REZEKI DARI TEBU
RANTAU PANJANG, KELANTAN: Sungguh
enak meminum air tebu, bagi penggemar dan peminat air tebu mereka pastinya
tidak akan melepaskan peluang menikmati air tebu di mana-mana warung dan
restoran yang menjual air tebu. Walaupun air tebu manis, kemanisan air tebu
ternyata berbeza dengan gula yang juga diproses secara mekanikal dari tebu.
Membicarakan tentang air tebu,
bagi penggemar air tebu, mereka sudah lali dan tahu air tebu itu bersih atau
tidak. Air tebu itu dianggap benar-benar bersih dan siap untuk diminum
secara segar apabila dilihatnya berwarna hijau. Namun, bagi air tebu yang
berwarna hitam adalah air tebu yang dianggap tidak bersih berdasarkan beberapa
sebab tertentu.
Hal ini diakui sendiri oleh salah
seorang penanam dan penjual air tebu, Othman Mat Yusoff atau Man Air Tuak, 53,
dari Kampung Tasik, Rantau Panjang, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF,
Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya yang
letaknya berhampiran dengan ladang tebunya baru-baru ini.
“Saya menanam tebu ini adalah
sejak 10 tahun lalu, ketika itu usia saya dalam 43 tahun. Tujuan menanam tebu
itu banyak dan salah satunya untuk dijual airnya kepada pembeli dan peminat air
tebu di kampung ini”, katanya ketika ditemui di kediamannya itu.
Apabila menyentuh tentang
minatnya sebagai penanam tebu, dia menyatakan pada masa dulu beliau adalah
tukang rumah. Ketika itu dia melihat si penjual air tebu begitu popular dan
amat laris malah kadang-kadang tidak mencukupi. Sejak itulah dia mula berminat
menanam tebu kerana darinya akan membuahkan hasil yang lebih baik lagi. Jadi,
di samping mengusahakan penanaman tebu, dia juga mula menjual air tebu. Ini
bermakna, dia tidak begitu sukar untuk mendapatkan bekalan tebu sebab dia
sendiri yang menanam tebu itu.
“Menjual air tebu memang
beruntung jika tebu itu ditanam sendiri. Bagi satu teko air tebu (tanpa air
batu), kebanyakan penjual air tebu akan memperolehi kira-kira RM7. “Tetapi jika
menjualnya bersama air batu, setiap penjual air tebu itu dalam kira-kira RM15”,
ujarnya.
Katanya, minatnya menanam tebu
lebih mudah mendapat untung berbanding dengan tanaman lain, tebu tidak
menimbulkan masalah. Apatah lagi diusahakan di kawasan rumah dan dalam tanah
sendiri pula. Beliau yang mengusahakan tanaman tebu turut dibantu oleh ahli keluarganya sendiri seperti isteri dan anak-anaknya.
“Saya memperolehi benih tebu ini
dengan harga RM25 bagi 100 batang di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang”
katanya menjelaskan tentang tempat beliau memperolehi benih-benih tebu itu.
Kata Othman lagi, tebu hendaklah
ditanam dengan membuat lubang. Setiap satu lubang untuk satu batang tebu yang
telah dikerat menurut ukuran yang sepatutnya. Berbeza dengan tanaman lain
(misalnya sayur-sayuran) perlu membuat batasnya tetapi tebu tidak perlu.
Kira-kira jaraknya adalah satu kaki di antara lubang itu boleh digali untuk
ditanam batang tebu itu.
Katanya, tebu yang hendak ditanam
dari usia satu bulan dan boleh dipungut hasilnya apabila berusia lapan bulan.
Menurutnya, tebu yang hendak ditanam supaya sentiasa manis perlu ditanam ketika
belum cukup umur, apabila cukup umur pastinya apabila membesar akan berasa
tawar. Manakala warna kulitnya adalah kuning langsat.
Tentang pasaran tebu pula
menurutnya, dia memasarkan tebunya itu dengan harga 70 sen sekilo. Bahkan, ada
di antara pembeli yang memborongnya di antara jumlah 4 pikul atau 5 pikul
sehari. Maknanya, jika individu itu sering menempah dalam jumlah yang banyak,
hanya dia sahaja yang akan mendapat habuannya, pembeli yang lain tidak akan
memperolehinya kerana jumlah tebunya tidak mencukupi untuk dijual kepada semua
pembeli.
Umumnya di Rantau
Panjang terutamanya di Kampung Tasik itu mengetahui dia merupakan seorang
penanam tebu. Jadi, amat mudah pembeli yang tinggal berdekatan mendapatkan
bekalan tebu-tebu itu darinya yang diketahui mereka dari mulut ke mulut.
“Bagi sebatang tebu, beratnya di
antara tiga atau empat kilo. Maknanya, jika dua kilo tebu, penjual akan
memperolehi RM4-50. Ini bermakna, penjual air tebu itu masih memperolehi untung
kerana saya menjual batang tebu secara borong.
“Itu berdasarkan kepada bulan
puasa. Jika bukan bulan puasa, saya masih memperolehi pendapatan bersih
kira-kira RM30 dari hasil air tebu itu yang tidak termasuk dengan jualan
air-air minuman yang lain” katanya.
Menurut Othman, pada peringkat
awal sebelum tebu itu dimesin untuk memerah airnya, batang tebu itu perlulah
terlebih dahulu dibersihkan dari segala kekotoran seperti habuk, debu,
kekotoran daun-daun yang melekat di batang tebu, hama, daki batang tebu dan sebagainya. Tebu
itu seboleh-boleh dan sebaik-baiknya tidak dipotong atau dengan kata lain
hendaklah berkeadaan asal dari ladang. Apabila diperah airnya hendaklah yang berwarna
hijau, jika warnanya hitam, memang air tebu itu tidak boleh dijadikan minuman
sebab airnya dianggap tidak bersih.
Sebab warna air tebu hitam
dianggap tidak bersih adalah berpunca dari daki-daki air kulit tebu itu yang
tidak bersih. Orang yang meminum air tebu berwarna hitam akan menyebabkan tekak
berasa sebu, gatal dan kemungkinan akan membawa batuk yang berpanjangan.
Ditanya sesetengah air tebu itu
berasa tawar dan masam, beliau menjelaskan, hal ini berlaku apabila setelah air
itu diperah tidak segera meletakkan air batu. Ini katanya, air batu itu
bertindak untuk meneutralkan air seperti air tebu itu agar berkeadaan manis
asal dan agar tidak berlakunya air tebu yang tawar dan masam. Selain itu
menurutnya, kulit dan batang itu perlu dibersih dan dibilas dengan air yang
betul-betul bersih dan hendaklah dikeringkan terlebih dahulu untuk mendapatkan
air tebu yang benar-benar berkualiti dan enak diminum.
Dari pengalamannya sebagai
penjual air tebu di Kampung Tasik itu, dia memang mengetahui bahawa jika air
tebu itu berwarna hitam, peminat dan pembeli air tebu akan mengundur diri dan
berlalu pergi. Sebaliknya, apabila dilihat air tebu berwarna hijau tua,
menunjukkan air tebu itu sesuai diminum kerana telah berkeadaan bersih dan
pastinya orang ramai akan tertarik dengannya.
Othman bin Mat Yusoff atau Man Air Tuak.
Othman bin Mat Yusoff ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kawasan laman rumahnya.
Sebahagian tebu miliknya yang terletak berhampiran dengan kediamannya.
Laluan masuk ke ladang tebunya.
Warung makanan dan minuman tempat beliau dan keluarganya menjual air tebu.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan