KUALA KRAI: BANJIR LUMPUR 2014
KUALA KRAI, KELANTAN: Banjir 2014
menjadi igauan buruk apabila sesetengah kawasan tinggi juga dianggap tidak
selamat kerana telah dinaiki air. Sementelah pula dengan kawasan rendah, menjadi
bertambah buruk kerana terdapat harta yang rosak dan musnah, rumah yang hanyut
dan pecah dan ada beberapa barangan lain tidak dapat diselamatkan kerana
kehadiran banjir yang tidak diduga.
Sesetengah tempat dianggap
berbeza walaupun kita melihatnya seperti tanah rata yang tinggi, sedangkan
kawasan dinaiki air itu adalah tempat yang agak rendah dan lembah. Misalnya
kejadian banjir yang berlaku di Kampung Guchil 5, Kuala Krai, Kelantan pada 20
Disember, 2014 yang lalu, terdapat penghuninya yang menetap di kawasan tanah
tinggi dan berbukit, namun dianggap tidak selamat kerana banjir tidak mengenal
manusia.
Sebuah keluarga yang menetap di
kawasan tanah tinggi dan berbukit di kampung terbabit, Morobee binti Dollah,
42, atau dikenali juga Mak Banun dan anaknya, Hamidah binti Nor Alam, 15,
ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal
Ibrahim mengakui tidak menyangka banjir 2014 telah menyebabkan kediamannya
dinaiki air walaupun mereka tinggal di tempat yang agak tinggi. Dengan itu, keluarga berkenaan tidak mengambil kisah dengan hal itu
kerana menyangka banjir tidak akan mencecah kediaman mereka.
“Air mula naik pada 20 Disember,
2014. Ketika air mula memenuhi bahagian lembah bukit, saya memang tidak
berkemas kerana menganggap banjir tidak akan mencecah tangga rumah kerana rumah
saya berada di kawasan tinggi”, cerita Morobee binti Dollah atau Mak Banun
tentang keadaan banjir tersebut.
Sambung Morobee, keadaan air
tidak mengenal tinggi atau rendah kerana pada sebelah petang (kira-kira jam
4.00 petang) pada hari yang sama (20 Disember, 2014) banjir mula mencecah anak tangga
rumahnya dengan agak pantas. Menceritakan peristiwa banjir itu, katanya ketika
air mula memenuhi di bahagian bawah (lembah) bukit itu, kelihatan keseluruhan
rumah yang terletak di bawahnya mula tenggelam dan ada juga yang pecah dan
roboh. Kemudian air mula melimpah tebing sehingga mencecah di bahagian anak tangga
rumahnya yang paling bawah kemudiannya tangga rumahnya yang paling tinggi.
Apabila melihat keadaan air mula
mencecah di kedua-dua bahagian tangga, beliau mula berkemas mana yang patut
supaya barangan yang dimaksudkan tidak terus terkena air banjir. Sementara
sebahagian barangan yang dapat diangkat kemudiannnya dibawa ke masjid
berdekatan yang dijadikan sebagai sebagai pusat pemindahan yang paling selamat
di Kampung Guchil 5 itu.
Sementara beliau mula berpindah
ke masjid, beberapa jirannya memaklumkan kepadanya bahawa rumahnya ketika itu
telah dinaiki air sehingga ke paras pinggang. Pelik, rumah terletak di kawasan
tinggi (bukit) tetapi banjir boleh sampai juga.
“Banjir yang melimpah ke kawasan
Kampung Guchil 5 ini memang berkeadaan keruh pekat dan berlumpur. Banjir ini
datangnya dari arah Sungai Krai dan Sungai Kelantan”, cetus Morobee lagi.
Morobee menambah, beliau
berpendapat banjir berlumpur itu disebabkan masalah bukit dan puncanya juga
dari kayu balak yang didapati hanyut untuk menandakan ada sesuatu yang tidak
kena dengan bukit itu. Padahal banjir sebelum ini tidak kelihatan balak hanyut
di kawasan itu.
Ditanya tentang perbezaan banjir
2014 dengan banjir 1967, beliau menjelaskan banjir 2014 lebih besar dari banjir
1967 itu. Katanya, tentang kejadian banjir 1967, air melimpah dan mencecah hanya di
bahagian tebing tinggi rumahnya saja berbanding banjir 2014 yang telah mencecah
ke bahagian atas tangga kedua. Sementara banjir tahun 1985, didapati air hanya
sekadar melimpah di bahagian tebing kediamannya saja.
Menurutnya, walaupun rumahnya dan
rumah jirannya terletak di tempat yang agak tinggi, namun mereka terpaksa berpindah
juga kerana banjir telah mencecah di kawasan rumah mereka.
“Terdapat dua pusat pemindahan di
kawasan Kampung Guchil, Kuala Krai iaitu di Sekolah SKBJ dan masjid
berhampiran”, katanya.
Manakala berhubung dengan bantuan
makanan kepada mangsa banjir pula, beliau memperolehi bantuan makanan ringan
seperti maggi, roti dan kain. Manakala terdapat bantuan daripada badan bukan
kerajaan (NGO) yang menyumbang sekampit beras.
Sementara itu, menurut anaknya,
adik Hamidah binti Nor Alam, 15, yang menuntut di SMK Sultan Yahya Petra 1,
Kampung Guchil, Kuala Krai berkata, banjir 2014 dianggap banjir paling besar
berbanding banjir yang pernah melanda Kuala Krai sebelum ini. Contohnya banjir
tsunami yang berlaku 2004 tidaklah seteruk banjir 2014 ini.
“Banjir tsunami pada tahun 2004,
air yang naik hanya mencecah setakat di bawah tebing bukit rumah ini saja.
“Sebelum berlakunya banjir di
Kuala Krai, hujan rintik-rintik mula turun selama tiga hari sahaja.
“Saya juga tidak menyangka dalam
keadaan hujan yang ala kadar itu didapati keesokannya air semakin melimpah dan banjir mulai naik ke paras tangga rumah ini”, katanya sambil menunjukkan ke
arah kediaman keluarganya.
Katanya, dia dapat melihat
keadaan rumah jiran-jirannya yang terletak di kawasan rendah dan lembah apabila
banjir menenggelamkan rumah-rumah berkenaan perlahan-lahan di mana kelihatannya
seolah-olah sebuah sungai seperti padang jarak padang tekukur.
Katanya, banjir melanda Kampung
Guchil adalah selama dua hari sahaja dan ketika surut beliau tidak pasti kerana
apabila dilihat banjir mula turun perlahan-lahan meninggalkan Kampung Guchil 5
itu.
Walau bagaimanapun menurut adik
Hamidah, keadaan selut amat sukar ditanggalkan kerana lumpurnya cepat mengeras
dan akan mendatangkan masalah apabila lewat dibersihkan.
Ditanya tentang punca banjir itu,
adik Hamidah berpendapat air bukit adalah punca banjir besar itu sehingga tahap
terburuk dan kaitannya ialah akibat aktiviti pembalakan yang memusnahkan tanah
di kawasan terbabit sehingga menyebabkan sungai menjadi keruh dan berkelodak.
Ditanya tentang masalah longkang yang menyebabkan masalah banjir selain masalah
air bukit, baginya dia menafikan tentang masalah longkang dan sistem perparitan
sebagai penyebabnya.
Morobee binti Dollah atau Mak Banun.
Hamidah binti Nor Alam.
Wartawan RELATIF ketika menemubual pasangan anak beranak di Kampung Guchil 5, Kuala Krai, Kelantan.
Keadaan tangga kediaman Morobee yang tinggi juga dinaiki air.
Keadaan kenderaan jirannya yang dilanda banjir.
Kediaman juga runtuh akibat dilanda banjir.
Jalan dan lorong di Kampung Guchil ketika dilanda banjir lumpur.
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=oTAjICemArg&list=UUOuhLhmNRG5O4lBinpv-W6g
Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com
2. You Tube - https://www.youtube.com/watch?v=oTAjICemArg&list=UUOuhLhmNRG5O4lBinpv-W6g
Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH
Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan