RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Jumaat, 20 Mac 2015

Misteri Anak Jin (16.2.2015)



MISTERI ANAK JIN

KOTA BHARU, KELANTAN: Perkampungan jin memang ada di mana-mana, hanya manusia sahaja yang tidak dapat melihatnya dan mengesannya berikutan keterbatasan penglihatan manusia terhadapnya. Setiap kawasan yang masih belum diteroka, akan wujudlah makhluk ghaib yang dikenali “perkampungan jin atau bunian” yang menjadikan sesebuah kawasan untuk mereka menetap dan menghuni kerana tidak ingin diganggu terutamanya dari kalangan manusia yang banyak karenahnya.

Apabila dikatakan makhluk halus, terbayanglah dalam minda kita iaitu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan salah satu makhluk tersebut dikenali sebagai “jin”. Walaupun terdapat segelintir di kalangan manusia yang tidak dapat melihat alam dan makhluk terbabit, namun ada juga manusia yang dianggap bertuah apabila dibuka hijab oleh Allah S.W.T  sehingga dapat melihat makhluk tersebut seperti manusia juga.

Pengalaman Penulis tentang makhluk ini berlaku sejak tahun 2003 lagi setelah berlaku kejadian “nahas’ jalan raya pada petang 24.10.2003 iaitu ketika umat-umat Islam ingin menyambut kehadiran bulan yang mulia Ramadan Al-Mubarak pada 25.10.2003. Pelbagai jenis makhluk halus seperti jin terutamanya jin Islam dapat dilihat malah sempat juga berbual dengan mereka terutamanya di kalangan pemuda dan pemudi mereka. Pemuda pemudi mereka yang beragama Islam boleh dikenali melalui cara berpakaian, bergaul serta menjalani kehidupan seperti manusia juga.

Penulis tidak ingin merakam tentang pengalaman berbual dengan makhluk berkenaan. Walau bagaimanapun, Penulis ingin berkongsi pengalaman tentang kejadian terbaharu yang Penulis lihat dan alami pada 16 Februari, 2015 yang lalu (sebelah malam). Untuk membaca pengalaman Penulis tentang makhluk ini sebelum ini boleh melayari majalah RELATIF: SIRI 01 (http://azmirelatif-1.blogspot.com).

Dalam kejadian 16.2.2015 itu, Penulis sedang melaksanakan pendawaian elektrik di dua bilik yang baharu disiapkan setelah rumah Penulis dilanda banjir lumpur 2014 pada 28.12.2014 hingga 30.12.2014 lalu. Disebabkan melihat keadaan rumah yang agak comot kerana dilanda banjir lumpur itu adalah lebih baik ditambah dua bilik lagi untuk kegunaan anak-anak dan tetamu yang datang.

Setelah selesai memasang wayar elektrik pada malam tersebut, Penulis keluar rumah untuk melihat suasana di luar rumah dan menyedut udara bersih pula. Ketika itu jam menunjukkan kira-kira 10.00 malam. Ketika itu Penulis melihat sebatang tubuh sedang berjalan perlahan di bawah lampu TNB berdekatan dengan tiangnya dan kawasan itu juga berhampiran dengan kenderaan milik Penulis. Manakala isteri dan anak perempuan pula menyambung kerja dengan mengecat kedua-dua bilik terbabit.

Sebatang tubuh yang dimaksudkan itu ialah seorang remaja lelaki, yang Penulis anggarkan berusia dalam lingkungan 18 tahun  yang juga mungkin sebaya dengan anak bongsu Penulis. Beliau mengenakan baju lengan panjang berwarna kelabu dan berseluar hitam sedang melalui tiang lampu TNB itu menuju di balik kenderaan Penulis yang diparkir di luar rumah.

Penulis bertanya remaja berkenaan tentang kelibatnya hendak ke mana? Dia senyum kemudian ghaib. Sebagai makluman, ketika Penulis melihatnya dulu, dia seorang kanak-kanak berusia dalam lingkungan kira-kira 4 atau 5 tahun saja. Kemunculan remaja berkenaan di hadapan rumah jiran dan rumah Penulis sendiri sering berlaku sejak tahun 2003 dulu dan kelibat mereka berhenti setelah banjir diketahui akan melanda Kelantan khususnya di kawasan kediaman Penulis di Kota Bharu.

Penulis cuba merakamnya dengan kamera namun hampa kerana kamera tidak berupaya merakam kelibatnya. Setelah dilihat ke serata arah, remaja tersebut terus ghaib dan tidak muncul-muncul lagi. Mungkin dia cuba menjenguk kawasan perkampungannya dulu yang telah diterangkan hutannya.

Sebenarnya, makhluk ini tinggal dalam sebuah rumah panjang dan bahagian dapur makhluk itu bersetentang dengan muka pintu rumah Penulis. Pintu masuk ke kediaman makhluk berkenaan adalah kelihatannya seperti ruang gua yang letaknya di celah-celah antara pokok kelapa dan pokok rambutan yang telah ditebang setelah banjir melanda baru-baru ini.

Sehingga jam 3.00 pagi, Penulis cuba ingin melihat remaja itu seorang diri kalau-kalau dia muncul lagi untuk melihat kami sekeluarga sedang menyelesaikan tugas. Namun, dia tetap tidak muncul-muncul. Kelibat budak ghaib itu kemudiannya Penulis maklumkan kepada isteri sehingga diberitahu oleh isteri bahawa kelibat remaja ghaib itu telah muncul jam 11.00 pagi pada 16.2.2015 ketika adik ipar sedang menurap bata dan simen rumah Penulis.

Menurut isteri Penulis sebagaimana yang diberitahu oleh adik ipar bahawa dia melihat remaja itu mundar-mandir di hadapan muka pintu rumah Penulis pada pagi itu sebanyak empat kali. Mungkin dia kagum dengan bentuk rumah manusia yang dianggapnya menarik hatinya. Adik ipar Penulis tidak mengetahui apa yang dilihatnya tentang remaja itu adalah makhluk ghaib kerana menyangka anak salah seorang jiran Penulis yang sering melaluinya setiap hari. Tetapi isteri Penulis memberitahunya, bukan anak jiran tetapi anak makhluk jin yang sering melalui hadapan rumah Penulis beberapa kali sebelum ini.

Malah kejadian kedua pula berlaku pada 22.2.2015 apabila Penulis mengadakan majlis bar-b-que pada sebelah malamnya dengan memanggang lokan, sotong, ikan dan ayam. Remaja makhluk itu sering mundar-mandir di bawah tiang lampu di kawasan rumah pertama. Mungkin remaja berkenaan berbau enak lauk-pauk itu dibakar sehingga menyebabkan perutnya berasa lapar.

Begitulah kejadian terbaharu tentang misteri remaja jin yang dulunya masih peringkat kanak-kanak yang periang, tetapi kini telah dewasa. Kerap kali juga keluarga makhluk berkenaan mengadakan kenduri kerana beberapa kali Penulis terhidu bau kari dan gulai yang telah siap dimasak dan bunyi peralatan memasak beberapa kali. Apabila Penulis mengemukakan soalan, sedang buat kenduri, salah seorang ketua keluarga (lelaki) makhluk berkenaan memberitahu mereka sedang mengadakan majlis kenduri. Ketika kejadian itu jam 3.00 pagi di alam manusia, tetapi kira-kira petang hari (hampir Maghrib) adalah waktu alam mereka.

Penulis: "Banyak pengalaman misteri yang berkisar tentang makhluk halus".

Di sinilah anak jin itu muncul lalu ditegur oleh Penulis.

Kemudiannya, anak jin itu ghaib di di sini.

Setelah selesai pendawaian dua bilik tambahan, Penulis berehat di luar rumah.


Anak jin itu seringkali melalui kawasan ini sama ada siang ataupun malam hari.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan