RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Isnin, 30 November 2015

Rezeki Dari Lagun Maut


REZEKI DARI LAGUN MAUT


PASIR PUTEH, KELANTAN: Rezeki ada di mana-mana, hanya terdetik dari hati sanubari manusia sendiri apakah yang akan dilakukannya dalam usaha membantu keluarga agar tidak terhimpit dengan kepayahan dan kesukaran hidup. Ini kerana, dengan hanya berharap dan berserah kepada takdir semata-mata, kesulitan yang dialami tidak akan dapat diselesaikan jika tiada usaha ke arah itu. Sikap malas berusaha, salah satu hal buruk tentang sikap manusia akan menyebabkan dia akan sentiasa dibebani pelbagai masalah. Salah satunya ialah wang ringgit untuk perbelanjaan harian.

Perumpamaan ada menyebutkan, “yang pipih tidak akan datang melayang dan yang bulat tidak akan bergolek” ke riba kita jika malas dan tiada usaha untuk mendapatkan kedua-duanya. Jelas, dengan tekadkan usaha sahaja rezeki itu diperoleh dan sikap malas tidak akan merubah segala-galanya.

Begitu halnya dengan seorang penjaja haiwan akuatik seperti lala, lokan, tijah, kepah dan ketam, Abu Bakar Mohd. Yunus atau Pak Abu, 65, dari Kampung Lagun Maut, Pantai Semerak, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di gerainya baru-baru ini.

Katanya, dia menjaja haiwan akuatik di kawasan lagun maut itu sejak jalan atau laluan itu dibina lagi. Tujuannya adalah untuk mencari rezeki halal disebabkan beliau dan isterinya tidak mampu untuk melakukan kerja yang sesuai, jadi terpaksalah beliau menjaja pelbagai jenis haiwan dari tebing sungai kepada pengunjung yang lalu lalang ke Pantai Semerak itu.

Menurut Pak Abu, pada masa dulu, dia menjaja pelbagai jenis barangan di merata tempat semata-mata untuk mencari nafkah. Disebabkan kini sudah berusia, dia pun tidak larat untuk menjaja seperti itu, akhirnya dengan kaedah menjaja sepertinya sekarang dia tidak lagi perlu menjaja dari satu tempat ke satu tempat yang tentunya memenatkan.

“Masa muda saya, saya menjaja dari satu tempat ke satu tempat. Kini, disebabkan usia sudah meningkat, saya tak larat lagi. Dengan menjaja seperti ini, saya tak perlu ke mana-mana lagi”, ujarnya.

Tambah Pak Abu, perolehan pendapatannya dalam sehari agak tidak menentu. Kadang-kadang dapat RM30 sehari dan kadang-kadang tidak. Ini bergantung kepada orang yang lalu lalang ke pantai itu. Jika ramai seperti hari cuti, dia dapat lebih. 

Pak Abu menambah, di antara haiwan akuatik yang dijajanya di warung yang dibinanya di bahu laluan itu terdiri dari lala, lokan, tijah, kepah dan ketam. Katanya, haiwan akuatik ini amat berbeza dari segi bentuk fizikalnya jika dilihat dari bahagian atas dan kulitnya. Walaupun dilihat bentuk kulitnya hampir sama dengan etak, namun lokan menurutnya agak besar dan isinya juga agak besar malah citarasanya juga amat berbeza dengan etak itu.

“Cara memasak berdasarkan kesukaan penggemarnya. Ada yang suka salai, rebus dan masak cili api”, ujar Pak Abu lagi.

Kata Pak Abu, dia begitu mudah memperolehi bekalan lala, lokan, tijah dan kepah diperolehi dari lagun maut itu. Dia membelinya dari kanak-kanak yang memasuki lagun maut itu. Menurutnya, pada masa dulu dijual dengan harga RM2 sekilo, tetapi kini RM5 sekilo.

Bercakap tentang rezeki pula, dia tidak membandingkan dengan mana-mana penjaja lokan di lagun maut itu, kerana rezeki itu masing-masing. Dia redha dengan pendapatan yang diperolehinya kini, namun paling penting dia tidak lagi memenatkan sebagaimana yang pernah dilakukannya pada masa lampau.

Abu Bakar Mohd. Yunus atau Pak Abu.

Pak Abu ketika ditemubual Wartawan RELATIF di gerainya.






Antara haiwan akuatik yang dijual Pak Abu seperti lala, lokan, tijah, kepah dan ketam.




Dari Lagun Maut inilah bekalan haiwan akuatik diperolehi oleh Pak Abu.

 Papan tanda larangan di Lagun Maut.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan