatah lagi lokasi nurserinya itu terletak di tempat yang strategik.

Walau bagaimanapun, terdapat juga di kalangan pembeli itu datangnya dari Pasir Mas, namun tidaklah terlalu kerap kerana mungkin agak jauh dan mereka datang disebabkan pokok-pokok yang ada di nurserinya berkeadaan segar dan subur.

Apabila ditanya, tidakkah memperolehi kerugian apabila pihaknya menjual pokok-pokok tersebut dengan harga rendah berbanding dengan tempat lain. Menurutnya, harga yang dijual oleh pihaknya dianggap standard pasaran dan kebanyakan pelanggan berpuas hati kerana harga tersebut tidaklah terlalu mahal dan mereka tidak banyak soal tentang harga kerana yang penting menurutnya dari segi kesuburan pokok itu sendiri.

“Walau bagaimanapun, pihak kami bergantung juga kepada harga yang ditetapkan oleh pihak pembekal pokok terbabit. Jika harga bekalannya telah meningkat, pihak kami terpaksa berpandukan kepada harga yang ditetapkan itu”, katanya.

Lazimnya, untuk kesuburan pokok patut digunakan warna organik yang berwarna hitam. Sementara jika menggunakan baja kimia lazimnya warna putih dan hijau adalah khusus untuk kesuburan pokok. Sementara baja kimia berwarna pink dan kuning digunakan untuk melebat dan mencantikkan bunga khusus digunakan kepada pokok bunga.

Owi menambah, nurserinya mendapatkan bekalan pokok-pokok dari Rantau Panjang dan Johor. Cara bekalan itu dibekalkan ke nurserinya itu sama ada pihaknya memperolehi bekalan itu dengan membelinya sendiri di Rantau Panjang atau pihak berkenaan akan membawanya ke nurserinya sebagaimana yang ditempah.

Ditanya tentang kebanyakan tanah untuk menyemai dan menumbuhkan pokok di Kelantan tidak begitu sesuai untuk tujuan itu sebagaimana dakwaan sesetengah pihak. Ini berikutan, kebanyakan tanah yang ada di kebanyakan nurseri di Kelantan hari ini diperolehi dari negeri Perak. Beliau menganggap dakwaan pihak berkenaan tidak benar. Katanya, tanah di Kelantan sebenarnya amat sesuai untuk pelbagai jenis pokok. Tetapi disebabkan Kelantan tidak mempunyai kilang khusus untuk memproses dan menghasilkan tanah-tanih untuk pokok maka pihak berkenaan mendakwa tanah di negeri Kelantan tidak sesuai.

Katanya, biasanya walaupun kita menggunakan tanah yang diproses, pihaknya mengesyorkan dicampurkan juga dengan sekam padi agar pokok kelihatan lebih subur dan bermaya.

“Pihak kami tidak tidak menjual tanah-tanah untuk menanam pokok-pokok terbabit”, ujarnya.

Bercakap tentang baja pokok pula, baja pokok terdiri dari dua jenis iaitu baja organik dan baja kimia. Dari segi warna pula amat berbeza di antara baja organik dan baja kimia. Misalnya baja organik berwarna hitam. Manakala baja kimia pula mempunyai empat warna iaitu hijau, merah, pink dan putih.

Sementara itu, selain pokok, pihaknya juga turut menjual pelbagai jenis pasu dengan harga yang agak berpatutan. Misalnya pasu kecil dijual dengan harga RM2, pasu besar dijual dengan harga di antara RM7-50 dan RM8.

Dalam hal ini amat jelas bahawa, peminat dan penggemar pelbagai jenis pokok di kebanyakan nurseri lain termasuk di Nurseri Erver Star Enterprise begitu memberangsangkan berikutan banyak pokok yang sukar diperolehi di nurseri lain boleh dibeli di nurserinya dengan harga murah dan berpatutan.

Nurseri Erver Star Enterprise boleh dihubungi di talian: 019-9873386

(Bercakap dengan Owi Lian Eng).

Owi Lian Eng atau Owi.

Owi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di nurserinya.

Papan tanda pintu masuk ke Nurseri Erver Star Enterprise.

Pokok kurma.

Pokok buluh.

Pokok karpet.





Sebahagian pokok yang ada di Nurseri Erver Star Enterprise.

Baja pokok.

Pasu bunga.



Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Isnin, 10 Ogos 2015

Kg.Batu Gajah (Tanah Merah)


KG. BATU GAJAH
(TANAH MERAH)


TANAH MERAH, KELANTAN: Tidak banyak yang diketahui tentang sejarah dan asal usul Kampung Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan. Mungkin individu dan penduduk di kampung terbabit telah melupakan tentang sejarah asal kampung mereka sehinggakan untuk menceritakannya kembali agak terlalu sukar.

Boleh jadi juga kebanyakan penduduk asalnya telah meninggal dunia atau berpindah dan apabila penduduk dari luar kampung itu mendirikan rumah dan penempatan, mereka juga kurang arif tentang sejarahnya. Sementelah pula, penduduk asal yang mengetahui tentang asal usul kampung berkenaan telah meninggal, maka sejarah yang hanya diketahuinya tidak diketahui oleh keturunan dan generasinya sendiri apatah lagi penduduk-penduduk yang lain.

Berdasarkan sejarah pendek, Kampung Batu Gajah pada masa dulu adalah sebuah kampung yang agak tersohor juga dan merupakan lokasi pusat pentadbiran kerajaan seperti pejabat Penggawa, Risda dan Klinik Kesihatan Besar. Sebelum itu, Kampung Batu Gajah adalah sebuah hutan besar, belukar tebal dan semak-samun yang mendapat nama dari sebongkah batu besar yang menyerupai seekor gajah jantan.

Seorang penduduk, Haji Yahya bin Haji Daud, 74, atau Abe Ya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, dia tidak mengetahui bilakah Kampung Batu Gajah itu mendapat nama kerana apa yang diketahuinya kampung berkenaan telah wujud.

Hanya yang diketahuinya adalah tentang lagenda seekor gajah telah menjadi batu yang kini letaknya berhampiran dengan Pejabat Risda di tepi laluan umum itu. Tentang gajah itu pula, dia mendapat tahu cerita bahawa pada asalnya adalah seekor gajah sedang minum air, kerana di hadapan batu itu pada masa dulu adalah saliran air di mana pada masa dulu, kawasan terbabit adalah hutan tebal.

“Setakat yang saya tahu, gajah yang terbabit telah melarikan diri dari buruan Raja Siam yang ingin menangkap gajah tersebut. Apabila tiba di kawasan itu, dengan tiba-tiba gajah itu menjadi batu”, ujarnya.

Sementara menurut bekas Penggawa Kampung Batu Gajah, Adnan bin Hamid, 60, atau dikenali Pak Nan berkata, ketika serangan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1945 dulu, nama Kampung Batu Gajah telahpun wujud.

“Setahu saya, ketika serangan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1945 dulu, nama Kampung Batu Gajah ini telahpun wujud.

“Ini bermakna, Kampung Batu Gajah ini mendapat nama lebih awal dari tarikh itu dan saya sendiri agak terlalu sukar untuk menyatakan tentang tarikh asal usul kampung ini mendapat nama”, ujar Pak Nan.

Setahunya, Kampung Batu Gajah mendapat nama dari sebungkam batu besar yang menyerupai seekor gajah yang letaknya berhampiran Pejabat Risda iaitu berhampiran laluan umum itu.

Katanya, dia agak sukar untuk menceritakan perihal sebungkam batu besar yang menyerupai seekor gajah tiba-tiba berada di situ. Berdasarkan kisah “lagenda” yang diketahuinya yang diceritakan dari turun temurun dan dari mulut ke mulut orang-orang tua dahulu, batu itu adalah “sumpahan” Awang Selamat.

Ceritanya pendek, seekor gajah yang melarikan diri lalu masuk ke hutan itu tiba-tiba bertembung dengan Awang Selamat. Gajah itu menjadi batu mungkin terkena sumpah oleh Awang Selamat, sebagaimana yang diceritakan oleh orang-orang tua dahulu yang menganggapnya sebagai “batu sumpahan”.

“Apa yang saya dapat tahu, gajah itu berasal dari Siam (Thailand) yang merupakan keinderaan tunggangan dan untuk mengangkut barang muatan. Gajah itu tiba-tiba melarikan diri dari tentera Siam, yang mungkin terkejut kerana pada ketika itu telah berlaku peperangan di sana”, katanya.

Ditanya tentang pengasas Kampung Batu Gajah, dia juga tidak begitu pasti. Ini kerana, terdapat tiga nama yang diketahui sebagai seorang pengasas kampung itu sama ada arwah Tok Penggawa Nik Mohd. Kamil atau Penggawa Jaafar atau Penggawa Mat Amin. Penggawa Mat Amin adalah seorang penggawa yang baharu di kampung itu. Cuma penggawa yang paling lama adalah Nik Mohd. Kamil. Mungkin juga arwah Nik Mohd. Kamil yang telah mengasas Kampung Batu Gajah itu.

“Pada masa dulu, Kampung Batu Gajah adalah hutan belukar tebal. Manakala jalan yang boleh dilalui adalah di atas bukit itu”, ujarnya sambil menunjukkan jari telunjuknya ke a rah bukit di kampung itu.

Berdasarkan cerita yang didengarinya, laluan asalnya adalah dari Batu Melintang (nama asalnya ialah Kg. Batang Nibong). Sementara dari Jedok melalui Bukit Kelawang, Gual Ipoh dan terus ke Temangan dan laluan berkenaan juga boleh terus ke Terengganu. Katanya, pada masa dulu, kebanyakan penduduk dari Kampung Batu Gajah mendapatkan bekalan makanan di Temangan. Sebabnya, di Temangan mempunyai sungai sebagai laluan mudah pada masa dulu.

“Pada masa dulu, kebanyakan penduduk-penduduk kampung ini mendapatkan barang makanan di Temangan. Ini kerana, Temangan menpunyai sebatang sungai sebagai laluan utama ketika itu.

“Sementara sistem jalan raya seperti sekarang ini mula dibina ketika zaman British menjajah Tanah Melayu”, ujar Pak Nan lagi.

Menurut Pak Nan seterusnya, ketika batu besar berbentuk seekor gajah ditemui di hutan itu, keadaannya agak terbiar. Namun, selepas itu pihak Risda telah membina pagar supaya batu sejarah itu tidak disalah gunakan.

Jelasnya, pada masa dulu Kampung Batu Gajah amat tersohor ke seluruh daerah di Kelantan. Ini kerana, Kampung Batu Gajah telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran agensi kerajaan seperti Pejabat Penggawa, Risda, Klinik Kesihatan Besar dan lain-lainnya. Walau bagaimanapun, pusat pentadbiran berkenaan kemudiannya berpindah disebabkan pembinaan jalan raya yang menyebabkan keadaan Kampung Batu Gajah berubah bentuk geografinya. Akibatnya, penduduk tidak lagi berurusan kerana mendapati menyukarkan mereka. Sejak itu, Kampung Batu Gajah telah dipindahkan ke tempat lain dan tidak lagi dikenali.

Walau bagaimanapun, dia tidak dapat menceritakan sejarah Kampung Batu Gajah secara lengkap kerana hanya beberapa hal sahaja yang didengarinya berdasarkan kepada perbualan orang-orang tua dahulu. Walau bagaimanapun cerita tentang Kampung Batu Gajah agak menyeluruh dan lengkap hanya diketahui oleh arwah bapanya.

Haji Yahya bin Haji Daud atau Abe Ya.

Abe Ya ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Adnan bin Hamid atau Pak Nan.

Pak Nan ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Sebungkah batu besar berbentuk gajah sebagai asal usul Kampung Batu Gajah.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=zAzoCxoGkwo



Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Sabtu, 1 Ogos 2015

Kg. Bechah Semak (Pasir Mas)


KG. BECHAH SEMAK
(PASIR MAS)


PASIR MAS, KELANTAN: Sejarah dan asal usul pembukaan kampung di Kelantan memang menarik. Ini kerana, kebanyakan nama-nama kampung yang diasaskan pada masa lampau diilhamkan kepada beberapa objek menarik yang ditemui di kawasan terbabit seperti pokok, batu, alur dan sebagainya pastinya nama kampung berkenaan akan dinamakan sempena objek-objek tersebut.

Begitu halnya dengan nama Kampung Bechah Semak yang letaknya di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan. Menurut salah seorang penduduk yang juga Penceramah Bebas, Ustaz Abdull Kadir bin Jailani  ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, asal nama “Bechah” yang terletak di belakang rumahnya itu adalah sebuah alur atau bechah yang tidak pernah kering airnya sehingga sekarang walaupun musim kemarau telah melanda Kelantan dan kawasan terbabit.

“Walau bagaimanapun, bechah itu sekarang telah tinggal separuh berikutan projek membina masjid baharu.

“Saya masih ingat lagi ketika zaman kanak-kanak, bechah semak adalah kawasan paya dan sawah padi”, jelasnya.

Manakala istilah “Semak” itu pula katanya, terdapat beberapa jenis pokok renek dan belukar yang tiada siapa pun yang berani menjejakkan kaki ke situ disebabkan banyaknya haiwan berbisa seperti ular yang menjadikan belukar berkenaan sebagai habitat haiwan itu untuk membiak.

Pada masa itu, masjid lama dikenali Masjid Haji Omar (diasaskan oleh Tuan Guru yang berasal dari Pattani, Siam) dan sekitarnya ketika itu masih dalam keadaan hutan belukar dan semak-samun, hanya kini kawasan tersebut telah dibersihkan apabila banyak rumah-rumah dibangunkan sebagai penempatan penduduk.

Apabila ditanya, siapakah pengasas atau orang yang bertanggungjawab membuka dan menamakan Kampung Bechah Semak. Beliau tidak dapat memberikan jawapannya, kerana generasinya kini adalah generasi kelima, tahu-tahu nama kampung berkenaan telah wujud.

Walau bagaimanapun, dia agak kampung berkenaan mendapat nama sebelum Malaya mendapat kemerdekaan lagi. Malah dia yakin dan percaya kampung berkenaan dibuka oleh orang-orang Pattani (Siam) sebagai penghuni awal kampung berkenaan pada masa itu. Malah katanya, dari apa yang diketahuinya terlebih dahulu kebanyakan orang-orang Pattani telah membuka tanah sempadan di Rantau Panjang baharulah mereka berpindah dan menetap di Kampung Bechah Semak ini sebagai orang-orang perantau. 

Sesuatu yang menariknya tentang Kampung Bechah Semak ini apabila setahunya ketika kejadian banjir besar melanda Kelantan pada tahun 1967 dulu (kali kedua), Kampung Kenak termasuk beberapa penduduk dari kampung yang lain telah berhimpun di Kampung Bechah Semak. Mungkin Kampung Bechah Semak adalah sebuah kampung yang selamat dari bencana banjir berbanding kampung-kampung yang lain ketika itu.

Menbicarakan tentang jumlah penduduk Kampung Bechah Semak menurut Ustaz Abdull Kadir lagi bahawa, jumlah penduduk kampung berkenaan pada tahun tahun 1970-an dianggarkan kira-kira 20 buah rumah sahaja. Kebanyakan golongan yang menetap di Kampung Bechah Semak itu pula terdiri daripada bangsa Melayu yang beragama Islam.

Tetapi hari ini, jumlah penduduk Kampung Bechah Semak telah meningkat kira-kira 3,000 orang, tetapi jumlah pemastautin sebenar adalah kira-kira 2,000 orang. Sejumlah baki kira-kira 1,000 orang itu pula kebanyakannya menetap di luar Kelantan disebabkan faktor pekerjaan (mencari rezeki). Walau bagaimanapun, mereka semuanya adalah anak jati Kampung Bechah Semak juga.

“Jumlah penduduk Kampung Bechah Semak ini secara keseluruhannya adalah 3,000 orang. Tetapi jumlah pemastautin sebenar adalah 2,000 orang. Sementara yang selebihnya menetap di luar Kelantan”, ujarnya. 

Berhubung dengan bidang kerja pula, majoriti penduduk di Kampung Bechah Semak sekarang adalah terdiri daripada kalangan guru (30 peratus), kakitangan hospital (doktor, jururawat kira-kira 20 peratus). Manakala bidang kerja lain adalah kalangan petani (pesawah padi, penanam sayur) dan penternak. Kalangan petani ini pula bukanlah secara formal tetapi sebagai individu yang mengusahakannya sendiri untuk keperluan keluarga.

Selain itu menurutnya, terdapat di kalangan muda mudi dari kampung berkenaan yang mempunyai kelulusan sama ada sebagai jurutera, doktor dan ahli perniagaan (bekerja sendiri), mereka mencari rezeki di Kuala Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Sebagai contohnya, salah seorang penyumbang untuk pembinaan masjid baharu Bechah Semak bernama Datuk Ramli adalah seorang ahli perniagaan yang merupakan anak jati dari Kampung Bechah Semak itu telah menyumbangkan lebih RM1 juta untuk menyiapkan masjid berkenaan.

Katanya, majoriti penduduk kampung berkenaan adalah seimbang, mengamalkan kaedah bertukar-tukar fikiran (pendapat) dalam usaha memajukan kampung. Menurutnya, golongan muda menghormati golongan veteran (penduduk lama) disebabkan buah fikiran dan pengalaman mereka amat penting. Manakala golongan muda walaupun mempunyai kelulusan, mereka tentunya kurang pengalaman dalam beberapa hal, justeru perkongsian buah fikiran adalah sesuatu yang lazim dan amat diperlukan. Jadi menurutnya, golongan muda mudi dan golongan veteran sentiasa memberikan keutamaan dalam perbincangan untuk mewujudkan suasana harmoni sebagai sebuah kampung yang harmoni.

Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Bechah Semak walaupun daripada golongan muda mudi dan veteran (dewasa) adalah seimbang. Disebabkan hal itu, hubungan silaturrahim (hubungan sesama manusia) sentiasa terjalin. Ini jelas, apabila salah seorang penduduk kampung yang didapati mengalami keuzuran (sakit), golongan muda mudi dan dewasa sama-sama menziarahi dan bertanya khabar dalam usaha memberikan pertolongan sekadar yang termampu.

Amalan murni seumpama ini pada masa itu telah diterapkan oleh seorang ulama tersohor di kampung berkenaan dikenali Tuan Guru Haji Omar bin Ibrahim yang telah mengasaskan pembinaan Masjid Haji Omar dan beberapa buah pondok berhampiran. Dengan kehadiran Tuan Guru Haji Omar sebagai pembimbing yang berjaya menerapkan akhlak dan hubungan sesama manusia, apabila sentiasa dijalinkan akan memberikan kekuatan dan keamanan dalam kampung itu sendiri.

“Kemasyhuran Tuan Guru Haji Omar begitu dikagumi apabila terdapat sebahagian murid-muridnya yang telah menjadi imam. Kebanyakan murid-muridnya datangnya dari beberapa daerah seperti dari Kuala Krai, Machang untuk menuntut ilmu darinya”, kata Ustaz Abdull Kadir lagi.

Apabila ditanya tentang warisan dan wasilah Tuan Guru Haji Omar yang telah mendirikan dan mengasas Masjid Haji Omar di kampung itu, beliau begitu malu untuk mengangkat dirinya sebagai murid dan salah seorang pencetus sehingga Kampung Bechah Semak mendapat pendidikan Islam terawal. Katanya, secara asasnya, beliau bersama arwah Tok Gurunya dan seorang sahabatnya bernama Haji Ahmad yang mempelawa dan meminta Tuan Guru Haji Omar ke kampung berkenaan sebagai Tuan Guru untuk memberikan pendidikan agama di kampung berkenaan. Jadi, di antara anak-anak murid utama Tuan Guru Haji Omar adalah beliau sendiri, Haji Ahmad dan Cikgu Mokhtar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penggu, Pasir Mas.

“Bidang utama yang diajar dan diberikan perhatian oleh Tuan Guru Haji Omar ialah tasauf. Walau bagaimanapun, bidang-bidang lain seperti Fekah tidak dipinggirkan”, jelasnya.

Misalnya Tuan Guru Haji Omar membuat giliran dalam kaedah kuliah seperti Fekah seperti cara-cara mengambil air wuduk, tidak ketinggalan penekanan juga turut diberikan dalam hal solat. Misalnya hari Selasa (kuliah tentang Kitab Usul), Jumaat (Kitab Ikan). Cara pembahagian pelajaran yang dilakukan oleh Tuan Guru Haji Omar itu amat menyenangkan peserta kuliah yang menimba ilmu dan pengetahuan dengannya. Misalkan terhadap dirinya, beliau lebih menekankan tentang Fekah berhubung cara-cara mengambil wujuk dan cara-cara solat dengan sempurna.

Sememang menurutnya, masjid memainkan peranan yang penting dalam mengatur, mentarbiyah serta menghubungkan silaturrahim semua penduduk yang ada di Kampung Bechah Semak itu.

Di antara aktiviti yang telah diadakan oleh para Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Tuan Guru Haji Omar misalnya aktiviti berbuka puasa, majlis perdana tarawikh yang diimamkan oleh Imam dari Palestin. Sementara malam-malam biasa, pihak masjid telah menjemput imam-iman hafiz untuk solat waktu berserta tarawikh.

Bercakap tentang pembinaan masjid baharu pula menurutnya, pada peringkat awalnya kos pembinaan masjid baharu itu Datuk Ramli ingin menyumbang sebanyak RM500,000. Tetapi pihak AJK merayu kepada Datuk Ramli kerana pihak berkenaan berhasrat untuk membina masjid baharu itu dua tingkat memandangkan setiap kali musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha pastinya tidak akan dapat menampung jumlah ahli-ahli kariah/perantau yang pulang berhari raya.

Disebabkan hal berkenaan, Datuk Ramli telah berjanji akan menambah peruntukan sehingga pembinaan masjid baharu itu siap sepenuhnya. Katanya, dari apa yang dilihatnya, anggaran nilai peruntukan sekarang telah mencecah hampir  RM2 juta.

“Tentang sumbangan lain setakat ini, Alhamdulillah amat memberangsangkan. Setakat bulan April 2015 lalu, wang berbaki dalam akaun berjumlah RM87,000 (khusus untuk masjid, bukan kutipan hari Jumaat). Ini bermakna, satu sumbangan untuk masjid baharu dan satu lagi untuk sumbangan masjid lama” ujarnya.

Menurutnya, selain sumbangan Datuk Ramli, beliau telah menemui cucu salah seorang pengamal rawatan tradisional dari Tumpat, Datuk Wan yang membuka sebuah pam minyak di Rantau Panjang dan penyumbang-penyumbang yang lain turut memberikan sumbangan terus berdasarkan akaun yang dipamerkan di papan tanda berhampiran masjid baharu itu.

Bagi dermawan yang ingin melakukan amal jariah boleh menyumbang ke dalam akaun Bank Islam Masjid Haji Omar: 03-027-01-004691-3

Ustaz Abdull Kadir bin Jailani.

Ustaz Abdull Kadir bin Jailani ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.




Masjid Haji Omar - masjid lama.


Papan tanda pembinaan masjid baharu.



Tapak pembinaan masjid baharu.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM