RAWATAN TRADISIONAL DAN BIDAN
BACHOK, KELANTAN: Penyakit yang
dialami dan dideritai oleh manusia sukar dimengertikan. Kalau kita imbas
kembali kejadian serangan penyakit-penyakit dahulu memang berlaku tetapi
dianggap tidak seteruk zaman moden ini. Malahan kaedah perubatan dan cara
merawatnya yang diamalkan juga berbeza dengan hari ini iaitu secara “kampung”
atau lebih dikenali sebagai “kaedah tradisional”. Boleh juga diandaikan bahawa,
faktor pemakanan, situasi bekerja, alam sekitar mungkin penyebab penyakit zaman
moden ini begitu ketara berbanding dulu.
Membicarakan tentang kaedah
perubatan dan cara merawat secara tradisional sebagaimana yang diamalkan oleh
orang-orang tua dahulu yang didasarkan dari ilmu yang diwarisi dan
diperturunkan kepada generasi seterusnya, masih lagi diamalkan oleh
pengamal-pengamal ilmu tradisional yang bersumberkan daripada Al-Quran, doa,
zikir, munajat, solat tahajjud, solat hajat sebagai penyebab penyakit yang
wujud setiap hari di zaman moden ini begitu berkesan dan penyembuhannya lebih
sempurna.
Seorang Pengamal Rawatan
Tradisional dan Bidan, Ruslah binti Ismail (Kak Lah), 41, dari Kampung Kubang
Golok, Bachok, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan
Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim yang masih mengamalkan kaedah sedemikian mengakui
tentang itu.
Menurut Ruslah, rawatan dan bidan
yang diperkenalkan olehnya itu bermula sejak zaman moyangnya lagi secara
turun-temurun dari Tok Mak Nab diperturunkan kepada neneknya, Tok Minah, terus
kepada ibunya Mok Yoh (yang mengambil peranan bidan ketika usia 18 tahun lagi)
sehingga peranan itu diambil oleh beliau pula.
“Sebut saja “Minah Kubang Golok”,
penduduk dari kampung ini pasti maklum tentang amalan rawatan keluarga kami
adalah secara turun-temurun yang mewarisi ilmu berkenaan secara warisan
keluarga”, katanya.
Dia mewarisi ilmu berkenaan dari
arwah moyang dan ibunya itu secara warisan, dia mengambil tugas sebagai perawat
tradisional dan berbidan manakala kakaknya pula sebagai “tukang urut”.
Katanya, banyak kes yang
melibatkan penyakit-penyakit di kalangan wanita malah terdapat segelintir di
kalangan mereka yang pernah mendapatkan rawatan dari doktor di hospital menemui
kegagalan, sudahnya terpaksa menerima rawatan darinya pula.
Selain berbidan, beliau turut
merawat pelbagai jenis penyakit dan masalah yang dihadapi oleh orang ramai
seperti bersunat untuk bayi-bayi perempuan, masalah bayi songsang, masalah
kanak-kanak merenget dan menangis waktu malam, pendarahan di kalangan wanita
bersalin, masalah uri, masalah tidak solat dan sebagainya.
Misalnya, terdapat kes anak
(bayi) songsang telah dirujuk kepada beliau, tetapi dengan izin Allah, beliau
berjaya menyelesaikan kes itu walaupun telah dirujuk ke hospital sebelum ini.
Kaedahnya ialah beliau mengurut ibu bayi selama kira-kira dua jam setengah
baharulah bayi tersebut dapat diseimbangkan dan diperbetulkan kedudukannya
secara sempurna.
Selain daripada berbidan, beliau
turut memberi khidmat “bersunat” kepada bayi-bayi perempuan yang diajarkan
sendiri oleh arwah ibunya. Hal ini diserahkan oleh ibunya apabila ibunya itu
melihat beliau mampu dan mahir melakukannya sendiri padahal sebelum ini telah
disempurnakan oleh ibunya.
Katanya menambah, terdapat juga
beberapa wanita (agak ramai) yang didapati darah terus mengalir (tidak kering
darah, pendarahan) diberikan rawatan olehnya dengan cara mengurutnya terlebih
dahulu dan selepas itu diberikan ubat yang berkaitan. Hasilnya pendarahan yang
dialami wanita-wanita berkenaan kembali normal.
Di antara kaedah yang dilakukannya
dalam usaha untuk merawat dan menyembuhkan penyakit yang dialami pesakit
seperti mengisikan doa dalam air tawar (air penawar seperti hal bermadu,
tekanan serta tidak dapat tidur dan sebagainya), solat hajat, merawat remaja
terlibat dengan najis dadah, merawat wanita (untuk mudah bersalin, darah),
rawat penyakit kulit seperti badan (kulit berair dan bernanah), resdung
(melibatkan muka, mata dan hidung). Sementara penyakit Resdung Satung pula,
ubat untuk merawat penyakit berkenaan memang ada terutama yang diimpot (dari Pakistan, India dan Jepun) selain ubat-ubatan
tempatan sendiri.
“Terdapat juga pesakit lelaki
yang mengalami masalah uluran, saya rawat mereka malah telah sembuh dengan
sepenuhnya apabila diberikan ubat-ubatan yang sesuai dengan penyakit itu”,
ujarnya.
Menurut beliau lagi, penyakit
yang paling tersohor dirawatnya adalah di kalangan wanita yang kerap datang.
Misalnya penyakit yang sering
dialami wanita berhubung dengan peranakan. Misalnya jika dirawat di hospital pastinya
akan dipotong. Jadi, kalangan wanita yang bimbang dengan cara rawatan seperti
itu akan datang menemui beliau sebagai salah satu langkah terbaik untuk
menyelesaikan masalah mereka.
Apabila ditanya tentang penyakit
medu yang dialami oleh segelintir di kalangan wanita, beliau menjelaskan, medu
disebabkan tekanan angin dalam badan, satu hal tentang medu ini adalah
pesakitnya akan kerap sendawa. Kalau penyakit ini tidak dirawat, wanita yang
baharu kahwin pasti gagal mendapat zuriat disebabkan tekanan angin itu.
Sementara, penyakit senggugut
juga sering dialami oleh kebanyakan wanita yang juga disebabkan tekanan angin,
wanita yang mengalami penyakit ini akan berasa sakit dan jika tidak dirawat
juga akan menyebabkan wanita-wanita gagal untuk memperolehi zuriat.
Menurut Ruslah lagi, masalah
gagal untuk mendapatkan anak yang berpunca dari masalah penyakit wanita seperti
medu dan senggugut juga turut dialami oleh kalangan lelaki (suami). Jangan
hanya memandang kepada masalah wanita sahaja kononnya tidak mendapat zuriat itu
berpunca daripada masalah dalaman wanita, namun lelaki juga perlu juga dirawat.
“Misalnya penyakit lain yang
dialami kalangan lelaki seperti penyakit buasir dan batu karang memang pernah
saya rawat.
“Malah terdapat juga kalangan
lelaki yang kurang “stamina” adalah disebabkan masalah urat. Cara saya rawat
penyakit-penyakit ini adalah dengan memberikan ubat-ubatnya. Setakat ini memang
berjaya”, kata Ruslah lagi.
Katanya, berhubung dengan
penyakit yang dialami khususnya di kalangan wanita, ia bergantung kepada
pesakit itu sendiri. Misalnya berhubung dengan penyakit medu, terdapat juga
wanita hanya makan ubat itu separuh sahaja, penyakit medunya itu terus hilang
malah ada juga di sebaliknya bagi wanita-wanita tertentu malah ada juga wanita yang
terpaksa menerima rawatan ulangan disebabkan faktor usia atau sebagainya. Kes
seumpama ini hampir sama dengan wanita-wanita yang mengalami pendarahan.
Selain itu katanya, terdapat juga
kalangan pesakit yang tidak berselera makan, beliau menyarankan ubatan herba
dalam usaha menyelesaikan masalah pesakit terbabit. Setakat ini menurutnya,
masalah tersebut dapat diselesaikan.
Walau bagaimanapun menurut,
masalah kurang selera makan akan dilihatnya kerana dibimbangi masalah
sedemikian juga berpunca dari serangan kanser, mungkin juga salah satu dari
sebabnya.
Berhubung dengan penyakit kanser
ini menurutnya, kaedah beliau merawat penyakit kanser dengan mengamalkan
membaca ayat-ayat Al-Quran dalam usaha menyembuhkan penyakit berkenaan.
Katanya, penyakit kanser ini pelbagai jenis dan kadar yang mengalaminya agak
ramai juga, namun pesakit tersebut tidak menyedarinya.
Apabila ditanya tentang sebab
wujudnya kanser, beliau menjelaskan penyakit kanser berpunca dari “tekanan”
atau stress. Pihak doktor juga mengakuinya, tekanan perasaan adalah masalah
utama yang mengalaminya.
Penyakit lain seperti sukar
bernafas turut dialami oleh beberapa pesakit. Jadi, dia mengamalkan ayat-ayat
sifa’ dan selawat sifa’ dalam usaha menyelesaikan masalah itu. Penyakit berkenaan
menurutnya memang berlaku tetapi kadarnya tidaklah begitu ramai. Namun, jika
ada beliau akan menggunakan kaedah itu untuk menyembuhkannya.
Ditanya tentang masa rawatan yang
dilakukannya, beliau mengkhususkan rawatan selama 24 jam. Namun, disebabkan
bimbang dengan kejadian pada waktu malam yang kini kerap berlaku, dia kini
tidak lagi menumpukan rawatan di sebelah malam. Misalnya, pada masa dulu,
kira-kira jam 11.00 malam dia ke rumah pesakit (kanak-kanak) yang sering
menjerit dan menangis pada waktu malam dan dia membuat kaedah air penawar dalam
usaha menghindari masalah yang dihidapi oleh kanak-kanak itu.
Manakala pada hari Jumaat dan
Sabtu, beliau menumpukan kepada rawatan “bersunat” kepada bayi-bayi perempuan
pula.
Ditanya tentang khidmatnya sebagai
perawat dan bidan tradisional yang dicurahkannya kepada orang ramai, beliau
menjelaskan, beliau begitu seronok mencurahkan bakti khidmat kepada pesakit
yang datang untuk menerima rawatan. Baginya, adalah tugas mulia dan perasaannya
akan berasa senang hati apabila dapat membantu golongan yang memerlukan
bantuan.
Ini menurutnya, dia tidak perlu
keluar rumah semata-mata untuk memberikan rawatan yang diperlukan oleh pesakit.
Namun, satu hal yang beliau berpuas hati apabila segala rawatan dengan niat
untuk membantu pesakit telah sembuh dengan izin Allah.
Misalnya sebagai contoh, dia
pernah merawat anak-anak yang malas solat, akhirnya dengan berkat ketekunan dan
berserah diri kepada Allah, akhirnya ikhtiar yang dilakukannya telah berjaya.
Katanya, dalam hal ini seolah-olah beliau seorang kaunselor pula.
Apabila ditanya tentang jumlah
pesakit yang pernah menerima rawatan secara tradisional sejak dari arwah ibunya
dan beliau sendiri, beliau mendakwa telah melebihi 2,000 pesakit. Purata
pesakit dalam sehari menurutnya adalah kira-kira 16 orang. Katanya, pesakitnya
bukan sahaja dari warga tempatan tetapi juga dari luar Kelantan.
Suatu hal yang menyebabkan beliau
menerima kebanyakan pesakit dari luar Kelantan adalah sebaran dari mulut ke
mulut yang menyatakan beliau mampu merawat penyakit yang dihidapi jika
dimaklumkan kepadanya dengan segera. Sedangkan menurutnya, kebanyakan pesakit
yang dirawatnya itu beliau tidak mengenalinya, tetapi begitulah hal yang
berlaku sehingga beliau menjadi tumpuan di kalangan pesakit dari luar pula.
Dari segi komen dan pandangan
pelanggan atau pesakit yang pernah dirawatnya, dia tidak tahu kerana jarang
mendapat maklumbalas. Walau bagaimanapun, jika pesakit tidak mempercayai
rawatan yang beliau berikan, kenapa semakin ramai pesakit yang datang dan
terdapat di antaranya dari pelanggan yang sama. Sebagai contohnya, setelah
merawat seorang pesakit dan pesakit yang dirawat itu telah sembuh, pesakit itu
pula telah menunjukkan kediamannya, untuk menunjukkan rawatan itu berkesan dan
diterima oleh pelbagai peringkat usia.
Menurutnya, pesakit-pesakit
beliau terdiri daripada pelbagai peringkat dan latar belakang sama ada bayi,
kanak-kanak, remaja dan orang dewasa. Ada
di antaranya kakitangan penjawat awam, kakitangan bank dan sebagainya.
Katanya, terdapat di kalangan
masalah wanita yang didapati darah tidak berhenti mengalir selepas bersalin
pernah meminta beliau merawatnya, akhirnya dengan izin Allah telah sembuh
sepenuhnya. Apabila salah seorang pesakit itu berjaya dan sembuh, akhirnya
pesakit terbabit akan memaklumkannya kepada pesakit-pesakit yang lain dari
mulut ke mulut pula.
Misalnya terdapat kes anak yang
malas solat, anak remaja yang sering keluar rumah waktu malam dan anak liar,
kesemuanya beliau tidak bertanya atas sebab apa hal berkenaan terjadi. Tetapi
setelah beliau merawatnya, masalah berkenaan selesai dan selepas itu pesakit
yang lain yang mengalami hal yang sama datang menemuinya semata-mata untuk
mendapatkan rawatan.
Kaedah yang beliau lakukan untuk
merawat dan memulihkan masalah kanak-kanak malas sekolah ialah dengan kaedah
mengisikan doa dan meniup ayat-ayat Al-Quran ke dalam air tawar tersebut.
Misalnya bagi kanak-kanak yang degil, dia akan menggunakan ayat Al-Quran surah
Thoha di samping beliau mengamalkan solat tahajjud setiap malam.
Ruslah binti Ismail (Kak Lah) boleh dihubungi di talian: 013-9809741
Ruslah binti Ismail atau Kak Lah.
Kak Lah ketika ditemubual Wartawan RELATIF dan kediamannya.
Inilah kediamannya yang terletak di Kampung Kubang Golok, Bachok, Kelantan.
Papan tanda dipasang bagi memudahkan pesakit terus ke kediamannya.
Tonton Video:
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM
Assalamualaikum..macam mana sy nk contact kak lah ni..sy dh Cuba hubungi beliau tapi tak dapat sy tgh cari orang boleh berubat bayi terkena penyakit uluran
BalasPadam