NURSERI CHE HASHIM CHE MAH
TANAH MERAH, KELANTAN: Perniagaan
di bidang nurseri memang menguntungkan walaupun sekadar tumbuh-tumbuhan. Namun,
ketahuilah walaupun sekadar tumbuh-tumbuhan yang dianggap penyeri laman, tetapi
peminat terhadap pokok-pokok buah-buahan, hiasan, bunga dan herba agak ramai
juga. Mungkin pada awal menceburi bidang terbabit, akan wujud cabaran
terhadapnya, tetapi percayalah ia hanya bersifat sementara.
Hal ini memang diakui sendiri
oleh seorang Pembantu Pengurus Nurseri Che Hashim Che Mah, Rodiah binti Mamat,
46, dari Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Kelantan ketika ditemui Wartawan
RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim baru-baru ini.
Katanya, pengalamannya dalam
nurserinya itu yang mula ditubuh dan beroperasi pada bulan April tahun 2013
dianggap satu cabaran yang agak hebat. Ketika mula-mula beroperasi di Kampung
Lalang Pepuyu itu hanya pokok buah-buahan seperti rambutan, dokong dan mangga
dibekalkan. Sementara pokok bunga mula dijual di nurserinya pada tahun 2014.
Sementara pokok hiasan seperti
pokok kemboja dan bunga kertas adalah dalam ala kadar sahaja kerana itu yang
sekadar mampu disediakannya.Namun, dia tidak menjual pokok herba. Bukan
bermaksud dia tidak berminat dengan pokok herba, sebaliknya pokok berkenaan
kehabisan bekalan dan untuk mendapatkan bekalan baharu memang terlalu sukar.
Dalam hal ini, dia sememangnya agak kecewa disebabkan ramai pelanggannya yang
sering bertanya tentang pokok herba itu.
“Pokok herba sudah lama kehabisan
bekalan. Untuk mendapat bekalan baharu agakr sukar. Kak Yah memang agak kecewa
kerana pelanggan sering bertanya tentang pokok ini”, katanya.
Menurut Rodiah, ketika nurserinya
mula-mula beroperasi di kampung itu, modal yang diperlukan untuk mewujudkan
nurseri pada tahun 2013 itu adalah sebanyak RM20,000. Tetapi pada tahun 2015
ini, modal yang diperlukan adalah kira-kira RM100,000. Peningkatan harga setiap
pokok dari RM10 pada masa dulu, kini memerlukan mencecah RM50.
“Harga borong pokok-pokok di
nurseri ini adalah RM2-50. Tetapi jika jualan runcit, bergantung kepada pokok
itu sendiri.
“Kalau pokok bunga ros dijual
dengan harga RM6. Sementara pokok-pokok yang lain dijual di antara RM9 atau
RM10”, ujarnya lagi.
Menurut Rodiah, kebanyakan
pokok-pokok dibekalkan atau didatangkan dari Thailand. Pihak pembekal akan
menghantarkannya apabila ditempah dan setelah melunaskan semua bayaran. Selain
itu, dia kini banyak menjual pokok kelapa yang cepat berbuah yang khusus
didatangkan dari Bangkok (Thailand) dan Johor.
Sementara menurutnya, dari apa
yang diperhatikannya, di antara jenis-jenis pokok yang digemari ialah pokok
bunga. Katanya, minat kepada pokok bunga ini bukan sahaja menjadi tumpuan di
kalangan kaum wanita sahaja, sebaliknya kaum lelaki juga menjurus ke arah yang
sama.
“Pokok kemboja adalah pokok yang
paling digemari pelanggan Kak Yah. Hal ini disebabkan, pokok kemboja amat
menarik perhatian. Namun, ada juga yang minat kepada bunga orkid.
“Sekarang ini, jualan bunga orkid
agak memberangsangkan, kerana bentuk bunganya juga menarik, apatah lagi pokok
bunga orkid sentiasa subur dan sesuai dalam pelbagai keadaan”, ujarnya.
Walau bagaimanapun menurutnya,
setiap pokok yang ada di nurserinya sentiasa menjadi pilihan pelanggannya
berdasarkan kepada pandangan masing-masing. Sebab itulah, dia cuba mempelbagaikan jenis-jenis
pokok kerana tahap minat di kalangan pelanggannya sememangnya berbeza.
Bercakap tentang keuntungan dalam
bidang nurseri berkenaan, bidang nurseri memberikan keuntungan kepada peniaga
kerana pelanggan sentiasa memerlukan pokok yang diinginkan seperti pokok
buah-buahan, bunga, hiasan dan herba.
Menurutnya, dengan hanya
bermodalkan RM20,000 (permulaan), perolehan pendapatan dari jualan melebihi
dari nilai modal kerana pelanggan sentiasa datang membeli.
“Purata kehadiran pelanggan dalam
sehari kadang-kadang mencapai 20 orang, ini bergantung kepada hari cuti
mingguan (Jumaat dan Sabtu).
“Jika hari-hari biasa (seperti
hari bekerja) pelanggan kadang-kadang boleh dibilang dengan jari malah
kadang-kadang tiada seorang pun yang datang pernah berlaku.
“Dari segi purata perolehan
pendapatan sehari, kadang-kadang mencapai RM2,000 sehari dan kadang-kadang
RM5,000 memang tidak menentu”, kata Rodiah lagi.
Menurutnya, dia tidak berhasrat
menjual baja. Ini kerana, baja yang dapat dilihat di nurserinya itu adalah
untuk kegunaan pihaknya semata-mata. Malah jika pelanggan-pelanggannya ingin
membeli baja-baja terbabit, dia tidak menjual sebagaimana dalam kampit dan
bungkusan asal, sebaliknya dijualnya secara sedikit-sedikit sahaja.
Malah menurutnya, selain baja,
dia juga tidak menjual pasu kepada pelanggan-pelanggannya walau walaupun ada
permintaan terhadapnya. Pasu itu katanya hanya digunakan untuknya sendiri.
Ditanya tentang adakah berhasrat
untuk menjual baja dan pasu secara komersial. Dia menjelaskan, jika ada modal
yang mencukupi ke arah itu, mungkin keinginan itu ada. Katanya, pada masa dulu
dia pernah meletakkan pasu di bahagian hadapan nurserinya. Namun, apabila
wujudnya aktiviti mencuri pasu-pasunya oleh individu yang tidak
bertanggungjawab, jadi keinginannya untuk menjual pasu-pasu itu hilang. Hal ini
pernah dilihatnya beberapa kali apabila ada individu yang memunggahnya melalui
lori dan kereta dari nurserinya.
“Kebanyakan pelanggan Kak Yah
terdiri dari luar Kelantan seperti dari Terengganu. Namun, Kak Yah tidak pernah
melihat pelanggan dari kalangan warga tempatan datang ke nursery ini, mungkin
tidak berminat dengannya”, ujarnya.
Apabila ditanya, kenapa pelanggan
dari luar Kelantan tahu beliau sebagai peniaga nurseri. Katanya, kebanyakan
maklumat berkenaan dari mulut ke mulut, apatah lagi harga yang ditawarkannya
agak rendah berbanding dengan nurseri yang lain.
Misalnya, jika di nurseri lain
dijual dengan harga RM7, tetapi di nurserinya boleh dibeli dengan harga RM5
sahaja. Sebab menurutnya, dia tidak tergamak untuk meletakkan harga yang tinggi
kerana kebanyakan pokok-pokok lazimnya dengan harga pasaran sebanyak itu. Malah
jika ada pelanggan minta dikurangkan harga, kadang-kadang untuk tidak
mengecewakan pelanggannya yang berharap, terpaksalah beliau menurunkan harga
tersebut sebagaimana permintaan pelanggannya.
Ditanya tentang pelanggannya yang
kerap datang, adakah pembeli yang sama. Katanya, lazimnya pelanggannya sentiasa
berubah. Namun, terdapat juga pelanggan yang pernah datang membeli di
nurserinya akan datang lagi seminggu selepas itu. Namun, jika dikatakan
pelanggan tetap memang ada dan pastinya mereka tentunya tidak akan ke nurseri
yang lain di kampung itu.
“Purata pelanggan Kak Yah sejak
dari tahun 2013 sehingga sekarang memang agak ramai. Rasanya sudah lebih 1,000
orang”, tambah Rodiah.
Katanya, beliau pernah menerima
maklumbalas dari beberapa orang pelanggannya yang berpuas hati malah memuji
bahawa harga pelbagai jenis pokok itu adalah murah malah kesuburan pokok juga
adalah yang terbaik.
Nurseri Che Hashim Che Mah boleh dihubungi melalui talian Rodiah binti Mamat: 014-5434462
Rodiah binti Mamat atau Kak Yah.
Kak Yah ketika ditemubual Wartawan RELATIF di nurserinya.
Sebahagian pokok yang ada di nurserinya.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan