RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Jumaat, 20 Mac 2015

Banjir Lumpur Landa Pasir Mas



BANJIR LUMPUR LANDA PASIR MAS

PASIR MAS, KELANTAN:  Banjir merah pada tahun 1967 dulu sering dianggap oleh penduduk-penduduk kampung yang pernah mengalaminya adalah banjir besar yang pernah melanda Kelantan. Tidak ketinggalan di Kampung Seberang Pasir Mas, banjir tahun 1967 itu pernah menenggelamkan kawasan dan ruang kampung berkenaan ketika itu. Bezanya, walaupun dikatakan banjir merah, namun airnya agak jernih kerana tidak meninggalkan selut dan lumpur yang sukar ditanggalkan.

Berbeza pula dengan banjir 2014 yang melanda Pasir Mas khususnya di Kampung Seberang Pasir Mas itu kerana bukan sahaja dikatakan banjir besar, terburuk tetapi banjir lumpur 2014 meninggalkan selut.

Pengalaman dua beranak, Hamzah bin Wook, 73, dan anaknya, Mohd. Anuar bin Hamzah, 26, atau dikenali Nuar Pomen dari Kampung Seberang Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin berasa kaget dengan kejadian dilanda banjir lumpur itu. 

Menurut Hamzah, banjir melanda dan mula melimpah di kawasan Pasir Mas khususnya di Kampung Seberang Pasir Mas itu pada 25 Disember, 2014. Katanya, kadang-kadang air yang naik dalam keadaan berpusar, alirannya agak laju, cepat memenuhi kawasan dan ruang yang rendah serta sekali melihatnya agak menakutkan.

Tambah, Hamzah ketika air melimpah keadaan kawasan rumahnya begitu cepat sehingga paras dada orang dewasa. Banjir mula memenuhi kawasan itu pada 26.12.2014 dan selama seminggu penduduk kampung itu tinggal di pusat pemindahan. Katanya, air berkenaan memenuhi sehingga paras 20 kaki dalamnya.

Ditanya tentang peranan pihak penyelamat seperti Bomba, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Tentera yang sepatutnya memberikan bantuan kepada mangsa banjir sepertinya, beliau menjelaskan tindakan pihak penyelamat ke kampung itu bagi menyelamatkan mangsa-mangsa banjir agak terlalu lambat.

“Kalau kami tunggu pihak penyelamat tentunya kami anak-beranak akan mati lemas atau ditenggelamkan banjir. Jadi, kami usahakan sendiri bagaimana tindakan kami untuk menyelamatkan diri”, kata Hamzah ketika ditemui RELATIF tengah hari itu.

Menurutnya, ketika banjir mula memenuhi kampung terbabit, penduduk kampung terbabit membuat panggilan kecemasan memaklumkan tentang banjir itu yang telah mula melimpah ke beberapa kawasan dan mula menenggelamkan kawasan agak rendah. Namun pihak penyelamat masih belum tiba di destinasi yang dinyatakan.

Katanya, ada beberapa penduduk yang berpindah dengan perahu sendiri ketika banjir mula melimpah tebing dan memenuhi pada tarikh itu telah terbalik kerana dilambung arus deras, tetapi syukurlah mereka telah diselamatkan oleh penduduk kampung yang sama.

Manakala menurut anaknya, Mohd. Anuar Hamzah, air mula melimpah tebing pada 25.12.2014 pada pukul 6.00 petang dan mula memenuhi setiap ruang di Kampung Seberang Pasir Mas pada 26.12.2014 kira-kira jam 3.00 pagi apabila di Jambatan Pasir Mas didapati air mula melintasi jalan raya utama yang menghubungkan dengan bandar Pasir Mas dengan alirannya yang agak laju.

Tambah Mohd. Anuar, sifat air banjir yang melanda Kampung Seberang Pasir Mas apabila air yang melimpah dataran ketika itu agak perlahan-lahan tetapi kemudiannya amat pantas. Warna air yang naik ketika itu berwarna coklat pekat. Kalau dibezakan dengan banjir sebelum ini seperti banjir 1967 dan banjir tsunami 2004, banjir 2014 adalah yang paling besar dan airnya amat keruh, lumpur dan berselut. Sedangkan banjir sebelum ini airnya bersih dan jernih. Manakala apabila surut pula, air tertinggal masih di bawah paras lutut dan surutnya agak perlahan.

“Air selut ini amat bahaya bukan sahaja kepada manusia kerana kulit mengalami gatal-gatal tetapi apabila terkena kepada kenderaan akan menyebabkan cat kenderaan itu akan luntur”, jelas Mohd. Anuar.

Ditanya tentang sampah dan kayu yang dihanyutkan banjir, beliau berkata memang terlalu banyak sampah dan kayu dan ranting-ranting kayu hanyut dan tersadai di kawasan persekitaran rumahnya sementelah pula dia tinggal di kawasan tebing sungai memang amat sukar untuk sampah dan kayu-kayu itu menyusur bersama banjir yang surut dengan mudah. Akhirnya saki baki sisa sampah ditinggalkan banjir di kawasan itu.

“Kebanyakan penduduk kampung berpindah ke tempat selamat di Sekolah Kebangsaan Seberang Pasir Mas. Sekolah berkenaan memang dinaiki air, namun di bahagian bawahnya kereta tidak dapat diparkir berikutan digenangi banjir.

“Kira-kira 300 orang penduduk dari Kampung Seberang Pasir Mas ini yang telah berpindah ke pusat pemindahan itu”, jelas Mohd. Anuar seterusnya.

Menceritakan keadaan lanjut tentang pengalaman mangsa banjir yang telah berpindah ke pusat pemindahan yang terletak di Sekolah Kebangsaan Pasir Mas, Kelantan itu, Mohd. Anuar menjelaskan, kebanyakan mangsa banjir di pusat pemindahan itu terpaksa memakan nasi dengan garam dan bawang sahaja kerana tiada bekalan makanan yang tiba ke situ. Malah katanya, nasi pula dimasak dengan air sungai. Dia tidak pasti keadaan rupa air sungai yang digunakan untuk memasak nasi tersebut.

Beliau tidak menyalahkan kepada sesiapa kerana memang pasukan penyelamat sukar untuk datang ketika air mula memenuhi kampung itu. Bahkan keadaan sekolah terbabit yang dijadikan pusat pemindahan mangsa-mangsa banjir kelihatannya seperti sebuah pulau kerana dikelilingi air.

“Niat ingin keluar dari pusat pemindahan itu untuk meminta bantuan dan sebagainya memang ada, namun kami tidak dapat berbuat demikian disebabkan tiada kemudahan dan keadaan air juga yang agak deras dan membahayakan”, ujar Mohd. Anuar lagi.

Ditanya tentang bantuan daripada pihak NGO, katanya pihak NGO juga telah berkampung di laluan utama di Kampung Ranok yang ketika itu memang tidak dinaiki air. Namun pihak berkenaan terlalu sukar untuk ke kampungnya berikutan keadaan airnya yang deras dan membahayakan. Mungkin juga pihak berkenaan melonggokkan barangan bantuan di tempat mereka berkampung itu sehingga banjir kembali reda.

Apa yang diketahuinya, atas usaha Penghulu barangan bantuan itu dibawa ke sekolah terbabit, namun bergantung kepada rezeki masing-masing, ada yang dapat dan ramai juga yang berputih mata. Pelik katanya, bukan mangsa banjir memperolehi bantuan yang dihantar, sebaliknya mangsa banjir sebenar tidak memperolehi bantuan itu.

Tentang sifat banjir 2014 itu menurutnya, banjir yang melimpah ke kampung itu datangnya dari tiga penjuru yang menyebabkan kawasan kampung itu dikelilingi air iaitu melalui saliran dan parit air, Jambatan Salor dan Pengkalan Feri. Akibat pertembungan ketiga-tiga penjuru berkenaan menyebabkan air bergelombang dan mengalir dengan laju. Ini bermakna, air berkenaan mengalir secara agak laju dan pantas di kawasan rendah yang menyebabkannya mudah menenggelamkan kawasan terbabit.

Tentang sifat air menurutnya agak panas, boleh jadi kerana kawasan tersebut berpasir. Apabila kita berendam, kulit kita berasa agak sejuk dan apabila beralih di atas daratan akan berasa agak panas, menjadikan keadaan kaki menggelupas disebabkan kepanasan air itu.

Apabila ditanya tentang perasaannya dengan banjir lumpur 2014 yang dikatakan melimpah agak pantas, beliau menjelaskan sebelum ini kejadian banjir kerap dialami di kampungnya namun tidaklah seburuk banjir 2014 lalu.

Pada ketika itu, dia mula terfikir bagaimana dengan keadaan rumahnya melihat keadaan air banjir yang agak laju itu. Terlintas di hatinya, rumahnya mungkin dihanyutkan air melihatkan keadaan banjir yang begitu ganas itu.

Menceritakan kejadian banjir merah yang melanda kawasan kampungnya pada tahun 1967 itu, beliau pernah dimaklumkan oleh beberapa orang tua yang menyatakan banjir 1967 dikenali banjir merah yang dianggap banjir besar pernah melanda kampungnya, sebaliknya banjir 2014 lebih besar lagi.

Mohd. Anuar juga menceritakan tentang tanda-tanda sebelum berlakunya banjir lumpur 2014 itu tentang suatu kejadian yang tidak dapat dilupakannya. Katanya, sebelum banjir 2014 melanda kampungnya, ketika dia membuka paip untuk mendapatkan air paip sebagaimana lazimnya, didapati keluar selut berwarna coklat dengan banyaknya. Selepas dua hari, didapati selut yang keluar dari kepala paip airnya didapati hilang dan beliau mempolehi air paip sebagaimana biasa.

Selepas itu, beliau keluar rumah bersama dua rakannya sambil berborak, dia terdengar bunyi aneh yang agak jelas dan katanya bunyi itu kedengaran agak lantang. Benda aneh seperti kapal terbang sedang turun atau menjunam dengan laju dan bunyinya agak lantang tetapi dia tidak nampak apakah benda aneh yang dimaksudkan itu. Dia tidak dapat melihat benda aneh (objek) itu tetapi bunyinya semakin lantang. Menurutnya, ketika benda aneh yang tidak kelihatan dengan mata kasar melalui kawasan itu, didapati semua lampu jalan yang terpasang semuanya terpadam.

Selain itu menurut Mohd. Anuar, semua talian komunikasi di kampung itu semuanya terganggu ketika banjir melanda kampungnya itu bulan Disember 2014 yang lalu. Katanya, apabila air naik talian komunikasi terpadam.

Bahkan bekalan air paip yang digunakan oleh penduduk kampung termasuk rumahnya sendiri termasuk bekalan elektrik telah dipadamkan kira-kira seminggu sebelum banjir melanda Kampung Seberang Pasir Mas. Hal seumpama ini tentunya menyukarkan keluarganya kerana terpaksa bergelap dan mencari bekalan air minuman sendiri dengan membelinya di kedai runcit berhampiran sedangkan banjir masih belum melimpah tebing.

Untuk menyelesaikan masalah itu, mereka terpaksa mengeluarkan belanja sendiri untuk membeli “peralatan generator”. Manakala tentang bekalan makanan pula, beberapa buah kedai runcit hanya tinggal raknya sahaja sedangkan bekalan makanan segera yang sepatutnya dapat menampung pembeli telah habis.

“Selepas banjir surut, banjir meninggalkan selut yang sukar ditanggalkan kerana warnanya melekat mati. Beliau bersama keluarganya terpaksa mencucinya. Pada mulanya, saya agak dalam tempoh seminggu segala kerja mencuci akan selesai. Tetapi tidak.

“Manakala soal pakaian, kusyen, sofa kertas yang ada semuanya musnah apabila banjir kampungnya dan terpaksa dibakar.

“Setakat ini tiada didapati rumah roboh atau hanyut di kampungnya kecuali kebanyakan rumah di kampung itu ditenggelami banjir lumpur”, ujar Mohd. Anuar.

Mengakhiri bicara, beliau turut menekankan jika berlaku banjir untuk tahun-tahun yang akan datang beliau berharap supaya mangsa banjir terlibat patut berpindah awal. Beliau juga berharap supaya pasukan penyelamat seperti Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Bomba dan Tentera supaya datang lebih awal sebelum mangsa terhalang banjir yang menyukarkan tugas-tugas menyelamat.

Beliau juga bimbang sebagaimana sebuah keluarga dari kampungnya yang membawa keluarga terbalik perahu yang dinaiki berikutan aliran deras disebabkan tiada pasukan penyelamat yang datang awal. Jika tiada bantuan daripada penduduk kampung yang melihat kejadian itu tentunya keluarga berkenaan dihanyutkan arus deras.

Hamzah bin Wook.

Mohd. Anuar bin Hamzah atau Nuar Pomen.

Mohd. Anuar ketika ditemubual Wartawan RELATIF di tebing sungai berhampiran kediamannya.







Persekitaran dan kediaman yang digenangi dan ditenggelamkan banjir lumpur 2014.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com


Teks:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan