RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Isnin, 30 Mac 2015

Banjir Lumpur Landa Salor


BANJIR LUMPUR LANDA SALOR

KOTA BHARU, KELANTAN:  Banjir tidak mengenal siapa. Kawasan yang rendah pastinya agak cepat air melimpah. Misalnya di kawasan pusat bandar Kota Bharu air begitu pantas melimpahi tebing. Begitu halnya apabila air melimpah di kawasan pinggir bandar Kota Bharu. Salah satu kawasan yang sering dinaiki air ialah di Salor dan di antara kampung yang sering terlibat dengan banjir ialah Kampung Betong, Salor, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut salah seorang mangsa banjir, Norzinari binti Che Ibrahim,28, atau Ni, dari Kampung Betong, Salor, Kota Bharu, Kelantan yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin berkata, banjir lumpur mula melanda Salor khususnya Kampung Betong pada 26 Disember, 2014 iaitu kira-kira jam 2.00 petang.

Banjir berkenaan menurutnya mula memenuhi setiap kawasan Kampung Betong kira-kira jam 8.00 malam pada tarikh yang sama. Selain Sungai Kelantan yang menyebabkan kenaikan air di kampung berkenaan dengan pantas, terdapat sebuah lagi dikenali Sungai Paloh yang menyebabkan kampung berkenaan mudah ditenggelami banjir.

Apabila ditanya tentang pertembungan arus kedua-dua sungai antara Sungai Kelantan dan Sungai Paloh itu, beliau tidak dapat memberikan gambaran tentangnya. Apa yang diketahuinya air mula melimpahi tebing dan mula memasuki kawasan laman rumahnya setelah memenuhi sebahagian tempat dalam kampung terbabit.

“Saya lebih selesa memanggilnya banjir lumpur kerana banjir itu membawa bersama lumpur. Jika dibandingkan dengan banjir-banjir yang pernah melanda kampung ini sebelum ini, banjir lumpur 2014 lebih besar lagi.

“Malah banjir sebelum ini didapatinya air agak suam-suam kuku. Tetapi banjir lumpur 2014 ini  suhu airnya agak sejuk”, katanya apabila diminta mengklasifikasikan jenis banjir yang dimaksudkan.

Menurut Norzinari, keluarganya mula berpindah dari rumah kediamannya itu pada 26.12.2014 (sebelah malam) iaitu ketika air mula memenuhi setiap ruang Kampung Betong itu. Lazimnya, pusat-pusat pemindahan untuk mangsa-mangsa banjir di kawasan itu seperti Sekolah Pohon Tanjung dan Sekolah Padang Tembak.

Hanya keluarganya yang berpindah agak lewat berbanding dengan jiran-jiran tetangganya yang lain yang berpindah awal apabila banjir mula melimpah tebing dan memasuki kampung itu dengan pantas.

“Anggaran mangsa banjir dari kampungnya yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan adalah kira-kira 100 orang atau lebih”, ujarnya.

Menurutnya, banjir yang melanda laman rumah kediamannya mencecah paras dada. Manakala kalau dalam biliknya air paras pinggang. Kalau tidak berusaha menyelamatkan diri dengan berpindah segera, akan menimbulkan masalah kerana “malang itu memang tidak berbau”.

Selain itu menurutnya, banjir yang melanda bulan Disember 2014 lalu agak luar biasa. Sekali sekala melihat keadaan air itu, perasaan takut ada dan bimbang pun ada kerana beliau beranggapan banjir berkenaan agak bahaya dari banjir sebelumnya dari konteks kedalaman air dan cara aliran air itu. Pernah menurutnya perasaan terlintas dalam hati tentang rumah kediamannya yang pasti hanyut jika air berterusan naik.

Membicarakan tentang bantuan makanan untuk mangsa-mangsa banjir katanya, terdapat mangsa yang menerima bantuan makanan untuk mereka tetapi tidaklah diperolehi sebagaimana yang diharapkan. Lazimnya, pihak penyelamat seperti JPAM, Bomba dan Tentera serta pihak NGO hanya berkampung di tempat selamat yang tidak dinaiki air. Pihak penyelamat tiada sebarang usaha untuk melihat keadaan mangsa. Malangnya, mangsa banjir dalam keadaan itu perlu berusaha untuk menyelamatkan nyawa masing-masing dalam ketiadaan makanan dan air.

Di antara badan-badan NGO yang menberikan bantuan makanan seperti pihak Petronas dan juga badan NGO dari Johor pernah singgah di rumahnya. Sesuatu yang paling ialah apabila bekalan air paip dan elektrik telah dihentikan ketika banjir mula melanda kampung terbabit.

Katanya, bekalan air dan elektrik telah dihentikan selama seminggu sebelum banjir melanda kampung itu. Jika mangsa belum berpindah kerana paras air belum memasuki laman kediaman masing, atas daya usaha masing-masing untuk cuba menyesuaikan diri dalam keadaan itu dengan mencari alternatif sendiri mendapatkan bekalan makanan dan minuman sendiri.

Kata Norzinari, banjir mula surut pada 29.12.2014 setelah berhempas-pulas selama empat (4) hari di pusat pemindahan. Paras selut yang ditinggalkan banjir adalah di bawah paras lutut.

“Kira-kira seminggu lamanya selut dapat ditanggalkan, itupun menggunakan alat penyembur. Kalau tidak amat sukar untuk menanggalkan selut yang semakin mengeras jika lewat dibersihkan”, jelasnya.

Katanya, beliau berpendapat wajar orang ramai melakukan persediaan awal sebelum berlakunya banjir. Jika berlengah-lengah amat menyusahkan, apatah lagi jika kehadiran banjir itu banjir kilat dan pantas.

Norzinari Che Ibrahim atau Ni.

Norzinari ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Keadaan barangan berselerakan akibat dilanda banjir.


Kenderaan juga menjadi mangsa banjir.

Madrasah Al-Baraqah di Kampung Betong, Salor turut dilanda banjir lumpur 2014.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Jumaat, 20 Mac 2015

Misteri Anak Jin (16.2.2015)



MISTERI ANAK JIN

KOTA BHARU, KELANTAN: Perkampungan jin memang ada di mana-mana, hanya manusia sahaja yang tidak dapat melihatnya dan mengesannya berikutan keterbatasan penglihatan manusia terhadapnya. Setiap kawasan yang masih belum diteroka, akan wujudlah makhluk ghaib yang dikenali “perkampungan jin atau bunian” yang menjadikan sesebuah kawasan untuk mereka menetap dan menghuni kerana tidak ingin diganggu terutamanya dari kalangan manusia yang banyak karenahnya.

Apabila dikatakan makhluk halus, terbayanglah dalam minda kita iaitu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan salah satu makhluk tersebut dikenali sebagai “jin”. Walaupun terdapat segelintir di kalangan manusia yang tidak dapat melihat alam dan makhluk terbabit, namun ada juga manusia yang dianggap bertuah apabila dibuka hijab oleh Allah S.W.T  sehingga dapat melihat makhluk tersebut seperti manusia juga.

Pengalaman Penulis tentang makhluk ini berlaku sejak tahun 2003 lagi setelah berlaku kejadian “nahas’ jalan raya pada petang 24.10.2003 iaitu ketika umat-umat Islam ingin menyambut kehadiran bulan yang mulia Ramadan Al-Mubarak pada 25.10.2003. Pelbagai jenis makhluk halus seperti jin terutamanya jin Islam dapat dilihat malah sempat juga berbual dengan mereka terutamanya di kalangan pemuda dan pemudi mereka. Pemuda pemudi mereka yang beragama Islam boleh dikenali melalui cara berpakaian, bergaul serta menjalani kehidupan seperti manusia juga.

Penulis tidak ingin merakam tentang pengalaman berbual dengan makhluk berkenaan. Walau bagaimanapun, Penulis ingin berkongsi pengalaman tentang kejadian terbaharu yang Penulis lihat dan alami pada 16 Februari, 2015 yang lalu (sebelah malam). Untuk membaca pengalaman Penulis tentang makhluk ini sebelum ini boleh melayari majalah RELATIF: SIRI 01 (http://azmirelatif-1.blogspot.com).

Dalam kejadian 16.2.2015 itu, Penulis sedang melaksanakan pendawaian elektrik di dua bilik yang baharu disiapkan setelah rumah Penulis dilanda banjir lumpur 2014 pada 28.12.2014 hingga 30.12.2014 lalu. Disebabkan melihat keadaan rumah yang agak comot kerana dilanda banjir lumpur itu adalah lebih baik ditambah dua bilik lagi untuk kegunaan anak-anak dan tetamu yang datang.

Setelah selesai memasang wayar elektrik pada malam tersebut, Penulis keluar rumah untuk melihat suasana di luar rumah dan menyedut udara bersih pula. Ketika itu jam menunjukkan kira-kira 10.00 malam. Ketika itu Penulis melihat sebatang tubuh sedang berjalan perlahan di bawah lampu TNB berdekatan dengan tiangnya dan kawasan itu juga berhampiran dengan kenderaan milik Penulis. Manakala isteri dan anak perempuan pula menyambung kerja dengan mengecat kedua-dua bilik terbabit.

Sebatang tubuh yang dimaksudkan itu ialah seorang remaja lelaki, yang Penulis anggarkan berusia dalam lingkungan 18 tahun  yang juga mungkin sebaya dengan anak bongsu Penulis. Beliau mengenakan baju lengan panjang berwarna kelabu dan berseluar hitam sedang melalui tiang lampu TNB itu menuju di balik kenderaan Penulis yang diparkir di luar rumah.

Penulis bertanya remaja berkenaan tentang kelibatnya hendak ke mana? Dia senyum kemudian ghaib. Sebagai makluman, ketika Penulis melihatnya dulu, dia seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan kira-kira 4 atau 5 tahun saja. Kemunculan remaja berkenaan di hadapan rumah jiran dan rumah Penulis sendiri sering berlaku sejak tahun 2003 dulu dan kelibat mereka berhenti setelah banjir diketahui akan melanda Kelantan khususnya di kawasan kediaman Penulis di Kota Bharu.

Penulis cuba merakamnya dengan kamera namun hampa kerana kamera tidak berupaya merakam kelibatnya. Setelah dilihat ke serata arah, remaja tersebut terus ghaib dan tidak muncul-muncul lagi. Mungkin dia cuba menjenguk kawasan perkampungannya dulu yang telah diterangkan hutannya.

Sebenarnya, makhluk ini tinggal dalam sebuah rumah panjang dan bahagian dapur makhluk itu bersetentang dengan muka pintu rumah Penulis. Pintu masuk ke kediaman makhluk berkenaan adalah kelihatannya seperti ruang gua yang letaknya di celah-celah antara pokok kelapa dan pokok rambutan yang telah ditebang setelah banjir melanda baru-baru ini.

Sehingga jam 3.00 pagi, Penulis cuba ingin melihat remaja itu seorang diri kalau-kalau dia muncul lagi untuk melihat kami sekeluarga sedang menyelesaikan tugas. Namun, dia tetap tidak muncul-muncul. Kelibat budak ghaib itu kemudiannya Penulis maklumkan kepada isteri sehingga diberitahu oleh isteri bahawa kelibat remaja ghaib itu telah muncul jam 11.00 pagi pada 16.2.2015 ketika adik ipar sedang menurap bata dan simen rumah Penulis.

Menurut isteri Penulis sebagaimana yang diberitahu oleh adik ipar bahawa dia melihat remaja itu mundar-mandir di hadapan muka pintu rumah Penulis pada pagi itu sebanyak empat kali. Mungkin dia kagum dengan bentuk rumah manusia yang dianggapnya menarik hatinya. Adik ipar Penulis tidak mengetahui apa yang dilihatnya tentang remaja itu adalah makhluk ghaib kerana menyangka anak salah seorang jiran Penulis yang sering melaluinya setiap hari. Tetapi isteri Penulis memberitahunya, bukan anak jiran tetapi anak makhluk jin yang sering melalui hadapan rumah Penulis beberapa kali sebelum ini.

Malah kejadian kedua pula berlaku pada 22.2.2015 apabila Penulis mengadakan majlis bar-b-que pada sebelah malamnya dengan memanggang lokan, sotong, ikan dan ayam. Remaja makhluk itu sering mundar-mandir di bawah tiang lampu di kawasan rumah pertama. Mungkin remaja berkenaan berbau enak lauk-pauk itu dibakar sehingga menyebabkan perutnya berasa lapar.

Begitulah kejadian terbaharu tentang misteri remaja jin yang dulunya masih peringkat kanak-kanak yang periang, tetapi kini telah dewasa. Kerap kali juga keluarga makhluk berkenaan mengadakan kenduri kerana beberapa kali Penulis terhidu bau kari dan gulai yang telah siap dimasak dan bunyi peralatan memasak beberapa kali. Apabila Penulis mengemukakan soalan, sedang buat kenduri, salah seorang ketua keluarga (lelaki) makhluk berkenaan memberitahu mereka sedang mengadakan majlis kenduri. Ketika kejadian itu jam 3.00 pagi di alam manusia, tetapi kira-kira petang hari (hampir Maghrib) adalah waktu alam mereka.

Penulis: "Banyak pengalaman misteri yang berkisar tentang makhluk halus".

Di sinilah anak jin itu muncul lalu ditegur oleh Penulis.

Kemudiannya, anak jin itu ghaib di di sini.

Setelah selesai pendawaian dua bilik tambahan, Penulis berehat di luar rumah.


Anak jin itu seringkali melalui kawasan ini sama ada siang ataupun malam hari.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Banjir Lumpur Landa Pasir Mas



BANJIR LUMPUR LANDA PASIR MAS

PASIR MAS, KELANTAN:  Banjir merah pada tahun 1967 dulu sering dianggap oleh penduduk-penduduk kampung yang pernah mengalaminya adalah banjir besar yang pernah melanda Kelantan. Tidak ketinggalan di Kampung Seberang Pasir Mas, banjir tahun 1967 itu pernah menenggelamkan kawasan dan ruang kampung berkenaan ketika itu. Bezanya, walaupun dikatakan banjir merah, namun airnya agak jernih kerana tidak meninggalkan selut dan lumpur yang sukar ditanggalkan.

Berbeza pula dengan banjir 2014 yang melanda Pasir Mas khususnya di Kampung Seberang Pasir Mas itu kerana bukan sahaja dikatakan banjir besar, terburuk tetapi banjir lumpur 2014 meninggalkan selut.

Pengalaman dua beranak, Hamzah bin Wook, 73, dan anaknya, Mohd. Anuar bin Hamzah, 26, atau dikenali Nuar Pomen dari Kampung Seberang Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin berasa kaget dengan kejadian dilanda banjir lumpur itu. 

Menurut Hamzah, banjir melanda dan mula melimpah di kawasan Pasir Mas khususnya di Kampung Seberang Pasir Mas itu pada 25 Disember, 2014. Katanya, kadang-kadang air yang naik dalam keadaan berpusar, alirannya agak laju, cepat memenuhi kawasan dan ruang yang rendah serta sekali melihatnya agak menakutkan.

Tambah, Hamzah ketika air melimpah keadaan kawasan rumahnya begitu cepat sehingga paras dada orang dewasa. Banjir mula memenuhi kawasan itu pada 26.12.2014 dan selama seminggu penduduk kampung itu tinggal di pusat pemindahan. Katanya, air berkenaan memenuhi sehingga paras 20 kaki dalamnya.

Ditanya tentang peranan pihak penyelamat seperti Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Tentera yang sepatutnya memberikan bantuan kepada mangsa banjir sepertinya, beliau menjelaskan tindakan pihak penyelamat ke kampung itu bagi menyelamatkan mangsa-mangsa banjir agak terlalu lambat.

“Kalau kami tunggu pihak penyelamat tentunya kami anak-beranak akan mati lemas atau ditenggelamkan banjir. Jadi, kami usahakan sendiri bagaimana tindakan kami untuk menyelamatkan diri”, kata Hamzah ketika ditemui RELATIF tengah hari itu.

Menurutnya, ketika banjir mula memenuhi kampung terbabit, penduduk kampung terbabit membuat panggilan kecemasan memaklumkan tentang banjir itu yang telah mula melimpah ke beberapa kawasan dan mula menenggelamkan kawasan agak rendah. Namun pihak penyelamat masih belum tiba di destinasi yang dinyatakan.

Katanya, ada beberapa penduduk yang berpindah dengan perahu sendiri ketika banjir mula melimpah tebing dan memenuhi pada tarikh itu telah terbalik kerana dilambung arus deras, tetapi syukurlah mereka telah diselamatkan oleh penduduk kampung yang sama.

Manakala menurut anaknya, Mohd. Anuar Hamzah, air mula melimpah tebing pada 25.12.2014 pada pukul 6.00 petang dan mula memenuhi setiap ruang di Kampung Seberang Pasir Mas pada 26.12.2014 kira-kira jam 3.00 pagi apabila di Jambatan Pasir Mas didapati air mula melintasi jalan raya utama yang menghubungkan dengan bandar Pasir Mas dengan alirannya yang agak laju.

Tambah Mohd. Anuar, sifat air banjir yang melanda Kampung Seberang Pasir Mas apabila air yang melimpah dataran ketika itu agak perlahan-lahan tetapi kemudiannya amat pantas. Warna air yang naik ketika itu berwarna coklat pekat. Kalau dibezakan dengan banjir sebelum ini seperti banjir 1967 dan banjir tsunami 2004, banjir 2014 adalah yang paling besar dan airnya amat keruh, lumpur dan berselut. Sedangkan banjir sebelum ini airnya bersih dan jernih. Manakala apabila surut pula, air tertinggal masih di bawah paras lutut dan surutnya agak perlahan.

“Air selut ini amat bahaya bukan sahaja kepada manusia kerana kulit mengalami gatal-gatal tetapi apabila terkena kepada kenderaan akan menyebabkan cat kenderaan itu akan luntur”, jelas Mohd. Anuar.

Ditanya tentang sampah dan kayu yang dihanyutkan banjir, beliau berkata memang terlalu banyak sampah dan kayu dan ranting-ranting kayu hanyut dan tersadai di kawasan persekitaran rumahnya sementelah pula dia tinggal di kawasan tebing sungai memang amat sukar untuk sampah dan kayu-kayu itu menyusur bersama banjir yang surut dengan mudah. Akhirnya saki baki sisa sampah ditinggalkan banjir di kawasan itu.

“Kebanyakan penduduk kampung berpindah ke tempat selamat di Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas. Sekolah berkenaan memang dinaiki air, namun di bahagian bawahnya kereta tidak dapat diparkir berikutan digenangi banjir.

“Kira-kira 300 orang penduduk dari Kampung Seberang Pasir Mas ini yang telah berpindah ke pusat pemindahan itu”, jelas Mohd. Anuar seterusnya.

Menceritakan keadaan lanjut tentang pengalaman mangsa banjir yang telah berpindah ke pusat pemindahan yang terletak di Sekolah Kebangsaan Pasir Mas, Kelantan itu, Mohd. Anuar menjelaskan, kebanyakan mangsa banjir di pusat pemindahan itu terpaksa memakan nasi dengan garam dan bawang sahaja kerana tiada bekalan makanan yang tiba ke situ. Malah katanya, nasi pula dimasak dengan air sungai. Dia tidak pasti keadaan rupa air sungai yang digunakan untuk memasak nasi tersebut.

Beliau tidak menyalahkan kepada sesiapa kerana memang pasukan penyelamat sukar untuk datang ketika air mula memenuhi kampung itu. Bahkan keadaan sekolah terbabit yang dijadikan pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir kelihatannya seperti sebuah pulau kerana dikelilingi air.

“Niat ingin keluar dari pusat pemindahan itu untuk meminta bantuan dan sebagainya memang ada, namun kami tidak dapat berbuat demikian disebabkan tiada kemudahan dan keadaan air juga yang agak deras dan membahayakan”, ujar Mohd. Anuar lagi.

Ditanya tentang bantuan daripada pihak NGO, katanya pihak NGO juga telah berkampung di laluan utama di Kampung Ranok yang ketika itu memang tidak dinaiki air. Namun pihak berkenaan terlalu sukar untuk ke kampungnya berikutan keadaan airnya yang deras dan membahayakan. Mungkin juga pihak berkenaan melonggokkan barangan bantuan di tempat mereka berkampung itu sehingga banjir kembali reda.

Apa yang diketahuinya, atas usaha Penghulu barangan bantuan itu dibawa ke sekolah terbabit, namun bergantung kepada rezeki masing-masing, ada yang dapat dan ramai juga yang berputih mata. Pelik katanya, bukan mangsa banjir memperolehi bantuan yang dihantar, sebaliknya mangsa banjir sebenar tidak memperolehi bantuan itu.

Tentang sifat banjir 2014 itu menurutnya, banjir yang melimpah ke kampung itu datangnya dari tiga penjuru yang menyebabkan kawasan kampung itu dikelilingi air iaitu melalui saliran dan parit air, Jambatan Salor dan Pengkalan Feri. Akibat pertembungan ketiga-tiga penjuru berkenaan menyebabkan air bergelombang dan mengalir dengan laju. Ini bermakna, air berkenaan mengalir secara agak laju dan pantas di kawasan rendah yang menyebabkannya mudah menenggelamkan kawasan terbabit.

Tentang sifat air menurutnya agak panas, boleh jadi kerana kawasan tersebut berpasir. Apabila kita berendam, kulit kita berasa agak sejuk dan apabila beralih di atas daratan akan berasa agak panas, menjadikan keadaan kaki menggelupas disebabkan kepanasan air itu.

Apabila ditanya tentang perasaannya dengan banjir lumpur 2014 yang dikatakan melimpah agak pantas, beliau menjelaskan sebelum ini kejadian banjir kerap dialami di kampungnya namun tidaklah seburuk banjir 2014 lalu.

Pada ketika itu, dia mula terfikir bagaimana dengan keadaan rumahnya melihat keadaan air banjir yang agak laju itu. Terlintas di hatinya, rumahnya mungkin dihanyutkan air melihatkan keadaan banjir yang begitu ganas itu.

Menceritakan kejadian banjir merah yang melanda kawasan kampungnya pada tahun 1967 itu, beliau pernah dimaklumkan oleh beberapa orang tua yang menyatakan banjir 1967 dikenali banjir merah yang dianggap banjir besar pernah melanda kampungnya, sebaliknya banjir 2014 lebih besar lagi.

Mohd. Anuar juga menceritakan tentang tanda-tanda sebelum berlakunya banjir lumpur 2014 itu tentang suatu kejadian yang tidak dapat dilupakannya. Katanya, sebelum banjir 2014 melanda kampungnya, ketika dia membuka paip untuk mendapatkan air paip sebagaimana lazimnya, didapati keluar selut berwarna coklat dengan banyaknya. Selepas dua hari, didapati selut yang keluar dari kepala paip airnya didapati hilang dan beliau mempolehi air paip sebagaimana biasa.

Selepas itu, beliau keluar rumah bersama dua rakannya sambil berborak, dia terdengar bunyi aneh yang agak jelas dan katanya bunyi itu kedengaran agak lantang. Benda aneh seperti kapal terbang sedang turun atau menjunam dengan laju dan bunyinya agak lantang tetapi dia tidak nampak apakah benda aneh yang dimaksudkan itu. Dia tidak dapat melihat benda aneh (objek) itu tetapi bunyinya semakin lantang. Menurutnya, ketika benda aneh yang tidak kelihatan dengan mata kasar melalui kawasan itu, didapati semua lampu jalan yang terpasang semuanya terpadam.

Selain itu menurut Mohd. Anuar, semua talian komunikasi di kampung itu semuanya terganggu ketika banjir melanda kampungnya itu bulan Disember 2014 yang lalu. Katanya, apabila air naik talian komunikasi terpadam.

Bahkan bekalan air paip yang digunakan oleh penduduk kampung termasuk rumahnya sendiri termasuk bekalan elektrik telah dipadamkan kira-kira seminggu sebelum banjir melanda Kampung Seberang Pasir Mas. Hal seumpama ini tentunya menyukarkan keluarganya kerana terpaksa bergelap dan mencari bekalan air minuman sendiri dengan membelinya di kedai runcit berhampiran sedangkan banjir masih belum melimpah tebing.

Untuk menyelesaikan masalah itu, mereka terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli “peralatan generator”. Manakala tentang bekalan makanan pula, beberapa buah kedai runcit hanya tinggal raknya sahaja sedangkan bekalan makanan segera yang sepatutnya dapat menampung pembeli telah habis.

“Selepas banjir surut, banjir meninggalkan selut yang sukar ditanggalkan kerana warnanya melekat mati. Beliau bersama keluarganya terpaksa mencucinya. Pada mulanya, saya agak dalam tempoh seminggu segala kerja mencuci akan selesai. Tetapi tidak.

“Manakala soal pakaian, kusyen, sofa kertas yang ada semuanya musnah apabila banjir kampungnya dan terpaksa dibakar.

“Setakat ini tiada didapati rumah roboh atau hanyut di kampungnya kecuali kebanyakan rumah di kampung itu ditenggelami banjir lumpur”, ujar Mohd. Anuar.

Mengakhiri bicara, beliau turut menekankan jika berlaku banjir untuk tahun-tahun yang akan datang beliau berharap supaya mangsa banjir terlibat patut berpindah awal. Beliau juga berharap supaya pasukan penyelamat seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Bomba dan Tentera supaya datang lebih awal sebelum mangsa terhalang banjir yang menyukarkan tugas-tugas menyelamat.

Beliau juga bimbang sebagaimana sebuah keluarga dari kampungnya yang membawa keluarga terbalik perahu yang dinaiki berikutan aliran deras disebabkan tiada pasukan penyelamat yang datang awal. Jika tiada bantuan daripada penduduk kampung yang melihat kejadian itu tentunya keluarga berkenaan dihanyutkan arus deras.

Hamzah bin Wook.

Mohd. Anuar bin Hamzah atau Nuar Pomen.

Mohd. Anuar ketika ditemubual Wartawan RELATIF di tebing sungai berhampiran kediamannya.







Persekitaran dan kediaman yang digenangi dan ditenggelamkan banjir lumpur 2014.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com


Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Selasa, 10 Mac 2015

Kuala Krai: Banjir Lumpur 2014


KUALA KRAI: BANJIR LUMPUR 2014

KUALA KRAI, KELANTAN: Banjir 2014 menjadi igauan buruk apabila sesetengah kawasan tinggi juga dianggap tidak selamat kerana telah dinaiki air. Sementelah pula dengan kawasan rendah, menjadi bertambah buruk kerana terdapat harta yang rosak dan musnah, rumah yang hanyut dan pecah dan ada beberapa barangan lain tidak dapat diselamatkan kerana kehadiran banjir yang tidak diduga.

Sesetengah tempat dianggap berbeza walaupun kita melihatnya seperti tanah rata yang tinggi, sedangkan kawasan dinaiki air itu adalah tempat yang agak rendah dan lembah. Misalnya kejadian banjir yang berlaku di Kampung Guchil 5, Kuala Krai, Kelantan pada 20 Disember, 2014 yang lalu, terdapat penghuninya yang menetap di kawasan tanah tinggi dan berbukit, namun dianggap tidak selamat kerana banjir tidak mengenal manusia.

Sebuah keluarga yang menetap di kawasan tanah tinggi dan berbukit di kampung terbabit, Morobee binti Dollah, 42, atau dikenali juga Mak Banun dan anaknya, Hamidah binti Nor Alam, 15, ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim mengakui tidak menyangka banjir 2014 telah menyebabkan kediamannya dinaiki air walaupun mereka tinggal di tempat yang agak tinggi. Dengan itu, keluarga berkenaan tidak mengambil kisah dengan hal itu kerana menyangka banjir tidak akan mencecah kediaman mereka.

“Air mula naik pada 20 Disember, 2014. Ketika air mula memenuhi bahagian lembah bukit, saya memang tidak berkemas kerana menganggap banjir tidak akan mencecah tangga rumah kerana rumah saya berada di kawasan tinggi”, cerita Morobee binti Dollah atau Mak Banun tentang keadaan banjir tersebut.

Sambung Morobee, keadaan air tidak mengenal tinggi atau rendah kerana pada sebelah petang (kira-kira jam 4.00 petang) pada hari yang sama (20 Disember, 2014) banjir mula mencecah anak tangga rumahnya dengan agak pantas. Menceritakan peristiwa banjir itu, katanya ketika air mula memenuhi di bahagian bawah (lembah) bukit itu, kelihatan keseluruhan rumah yang terletak di bawahnya mula tenggelam dan ada juga yang pecah dan roboh. Kemudian air mula melimpah tebing sehingga mencecah di bahagian anak tangga rumahnya yang paling bawah kemudiannya tangga rumahnya yang paling tinggi.

Apabila melihat keadaan air mula mencecah di kedua-dua bahagian tangga, beliau mula berkemas mana yang patut supaya barangan yang dimaksudkan tidak terus terkena air banjir. Sementara sebahagian barangan yang dapat diangkat kemudiannnya dibawa ke masjid berdekatan yang dijadikan sebagai sebagai pusat pemindahan yang paling selamat di Kampung Guchil 5 itu.

Sementara beliau mula berpindah ke masjid, beberapa jirannya memaklumkan kepadanya bahawa rumahnya ketika itu telah dinaiki air sehingga ke paras pinggang. Pelik, rumah terletak di kawasan tinggi (bukit) tetapi banjir boleh sampai juga.

“Banjir yang melimpah ke kawasan Kampung Guchil 5 ini memang berkeadaan keruh pekat dan berlumpur. Banjir ini datangnya dari arah Sungai Krai dan Sungai Kelantan”, cetus Morobee lagi.

Morobee menambah, beliau berpendapat banjir berlumpur itu disebabkan masalah bukit dan puncanya juga dari kayu balak yang didapati hanyut untuk menandakan ada sesuatu yang tidak kena dengan bukit itu. Padahal banjir sebelum ini tidak kelihatan balak hanyut di kawasan itu.

Ditanya tentang perbezaan banjir 2014 dengan banjir 1967, beliau menjelaskan banjir 2014 lebih besar dari banjir 1967 itu. Katanya, tentang kejadian banjir 1967, air melimpah dan mencecah hanya di bahagian tebing tinggi rumahnya saja berbanding banjir 2014 yang telah mencecah ke bahagian atas tangga kedua. Sementara banjir tahun 1985, didapati air hanya sekadar melimpah di bahagian tebing kediamannya saja.

Menurutnya, walaupun rumahnya dan rumah jirannya terletak di tempat yang agak tinggi, namun mereka terpaksa berpindah juga kerana banjir telah mencecah di kawasan rumah mereka.

“Terdapat dua pusat pemindahan di kawasan Kampung Guchil, Kuala Krai iaitu di Sekolah SKBJ dan masjid berhampiran”, katanya.

Manakala berhubung dengan bantuan makanan kepada mangsa banjir pula, beliau memperolehi bantuan makanan ringan seperti maggi, roti dan kain. Manakala terdapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyumbang sekampit beras.

Sementara itu, menurut anaknya, adik Hamidah binti Nor Alam, 15, yang menuntut di SMK Sultan Yahya Petra 1, Kampung Guchil, Kuala Krai berkata, banjir 2014 dianggap banjir paling besar berbanding banjir yang pernah melanda Kuala Krai sebelum ini. Contohnya banjir tsunami yang berlaku 2004 tidaklah seteruk banjir 2014 ini.

“Banjir tsunami pada tahun 2004, air yang naik hanya mencecah setakat di bawah tebing bukit rumah ini saja.

“Sebelum berlakunya banjir di Kuala Krai, hujan rintik-rintik mula turun selama tiga hari sahaja.

“Saya juga tidak menyangka dalam keadaan hujan yang ala kadar itu didapati keesokannya air semakin melimpah dan banjir mulai naik ke paras tangga rumah ini”, katanya sambil menunjukkan ke arah kediaman keluarganya.

Katanya, dia dapat melihat keadaan rumah jiran-jirannya yang terletak di kawasan rendah dan lembah apabila banjir menenggelamkan rumah-rumah berkenaan perlahan-lahan di mana kelihatannya seolah-olah sebuah sungai seperti padang jarak padang tekukur.

Katanya, banjir melanda Kampung Guchil adalah selama dua hari sahaja dan ketika surut beliau tidak pasti kerana apabila dilihat banjir mula turun perlahan-lahan meninggalkan Kampung Guchil 5 itu.

Walau bagaimanapun menurut adik Hamidah, keadaan selut amat sukar ditanggalkan kerana lumpurnya cepat mengeras dan akan mendatangkan masalah apabila lewat dibersihkan.

Ditanya tentang punca banjir itu, adik Hamidah berpendapat air bukit adalah punca banjir besar itu sehingga tahap terburuk dan kaitannya ialah akibat aktiviti pembalakan yang memusnahkan tanah di kawasan terbabit sehingga menyebabkan sungai menjadi keruh dan berkelodak. Ditanya tentang masalah longkang yang menyebabkan masalah banjir selain masalah air bukit, baginya dia menafikan tentang masalah longkang dan sistem perparitan sebagai penyebabnya.

Morobee binti Dollah atau Mak Banun.

Hamidah binti Nor Alam.

Wartawan RELATIF ketika menemubual pasangan anak beranak di Kampung Guchil 5, Kuala Krai, Kelantan.

Keadaan tangga kediaman Morobee yang tinggi juga dinaiki air.

Keadaan kenderaan jirannya yang dilanda banjir.

Kediaman juga runtuh akibat dilanda banjir.



Jalan dan lorong di Kampung Guchil ketika dilanda banjir lumpur.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=oTAjICemArg&list=UUOuhLhmNRG5O4lBinpv-W6g

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Ahad, 1 Mac 2015

Banjir Lumpur Landa Kuala Krai


BANJIR LUMPUR LANDA KUALA KRAI

KUALA KRAI, KELANTAN: Setiap kali berlakunya banjir, kawasan utara Negeri Kelantan yang menjadi mangsa. Ini berikutan punca sungai bermula dari bahagian utara negeri tersebut. Selain air yang datang dari arah bukit dan tempat tinggi, kejadian air akan semakin mengganas apabila kesemua tempat telah bercantum. Lazimnya, kawasan utara seperti Gua Musang dan Kuala Krai menerima banjir lebih awal berbanding di bahagian hilir Negeri Kelantan seperti di Kota Bharu dan kawasan lainnya.

Misalnya sebuah lagi kawasan yang dinaiki air seperti di Kampung Sungai Embak yang terletak di Kuala Krai, Kelantan juga turut menjadi mangsa. Walaupun banjir seumnpamanya pernah berlaku pada tahun 1967 dulu, namun banjir 2014 ini dianggap banjir terbesar dan terburuk apatah lagi yang membawa bersama aliran itu ialah lumpur.

Di Kampung Sungai Embak, Kuala Krai terdapat kira-kira lima buah keluarga yang menjadi mangsa banjir yang terpaksa berpindah sendiri untuk menyelamatkan diri. Seorang mangsa, Esah binti Yaacob, 62, atau lebih dikenali dengan panggilan Mek dari kampung berkenaan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, air mula naik di kampungnya itu pada 26 Disember, 2014 setelah Sungai Embak sebak dan akhirnya melimpah. Katanya, air itu mengalir dari arah belakang rumahnya yang di situ terletaknya sawah padi.  

Katanya, air ketika itu mula naik pada 26.12.2014  jam 5.00 petang dan pada ketika itu telah memenuhi di sekitar laman rumahnya. Apabila malam menjelang, beliau berasa tidak sedap hati dengan keadaan paras air itu yang semakin naik lantas beliau bersama-sama anak-anaknya dan sebuah keluarga (jirannya) berhimpun di atas rumah anaknya yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.

Menurutnya, disebabkan air semakin naik walaupun secara perlahan tetapi agak mendadak, beliau bersama anak-anaknya mula berpindah ke kawasan tebing tinggi yang terletak di hadapan laluan rumahnya kira-kira jam 4.00 pagi bersama salah seorang anaknya yang masih dalam pantang kerana bersalin beberapa hari yang lalu.

“Air melewati paras leher anak. Mek terpaksa berpindah segera dan didukung oleh cucu kerana tidak mampu untuk berjalan dengan baik untuk naik ke tempat tinggi itu”, katanya apabila ditanya tentang kenaikan paras air di laman rumahnya ketika itu

Jelasnya lagi, air yang mula naik itu dianggap sebagai aliran biasa kerana keadaannya yang tidak begitu deras tetapi warna air tersebut berkeadaan keruh. Katanya, dalam keadaan usianya itu hanya banjir 2014 inilah yang dianggap banjir besar berbanding banjir sebelum ini.

“Walaupun rumah mek tidak tenggelam, namun banjir itu telah memasuki rumah Mek walaupun tidak pernah berlaku sebelum ini. Keempat-empat rumah anak dan termasuk rumah beliau memang dimasuki air”, ujarnya.

Menyentuh tentang barangan yang ada dalam rumahnya beliau berkata, mana-mana barangan yang sempat diambil dan dibawa ke tempat tinggi dan selamat akan dipunggah pergi. Namun, bagi barangan yang tidak sempat diselamatkan seperti almari, sofa, tikar getah dan sebagainya terpaksalah ditinggalkan ditenggelami banjir itu dan barangan tersebut memang rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi akibat dijamah air. Manakala peti sejuk dan mesin basuh memang terkena banjir namun tidak rosak.

Selain itu katanya, sejak awal beliau telah berkemas dan melakukan persiapan awal semata-mata untuk menghadapi banjir yang tidak diduga. Misalnya tentang pakaian, sebahagiannya agak selamat kerana telah berkemas dan diletakkan di tempat yang agak tinggi. Namun katanya, terdapat juga beberapa pakaian yang tidak sempat disusun pada malam air itu naik dan terpaksalah ditinggalkan begitu saja.

Apabila ditanya tentang perbezaan banjir besar antara banjir 2014 dengan 1967 beliau akan menjawab banjir 2014 lebih besar dari banjir-banjir sebelum ini. Hal ini disebabkan banjir 2014  telah memasuki rumahnya, manakala banjir sebelum ini keadaan rumahnya tidak ditenggelami banjir itu.

Beliau menambah, setahunya air sering melimpah apabila hujan turun dari parit dan saliran yang terletak di hadapan rumahnya terus ke Sungai Embak itu. Tetapi, apabila Sungai Embak telah sebak menyebabkan air tidak lagi dapat mengalir ke destinasinya dan akhirnya sungai itu pula memuntahkan aliran itu ke serata arah sehingga mengalir ke laman rumahnya pula.

Ditanya tentang punca banjir itu naik, beliau tidak dapat menyatakan puncanya, namun segelintir penduduk kampung itu menyatakan disebabkan hujan. Walau bagaimanapun, baginya keadaan purata hujan dalam keadaan biasa saja, kadang kala lebat dan perlahan. Beliau tidak mengetahui dari mana datangnya air yang begitu banyak itu melihatkan keadaan demikian.

Katanya, beliau bersama ahli keluarganya yang terdiri daripada anak-anak sebanyak empat buah rumah bersama sebuah rumah jirannya yang meliputi lima buah rumah berpindah ke tempat yang selamat apabila mengetahui air telah memasuki rumahnya pada 26.12.2014. Ini berikutan kawasannya boleh dikatakan dikepung banjir kerana kiri dan kanan telah dinaiki air. Syukurlah beliau mempunyai tempat yang tinggi dan selamat untuk dijadikan sebagai tempat berpindah kerana tiada pihak yang mengambil tahu tentang nasibnya di kawasan Kampung Sungai Embak itu.

“Setahu Mek, tiada keluarga di Kampung Sungai Embak ini yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan yang dikhususkan oleh pihak berkuasa”, katanya.

Menurut Esah, apabila air mula melimpah tebing, bekalan air dan elektrik yang disalurkan ke setiap rumah termasuk ke rumahnya terpaksa dihentikan. Pada ketika itu katanya, keadaan air semakin naik yang memaksa bekalan berkenaan terpaksa dihentikan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ketika bekalan elektrik dihentikan, beliau terpaksa menggunakan bantuan lilin pula menyebabkan hawa panas menyelinap setiap ruang rumahnya. Ini berikutan, kipas tidak lagi dapat digunakan disebabkan pemotongan bekalan elektrik itu.

Katanya, penggunaan lilin terpaksa digunakan disebabkan beliau menpunyai cucu (bayi) yang memerlukan pencahayaan. Katanya, bagi kanak-kanak akan menyebabkan pernafasan yang terganggu manakala bagi beliau pula beliau akan berkeadaan mamai apabila tinggal dan tidur di dalam keadaan gelap. Namun, disebabkan suasana yang terpaksa beliau melaluinya sebagai satu pengalaman baharu.

Bekalan air dan elektirk kemudiannya disambung kembali kira-kira genap seminggu lamanya. Hal ini berlaku berikutan janakuasa elektrik di Sungai Durian juga ditenggelami banjir.

Menurutnya, sebagai mangsa banjir keluarganya turut menerima bantuan makanan seperti beras, gula, minyak masak, gandum, makanan segera Maggi dan teh. Ditanya tentang pemberian wang tunai kepada mangsa banjir beliau hanya memperolehi bekalan makanan sahaja.

“Mek rasa air mula surut pada 28.12.2014. Mek dan anak-anak bermalam di atas tebing di hadapan rumahnya itu hanya semalam saja”, ujar Esah ketika ditanya tentang tarikh air surut.

Menceritakan tentang selut yang ditinggalkan banjir pula, rumahnya terpaksa dicuci dengan alat pencuci (pam berenjin). Katanya, beliau terpaksa mencucinya sebanyak tiga kali sehari, lebih seminggu terpaksa mencuci selut itu yang cepat melekat dan meninggalkan kesan kuning.

Pada mulanya, beliau menyedut air dari bendang yang terletak di belakang rumahnya. Kemudian, apabila air dari bendang mulai kering, beliau menyedutnya dari perigi yang terletak bersebelahan kediamannya. Manakala selepas itu menggunakan bekalan air paip pula.

Beliau tidak pernah dikunjungi oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin memberikan khidmat pertolongan mencuci dan membersihkan dari masalah banjir. Ini kerana, beliau bersama anak-anaknya yang melakukannya sendiri walaupun dalam keadaan penat untuk mengelakkan masalah tidak dapat ditanggalkan apabila selut itu telah mengeras.

Esah binti Yaacob atau Mek.

Esah binti Yaacob ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Halaman rumah yang dinaiki dan digenangi banjir 2014 baru-baru ini.


Laluan air dari arah bendang di Sungai Embak.


Sebahagian perkakasan rumah yang dirosakkan banjir.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com

Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN