RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Jumaat, 1 Mei 2015

Sedih: Rumah Dijilat Api


SEDIH: RUMAH DIJILAT API


TUMPAT, KELANTAN: Malang memang tidak berbau, apatah lagi yang melibatkan kebakaran rumah. Hakikat ini kita sering dengar berlakunya kebakaran di beberapa tempat sehinggakan mangsa tinggal sehelai sepinggang. Lazimnya, kebakaran yang seumpama ini melibatkan rumah dan kediaman yang dibina dari kayu. Apabila api semakin marak, tentunya tindakan untuk mengawalnya menemui kegagalan. Namun, berbeza pula dengan rumah yang dibina dari simen.

Membicarakan tentang hakikat kebakaran kejadian yang sama turut dialami oleh mangsa, Abdullah @ Muhammad bin Awang, 74, atau lebih dikenali sebagai Pak Mat ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim yang menyewa di Kampung Morak, Tumpat, Kelantan. Rumahnya yang terletak di Kampung Mensira yang dibina dengan papan dan kayu hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 14 Mac, 2015 (Sabtu).

Menceritakan tentang kejadian malang itu, Pak Mat berkata ketika itu beliau bersama anak lelakinya sama-sama membina sebuah reban ayam. Katanya, kira-kira 20 minit kemudian, dia terhidu bau hangit yang menusuk hidungnya agak terlalu kuat. Disebabkan baunya yang agak kuat itu, beliau lantas berlari keluar rumah lalu bertanya isterinya perihal bau seperti ada benda terbakar. Pada masa itu, isterinya sudah bersedia untuk menghidangkan makanan (nasi), di samping isterinya memintanya membeli timun dan sebiji tembikai untuk dimakan bersama hidangan itu nanti.

“Bau hangit benda terbakar memang agak menusuk hidung, tetapi tidak tahu dari arah mana”, katanya ketika menceritakan detik-detik awal api mula membakar sebahagian peralatan rumahnya.

Sambung Pak Mat, beberapa ketika kemudian, bau seperti benda terbakar kian menusuk hidungnya seraya secara sepontan beliau berpaling untuk mengesan bau hangit itu. Apabila berpaling ke arah bau itu, didapatinya kepala plug elektrik yang menyambungkan wayar elektrik ke rumahnya didapati terbakar. Plug itu turut melibatkan beberapa peralatan elektrik lain seperti televisyen dan sebagainya. Melihatkan kebakaran yang tidak diduga itu, beliau beristighfar panjang kerana agak terkejut.

Tanpa berlengah lagi, dia serta-merta berlari untuk mendapatkan sebekas air lalu menyimbah ke arah benda yang terbakar itu tanpa memikirkan bahaya melakukannya begitu. Setelah api itu disimbah air sebanyak dua kali, dia melihat api semakin marak memakan bahagian atas rumahnya dengan pantas. Pada ketika itu, dia tidak begitu sedar di saat dan ketika mana api itu telah menyambar bahagian anggota tubuhnya. Rasa panas tubuhnya memang tidak terkata lagi sehingga menyebabkan dia tidak dapat beredar dari tempat dia disambar api itu.

Dia sekali lagi bergegas keluar rumah lalu berteduh di bawah sebatang pokok jambu berjarak kira-kira 50 hingga 100 meter untuk tujuan mendapatkan udara bagi menyejukkan tubuhnya yang agak menyirap oleh kepanasan api. Dengan tiba-tiba, dia disapa oleh anak perempuannya yang memintanya segera ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Anak perempuannya berkata begitu melihatkan keadaan bahagian belakang tubuhnya yang terkena percikan api menyebabkannya melecur pada ketika itu juga.

“Anak perempuan saya tak sampai hati kerana melihat saya dalam keadaan lemah dan tubuh telah terkena percikan api”, jelasnya.

Sebentar kemudian, anak lelakinya yang bongsu pulang. Pada ketika itu juga, bahang kepanasan akibat percikan api itu memang tidak digambarkan dengan kata-kata, sakit dan pedihnya bukan kepalang, seperti menghanguskan kulit dan daging tubuhnya. Percikan api itu bukan sahaja mengenai bahagian belakang tubuhnya secara tidak sedar, namun kepalanya juga dihinggap percikan api sehinggakan kepalanya juga didapati melecur.

Ketika anaknya membawanya ke klinik berdekatan untuk menerima rawatan, didapati klinik terbabit tutup pada hari itu, lantas anaknya membawanya ke Klinik Kelaboran di Tumpat, Kelantan. Sesuatu yang tidak dapat dilupakannya ketika dalam perjalanan semasa beliau dibawa ke klinik pada hari itu, tubuhnya menyelinap panas bukan sahaja disebabkan kepanasan percikan api itu tetapi disebabkan kereta Perodua Kancil yang dinaikinya itu berhawa panas, keadaannya memang tidak dapat digambarkan lagi bahang panasnya.

Ketika beliau ke bilik rawatan di Klinik Kelaboran itu, beliau diberikan ubat berwarna putih oleh doktor yang merawatnya pada hari itu. Doktor itu menggunakan kedua-dua belah tangan lalu menyapu ubat yang dimaksudkan ke bahagian yang terkena percikan api itu.

Kira-kira 10 hingga 15 minit bahagian kepala dan belakangnya dilumurkan ubat itu oleh doktor yang merawatnya, dengan tiba-tiba dia berasa agak sejuk sehingga tubuhnya tiba-tiba menggigil pula. Dia memaklumkannya kepada doktor berkenaan keadaan tubuhnya yang sejuk itu sehingga menyebabkannya berasa agak tidak selesa dan seperti akan demam.

“Ketika ubat itu menyerap ke dalam kulit yang terpercik api, Pakcik berasa terlalu sejuk, tubuh tiba-tiba menggigil dan seperti berasa nak demam pula”, ujar Pak Mat lagi.

Namun, beliau kemudiannya ditenteramkan oleh doktor tersebut dengan memberikan dua suntikan. Doktor itu kemudiannya meminta untuk memasukkan air, namun dimaklumkan olehnya dia masih tidak begitu selesa dengan keadaannya ketika itu, lantas penggunaan air dibatalkan. Katanyam layanan doktor terbabit tidak dapat dilupakannya apabila doktor itu sendiri memberi sedekah kepadanya berjumlah RM50.


Apabila ditanya tentang punca kebakaran itu berlaku. Pak Mat menjelaskan, dia agak mungkin berlakunya litar pintas. Dia berkata demikian, berikutan dalam awal kejadian matanya melihat ke arah plug elektrik didapati api elektrik memercik dari dalam lubang plug itu. Kebakaran pantas itu menyebabkan rumah kayu miliknya yang dibangunkan pada 1400 Hijrah dan kini 1436 Hijrah (berusia 36 tahun) dengan harga kira-kira RM15,000 hangus dijilat api. Rumah itu dibinanya dengan tangan dan kudratnya sendiri sebagai tukang rumah akhirnya hangus dijilat api. Katanya, jika dihitung harga rumah pada ketika ini berjumlah RM46,000.

Menurutnya, ketika rumahnya mula dijilat api sehingga ke bahagian atas bumbugnya, pihak Bomba telah dihubungi beberapa kali. Namun, disebabkan pelbagai masalah yang tidak dapat dielakkan kedatangan Bomba tidak dapat menyelamatkan keadaan rumahnya yang sudah hangus terbakar.

Menurut Pak Mat, pada ketika itu, dia tidak dapat bertutur dan seperti mulutnya terkunci kerana agak terlalu terkejut dan kepalanya mula berasa pening. Katanya, dia juga tidak dapat mengenali Wakil Rakyat kawasan terbabit yang pernah melawatnya pada hari kejadian kerana keadaan kepalanya yang masih berasa pening dan matanya yang kabur disebabkan kepanasan api yang pernah terpercik ke atasnya.

Apabila ditanya tentang bantuan daripada pihak-pihak lain, dia menjelaskan bantuan yang dimaksudkan memang ada dan telah dimaklumkan kepadanya dan keluarganya, namun pada masa itu masih belum tiba lagi. Pelbagai pihak swasta pernah datang melawat beliau dan keluarganya untuk menghulurkan bantuan, namun sehingga temubual ini dibuat, bantuan yang diharapkannya masih belum tiba.

Melihatkan keadaan rumah lamanya itu telah terbakar, beliau terpaksa menyewa sebuah rumah di Kampung Morak, Tumpat dengan harga RM150 sebulan sementara rumah lamanya yang telah terbakar itu diganti baharu. Namun menurutnya, ketika temubual ini dibuat pada 21 Mac, 2015  rumah yang dimaksudkan masih belum dibina lagi.

Katanya, rumahnya yang akan diganti baharu itu akan dibina di atas lot tanahnya sendiri di sebelah hulu yang terletak di Lorong Pendekar dalam jajahan Tumpat.

Walau bagaimanapun, beliau juga bersyukur kerana turut dibantu oleh anak dan menantunya yang pulang melihat keadaannya dan isterinya yang tidak begitu sihat setelah diketahui keadaan rumahnya dijilat api.

Abdullah @ Muhammad bin Awang atau Pak Mat.

Pak Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF di rumah sewanya.

Keadaan kepala dan bahagian belakangnya yang melecur. Kelihatan juga isteri dan menantu perempuannya.


Rumah yang dibina dengan tangannya sendiri di Kampung Mensira, Wakaf Baharu musnah dijilat api.



Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 30 April 2015

Misteri Lintasan Jin


MISTERI LINTASAN JIN

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Makhluk halus tidak mengenal siapa yang akan menjadi mangsanya, sama ada lelaki atau wanita, tua atau muda, bayi, kanak-kanak mahupun remaja dan orang-orang dewasa. Jika manusia yang terserempak dengan makhluk halus, makhluk berkenaan akan nampak di manakah manusia menjadi lemah, tetapi bagi manusia yang tidak nampak mereka pasti menjadi mangsanya.

Begitu halnya kejadian yang dialami oleh mangsa, Saidi bin Awang, 43, atau lebih dikenali sebagai Di dari Kampung Bendang Kerian, Tumpat, Kelantan yang menceritakannya pengalamannya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim yang turut serta ke tempat kejadian beliau diusik makhluk halus itu.

Kejadian yang menimpanya pada tahun 2014 itu berlaku kira-kira jam 6.00 petang. Kebetulan pula pada ketika itu dia sedang menunggang motosikal sambil memboncengkan bapanya dari arah rumah bapa saudaranya yang terletak di Morak, Tumpat. Kedua-dua beranak itu sedang melalui lokasi kejadian di Kampung Mensira itu untuk cepat sampai ke rumah mangsa di Kampung Kubang Kerian.   

“Saya pada ketika itu sedang menunggang motosikal bersama bapa dari rumah bapa saudara. Apabila di tempat kejadian, dengan tiba-tiba tubuh saya berasa agak lain macam saja, seluruh tubuh meremang, macam ada sesatu yang mengganggu”, ujar Saidi.

Melihat keadaannya ketika itu, bapanya mula membaca beberapa potong ayat Al-Quran untuk menghindarkan ketakutan dan gangguan yang mengenai dirinya. Mungkin secara sedar atau tidak sedar dengan gangguan dan semasa bapanya sedang membaca beberapa potong ayat Al-Quran untuk menghindarkan gangguan itu, namun gangguannya semakin tidak keruan dan semakin menjadi-jadi sehinggalah mereka tiba di sebuah jambatan di Kampung Mensira itu. Menurutnya, jambatan di kampung itu letaknya berhampiran dengan kediaman penduduk-penduduk kampung menyebabkan gangguan berkenaan berkurangan dan hilang serta-merta.

Apabila ditanya, adakah beliau dapat melihat bentuk makhluk yang mengganggunya itu, dia menjelaskan makhluk yang turut bersama motosikalnya itu tidak kelihatan pada pandangannya kecuali bulu romanya berasa meremang saja. Dia juga tidak tahu makhluk halus jenis apa yang mengganggu dia bersama bapanya pada ketika itu.

Dia beranggapan, kemungkinan makhluk terbabit keluar dari arah hutan yang terletak di laluan itu dan setelah berhenti di tepi jalan berkenaan dia pun tiba. Mungkin makhluk itu ingin membonceng dengan motosikalnya tetapi apabila dilihat sudah ada pembonceng bersamanya menyebabkan makhluk itu geram sehingga kejadian gangguan itu berlaku.

“Inilah kejadian pertama saya diganggu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sebelum ini, saya pernah beberapa kali melalui tempat ini, tetapi di sebelah tengah hari.

“Ketika melalui sebelah petang tahun lalu, ketika itulah saya terkena gangguan seperti ini”, jelas Saidi.

Katanya, setakat ini hanya kejadian itu adalah kejadian pertama yang dialaminya, mungkin makhluk itu ingin mengetahui tahap keberanian yang dimilikinya. Sebelum ini, dia pernah melalui lokasi kejadian tetapi agak awal sedangkan pada masa kejadian gangguan itu waktu petang. Disebabkan gangguan itu menyebabkan dia menunggang motosikalnya seperti tidak seimbang.

Ditanya kepada beliau adakah beliau mengetahui dari lisan penduduk kampung terbabit bahawa laluan yang sedang dilaluinya ketika itu adalah kawasan keras yang sering mengusik, beliau menjelaskan bahawa beliau sememangnya tidak mengetahui tentangnya. Ini kerana, tiada penduduk kampung tersebut yang membicarakannya di warung-warung kopi. Malah orang ramai masih tetap menggunakan laluan terbabit sebagai jalan singkat untuk ke destinasi yang pantas.

Walau bagaimanapun, dia beranggapan bahawa kejadian itu secara kebetulan terjadi ke atasnya untuk menguji tahap kesabaran dirinya.

Saidi bin Awang atau Di.

Saidi ketika menceritakan pengalamannya diusik makhluk halus di tempat kejadian.

"Makhluk halus itu mungkin berdiri di tepi jalan ini", Saidi bin Awang.

"Setelah sampai di hujung jambatan sana, gangguan makhluk halus itu tiada lagi", Saidi bin Awang.

Kemungkinan, makhluk halus itu muncul dari arah rumah kosong dan semak-samun ini.


Tonton Video: 
1. Siar.TV: Siri 03 - http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Isnin, 20 April 2015

Misteri Pasir Terbang


MISTERI PASIR TERBANG

TUMPAT, KELANTAN: Banggol Jal adalah satu istilah tempat yang diberikan nama oleh penduduk-penduduk di Kampung Jal Kechik, Tumpat, Kelantan yang pada masa dulu masih dipenuhi hutan tebal. Disebabkan kawasan itu adalah kawasan hutan tebal, belum lagi dibina penempatan mahupun perumahan kerana kawasannya agak sunyi kerana masih belum diteroka. Namun, kemudahan jalan rayanya sudah dibina bagi kemudahan penduduk-penduduk dari kampung lain dan berdekatan melaluinya sebagai jalan pintas yang paling pantas untuk ke sesuatu destinasi dituju.

Walaupun dikenali sebagai Banggol Jal, hanya beberapa penduduk dari kampung itu sahaja yang mengetahui tentangnya, apatah lagi yang melibatkan mangsa yang pernah diganggu oleh makhluk ghaib yang telah menjadikan kawasan itu tempat mereka menghuni sebelum manusia merampasnya dari mereka.

Salah seorang mangsa diganggu makhluk terbabit ketika melalui kawasan Banggol Jal itu ialah, Nordin bin Awang, 50, atau lebih dikenali sebagai Din yang menceritakan pengalamannya kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim bahawa dia melalui kawasan itu semata-mata untuk melihat tapak rumahnya yang dibelinya di kawasan kira-kira 30 meter dari lokasi yang dimaksudkan.

Menurut Nordin, kejadian itu berlaku kira-kira lapan (8) tahun lalu ketika beliau memandu keretanya seorang diri dari arah Wakaf Baharu menghala melalui kawasan itu. Katanya, cermin pintu keretanya dibiarkan terbuka bagi memudahkan udara keluar dan masuk, apatah lagi menurutnya udara malam agak segar.

Melihat suasana malamnya yang kelam, dia berasa kawasan itu adalah kawasan hutan tebal kerana masih tiada rumah dibina kawasan terbabit kecuali kemudahan jalan raya yang baharu selesai dibina bagi kemudahan penduduk dari kampung berdekatan dan kampung lain melaluinya sebagai jalan singkat yang paling pantas untuk cepat sampai ke destinasi yang dituju. Hanya yang dapat didengarinya ialah bunyi tiupan bayu dan sesekali bunyi cengkerik yang menghiasi suasana malam.

Dia hanya memandu keretanya dengan agak perlahan dan setibanya di kawasan lokasi tersebut, dengan tiba-tiba dia diganggu lemparan pasir yang masuk melalui pintu keretanya yang terbuka itu. Disebabkan pintu keretanya yang terdedah agak lebar itu, pasir yang dibaling itu tiba-tiba mengenai pipi kanan dan mukanya secara serentak. Kejadian yang berlaku jam 9.00 malam itu memang tidak masuk akal.

Melihatkan keadaan itu, hatinya terbakar kerana marah dan tindakan melempar pasir ke arah muka adalah tindakan biadap yang tidak patut dimaafkan. Malah detik hatinya berkata, kalau ingin bergurau sekalipun bukan dengan cara membaling pasir tetapi sembunyi tangan. Pasir yang dibaling itu terus masuk melalui tingkap kereta yang terbuka lalu mengenai bahagian kanan pipi dan mukanya. Sebahagian pasir yang lalu, beliau tidak pasti terkena bahagian mana.

“Disebabkan saya terlalu marah kerana menganggap gurauan yang biadap, saya memberhentikan kereta”, ujarnya.

Disebabkan sikap biadap beliau terkena balingan pasir yang mengenai pipi kanan dan sebahagian mukanya itu, beliau secara tergesa-gesa memberhentikan kenderaannya lalu keluar dari keretanya.

Selepas keluar dari keretanya itu, beliau melihat dan meninjau sekeliling untuk melihat siapakah yang mempunyai tangan gatal membaling pasir ke mukanya. Matanya melilau dan hanya tertumpu dari arah pasir itu dibaling iaitu melalui kawasan hutan berhampiran jalan raya itu. Dengan tidak semena-mena beliau berasa tengkuknya meremang dengan agak kuat seolah-olah ada makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar berada di belakang tubuhnya iaitu tempatnya berdiri di kawasan itu.

Apabila dilihat di sekitar lokasi itu tiada sebarang petanda ada makhluk sama ada manusia atau makhluk lain, dia masuk semula ke dalam kereta lalu meluncur meninggalkan kawasan itu menuju kawasan tapak rumahnya yang baharu dibina berjarak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

Setelah tiba di kawasan tapak rumahnya pada malam itu, dia berasa tidak puas hati dengan kejadian misteri yang baharu dialaminya di Banggol Jal itu. Dia pun bergegas ke sebuah warung kopi di laluan utara tapak rumahnya itu. Menurut Nordin, paling menghairankan hatinya apabila pasir yang dibaling itu terkena pipi kanannya tetapi pasir yang maksudkan sepatutnya bertaburan di atas bonet keretanya, sebaliknya dilihatnya tiada.

Disebabkan masih tidak berpuas hati dengan kejadian dibaling dengan pasir itu, beliau kembali ke lokasi kejadian untuk meninjau apakah ada sesuatu yang tidak kena dengan tempat itu, Pada ketika itu, hujan renyai-renyai mulai turun.

Apabila ditanya, semasa pasir dibaling lalu mengenai pipi kanannya, adakah dia tidak perasan siapa yang melakukannya. Pada mulanya, terlintas di hatinya pasir itu dibaling oleh manusia kerana baginya hanya manusia sahaja yang dapat berbuat demikian, tidak terfikir tentang perkara lain. Namun, jika dilihat kepada suasana malam apatah lagi berada dalam kawasan hutan, tidak mungkin manusia sanggup bergurau dengannya. Manusia mana yang sanggup datang ke tempat itu semata-mata untuk bergurau dengannya, apatah lagi pada waktu malam pula.

Katanya, beliau tidak menolak kejadian gangguan misteri itu disebabkan perbuatan makhluk halus seperti jin. Apatah lagi, pada masa dulu kawasan hutan sering menjadi tempat buangan barangan misteri yang ditangkap dari dalam tubuh seseorang lalu dibuang ke kawasan terpencil yang tidak diketahui oleh orang lain.

Tambah Nordin lagi, selain kejadian misteri yang menimpanya sebagai mangsa, terdapat beberapa kejadian misteri lain di kawasan yang sama. Di antaranya terdapat seorang guru yang bertolak melalui lokasi kejadian untuk ke Gua Musang pada jam 3.00 pagi itu turut diganggu sinaran lampu kenderaan yang agak menyilau dan terlalu tinggi lalu mengenai matanya, tetapi apabila dilihat didapati tiada kenderaan yang melaluinya.

Malah katanya, terdapat seorang lagi mangsa usikan makhluk halus itu ialah jelmaan ular yang agak besar. Keadaan bentuk wajah dan mata ular itu yang berpaling secara geram ke arah mangsa seolah-olah ingin menelan mangsa yang pada pandangan ular itu agak kecil. Kata Nordin, lazimnya jika dikatakan ular biasa saiznya tidaklah sebesar itu yang biasanya apabila terlihat manusia, haiwan terbabit akan menyusur masuk ke dalam belukar dan semak.

Kejadian ketiga pula turut dialami oleh seorang mangsa penduduk sekitar yang baharu tinggal di kawasan terbabit. Mangsa yang dapat melihat jelmaan seorang wanita agak berusia di mana rambutnya mengerbang agak panjang sehingga terburai ke atas tanah. Ketika kejadian jelmaan wanita itu suasana hari hampir Subuh. Tetapi wanita jelmaan jin itu hanya menjelmakan dirinya saja dengan tidak mengganggu sesiapa lalu pergi dan ghaib ke dalam hutan berhampiran tempat makhluk itu menuju.

Mangsa yang agak hairan dengan keanehan wanita itu kemudiannya bertanya beberapa  penduduk  di kawasan  terbabit perihal jelmaan wanita tua di kawasan lokasi terbabit.

“Mangsa bertanya beberapa penduduk sekitar tentang dilihatnya seorang wanita yang menjelma di hadapannya, kemudian itu masukan ke dalam hutan lalu ghaib di kawasan itu.

“Biasanya, jika ada orang masuk ke sesuatu tempat tentunya ada rumah untuk dia balik ke penempatan itu”, ujar Nordin.

Katanya, akhirnya mangsa mendapat jawapan yang agak  memeranjatkan apabila dia diberitahu tiada rumah dalam hutan itu. Wanita itu bukanlah manusia tetapi jelmaan jin semata-mata. Apa yang diketahui tentang wanita itu ialah pernah terjadi minyak orang yang mati dibunuh dibuang ke dalam hutan itu beberapa tahun sebelumnya. Jelmaan itu mungkin ada kaitan atau sebagainya.

Ditanya tentang kejadian baharu zaman moden kini, adakah peristiwa itu masih berlaku sehingga hari ini? Beliau menjelaskan setahunya sejak kejadian itu tiada lagi kejadian berkenaan dialami sekarang ini. Mungkin menurutnya, kawasan terbabit telah didirikan dua buah rumah penginapan selain menjadi laluan singkat penduduk untuk ke lain-lain destinasi menyebabkan makhluk halus terbabit telah berpindah tempat pula. Kini boleh dianggapkan lokasi misteri yang dikenali sebagai “Banggol Jal” itu dianggap tinggal sebagai kenangan.

Nordin bin Awang atau Din.

Nordin ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Wartawan dan Jurufoto RELATIF.


Nordin menunjukkan dia dibaling pasir jam 9.00 malam, lapan tahun lalu.


Parit dan saliran ini juga lokasi tersohor bermisteri.



Tonton Video:

1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Jumaat, 10 April 2015

Kg. Bukit Abal (Pasir Puteh)


KG. BUKIT ABAL
(PASIR PUTEH)


PASIR PUTEH, KELANTAN:  Tiada pihak yang membuat kajian dan menulis tentang Sejarah Bukit Abal. Sebab itulah, apabila dikemukakan persoalan kepada beberapa penduduk terbabit, mereka tidak dapat memberikan jawapannya. Apatah lagi, setelah mereka dilahirkan, nama Kampung Bukit Abal yang terletak dalam Mukim Cherang Rotan itu telah wujud sejak zaman berzaman. Sementelah pula, hal berkenaan tidak pernah diceritakan oleh orang tua masing-masing kepada anak-anak mereka. Apa yang mereka pastikan, nama kampung itu wujud berpunca daripada nama sebuah bukit yang berdiri gagah di kampung itu.

Menurut Penghulu Kampung Bukit Abal, Mukim Cherang Rotan, Mhd. Yasin bin Bebakar, 65, atau lebih dikenali sebagai Tok Penghulu Yasin ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim berkata, beliau juga tidak dapat menceritakan secara jelas tentang nama kampung itu.

Walau bagaimanapun, beliau mendapat tahu dari beberapa penduduk kampung itu sebelum ini yang mendakwa Kampung Bukit Abal mendapat nama berdasarkan kepada dua versi cerita. Dari versi pertama menceritakan istilah “Abal” itu merujuk kepada tanah lapang dan rata. Bukit berkenaan berbeza dengan lain-lain bukit yang terdapat di negeri Kelantan.

Manakala dari versi kedua pula, beliau mendapat tahu bahawa dinamakan Bukit Abal yang brdasarkan satu cerita berlaku pada tahun 1950 apabila penduduk-penduduk kampung terbabit dihujani ribut yang agak kuat. Kejadian ribut itu datangnya dari arah Timur lalu meluru ke kampung dan penempatan mereka.

“Sebahagian kecil penduduk veteran Bukit Abal menyatakan nama berkenaan bermula apabila berlakunya kejadian ribut yang datangnya dari arah Timur. Jadi, pada masa itu bukit inilah (bentuknya agak kecil dari bukit-bukit lain) telah dijadikan tempat penduduk-penduduk kampung untuk berlindung.

“Saya tidak pasti sama ada ia dianggap sebagai sejarah atau dongengan orang-orang tua dahulu. Sejarah tepat memang tidak diketahui kerana tiada cerita atau perbualan dari orang-orang tua dan selepasnya”, ujar Tok Penghulu Yasin.

Beliau sebagai generasi baharu yang lahir pada tahun 1950 berkata, dia tidak menolak maklumat yang disampaikan oleh orang-orang terdahulu tentang nama bukit itu sehingga menjadikannya sebuah kampung sehingga hari ini sebagai karut.

Keadaan ini setahunya, di sekeliling bukit itu adalah tanah bendang padi. Di puncak bukit itu pula dinamakan Sri Maharaja kerana dikatakan telah membuka kawasan itu. Nama berkenaan juga turut dipahatkan kepada sebuah sekolah dikenali Sekolah Sri Maharaja. Di bukit itulah yang dikatakan penduduk-peduduk kampung berlindung dari tiupan angin/ribut kuat pada masa itu.

Cuma apa yang dapat beliau nyatakan bahawa, Bukit Abal juga ada kaitan dengan tanah beraja kerana pernah menjadi petempatan Sri Maharaja itu. Nama Sri Maharaja itu dipahatkan sebagai mengambil sempena Y.T.M Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Menteri Kewangan dan beliau juga yang merasmikan sekolah terbabit pada waktu itu.

Sebagaimana arwah ulama tersohor dari Bukit Abal bernama Haji Daud bin Haji Umar atau dikenali Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal memang telah dimakamkan di tanah perkuburan di kampung berkenaan. Beliau merupakan anak murid Tok Kenali yang juga seorang yang bermulut masin yang mahir dalam Ilmu Tasauf. Disebabkan arwah juga menyebabkan Kampung Bukit Abal tersohor dan dikenali di serata tempat.

“Pada masa hayat arwah Tuan Guru, saya masih menuntut dalam Tahun 3 dan ketika Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal meninggal, saya menuntut dalam Tahun 4 atau Tahun 5”, katanya.

Bukan itu sahaja, salah seorang pendikir tersohor Kelantan yang juga seorang tukang karut dikenali Daud Bukit Abal pernah mengharumkan nama Kampung Bukit Abal dengan persembahan dikirnya yang bersahaja tetapi berhemah.

Menurut Tok Penghulu Yasin, pada masa dulu para penduduk di setiap kampung dikira mengikut mukim. Jika Kampung Bukit Abal dikira menurut mukim memang tidak begitu ramai, sementelah pula pada ketika itu masih belum diwujudkan sistem bancian dari rumah ke rumah tidak sebagaimana hari ini. Walau bagaimanapun, menurut purata pada tahun 1970 penduduk kampung terbabit berjumlah kira-kira 15,000 orang. Berbanding selepasnya yang semakin meningkat.

Sambung beliau lagi, dari segi taraf pekerjaan atau mata pencarian keseluruhan penduduk di Kampung Bukit Abal adalah kawasan jelapang padi. Apabila dikatakan “jelapang padi” tentulah hubungan penduduk agak akrab. Turut ditubuhkan di kampung berkenaan beberapa persatuan penduduk meliputi pelbagai unit dan persatuan peladang (PPK).

Apabila ditanya dengan mata pencarian Bukit Abal zaman sekarang, beliau menjelaskan bahawa kebanyakan anak-anak muda mempunyai kelulusan akademik. Ini bermakna, mata pencarian golongan zaman ini menandingi golongan petani tidak sebagaimana tahun-tahun 1970-an dulu. Hal ini disebabkan tiada galakan dan dorongan daripada ibu bapa. Maknanya, berkurangnya golongan petani apabila golongan terpelajar dari lulusan pelbagai pusat pengajian tinggi kerajaan, swasta dan kolej telah mengambil alih komuniti kampung tersebut.   

Sebagai contohnya, pengalaman beliau di zaman kanak-kanak ingin membeli sebuku roti dengan hanya berharga RM0-05 sen pun tidak mampu disebabkan kepayahan keluarganya dari mendapatkan sumber kewangan pada masa itu berbanding dengan hari ini.

Jika dibandingkan dengan wang saku sekolah dewasa ini, pelajar dibekalkan dengan wang tunai sebanyak RM2 bahkan ibu bapa sekarang sudah mampu memberikan wang tunai untuk tujuan mengisi minyak petrol ke dalam tangki motosikal anak-anak masing untuk menunjukkan perbezaan sumber kewangan pada masa itu dengan hari ini agak ketara.

“Kebanyakan golongan muda hari ini lebih memberi tumpuan “makan gaji” di pejabat-pejabat kerajaan. Sedangkan orang-orang tua dahulu terpaksa membanting tulang empat kerat dengan mengerjakan sawah padi”, ujar Tok Penghulu Yasin lagi.

Secara jujurnya beliau menjelaskan tentang fenomena bidang kerja hari ini, masih terdapat golongan pemuda dan pemudi kampung berkenaan yang masih menganggur disebabkan masalah mendapatkan pekerjaan yang sesuai. Hal ini disebabkan begitu ramainya golongan pelajar pusat pengajian tinggi dari kampung berkenaan yang baharu keluar dari pusat-pusat pengajian itu.

Berbanding tahun-tahun 1970-an dulu sebagai petani, sekarang kebanyakan pekerja-pekerja kampung menumpukan kepada bidang pertukangan sebagai melakukan pekerjaan dan atas usaha sendiri.

Apabila ditanya tentang kedai-kedai makan dan restoran, beliau menjelaskan kebanyakan penduduk kampung berkenaan tidak berminat dengan bidang perniagaan makanan kecuali sekadar warung kopi berbanding dengan pertukangan. Walaupun dianggapkan usaha tersebut sebagai “hidup segan mati tak mahu”, namun atas dasar mencari rezeki mereka sanggup melakukan kerja-kerja terbabit berdasarkan pengalaman yang diperolehi.

Katanya, kebanyakan warung-warung kopi yang dibuka di kampung itu dimiliki sendiri oleh petani-petani oleh orang yang sama. Maksudnya, jika pagi mereka membuka warung kopi, waktu petang pula mereka ke sawah padi dan begitulah seterusnya. Manakala penduduk luar tidak pernah cuba membuka warung-warung kopi di kampung berkenaan kecuali dari kalangan penduduk Kampung Bukit Abal itu sendiri.

“Bercakap bidang agama pula, setakat ini Alhamdulillah, ibu bapa begitu mengambil berat pendidikan anak-anak khususnya pendidikan keagamaan. Bidang agama di kampung ini menandingi bidang-bidang lain”, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tentang masih terdapat golongan veteran yang berusia sekitar 90 tahun. Walau bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan butiran jelas jumlah usia yang paling tua di kampung itu kerana tidak membuat bancian khusus tentangnya.

“Bercakap tentang banjir pula, Kampung Bukit Abal pernah dilanda banjir sekitar tahun 1972 dan 1998. Namun, selepas itu tiada lagi banjir melanda kampung ini.

“Buktinya banjir tsunami tahun 2004 dan banjir besar yang melanda Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu, Kampung Bukit Abal terselamat dari banjir itu, sebaliknya kita mengalami kemarau dan musim kering kerana tidak menerima banjir”, jelasnya.

Justeru menurutnya, jangan sangka banjir tidak berlaku di bukit-bukau dan gunung, jika ditakdirkan Allah banjir akan tiba pastinya kesemuanya akan tenggelam. Buktinya kejadian banjir besar Kelantan pada bulan Disember 2014 lalu  memberikan pengajaran kepada kita ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap kita.

Mhd. Yasin bin Bebakar atau Tok Penghulu Yasin.

 Tok Penghulu Yasin ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.


Keluarga Tok Penghulu Yasin menyambut kru kami dengan berhemah dan mesra.


Inilah Makam Tuan Guru Haji Daud bin Haji Umar atau lebih popular Haji Daud Bukit Abal.

Papan tanda nama kampung yang dipamerkan di laluan umum.
 

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Rabu, 1 April 2015

Misteri Makhluk Bunian (29.3.2015)


MISTERI MAKHLUK BUNIAN

PADA 27 Mac, 2015 yang lalu, Wartawan RELATIF telah menulis dalam facebooknya tentang makhluk halus dikenali makhluk “jin” yang berbondong-bondong datang ke alam manusia semata-mata untuk mendapatkan air. Ini memungkinkan juga, alam makhluk terbabit telah kekeringan air.

Walaupun benar atau tidak, makhluk jin sebenarnya gemarkan kebebasan dan suka pergi dan balik ke alam manusia kerana itulah sifat makhluk terbabit yang gemar ke sana ke mari menurut kehendak sendiri. Makhluk jin sebenarnya tidak suka tinggal menetap di alam dan dalam kelompoknya, sebab itu mereka akan menjelma di alam manusia sehingga kadang-kadang dapat dilihat oleh segelintir manusia yang dibukakan hijab mata oleh Allah.

Namun, berbeza pula dengan makhluk bunian yang suka hidup berkelompok dalam koloni mereka sahaja, tidak suka mengganggu sehingga menyusahkan makhluk lain khususnya manusia dan jin, makhluk bunian suka bantu-membantu dan tolong-menolong di kalangan mereka. Sebab itulah, jarang manusia melihat makhluk berkenaan walaupun ada segelintir di kalangan manusia yang mendakwa makhluk “jin” dan “bunian” adalah dari makhluk yang sama. Hakikat sebenarnya, makhluk jin dan bunian adalah makhluk yang berbeza dari banyak segi sama ada taraf hidup, pekerjaan, bentuk tubuh dan rupa parasnya juga berbeza.

Membicarakan tentang makhluk halus ini, sebelum ini sering kali Penulis bertembung dan melihat makhluk jin di mana-mana sama ada di kawasan halaman rumah, di jalanan dan sebagainya, namun tidak pernah melihat kelibat makhluk bunian sebagaimana yang dimaksudkan. Sehinggalah kejadian berlaku pada 29 Mac, 2015 lalu (bermula jam 2.00 hingga 4.00 pagi).

Segalanya bermula pada 28 Mac, 2015 (Sabtu), setelah Penulis pulang dari merakam foto dan mendapatkan bahan-bahan berita untuk disiarkan dalam majalah RELATIF. Setelah tiba di rumah, Penulis terus melakukan solat Zohor tanpa membersihkan diri (mandi) kerana badan terlalu panas dan  berkeringat, dengan hanya menyapu sedikit air ke serata tubuh. Sementara menunggu waktu Asar berkemumandang, Penulis baring sekejap di atas tilam dengan menanggalkan baju yang dipakai ketika solat itu.

Dengan tidak disangka-sangka, Penulis tertidur. Dalam tidur itulah, Penulis yang mungkin juga bermimpi sedang menjadi Imam Solat kepada satu golongan atau koloni lelaki yang tidak dikenali yang bilangannya agak ramai di atas sebuah masjid. Wajah mereka agak bulat, kelihatan juga sebahagian rambut mereka yang hitam dan telah beruban. Penulis tersedar setelah mengucapkan kalimah “Assalamualaikum” ke sebelah kanan dan kiri. Jadi, Penulis berasa malu kerana ketika tertidur tadi Penulis menanggalkan baju tetapi bagaimana pula ketika menjadi Imam, Penulis siap memakai baju?

Kejadian berkenaan tidak selesai setakat itu sahaja kerana kejadian memasuki sebuah alam dan dapat melihat serta bertutur dengan makhluk yang tidak pernah dilihat sebelum ini seolah-olah kejadian tersebut benar-benar di alam realiti. Tempat terbabit, Penulis telah memasukinya sebanyak dua kali tetapi tidak menemui penghuninya dan pada 29 Mac, 2015 itu adalah kali ketiga dengan melalui jalan yang sama. Dua kali dulu sekadar melihat alam mereka yang hampir sama dengan alam manusia, jin dan bunian itu. Tetapi kali ketiga ini dapat melihat dan bertutur dengan makhluk itu sekali.

Sebelum kejadian dapat menapak ke alam makhluk itu berlaku, Penulis cuba melelapkan mata (untuk tidur) jam 2.00 pagi dengan cara mengiring ke sebelah kiri dan kepala menghala ke arah Kiblat. Penulis merasakan, hanya sekejap saja selepas baring secara mengiring itu, Penulis tiba-tiba seperti berjalan kaki seorang diri di sebuah tebing sungai yang kadang-kadang berjalan di dalam air (kaki terkena air tetapi dirasakan tidak basah). Dalam sungai yang jernih airnya itu tidak kelihatan sebarang makhluk yang hidup baik ikan, ular mahupun buaya. Sementara, di sebelah kirinya pula terdapat hutan tebal yang berbukit.

Ketika sedang melaluinya, didapati bumi dan suasananya agak basah, dalam hati Penulis terdetik mungkin hujan telah turun awal di alam itu. Malah kelihatannya ketika itu cahaya mentari sedang menerobos di dedaunan pokok dan dalam agakan hati Penulis, mungkin ketika itu pukul 5.30 atau 6.30 petang melihatkan suasananya yang remang-remang itu. Sementara di alam manusia pula pada masa itu jam 2.00 pagi.

Setelah berjalan agak biasa tanpa menoleh ke belakang, kanan atau kiri, Penulis akhirnya tiba di sebuah kawasan yang agak cantik, di mana kelihatan daun-daun kayu yang gugur seperti tersusun indah, seolah-olah ada yang menjaganya. Paling menarik, apabila Penulis tiba di sebatang palang kayu yang seolah-olah sebagai penutup pagar kawasan terbabit. Dalam keadaan itu, Penulis kemudiannya terdengar bunyi suara mendayu-dayu seperti suara gadis sedang mendendangkan lagu merdu. Sebelum ini pernah tiba di situ tetapi tidak mendengar suara sebagaimana yang dimaksudkan. Bahasanya memang tidak pernah diketahui, bukannya dialek “Kelantan” atau bahasa Melayu, mungkin bahasa makhluk itu. Cuma yang enak didengarnya ialah suara si pemiliknya sedang mendendangkan lagu itu.

Disebabkan ingin mengetahui siapakah yang pemilik suara itu, Penulis membuka kata dan bertanya secara jelas, “sedapnya suara. Suara siapa itu?” Dengan tidak disangka-sangka, menjelmalah tiga gadis bertubuh montok (sekitar 4 hingga 5 kaki sahaja berbanding makhluk jin berketinggian 6 hingga 8 kaki) yang seolah-olah telah mendengar suara Penulis berkata seperti itu.

Dua gadis sedang berdiri dengan mengenakan pakaian seperti skirt labuh, terdapat bunga-bunga kecil yang disunting dengan tali melilit di atas kepalanya (sebagai topi), manakala di leher masing-masing dililit bunga-bunga seperti di atas kepala itu juga, lagaknya seperti gadis di Miami, Amerika Latin. Sementara, yang seorang lagi sedang baring mengiring seperti ikan duyung, lagaknya seperti anak perempuan seorang ketua.

Penulis merasakan ketiga-tiga gadis itu adalah “anak dara” melihatkan watak mereka. Kedua-dua gadis yang sedang berdiri itu, wajah mereka bercampur putih dan sedikit warna coklat, sementara gadis yang sedang baring seperti ikan duyung itu wajahnya agak gelap berwarna coklat. Melihat wajah dan rupa mereka seperti kaum orang asli.

Setelah melihat ketiga-tiga gadis itu, Penulis bertanya lagi di antara mereka “suara siapakah yang menyanyi itu”. Lalu dijawab oleh salah seorang dari dua gadis itu sambil menunjukkan kedua-dua tangan ke arah gadis yang sedang baring mengiring seperti ikan duyung itu  sambil  mengukir  senyuman  kepada  Penulis.   Penulis  kemudiannya melihat ke arah pemilik suara itu yang juga seorang gadis yang bersuara merdu yang sedang baring itu sambil melemparkan senyuman malu kepada Penulis kerana identitinya telah diketahui.

Dengan tiba-tiba, muncullah dua lelaki yang bertubuh sasa, dada dan bodinya berketul dengan mengenakan seluar jeans berwarna biru tua yang telah lusuh tanpa memakai baju. Disebabkan kedua-duanya tidak memakai baju dapat dilihat bentuk tubuh mereka berbanding dengan makhluk jin yang sentiasa memakai baju.

Kelihatan bagi Penulis dua lelaki itu adalah pemuda yang sasa, tampan dan kacak. Salah seorang darinya memandang ke arah Penulis seraya memberikan amaran supaya tidak menegur atau mengganggu ketiga-tiga anak dara itu. Baharulah Penulis mengetahui bahawa, jika ada lilitan bunga-bungaan di leher itu tandanya gadis yang masih dara dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki di kalangan makhluk mereka.

Dapat disimpulkan salah seorang pemuda tampan itu melarang menegur atau mengganggu ketiga-tiga gadis itu dengan apa cara sekalipun kerana katanya, hal itu akan diketahui oleh Penghulunya yang melarang mana-mana gadis ditegur atau diganggu. Penulis menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh pemuda tampan itu dengan menyatakan, Penulis bersedia menunggu kehadiran kerana ingin melihat wajah sebenar Penghulu Bunian sebagaimana yang dinyatakan oleh pemuda itu.

Seketika kemudian, muncullah dari bahagian atas (di hadapan Penulis) objek yang menyerupai seekor buaya (bentuk zahirnya yang kelihatan seperti tilam kekabu) yang menyerlahkan sinar gemerlapan berwarna kekuningan seperti emas. Beberapa saat selepas itu, kelihatan suasana sekitarnya terang-benderang dengan cahaya kuning keemasan.

Penulis agak ketika itu, Penghulu Bunian telah tiba. Lalu Penulis terpandang di antara pokok-pokok kayu yang dapat diterangi cahaya kilauan emas itu berlubang seperti pintu masuk yang seakan sebuah khemah atau rumah yang boleh dimasuki, lalu Penulis memasuki salah satu pokok di antara pokok-pokok yang tersusun rapi di kawasan itu dengan hasrat untuk melihat wajah Penghulu mereka dari dekat. Namun, Penghulu makhluk berkenaan tidak datang menemui Penulis sebaliknya, ghaib dari situ.

Selepas Penghulu Bunian yang dimaksudkan itu telah ghaib, ketika itulah Penulis tersedar. Melihat jam di dinding rumah Penulis menunjukkan pukul 4.00 pagi, tiba-tiba hujan lebat turun mencurah di luar rumah. Terlalu pantas masa di alam mereka, Penulis agak antara dua (2) hingga lima (5) minit sahaja, berbanding di alam manusia sehingga mencecah dua (2) jam. Penulis kemudiannya melakukan “qiamullail” dengan menunaikan solat Tahajjud, membaca Al-Quran dan berzikir seperti yang selalu dilakukan.

Dalam konteks ini, jika benar makhluk berkenaan yang bertubuh montok berukuran di antara 4 hingga 5 kaki itu adalah makhluk bunian, sudah jelas ia berbeza dengan makhluk jin kerana makhluk jin berketinggian di antara 6 hingga 8 kaki.

Nota:
Kisah ini adalah pengalaman Penulis di atas izin Allah S.W.T  jua.

Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh


"Keadaan kawasan yang tersusun indah menggambarkan ada penghuni yang sentiasa
menyelia tempat itu" - Penulis.

 Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH