RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Isnin, 30 November 2015

Rezeki Dari Lagun Maut


REZEKI DARI LAGUN MAUT


PASIR PUTEH, KELANTAN: Rezeki ada di mana-mana, hanya terdetik dari hati sanubari manusia sendiri apakah yang akan dilakukannya dalam usaha membantu keluarga agar tidak terhimpit dengan kepayahan dan kesukaran hidup. Ini kerana, dengan hanya berharap dan berserah kepada takdir semata-mata, kesulitan yang dialami tidak akan dapat diselesaikan jika tiada usaha ke arah itu. Sikap malas berusaha, salah satu hal buruk tentang sikap manusia akan menyebabkan dia akan sentiasa dibebani pelbagai masalah. Salah satunya ialah wang ringgit untuk perbelanjaan harian.

Perumpamaan ada menyebutkan, “yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan bergolek” ke riba kita jika malas dan tiada usaha untuk mendapatkan kedua-duanya. Jelas, dengan tekadkan usaha sahaja rezeki itu diperoleh dan sikap malas tidak akan merubah segala-galanya.

Begitu halnya dengan seorang penjaja haiwan akuatik seperti lala, lokan, tijah, kepah dan ketam, Abu Bakar Mohd. Yunus atau Pak Abu, 65, dari Kampung Lagun Maut, Pantai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di gerainya baru-baru ini.

Katanya, dia menjaja haiwan akuatik di kawasan lagun maut itu sejak jalan atau laluan itu dibina lagi. Tujuannya adalah untuk mencari rezeki halal disebabkan beliau dan isterinya tidak mampu untuk melakukan kerja yang sesuai, jadi terpaksalah beliau menjaja pelbagai jenis haiwan dari tebing sungai kepada pengunjung yang lalu lalang ke Pantai Semerak itu.

Menurut Pak Abu, pada masa dulu, dia menjaja pelbagai jenis barangan di merata tempat semata-mata untuk mencari nafkah. Disebabkan kini sudah berusia, dia pun tidak larat untuk menjaja seperti itu, akhirnya dengan kaedah menjaja sepertinya sekarang dia tidak lagi perlu menjaja dari satu tempat ke satu tempat yang tentunya memenatkan.

“Masa muda saya, saya menjaja dari satu tempat ke satu tempat. Kini, disebabkan usia sudah meningkat, saya tak larat lagi. Dengan menjaja seperti ini, saya tak perlu ke mana-mana lagi”, ujarnya.

Tambah Pak Abu, perolehan pendapatannya dalam sehari agak tidak menentu. Kadang-kadang dapat RM30 sehari dan kadang-kadang tidak. Ini bergantung kepada orang yang lalu lalang ke pantai itu. Jika ramai seperti hari cuti, dia dapat lebih. 

Pak Abu menambah, di antara haiwan akuatik yang dijajanya di warung yang dibinanya di bahu laluan itu terdiri dari lala, lokan, tijah, kepah dan ketam. Katanya, haiwan akuatik ini amat berbeza dari segi bentuk fizikalnya jika dilihat dari bahagian atas dan kulitnya. Walaupun dilihat bentuk kulitnya hampir sama dengan etak, namun lokan menurutnya agak besar dan isinya juga agak besar malah citarasanya juga amat berbeza dengan etak itu.

“Cara memasak berdasarkan kesukaan penggemarnya. Ada yang suka salai, rebus dan masak cili api”, ujar Pak Abu lagi.

Kata Pak Abu, dia begitu mudah memperolehi bekalan lala, lokan, tijah dan kepah diperolehi dari lagun maut itu. Dia membelinya dari kanak-kanak yang memasuki lagun maut itu. Menurutnya, pada masa dulu dijual dengan harga RM2 sekilo, tetapi kini RM5 sekilo.

Bercakap tentang rezeki pula, dia tidak membandingkan dengan mana-mana penjaja lokan di lagun maut itu, kerana rezeki itu masing-masing. Dia redha dengan pendapatan yang diperolehinya kini, namun paling penting dia tidak lagi memenatkan sebagaimana yang pernah dilakukannya pada masa lampau.

Abu Bakar Mohd. Yunus atau Pak Abu.

Pak Abu ketika ditemubual Wartawan RELATIF di gerainya.






Antara haiwan akuatik yang dijual Pak Abu seperti lala, lokan, tijah, kepah dan ketam.




Dari Lagun Maut inilah bekalan haiwan akuatik diperolehi oleh Pak Abu.

 Papan tanda larangan di Lagun Maut.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Jumaat, 20 November 2015

Rezeki Dari Tebu


REZEKI DARI TEBU

RANTAU PANJANG, KELANTAN: Sungguh enak meminum air tebu, bagi penggemar dan peminat air tebu mereka pastinya tidak akan melepaskan peluang menikmati air tebu di mana-mana warung dan restoran yang menjual air tebu. Walaupun air tebu manis, kemanisan air tebu ternyata berbeza dengan gula yang juga diproses secara mekanikal dari tebu.

Membicarakan tentang air tebu, bagi penggemar air tebu, mereka sudah lali dan tahu air tebu itu bersih atau tidak. Air tebu itu dianggap benar-benar bersih dan siap untuk diminum secara segar apabila dilihatnya berwarna hijau. Namun, bagi air tebu yang berwarna hitam adalah air tebu yang dianggap tidak bersih berdasarkan beberapa sebab tertentu.

Hal ini diakui sendiri oleh salah seorang penanam dan penjual air tebu, Othman Mat Yusoff atau Man Air Tuak, 53, dari Kampung Tasik, Rantau Panjang, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya yang letaknya berhampiran dengan ladang tebunya baru-baru ini.

“Saya menanam tebu ini adalah sejak 10 tahun lalu, ketika itu usia saya dalam 43 tahun. Tujuan menanam tebu itu banyak dan salah satunya untuk dijual airnya kepada pembeli dan peminat air tebu di kampung ini”, katanya ketika ditemui di kediamannya itu.

Apabila menyentuh tentang minatnya sebagai penanam tebu, dia menyatakan pada masa dulu beliau adalah tukang rumah. Ketika itu dia melihat si penjual air tebu begitu popular dan amat laris malah kadang-kadang tidak mencukupi. Sejak itulah dia mula berminat menanam tebu kerana darinya akan membuahkan hasil yang lebih baik lagi. Jadi, di samping mengusahakan penanaman tebu, dia juga mula menjual air tebu. Ini bermakna, dia tidak begitu sukar untuk mendapatkan bekalan tebu sebab dia sendiri yang menanam tebu itu.

“Menjual air tebu memang beruntung jika tebu itu ditanam sendiri. Bagi satu teko air tebu (tanpa air batu), kebanyakan penjual air tebu akan memperolehi kira-kira RM7. “Tetapi jika menjualnya bersama air batu, setiap penjual air tebu itu dalam kira-kira RM15”, ujarnya.

Katanya, minatnya menanam tebu lebih mudah mendapat untung berbanding dengan tanaman lain, tebu tidak menimbulkan masalah. Apatah lagi diusahakan di kawasan rumah dan dalam tanah sendiri pula. Beliau yang mengusahakan tanaman tebu turut dibantu oleh ahli keluarganya sendiri seperti isteri dan anak-anaknya.

“Saya memperolehi benih tebu ini dengan harga RM25 bagi 100 batang di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang” katanya menjelaskan tentang tempat beliau memperolehi benih-benih tebu itu.

Kata Othman lagi, tebu hendaklah ditanam dengan membuat lubang. Setiap satu lubang untuk satu batang tebu yang telah dikerat menurut ukuran yang sepatutnya. Berbeza dengan tanaman lain (misalnya sayur-sayuran) perlu membuat batasnya tetapi tebu tidak perlu. Kira-kira jaraknya adalah satu kaki di antara lubang itu boleh digali untuk ditanam batang tebu itu.

Katanya, tebu yang hendak ditanam dari usia satu bulan dan boleh dipungut hasilnya apabila berusia lapan bulan. Menurutnya, tebu yang hendak ditanam supaya sentiasa manis perlu ditanam ketika belum cukup umur, apabila cukup umur pastinya apabila membesar akan berasa tawar. Manakala warna kulitnya adalah kuning langsat.

Tentang pasaran tebu pula menurutnya, dia memasarkan tebunya itu dengan harga 70 sen sekilo. Bahkan, ada di antara pembeli yang memborongnya di antara jumlah 4 pikul atau 5 pikul sehari. Maknanya, jika individu itu sering menempah dalam jumlah yang banyak, hanya dia sahaja yang akan mendapat habuannya, pembeli yang lain tidak akan memperolehinya kerana jumlah tebunya tidak mencukupi untuk dijual kepada semua pembeli.

Umumnya di Rantau Panjang terutamanya di Kampung Tasik itu mengetahui dia merupakan seorang penanam tebu. Jadi, amat mudah pembeli yang tinggal berdekatan mendapatkan bekalan tebu-tebu itu darinya yang diketahui mereka dari mulut ke mulut.

“Bagi sebatang tebu, beratnya di antara tiga atau empat kilo. Maknanya, jika dua kilo tebu, penjual akan memperolehi RM4-50. Ini bermakna, penjual air tebu itu masih memperolehi untung kerana saya menjual batang tebu secara borong.

“Itu berdasarkan kepada bulan puasa. Jika bukan bulan puasa, saya masih memperolehi pendapatan bersih kira-kira RM30 dari hasil air tebu itu yang tidak termasuk dengan jualan air-air minuman yang lain” katanya.

Menurut Othman, pada peringkat awal sebelum tebu itu dimesin untuk memerah airnya, batang tebu itu perlulah terlebih dahulu dibersihkan dari segala kekotoran seperti habuk, debu, kekotoran daun-daun yang melekat di batang tebu, hama, daki batang tebu dan sebagainya. Tebu itu seboleh-boleh dan sebaik-baiknya tidak dipotong atau dengan kata lain hendaklah berkeadaan asal dari ladang. Apabila diperah airnya hendaklah yang berwarna hijau, jika warnanya hitam, memang air tebu itu tidak boleh dijadikan minuman sebab airnya dianggap tidak bersih.

Sebab warna air tebu hitam dianggap tidak bersih adalah berpunca dari daki-daki air kulit tebu itu yang tidak bersih. Orang yang meminum air tebu berwarna hitam akan menyebabkan tekak berasa sebu, gatal dan kemungkinan akan membawa batuk yang berpanjangan.

Ditanya sesetengah air tebu itu berasa tawar dan masam, beliau menjelaskan, hal ini berlaku apabila setelah air itu diperah tidak segera meletakkan air batu. Ini katanya, air batu itu bertindak untuk meneutralkan air seperti air tebu itu agar berkeadaan manis asal dan agar tidak berlakunya air tebu yang tawar dan masam. Selain itu menurutnya, kulit dan batang itu perlu dibersih dan dibilas dengan air yang betul-betul bersih dan hendaklah dikeringkan terlebih dahulu untuk mendapatkan air tebu yang benar-benar berkualiti dan enak diminum.

Dari pengalamannya sebagai penjual air tebu di Kampung Tasik itu, dia memang mengetahui bahawa jika air tebu itu berwarna hitam, peminat dan pembeli air tebu akan mengundur diri dan berlalu pergi. Sebaliknya, apabila dilihat air tebu berwarna hijau tua, menunjukkan air tebu itu sesuai diminum kerana telah berkeadaan bersih dan pastinya orang ramai akan tertarik dengannya.

Othman bin Mat Yusoff atau Man Air Tuak.

Othman bin Mat Yusoff ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kawasan laman rumahnya.



Sebahagian tebu miliknya yang terletak berhampiran dengan kediamannya.

Laluan masuk ke ladang tebunya.

Warung makanan dan minuman tempat beliau dan keluarganya menjual air tebu.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com/

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Selasa, 10 November 2015

Rawatan Tradisional dan Bidan


RAWATAN TRADISIONAL DAN BIDAN

BACHOK, KELANTAN: Penyakit yang dialami dan dideritai oleh manusia sukar dimengertikan. Kalau kita imbas kembali kejadian serangan penyakit-penyakit dahulu memang berlaku tetapi dianggap tidak seteruk zaman moden ini. Malahan kaedah perubatan dan cara merawatnya yang diamalkan juga berbeza dengan hari ini iaitu secara “kampung” atau lebih dikenali sebagai “kaedah tradisional”. Boleh juga diandaikan bahawa, faktor pemakanan, situasi bekerja, alam sekitar mungkin penyebab penyakit zaman moden ini begitu ketara berbanding dulu.

Membicarakan tentang kaedah perubatan dan cara merawat secara tradisional sebagaimana yang diamalkan oleh orang-orang tua dahulu yang didasarkan dari ilmu yang diwarisi dan diperturunkan kepada generasi seterusnya, masih lagi diamalkan oleh pengamal-pengamal ilmu tradisional yang bersumberkan daripada Al-Quran, doa, zikir, munajat, solat tahajjud, solat hajat sebagai penyebab penyakit yang wujud setiap hari di zaman moden ini begitu berkesan dan penyembuhannya lebih sempurna.

Seorang Pengamal Rawatan Tradisional dan Bidan, Ruslah binti Ismail (Kak Lah), 41, dari Kampung Kubang Golok, Bachok, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim yang masih mengamalkan kaedah sedemikian mengakui tentang itu.

Menurut Ruslah, rawatan dan bidan yang diperkenalkan olehnya itu bermula sejak zaman moyangnya lagi secara turun-temurun dari Tok Mak Nab diperturunkan kepada neneknya, Tok Minah, terus kepada ibunya Mok Yoh (yang mengambil peranan bidan ketika usia 18 tahun lagi) sehingga peranan itu diambil oleh beliau pula.

“Sebut saja “Minah Kubang Golok”, penduduk dari kampung ini pasti maklum tentang amalan rawatan keluarga kami adalah secara turun-temurun yang mewarisi ilmu berkenaan secara warisan keluarga”, katanya.

Dia mewarisi ilmu berkenaan dari arwah moyang dan ibunya itu secara warisan, dia mengambil tugas sebagai perawat tradisional dan berbidan manakala kakaknya pula sebagai “tukang urut”.

Katanya, banyak kes yang melibatkan penyakit-penyakit di kalangan wanita malah terdapat segelintir di kalangan mereka yang pernah mendapatkan rawatan dari doktor di hospital menemui kegagalan, sudahnya terpaksa menerima rawatan darinya pula.

Selain berbidan, beliau turut merawat pelbagai jenis penyakit dan masalah yang dihadapi oleh orang ramai seperti bersunat untuk bayi-bayi perempuan, masalah bayi songsang, masalah kanak-kanak merenget dan menangis waktu malam, pendarahan di kalangan wanita bersalin, masalah uri, masalah tidak solat dan sebagainya.

Misalnya, terdapat kes anak (bayi) songsang telah dirujuk kepada beliau, tetapi dengan izin Allah, beliau berjaya menyelesaikan kes itu walaupun telah dirujuk ke hospital sebelum ini. Kaedahnya ialah beliau mengurut ibu bayi selama kira-kira dua jam setengah baharulah bayi tersebut dapat diseimbangkan dan diperbetulkan kedudukannya secara sempurna.

Selain daripada berbidan, beliau turut memberi khidmat “bersunat” kepada bayi-bayi perempuan yang diajarkan sendiri oleh arwah ibunya. Hal ini diserahkan oleh ibunya apabila ibunya itu melihat beliau mampu dan mahir melakukannya sendiri padahal sebelum ini telah disempurnakan oleh ibunya.

Katanya menambah, terdapat juga beberapa wanita (agak ramai) yang didapati darah terus mengalir (tidak kering darah, pendarahan) diberikan rawatan olehnya dengan cara mengurutnya terlebih dahulu dan selepas itu diberikan ubat yang berkaitan. Hasilnya pendarahan yang dialami wanita-wanita berkenaan kembali normal.

Di antara kaedah yang dilakukannya dalam usaha untuk merawat dan menyembuhkan penyakit yang dialami pesakit seperti mengisikan doa dalam air tawar (air penawar seperti hal bermadu, tekanan serta tidak dapat tidur dan sebagainya), solat hajat, merawat remaja terlibat dengan najis dadah, merawat wanita (untuk mudah bersalin, darah), rawat penyakit kulit seperti badan (kulit berair dan bernanah), resdung (melibatkan muka, mata dan hidung). Sementara penyakit Resdung Satung pula, ubat untuk merawat penyakit berkenaan memang ada terutama yang diimpot (dari Pakistan, India dan Jepun) selain ubat-ubatan tempatan sendiri.

“Terdapat juga pesakit lelaki yang mengalami masalah uluran, saya rawat mereka malah telah sembuh dengan sepenuhnya apabila diberikan ubat-ubatan yang sesuai dengan penyakit itu”, ujarnya.

Menurut beliau lagi, penyakit yang paling tersohor dirawatnya adalah di kalangan wanita yang kerap datang.

Misalnya penyakit yang sering dialami wanita berhubung dengan peranakan. Misalnya jika dirawat di hospital pastinya akan dipotong. Jadi, kalangan wanita yang bimbang dengan cara rawatan seperti itu akan datang menemui beliau sebagai salah satu langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka.

Apabila ditanya tentang penyakit medu yang dialami oleh segelintir di kalangan wanita, beliau menjelaskan, medu disebabkan tekanan angin dalam badan, satu hal tentang medu ini adalah pesakitnya akan kerap sendawa. Kalau penyakit ini tidak dirawat, wanita yang baharu kahwin pasti gagal mendapat zuriat disebabkan tekanan angin itu.

Sementara, penyakit senggugut juga sering dialami oleh kebanyakan wanita yang juga disebabkan tekanan angin, wanita yang mengalami penyakit ini akan berasa sakit dan jika tidak dirawat juga akan menyebabkan wanita-wanita gagal untuk memperolehi zuriat.

Menurut Ruslah lagi, masalah gagal untuk mendapatkan anak yang berpunca dari masalah penyakit wanita seperti medu dan senggugut juga turut dialami oleh kalangan lelaki (suami). Jangan hanya memandang kepada masalah wanita sahaja kononnya tidak mendapat zuriat itu berpunca daripada masalah dalaman wanita, namun lelaki juga perlu juga dirawat.

“Misalnya penyakit lain yang dialami kalangan lelaki seperti penyakit buasir dan batu karang memang pernah saya rawat.

“Malah terdapat juga kalangan lelaki yang kurang “stamina” adalah disebabkan masalah urat. Cara saya rawat penyakit-penyakit ini adalah dengan memberikan ubat-ubatnya. Setakat ini memang berjaya”, kata Ruslah lagi.

Katanya, berhubung dengan penyakit yang dialami khususnya di kalangan wanita, ia bergantung kepada pesakit itu sendiri. Misalnya berhubung dengan penyakit medu, terdapat juga wanita hanya makan ubat itu separuh sahaja, penyakit medunya itu terus hilang malah ada juga di sebaliknya bagi wanita-wanita tertentu malah ada juga wanita yang terpaksa menerima rawatan ulangan disebabkan faktor usia atau sebagainya. Kes seumpama ini hampir sama dengan wanita-wanita yang mengalami pendarahan.

Selain itu katanya, terdapat juga kalangan pesakit yang tidak berselera makan, beliau menyarankan ubatan herba dalam usaha menyelesaikan masalah pesakit terbabit. Setakat ini menurutnya, masalah tersebut dapat diselesaikan.

Walau bagaimanapun menurut, masalah kurang selera makan akan dilihatnya kerana dibimbangi masalah sedemikian juga berpunca dari serangan kanser, mungkin juga salah satu dari sebabnya.

Berhubung dengan penyakit kanser ini menurutnya, kaedah beliau merawat penyakit kanser dengan mengamalkan membaca ayat-ayat Al-Quran dalam usaha menyembuhkan penyakit berkenaan. Katanya, penyakit kanser ini pelbagai jenis dan kadar yang mengalaminya agak ramai juga, namun pesakit tersebut tidak menyedarinya.

Apabila ditanya tentang sebab wujudnya kanser, beliau menjelaskan penyakit kanser berpunca dari “tekanan” atau stress. Pihak doktor juga mengakuinya, tekanan perasaan adalah masalah utama yang mengalaminya.

Penyakit lain seperti sukar bernafas turut dialami oleh beberapa pesakit. Jadi, dia mengamalkan ayat-ayat sifa’ dan selawat sifa’ dalam usaha menyelesaikan masalah itu. Penyakit berkenaan menurutnya memang berlaku tetapi kadarnya tidaklah begitu ramai. Namun, jika ada beliau akan menggunakan kaedah itu untuk menyembuhkannya.

Ditanya tentang masa rawatan yang dilakukannya, beliau mengkhususkan rawatan selama 24 jam. Namun, disebabkan bimbang dengan kejadian pada waktu malam yang kini kerap berlaku, dia kini tidak lagi menumpukan rawatan di sebelah malam. Misalnya, pada masa dulu, kira-kira jam 11.00 malam dia ke rumah pesakit (kanak-kanak) yang sering menjerit dan menangis pada waktu malam dan dia membuat kaedah air penawar dalam usaha menghindari masalah yang dihidapi oleh kanak-kanak itu.

Manakala pada hari Jumaat dan Sabtu, beliau menumpukan kepada rawatan “bersunat” kepada bayi-bayi perempuan pula.

Ditanya tentang khidmatnya sebagai perawat dan bidan tradisional yang dicurahkannya kepada orang ramai, beliau menjelaskan, beliau begitu seronok mencurahkan bakti khidmat kepada pesakit yang datang untuk menerima rawatan. Baginya, adalah tugas mulia dan perasaannya akan berasa senang hati apabila dapat membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Ini menurutnya, dia tidak perlu keluar rumah semata-mata untuk memberikan rawatan yang diperlukan oleh pesakit. Namun, satu hal yang beliau berpuas hati apabila segala rawatan dengan niat untuk membantu pesakit telah sembuh dengan izin Allah.

Misalnya sebagai contoh, dia pernah merawat anak-anak yang malas solat, akhirnya dengan berkat ketekunan dan berserah diri kepada Allah, akhirnya ikhtiar yang dilakukannya telah berjaya. Katanya, dalam hal ini seolah-olah beliau seorang kaunselor pula.

Apabila ditanya tentang jumlah pesakit yang pernah menerima rawatan secara tradisional sejak dari arwah ibunya dan beliau sendiri, beliau mendakwa telah melebihi 2,000 pesakit. Purata pesakit dalam sehari menurutnya adalah kira-kira 16 orang. Katanya, pesakitnya bukan sahaja dari warga tempatan tetapi juga dari luar Kelantan.

Suatu hal yang menyebabkan beliau menerima kebanyakan pesakit dari luar Kelantan adalah sebaran dari mulut ke mulut yang menyatakan beliau mampu merawat penyakit yang dihidapi jika dimaklumkan kepadanya dengan segera. Sedangkan menurutnya, kebanyakan pesakit yang dirawatnya itu beliau tidak mengenalinya, tetapi begitulah hal yang berlaku sehingga beliau menjadi tumpuan di kalangan pesakit dari luar pula.

Dari segi komen dan pandangan pelanggan atau pesakit yang pernah dirawatnya, dia tidak tahu kerana jarang mendapat maklumbalas. Walau bagaimanapun, jika pesakit tidak mempercayai rawatan yang beliau berikan, kenapa semakin ramai pesakit yang datang dan terdapat di antaranya dari pelanggan yang sama. Sebagai contohnya, setelah merawat seorang pesakit dan pesakit yang dirawat itu telah sembuh, pesakit itu pula telah menunjukkan kediamannya, untuk menunjukkan rawatan itu berkesan dan diterima oleh pelbagai peringkat usia.

Menurutnya, pesakit-pesakit beliau terdiri daripada pelbagai peringkat dan latar belakang sama ada bayi, kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Ada di antaranya kakitangan penjawat awam, kakitangan bank dan sebagainya.

Katanya, terdapat di kalangan masalah wanita yang didapati darah tidak berhenti mengalir selepas bersalin pernah meminta beliau merawatnya, akhirnya dengan izin Allah telah sembuh sepenuhnya. Apabila salah seorang pesakit itu berjaya dan sembuh, akhirnya pesakit terbabit akan memaklumkannya kepada pesakit-pesakit yang lain dari mulut ke mulut pula.

Misalnya terdapat kes anak yang malas solat, anak remaja yang sering keluar rumah waktu malam dan anak liar, kesemuanya beliau tidak bertanya atas sebab apa hal berkenaan terjadi. Tetapi setelah beliau merawatnya, masalah berkenaan selesai dan selepas itu pesakit yang lain yang mengalami hal yang sama datang menemuinya semata-mata untuk mendapatkan rawatan.

Kaedah yang beliau lakukan untuk merawat dan memulihkan masalah kanak-kanak malas sekolah ialah dengan kaedah mengisikan doa dan meniup ayat-ayat Al-Quran ke dalam air tawar tersebut. Misalnya bagi kanak-kanak yang degil, dia akan menggunakan ayat Al-Quran surah Thoha di samping beliau mengamalkan solat tahajjud setiap malam.

Ruslah binti Ismail (Kak Lah) boleh dihubungi di talian: 013-9809741

Ruslah binti Ismail atau Kak Lah.

Kak Lah ketika ditemubual Wartawan RELATIF dan kediamannya.

Inilah kediamannya yang terletak di Kampung Kubang Golok, Bachok, Kelantan.

Papan tanda dipasang bagi memudahkan pesakit terus ke kediamannya.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Ahad, 1 November 2015

Seni Kraf Rotan


SENI KRAF ROTAN


JERTEH, TERENGGANU: Barangan kraf khususnya yang dihasilkan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia memang ada potensinya dalam pasaran walaupun sambutan terhadapnya dianggap perlahan. Namun begitu, di beberapa kawasan tertentu sambutannya di luar dugaan biarpun harganya dianggap mahal, tetapi dalam konteks barangan harganya tidak sepatutnya dipersoalkan. Ini kerana, barangan kraf memang bermutu tinggi kerana dibuat dengan tangan oleh pakar-pakar di bidang itu.

Misalnya tentang kraf kayu yang kini dikatakan bergerak perlahan, namun percayalah sambutan terhadap kraf kayu juga tidak kurang hebatnya. Ini kerana, untuk membuat barangan kraf kayu juga bukan senang tetapi tidak sesukar mana bagi yang arif dan mahir di bidangnya.

Begitu halnya dengan cerita seorang tukang dan Pengusaha Kraf Kayu, Mohd. Razi bin Jusoh, 55, yang lebih dikenali sebagai Paksu Zi dari Kampung Pusu Tinggi, Jerteh, Terengganu ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di galerinya baru-baru ini.

Menurut Paksu Zi, dia sememangnya pakar atau tukang dalam pembuatan barangan kraf kayu seperti sudip dari kayu, tabung duit, kukur kelapa, papan untuk memotong daging dan ayam, congkak, kayu hoki dan tunggul tambat haiwan yang dijualnya ke pelbagai tempat dan ada yang dihantar ke Kelantan. Dalam masa melakukan penghantaran barangan kraf kayu itu itulah, dia amat tertarik dengan pelbagai barangan yang dibuat dari rotan.

Sejak itu iaitu pada 15 November, 2014 dia mula menubuhkan galeri kraf rotan yang dibina di laman rumahnya yang juga terletak di laluan umum di Kampung Pusu Tinggi itu. Ketika itu katanya, modal yang diperlukan untuk menubuhkan galeri seumpama itu tidaklah terlalu banyak iaitu kira-kira RM1,000 sahaja hasil jualan dari pelbagai barangan kraf kayu yang dibuatnya sendiri secara berdikit dengan amalan berjimat-cermat.

Menurut Paksu Zi, kebanyakan bekalan barangan kraf rotan itu beliau perolehi dari Kelantan (Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tumpat), Terengganu selain Melaka dan sebagainya. Misalnya pelbagai barangan seperti raga dan timba didatangkan dari Melaka.

“Kebanyakan barangan kraf rotan didatangkan dari Kelantan terutamanya dari Pasir Mas, Tumpat dan Rantau Panjang, Terengganu dan Melaka.

“Namun, saya kurang maklum dengan bekalan kraf rotan dari Terengganu. Saya hanya menempahnya, pihak pembekal tidak memaklumkan dari mana mereka memperolehinya”, jelas Paksu Zi.

Di antara barangan kraf rotan yang turut dijual di galerinya seperti kerusi rotan, bakul, raga bayi, bola takraw, tingkat pinggan mangkuk, tudung saji, serkap burung, tuai, lampu, pelapik periuk dan cemeti.

Barangan dari kraf buluh pula seperti bekas menyimpan beras, tas tangan, tudung saji, bubu, serkap ayam dan beg. Manakala barangan yang dibuat dari mengkuang pula seperti tikar mengkuang, beg dan tas tangan. Sementara terdapat juga barangan dari upih yang didatangkan dari Melaka seperti timba serta barangan lidi. Manakala barangan kraf kayu yang dihasilkannya sendiri seperti tabung duit, sudip dari kayu, kukur kelapa, papan untuk memotong daging dan ayam, congkak dan kayu hoki.

“Terbaharu, barangan yang saya mula perkenalkan meliputi pelbagai hiasan seperti perhiasan dari laut serta perhiasan dalam rumah yang meliputi 100 jenis”, katanya ketika dihubungi Wartawan RELATIF pada 28.10.2015.

Paksu Zi menambah, berhubung dengan sambutan pelanggan terhadap barangan yang dipamer dan dijual di galerinya itu boleh dikatakan agak menggalakkan terutamannya bagi peminat-peminat kraf rotan, kecuali pada hari-hari tertentu agak lembab. Galeri beliau itu menjadi tumpuan untuk mendapatkan kraf berkenaan berikutan di kampung itu hanya beliau seorang saja yang menjual pelbagai jenis kraf dari rotan, buluh, kayu, mengkuang dan pandan yang menjadi minat sebahagian pembeli.

“Tentang harga pula, saya menjual barangan ini adalah berpatutan dan harga berkenaan berdasarkan kepada harga pasaran bermula dari harga serendah RM3 hingga RM300 berdasarkan kepada kualiti dan menarik atau tidak barangan itu”, katanya.

Katanya, harga barangan kraf yang ditawarkan di galerinya bermula dari RM3 adalah barangan yang berasaskan kayu. Manakala barangan yang bernilai RM300 adalah barangan yang berasaskan rotan. Menurutnya, dari segi harga itu dianggap memadai kerana barangan berkenaan tinggi nilai mutunya apatah lagi bekalannya diperolehi dari luar Terengganu.

Menurut Paksu Zi lagi, ramai juga di kalangan pembeli yang memaklumkan kepadanya bahawa, barangan yang ada di galerinya itu tiada di tempat lain. Walaupun kraf kayu dan sesetengahnya dari buluh dan rotan, namun galerinya yang menjual pelbagai barangan kreatif yang sukar diperolehi di tempat lain.

“Ramai pelanggan dari jauh khususnya dari Setiu, Terengganu yang datang ke galeri ini kerana dikatakan tiada di tempat mereka.

“Misalnya hari ini barangan seperti “badang” sudah semakin berkurangan dan sukar untuk diperolehi di kedai-kedai kraf, tetapi masih dijual di galeri ini”, ujarnya.

Justeru, dia menyarankan dan mengalu-alukan kepada peminat-peminat barangan kraf yang dijual di galerinya seperti kraf rotan, kayu, mengkuang dan rotan. Barangan berkenaan sukar dihasilkan, tetapi nilai mutunya agak tinggi apatah lagi amat sukar diperolehi di tempat lain tetapi masih dijual di galerinya.

Untuk tempahan, Paksu Zi boleh dihubungi di talian: 010-9221802

Mohd. Razi bin Jusoh atau Paksu Zi.

Paksu Zi ketika ditemubual Wartawan RELATIF di galeri kraf rotan miliknya.



















Sebahagian barangan kraf rotan, buluh, mengkuang dan kraf kayu di galeri miliknya.

Salah seorang pelanggan yang datang ke galerinya untuk membuat pilihan.

Papan tanda.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM