RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Isnin, 30 Mac 2015

Banjir Lumpur Landa Salor


BANJIR LUMPUR LANDA SALOR

KOTA BHARU, KELANTAN:  Banjir tidak mengenal siapa. Kawasan yang rendah pastinya agak cepat air melimpah. Misalnya di kawasan pusat bandar Kota Bharu air begitu pantas melimpahi tebing. Begitu halnya apabila air melimpah di kawasan pinggir bandar Kota Bharu. Salah satu kawasan yang sering dinaiki air ialah di Salor dan di antara kampung yang sering terlibat dengan banjir ialah Kampung Betong, Salor, Kota Bharu, Kelantan.

Menurut salah seorang mangsa banjir, Norzinari binti Che Ibrahim,28, atau Ni, dari Kampung Betong, Salor, Kota Bharu, Kelantan yang sempat ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin berkata, banjir lumpur mula melanda Salor khususnya Kampung Betong pada 26 Disember, 2014 iaitu kira-kira jam 2.00 petang.

Banjir berkenaan menurutnya mula memenuhi setiap kawasan Kampung Betong kira-kira jam 8.00 malam pada tarikh yang sama. Selain Sungai Kelantan yang menyebabkan kenaikan air di kampung berkenaan dengan pantas, terdapat sebuah lagi dikenali Sungai Paloh yang menyebabkan kampung berkenaan mudah ditenggelami banjir.

Apabila ditanya tentang pertembungan arus kedua-dua sungai antara Sungai Kelantan dan Sungai Paloh itu, beliau tidak dapat memberikan gambaran tentangnya. Apa yang diketahuinya air mula melimpahi tebing dan mula memasuki kawasan laman rumahnya setelah memenuhi sebahagian tempat dalam kampung terbabit.

“Saya lebih selesa memanggilnya banjir lumpur kerana banjir itu membawa bersama lumpur. Jika dibandingkan dengan banjir-banjir yang pernah melanda kampung ini sebelum ini, banjir lumpur 2014 lebih besar lagi.

“Malah banjir sebelum ini didapatinya air agak suam-suam kuku. Tetapi banjir lumpur 2014 ini  suhu airnya agak sejuk”, katanya apabila diminta mengklasifikasikan jenis banjir yang dimaksudkan.

Menurut Norzinari, keluarganya mula berpindah dari rumah kediamannya itu pada 26.12.2014 (sebelah malam) iaitu ketika air mula memenuhi setiap ruang Kampung Betong itu. Lazimnya, pusat-pusat pemindahan untuk mangsa-mangsa banjir di kawasan itu seperti Sekolah Pohon Tanjung dan Sekolah Padang Tembak.

Hanya keluarganya yang berpindah agak lewat berbanding dengan jiran-jiran tetangganya yang lain yang berpindah awal apabila banjir mula melimpah tebing dan memasuki kampung itu dengan pantas.

“Anggaran mangsa banjir dari kampungnya yang berpindah ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan adalah kira-kira 100 orang atau lebih”, ujarnya.

Menurutnya, banjir yang melanda laman rumah kediamannya mencecah paras dada. Manakala kalau dalam biliknya air paras pinggang. Kalau tidak berusaha menyelamatkan diri dengan berpindah segera, akan menimbulkan masalah kerana “malang itu memang tidak berbau”.

Selain itu menurutnya, banjir yang melanda bulan Disember 2014 lalu agak luar biasa. Sekali sekala melihat keadaan air itu, perasaan takut ada dan bimbang pun ada kerana beliau beranggapan banjir berkenaan agak bahaya dari banjir sebelumnya dari konteks kedalaman air dan cara aliran air itu. Pernah menurutnya perasaan terlintas dalam hati tentang rumah kediamannya yang pasti hanyut jika air berterusan naik.

Membicarakan tentang bantuan makanan untuk mangsa-mangsa banjir katanya, terdapat mangsa yang menerima bantuan makanan untuk mereka tetapi tidaklah diperolehi sebagaimana yang diharapkan. Lazimnya, pihak penyelamat seperti JPAM, Bomba dan Tentera serta pihak NGO hanya berkampung di tempat selamat yang tidak dinaiki air. Pihak penyelamat tiada sebarang usaha untuk melihat keadaan mangsa. Malangnya, mangsa banjir dalam keadaan itu perlu berusaha untuk menyelamatkan nyawa masing-masing dalam ketiadaan makanan dan air.

Di antara badan-badan NGO yang menberikan bantuan makanan seperti pihak Petronas dan juga badan NGO dari Johor pernah singgah di rumahnya. Sesuatu yang paling ialah apabila bekalan air paip dan elektrik telah dihentikan ketika banjir mula melanda kampung terbabit.

Katanya, bekalan air dan elektrik telah dihentikan selama seminggu sebelum banjir melanda kampung itu. Jika mangsa belum berpindah kerana paras air belum memasuki laman kediaman masing, atas daya usaha masing-masing untuk cuba menyesuaikan diri dalam keadaan itu dengan mencari alternatif sendiri mendapatkan bekalan makanan dan minuman sendiri.

Kata Norzinari, banjir mula surut pada 29.12.2014 setelah berhempas-pulas selama empat (4) hari di pusat pemindahan. Paras selut yang ditinggalkan banjir adalah di bawah paras lutut.

“Kira-kira seminggu lamanya selut dapat ditanggalkan, itupun menggunakan alat penyembur. Kalau tidak amat sukar untuk menanggalkan selut yang semakin mengeras jika lewat dibersihkan”, jelasnya.

Katanya, beliau berpendapat wajar orang ramai melakukan persediaan awal sebelum berlakunya banjir. Jika berlengah-lengah amat menyusahkan, apatah lagi jika kehadiran banjir itu banjir kilat dan pantas.

Norzinari Che Ibrahim atau Ni.

Norzinari ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Keadaan barangan berselerakan akibat dilanda banjir.


Kenderaan juga menjadi mangsa banjir.

Madrasah Al-Baraqah di Kampung Betong, Salor turut dilanda banjir lumpur 2014.

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan