KG. BATU GAJAH
(TANAH MERAH)
TANAH MERAH, KELANTAN: Tidak
banyak yang diketahui tentang sejarah dan asal usul Kampung Batu Gajah, Tanah
Merah, Kelantan. Mungkin individu dan penduduk di kampung terbabit telah
melupakan tentang sejarah asal kampung mereka sehinggakan untuk menceritakannya
kembali agak terlalu sukar.
Boleh jadi juga kebanyakan
penduduk asalnya telah meninggal dunia atau berpindah dan apabila penduduk dari
luar kampung itu mendirikan rumah dan penempatan, mereka juga kurang arif
tentang sejarahnya. Sementelah pula, penduduk asal yang mengetahui tentang asal
usul kampung berkenaan telah meninggal, maka sejarah yang hanya diketahuinya
tidak diketahui oleh keturunan dan generasinya sendiri apatah lagi
penduduk-penduduk yang lain.
Berdasarkan sejarah pendek,
Kampung Batu Gajah pada masa dulu adalah sebuah kampung yang agak tersohor juga
dan merupakan lokasi pusat pentadbiran kerajaan seperti pejabat Penggawa, Risda
dan Klinik Kesihatan Besar. Sebelum itu, Kampung Batu Gajah adalah sebuah hutan
besar, belukar tebal dan semak-samun yang mendapat nama dari sebongkah batu besar
yang menyerupai seekor gajah jantan.
Seorang penduduk, Haji Yahya bin
Haji Daud, 74, atau Abe Ya ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh
dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, dia tidak mengetahui bilakah Kampung
Batu Gajah itu mendapat nama kerana apa yang diketahuinya kampung berkenaan telah
wujud.
Hanya yang diketahuinya adalah
tentang lagenda seekor gajah telah menjadi batu yang kini letaknya berhampiran
dengan Pejabat Risda di tepi laluan umum itu. Tentang gajah itu pula, dia
mendapat tahu cerita bahawa pada asalnya adalah seekor gajah sedang minum air,
kerana di hadapan batu itu pada masa dulu adalah saliran air di mana pada masa
dulu, kawasan terbabit adalah hutan tebal.
“Setakat yang saya tahu, gajah
yang terbabit telah melarikan diri dari buruan Raja Siam yang ingin menangkap gajah
tersebut. Apabila tiba di kawasan itu, dengan tiba-tiba gajah itu menjadi
batu”, ujarnya.
Sementara menurut bekas Penggawa
Kampung Batu Gajah, Adnan bin Hamid, 60, atau dikenali Pak Nan berkata, ketika
serangan Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1945 dulu, nama Kampung Batu
Gajah telahpun wujud.
“Setahu saya, ketika serangan
Jepun ke atas Tanah Melayu pada tahun 1945 dulu, nama Kampung Batu Gajah ini
telahpun wujud.
“Ini bermakna, Kampung Batu Gajah
ini mendapat nama lebih awal dari tarikh itu dan saya sendiri agak terlalu
sukar untuk menyatakan tentang tarikh asal usul kampung ini mendapat nama”,
ujar Pak Nan.
Setahunya, Kampung Batu Gajah
mendapat nama dari sebungkam batu besar yang menyerupai seekor gajah yang
letaknya berhampiran Pejabat Risda iaitu berhampiran laluan umum itu.
Katanya, dia agak sukar untuk
menceritakan perihal sebungkam batu besar yang menyerupai seekor gajah
tiba-tiba berada di situ. Berdasarkan kisah “lagenda” yang diketahuinya yang
diceritakan dari turun temurun dan dari mulut ke mulut orang-orang tua dahulu,
batu itu adalah “sumpahan” Awang Selamat.
Ceritanya pendek, seekor gajah
yang melarikan diri lalu masuk ke hutan itu tiba-tiba bertembung dengan Awang
Selamat. Gajah itu menjadi batu mungkin terkena sumpah oleh Awang Selamat,
sebagaimana yang diceritakan oleh orang-orang tua dahulu yang menganggapnya
sebagai “batu sumpahan”.
“Apa yang saya dapat tahu, gajah
itu berasal dari Siam (Thailand)
yang merupakan keinderaan tunggangan dan untuk mengangkut barang muatan. Gajah
itu tiba-tiba melarikan diri dari tentera Siam,
yang mungkin terkejut kerana pada ketika itu telah berlaku peperangan di sana”, katanya.
Ditanya tentang pengasas Kampung
Batu Gajah, dia juga tidak begitu pasti. Ini kerana, terdapat tiga nama yang
diketahui sebagai seorang pengasas kampung itu sama ada arwah Tok Penggawa Nik
Mohd. Kamil atau Penggawa Jaafar atau Penggawa Mat Amin. Penggawa Mat Amin adalah
seorang penggawa yang baharu di kampung itu. Cuma penggawa yang paling lama
adalah Nik Mohd. Kamil. Mungkin juga arwah Nik Mohd. Kamil yang telah mengasas
Kampung Batu Gajah itu.
“Pada masa dulu, Kampung Batu
Gajah adalah hutan belukar tebal. Manakala jalan yang boleh dilalui adalah di
atas bukit itu”, ujarnya sambil menunjukkan jari telunjuknya ke a rah bukit di
kampung itu.
Berdasarkan cerita yang
didengarinya, laluan asalnya adalah dari Batu Melintang (nama asalnya ialah Kg.
Batang Nibong). Sementara dari Jedok melalui Bukit Kelawang, Gual Ipoh dan
terus ke Temangan dan laluan berkenaan juga boleh terus ke Terengganu. Katanya,
pada masa dulu, kebanyakan penduduk dari Kampung Batu Gajah mendapatkan bekalan
makanan di Temangan. Sebabnya, di Temangan mempunyai sungai sebagai laluan
mudah pada masa dulu.
“Pada masa dulu, kebanyakan
penduduk-penduduk kampung ini mendapatkan barang makanan di Temangan. Ini
kerana, Temangan menpunyai sebatang sungai sebagai laluan utama ketika itu.
“Sementara sistem jalan raya
seperti sekarang ini mula dibina ketika zaman British menjajah Tanah Melayu”,
ujar Pak Nan lagi.
Menurut Pak Nan seterusnya,
ketika batu besar berbentuk seekor gajah ditemui di hutan itu, keadaannya agak
terbiar. Namun, selepas itu pihak Risda telah membina pagar supaya batu sejarah
itu tidak disalah gunakan.
Jelasnya, pada masa dulu Kampung
Batu Gajah amat tersohor ke seluruh daerah di Kelantan. Ini kerana, Kampung
Batu Gajah telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran agensi kerajaan seperti
Pejabat Penggawa, Risda, Klinik Kesihatan Besar dan lain-lainnya. Walau
bagaimanapun, pusat pentadbiran berkenaan kemudiannya berpindah disebabkan
pembinaan jalan raya yang menyebabkan keadaan Kampung Batu Gajah berubah bentuk
geografinya. Akibatnya, penduduk tidak lagi berurusan kerana mendapati
menyukarkan mereka. Sejak itu, Kampung Batu Gajah telah dipindahkan ke tempat
lain dan tidak lagi dikenali.
Walau bagaimanapun, dia tidak
dapat menceritakan sejarah Kampung Batu Gajah secara lengkap kerana hanya
beberapa hal sahaja yang didengarinya berdasarkan kepada perbualan orang-orang
tua dahulu. Walau bagaimanapun cerita tentang Kampung Batu Gajah agak
menyeluruh dan lengkap hanya diketahui oleh arwah bapanya.
Haji Yahya bin Haji Daud atau Abe Ya.
Abe Ya ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Adnan bin Hamid atau Pak Nan.
Pak Nan ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.
Sebungkah batu besar berbentuk gajah sebagai asal usul Kampung Batu Gajah.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=zAzoCxoGkwo
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=zAzoCxoGkwo
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan