RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Sabtu, 1 Ogos 2015

Kg. Bechah Semak (Pasir Mas)


KG. BECHAH SEMAK
(PASIR MAS)


PASIR MAS, KELANTAN: Sejarah dan asal usul pembukaan kampung di Kelantan memang menarik. Ini kerana, kebanyakan nama-nama kampung yang diasaskan pada masa lampau diilhamkan kepada beberapa objek menarik yang ditemui di kawasan terbabit seperti pokok, batu, alur dan sebagainya pastinya nama kampung berkenaan akan dinamakan sempena objek-objek tersebut.

Begitu halnya dengan nama Kampung Bechah Semak yang letaknya di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan. Menurut salah seorang penduduk yang juga Penceramah Bebas, Ustaz Abdull Kadir bin Jailani  ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, asal nama “Bechah” yang terletak di belakang rumahnya itu adalah sebuah alur atau bechah yang tidak pernah kering airnya sehingga sekarang walaupun musim kemarau telah melanda Kelantan dan kawasan terbabit.

“Walau bagaimanapun, bechah itu sekarang telah tinggal separuh berikutan projek membina masjid baharu.

“Saya masih ingat lagi ketika zaman kanak-kanak, bechah semak adalah kawasan paya dan sawah padi”, jelasnya.

Manakala istilah “Semak” itu pula katanya, terdapat beberapa jenis pokok renek dan belukar yang tiada siapa pun yang berani menjejakkan kaki ke situ disebabkan banyaknya haiwan berbisa seperti ular yang menjadikan belukar berkenaan sebagai habitat haiwan itu untuk membiak.

Pada masa itu, masjid lama dikenali Masjid Haji Omar (diasaskan oleh Tuan Guru yang berasal dari Pattani, Siam) dan sekitarnya ketika itu masih dalam keadaan hutan belukar dan semak-samun, hanya kini kawasan tersebut telah dibersihkan apabila banyak rumah-rumah dibangunkan sebagai penempatan penduduk.

Apabila ditanya, siapakah pengasas atau orang yang bertanggungjawab membuka dan menamakan Kampung Bechah Semak. Beliau tidak dapat memberikan jawapannya, kerana generasinya kini adalah generasi kelima, tahu-tahu nama kampung berkenaan telah wujud.

Walau bagaimanapun, dia agak kampung berkenaan mendapat nama sebelum Malaya mendapat kemerdekaan lagi. Malah dia yakin dan percaya kampung berkenaan dibuka oleh orang-orang Pattani (Siam) sebagai penghuni awal kampung berkenaan pada masa itu. Malah katanya, dari apa yang diketahuinya terlebih dahulu kebanyakan orang-orang Pattani telah membuka tanah sempadan di Rantau Panjang baharulah mereka berpindah dan menetap di Kampung Bechah Semak ini sebagai orang-orang perantau. 

Sesuatu yang menariknya tentang Kampung Bechah Semak ini apabila setahunya ketika kejadian banjir besar melanda Kelantan pada tahun 1967 dulu (kali kedua), Kampung Kenak termasuk beberapa penduduk dari kampung yang lain telah berhimpun di Kampung Bechah Semak. Mungkin Kampung Bechah Semak adalah sebuah kampung yang selamat dari bencana banjir berbanding kampung-kampung yang lain ketika itu.

Menbicarakan tentang jumlah penduduk Kampung Bechah Semak menurut Ustaz Abdull Kadir lagi bahawa, jumlah penduduk kampung berkenaan pada tahun tahun 1970-an dianggarkan kira-kira 20 buah rumah sahaja. Kebanyakan golongan yang menetap di Kampung Bechah Semak itu pula terdiri daripada bangsa Melayu yang beragama Islam.

Tetapi hari ini, jumlah penduduk Kampung Bechah Semak telah meningkat kira-kira 3,000 orang, tetapi jumlah pemastautin sebenar adalah kira-kira 2,000 orang. Sejumlah baki kira-kira 1,000 orang itu pula kebanyakannya menetap di luar Kelantan disebabkan faktor pekerjaan (mencari rezeki). Walau bagaimanapun, mereka semuanya adalah anak jati Kampung Bechah Semak juga.

“Jumlah penduduk Kampung Bechah Semak ini secara keseluruhannya adalah 3,000 orang. Tetapi jumlah pemastautin sebenar adalah 2,000 orang. Sementara yang selebihnya menetap di luar Kelantan”, ujarnya. 

Berhubung dengan bidang kerja pula, majoriti penduduk di Kampung Bechah Semak sekarang adalah terdiri daripada kalangan guru (30 peratus), kakitangan hospital (doktor, jururawat kira-kira 20 peratus). Manakala bidang kerja lain adalah kalangan petani (pesawah padi, penanam sayur) dan penternak. Kalangan petani ini pula bukanlah secara formal tetapi sebagai individu yang mengusahakannya sendiri untuk keperluan keluarga.

Selain itu menurutnya, terdapat di kalangan muda mudi dari kampung berkenaan yang mempunyai kelulusan sama ada sebagai jurutera, doktor dan ahli perniagaan (bekerja sendiri), mereka mencari rezeki di Kuala Terengganu, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Sebagai contohnya, salah seorang penyumbang untuk pembinaan masjid baharu Bechah Semak bernama Datuk Ramli adalah seorang ahli perniagaan yang merupakan anak jati dari Kampung Bechah Semak itu telah menyumbangkan lebih RM1 juta untuk menyiapkan masjid berkenaan.

Katanya, majoriti penduduk kampung berkenaan adalah seimbang, mengamalkan kaedah bertukar-tukar fikiran (pendapat) dalam usaha memajukan kampung. Menurutnya, golongan muda menghormati golongan veteran (penduduk lama) disebabkan buah fikiran dan pengalaman mereka amat penting. Manakala golongan muda walaupun mempunyai kelulusan, mereka tentunya kurang pengalaman dalam beberapa hal, justeru perkongsian buah fikiran adalah sesuatu yang lazim dan amat diperlukan. Jadi menurutnya, golongan muda mudi dan golongan veteran sentiasa memberikan keutamaan dalam perbincangan untuk mewujudkan suasana harmoni sebagai sebuah kampung yang harmoni.

Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Bechah Semak walaupun daripada golongan muda mudi dan veteran (dewasa) adalah seimbang. Disebabkan hal itu, hubungan silaturrahim (hubungan sesama manusia) sentiasa terjalin. Ini jelas, apabila salah seorang penduduk kampung yang didapati mengalami keuzuran (sakit), golongan muda mudi dan dewasa sama-sama menziarahi dan bertanya khabar dalam usaha memberikan pertolongan sekadar yang termampu.

Amalan murni seumpama ini pada masa itu telah diterapkan oleh seorang ulama tersohor di kampung berkenaan dikenali Tuan Guru Haji Omar bin Ibrahim yang telah mengasaskan pembinaan Masjid Haji Omar dan beberapa buah pondok berhampiran. Dengan kehadiran Tuan Guru Haji Omar sebagai pembimbing yang berjaya menerapkan akhlak dan hubungan sesama manusia, apabila sentiasa dijalinkan akan memberikan kekuatan dan keamanan dalam kampung itu sendiri.

“Kemasyhuran Tuan Guru Haji Omar begitu dikagumi apabila terdapat sebahagian murid-muridnya yang telah menjadi imam. Kebanyakan murid-muridnya datangnya dari beberapa daerah seperti dari Kuala Krai, Machang untuk menuntut ilmu darinya”, kata Ustaz Abdull Kadir lagi.

Apabila ditanya tentang warisan dan wasilah Tuan Guru Haji Omar yang telah mendirikan dan mengasas Masjid Haji Omar di kampung itu, beliau begitu malu untuk mengangkat dirinya sebagai murid dan salah seorang pencetus sehingga Kampung Bechah Semak mendapat pendidikan Islam terawal. Katanya, secara asasnya, beliau bersama arwah Tok Gurunya dan seorang sahabatnya bernama Haji Ahmad yang mempelawa dan meminta Tuan Guru Haji Omar ke kampung berkenaan sebagai Tuan Guru untuk memberikan pendidikan agama di kampung berkenaan. Jadi, di antara anak-anak murid utama Tuan Guru Haji Omar adalah beliau sendiri, Haji Ahmad dan Cikgu Mokhtar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Penggu, Pasir Mas.

“Bidang utama yang diajar dan diberikan perhatian oleh Tuan Guru Haji Omar ialah tasauf. Walau bagaimanapun, bidang-bidang lain seperti Fekah tidak dipinggirkan”, jelasnya.

Misalnya Tuan Guru Haji Omar membuat giliran dalam kaedah kuliah seperti Fekah seperti cara-cara mengambil air wuduk, tidak ketinggalan penekanan juga turut diberikan dalam hal solat. Misalnya hari Selasa (kuliah tentang Kitab Usul), Jumaat (Kitab Ikan). Cara pembahagian pelajaran yang dilakukan oleh Tuan Guru Haji Omar itu amat menyenangkan peserta kuliah yang menimba ilmu dan pengetahuan dengannya. Misalkan terhadap dirinya, beliau lebih menekankan tentang Fekah berhubung cara-cara mengambil wujuk dan cara-cara solat dengan sempurna.

Sememang menurutnya, masjid memainkan peranan yang penting dalam mengatur, mentarbiyah serta menghubungkan silaturrahim semua penduduk yang ada di Kampung Bechah Semak itu.

Di antara aktiviti yang telah diadakan oleh para Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Tuan Guru Haji Omar misalnya aktiviti berbuka puasa, majlis perdana tarawikh yang diimamkan oleh Imam dari Palestin. Sementara malam-malam biasa, pihak masjid telah menjemput imam-iman hafiz untuk solat waktu berserta tarawikh.

Bercakap tentang pembinaan masjid baharu pula menurutnya, pada peringkat awalnya kos pembinaan masjid baharu itu Datuk Ramli ingin menyumbang sebanyak RM500,000. Tetapi pihak AJK merayu kepada Datuk Ramli kerana pihak berkenaan berhasrat untuk membina masjid baharu itu dua tingkat memandangkan setiap kali musim perayaan seperti Aidilfitri dan Aidiladha pastinya tidak akan dapat menampung jumlah ahli-ahli kariah/perantau yang pulang berhari raya.

Disebabkan hal berkenaan, Datuk Ramli telah berjanji akan menambah peruntukan sehingga pembinaan masjid baharu itu siap sepenuhnya. Katanya, dari apa yang dilihatnya, anggaran nilai peruntukan sekarang telah mencecah hampir  RM2 juta.

“Tentang sumbangan lain setakat ini, Alhamdulillah amat memberangsangkan. Setakat bulan April 2015 lalu, wang berbaki dalam akaun berjumlah RM87,000 (khusus untuk masjid, bukan kutipan hari Jumaat). Ini bermakna, satu sumbangan untuk masjid baharu dan satu lagi untuk sumbangan masjid lama” ujarnya.

Menurutnya, selain sumbangan Datuk Ramli, beliau telah menemui cucu salah seorang pengamal rawatan tradisional dari Tumpat, Datuk Wan yang membuka sebuah pam minyak di Rantau Panjang dan penyumbang-penyumbang yang lain turut memberikan sumbangan terus berdasarkan akaun yang dipamerkan di papan tanda berhampiran masjid baharu itu.

Bagi dermawan yang ingin melakukan amal jariah boleh menyumbang ke dalam akaun Bank Islam Masjid Haji Omar: 03-027-01-004691-3

Ustaz Abdull Kadir bin Jailani.

Ustaz Abdull Kadir bin Jailani ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.




Masjid Haji Omar - masjid lama.


Papan tanda pembinaan masjid baharu.



Tapak pembinaan masjid baharu.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan