RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-4.blogspot.com

Sabtu, 10 Oktober 2015

Ross Nursery


ROSS NURSERY


PASIR PUTEH, KELANTAN: Tanah yang cantik tetapi terbiar begitu saja tentunya merugikan pemiliknya. Jika ada usaha ke arah itu, tanah yang terbiar juga mendatangkan manfaatnya bukan saja sesuai untuk bercucuk-tanam atau menanam pelbagai jenis pokok-pokok buah-buahan yang apabila cukup tempoh matangnya untuk berbuah, buah-buahan itu boleh dipungut untuk dijual. Namun, ketahuilah bahawa, tanah selain untuk tujuan itu, ia boleh diusahakan dalam bidang nurseri dan landskap.

"Saya menubuhkan nurseri dan landskap di kampung ini kerana melihat agak kurang selesa tanah yang cantik didapati terbiar begitu saja tanpa diusahakan.

"Sejak itulah, saya menanam tekad untuk membuka nurseri dengan menjual pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang bernilai komersial dan diminati pelanggan", kata Pengurus Ross Nursery, Mohamad Azwan bin Che Man (Wan), 24, dari Kampung Sri Aman 3, Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di Ross Nurseri miliknya.

Katanya, Ross Nursery dibuka dengan rasminya pada 20 April, 2013 di Kampung Sri Aman 3 dekat sini dan penduduk di Pasir Puteh memang sedia maklum dengan pembukaannya ketika itu. Nurseri berkenaan yang ketika mula-mula beroperasi di kawasan terbabit hanya menjual pelbagai jenis pasu bunga yang bermodalkan antara RM3,000 atau RM4,000 saja ketika itu. Bangsal tempat untuk rehat dan sebagainya masih belum dibina kerana baharu beroperasi, tetapi kini semua keperluan sebagai sebuah nurseri semuanya sudah lengkap.

“Pada tahun 2013, masih belum ada nurseri di Pasir Puteh ini. Hanya Ross Nursery adalah terawal menapak dan merupakan nursery perintis di Pasir Puteh terutamanya di Kampung Sri Aman 3 ini.

“Disebabkan tiada saingan dari nurseri lain ketika itu, Ross Nursery sentiasa mendapat perhatian pelanggan. Pokok-pokok bunga yang ada tidak mencukupi malah terpaksa ditambah”, ujar Azwan.

Katanya, dia menempah pelbagai jenis bunga yang menjadi minat pelanggan di Cameron Highlands (Pahang), manakala bunga-bunga dan pokok-pokok yang lain ditempahnya di Rantau Panjang (Kelantan). Selain dari jualan pasu-pasu bunga secara kecil-kecilan, dia juga banyak menempah pokok bunga kertas dan pokok bunga Jasmine iaitu dua jenis pokok bunga yang digemari kebanyakan pelanggan yang sering datang membeli di kedai nurserinya.

Punca kedua-dua jenis bunga ini begitu laris adalah disebabkan pokok bunga yang senang dijaga dan tidak cerewet kepada keadaan cuaca, sama ada hujan dan panas. Sejak itulah dia mula membina pondok kecil (bangsal) dalam taman nurserinya untuk menampakkan kesungguhannya terhadap nurseri dan bidang landskap berkenaan

Kata Azwan lagi, di nurserinya mempunyai pokok yang memang tahan kepada panas matahari. Kalau dihitung pelbagai jenis pokok yang ada di nurserinya, kira-kira 100 jenis pokok dijual di nurserinya berdasarkan kepada minat pelanggan. Di antara jenis tumbuh-tumbuhan yang dijualnya seperti pokok bunga, hiasan dan pokok buah-buahan. Pokok buah-buahan seperti manggis, mangga, rambutan dan kurma begitu sinonim dengan masyarakat di Kelantan khususnya di Pasir Puteh.

“Ketika nurseri ini mula dibuka pada tahun 2013 itu, kos yang dikeluarkan untuk membeli pelbagai jenis pokok dan pasu pada tahun 2013 itu adalah di antara RM3,000 atau RM4,000.

“Tetapi, kos kini telah meningkat kepada RM20,000. Keseluruhan kos termasuk pembinaan bangsal di nurserinya itu adalah kira-kira RM40,000”, jelasnya.

Bercakap tentang bekalan pokok, kebanyakan pokok-pokok yang ada di nurserinya ditempah dari Cameron Highlands (Pahang) dan Rantau Panjang (Kelantan). Pihak pembekal tumbuh-tumbuhan yang ditempah dari Cameron Highlands (Pahang) akan membawa ke nurserinya. Sementara, bagi pokok-pokok yang dibeli dari Rantau Panjang (Kelantan), lazimnya jika pokok-pokok itu kecil dia akan membawa dengan kenderaannya sendiri, tetapi jika pokok itu agak besar seperti pokok Roshinda dan kurma, pembekal akan membawa ke nurserinya setelah tempahan dan bayaran dibuat.

Tambah Azwan, berhubung dengan harga pula, dia akan menjualnya kira-kira 50 peratus dari modal yang dikeluarkannya. Misalnya, jika modal untuk mendapatkan pokok bunga kertas adalah RM3, dia akan menjualnya dengan harga RM5. Harga berkenaan adalah harga standard di pasaran, walau bagaimanapun ia berdasarkan kepada keadaan fizikal pokok itu. Jika pokok itu besar, tentu harganya meningkat.

“Perolehan pendapatannya dalam sehari, Alhamdulillah, kira-kira RM800. Ini berdasarkan kepada jumlah pelanggan yang datang.”, ujar Azwan lagi.

Ditanya tentang jumlah pelanggan dahulu (tahun 2013) yang tiada saingan berbanding kini (2015) yang begitu banyak saingan dengan nurseri yang lain, beliau menjelaskan, kebanyakan pelanggan yang datang ke nurserinya boleh dikatakan masih menggalakkan walaupun terdapat saingan dari tiga nurseri lain di Pasir Puteh ketika ini.

Di antara sebab tumpuan pelanggan ke nurserinya ialah nurserinya terletak di tepi laluan umum, nurserinya lebih besar (luas) dari nurseri lain, pasu bunga juga banyak pilihan berbanding nurseri lain dan nurseri lain hanya menjual pokok secara ala kadar tanpa menjual pasu berbanding nurserinya.

Walau bagaimanapun menurut Azwan, menjadi kebiasaan di mana-mana nurseri termasuk nurserinya, pelanggan paling ramai di nurserinya seperti hari-hari cuti mingguan seperti Jumaat dan Sabtu. Malahan menurutnya, kebanyakan pelanggan beliau terdiri daripada kalangan guru. Setakat ini menurutnya, kebanyakan pelanggan yang sering mengunjungi nurserinya adalah pelanggan tempatan. Tetapi jika hari cuti umum seperti dua hari raya, ramailah pelanggan dari luar Kelantan kerana mereka beranggapan pokok-pokok di nurserinya agak jauh lebih murah berbanding dengan nursery di sana.

Katanya lagi, jenis pokok yang sering menjadi minat dan tumpuan pembeli di kawasan Pasir Puteh khususnya di nurserinya seperti pokok puding dan bunga kertas. Hal ini disebabkan kedua-dua jenis pokok ini senang dijaga dan tahan lasak berbanding dengan pokok-pokok lain yang agak cerewet dan tidak tahan terkena cuaca panas dan hujan (air) yang berlebihan dan  berpanjangan.

“Misalnya, pokok-pokok yang didatangkan dari Cameron Highlands, minat pelanggan terhadapnya agak perlahan berbanding dari Rantau Panjang”, katanya.

Ditanya tentang kelaziman minat wanita terhadap pokok-pokok bunga berbanding lelaki, beliau menjelaskan bukan wanita sahaja yang meminati pokok bunga, namun lelaki juga turut memberi tumpuan hal yang sama. Ini disebabkan pokok bunga adalah sejenis pokok yang menarik pandangan.

Malah setakat pengalamannya sebagai pengusaha nurseri mendapati, si suami minat dengan bunga apabila mereka datang ke nurserinya untuk membeli pokok bunga, tetapi ada wanita (si isteri) yang tidak begitu minat pokok seperti itu sebagaimana suami mereka. Hal ini menurutnya sudah terbalik.

“Ada juga di kalangan suami-suami yang datang sendiri memilih dan membeli pelbagai jenis pokok dan pasu bunga yang mereka minat, sebaliknya si isteri sekadar diam dalam kereta, seolah-olah tidak berminat dengannya”, kata Azwan seterusnya.

Dalam pada itu, Ross Nursery juga turut menjual pokok hiasan seperti “pokok bonsai”. Bukan setakat nursery semata-mata, pihaknya juga turut menyediakan perkhidmatan membuat “landskap” dan jika ada tempahan untuk berbuat demikian, pihak mereka akan ke kediaman pelanggan untuk mengukur jarak dan keluasannya. Bahkan, hal berkenaan akan diserahkan kepada pihak pelanggan untuk memilih pokok yang sesuai dengan cita nurani mereka, lazimnya sama ada pokok karpet dan sebagainya.

“Tentang harga adalah berdasarkan kepada budi bicara dengan pelanggan. Jika pihak kami menguruskan kesemuanya, harganya berbeza. Tetapi jika dilakukan sendiri oleh pelanggan, kami tidak mengenakan bayaran kecuali harga pokok itu sahaja”, jelasnya.

Menurutnya, jika hal berkenaan diserahkan kepada pihaknya, apatah lagi jika pokok berkenaan ditanam dalam jumlah yang banyak di halaman langdskap, beliau akan mengenakan bayaran yang sepatutnya. Tetapi jika pelanggan sekadar menanam dalam kawasan yang kecil, pihaknya tidak mengenakan bayaran memadai dengan harga pokok sahaja. Semuanya bergantung kepada tempahan yang dibuat oleh pelanggan.

Tambahnya, jika ada tempahan dari pihak pelanggan untuk membuat landskap, lazimnya pelanggan akan datang sendiri berbincang di nurserinya dan selepas itu pihaknya akan ke sana. Ini bergantung kepada kehendak pelanggan sendiri kerana sesetengah pelanggan meminta pihaknya membina sebuah kolam agar laman rumah berkenaan kelihatan cantik dan sejuk mata memandang.

“Harga standard untuk pembinaan “landskap” adalah di antara RM3,000 atau RM4,000”, ujarnya.

Ditanya tentang pokok hiasan bonsai, katanya hal berkenaan bergantung kepada pokok bonsai itu. Sekarang ini menurutnya, kebanyakan pelanggan memilih bonsai celoreng atap (bonsai jenis lama, bentuk fizikalnya adalah kecil) kerana pokok bonsai ini memang menarik tetapi harganya agak mahal. Punca harga mahal bonsai jenis ini berikutan amat terlalu sukar untuk menyiapkannya. Manakala, jika bonsai biasa di antara harga RM100 hingga RM200 sahaja.

Walau bagaimanapun, tempahan pokok bonsai di nurserinya tidaklah begitu ramai berbanding dengan tempahan pokok-pokok yang lain. Hal ini disebabkan, pokok bonsai agak terlalu mahal. Hanya yang benar-benar minat terhadapnya, sesuai dengan citarasa dan golongan yang ada duit sahaja yang akan menempah bonsai itu.

Untuk keterangan lanjut dan tempahan, hubungi Mohamad Azwan Che Man (Wan) di talian: 014-8264918

Mohamad Azwan bin Che Man atau Man.

Mohamad Azwan ketika ditemubual Wartawan RELATIF di Ross Nursery miliknya.










Sebahagian pokok yang ada di nurserinya.


Pasu bunga, barangan terawal dijual di nurserinya.


Baja pokok.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 – http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Khamis, 1 Oktober 2015

Rumah Hobbit


RUMAH HOBBIT

PASIR PUTEH, KELANTAN: Pernahkah anda membaca “The Hobbit” iaitu sebuah novel fiksyen dan pengembaraan karya J.R.R Tolkien pada 21 September, 1937. Novel The Hobbit ini kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah filem pengembaraan menarik dan amat terkenal di seluruh dunia.

Tetapi tahukah anda bahawa, di Kelantan juga terdapat rumah hobbit yang kelihatannya dalam rumpun pokok sebagaimana yang dipaparkan dalam filem tersebut. Rumah hobbit yang dimaksudkan adalah milik Anizar binti Adnan (Kak Za), 48 dan suaminya yang letaknya di Kampung Kelubi, Wakaf Tuan Fara, Jalan Machang, Pasir Puteh, Kelantan yang kini telah berusia kira-kira 70 tahun.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin, Anizar bercerita, dia dan keluarganya telah menghuni rumah itu sejak kira-kira 20 tahun lalu.

Menurutnya, tapak rumah hobbitnya itu asalnya adalah ladang getah sebab itulah warna tanahnya hitam dan keadaannya sebagai “tanah sejuk”. Tanah berkenaan menurutnya adalah milik arwah ibu bapa suaminya. Katanya, keluarganya kini adalah empat generasi (cicit) yang masih ada dan tinggal di situ.

Katanya, rumah hobbit yang didudukinya sekarang ini sebenarnya dalam kategori rumah lama yang tidak menggunakan paku tetapi menggunakan “pasak”. Lazimnya, kebanyakan rumah kayu dan papan menggunakan paku (model rumah konsep kedua) supaya lebih kukuh. Namun, rumah hobbitnya adalah rumah konsep awal (pertama) yang tidak menggunakan paku tetapi berasaskan kepada pasak, namun kelihatannya agak kukuh.

Tambah Anizar, disebabkan rumahnya sekarang ini dalam keadaan seperti itu, ada yang berseloroh sebagai “rumah berhantu” dan ada yang menyangka rumah berkenaan tidak mempunyai tuannya. Malah, rakan-rakannya sendiri agak terkejut kerana beliau dan suaminya berani menetap di rumah seumpama itu dalam keadaan yang dianggap tidak sesuai. Namun, dia akan tetap menghuni di situ kerana itulah harta dan rezeki yang dimiliki.

Pada mulanya dia tidaklah begitu berminat membina “rumah hobbit” itu. Segala-galanya bermula apabila timbul ilham ketika dia menanam benih pokok itu yang diperolehi dari suaminya dari seorang jutawan yang membelinya dari negara Afrika lalu menanamnya di sebatang pagar rumahnya. Suaminya membawanya pulang lalu disemainya di rumahnya yang berusia 70 tahun itu yang berkeadaan uzur apabila banyak dinding rumahnya yang telah kopak dan tercabut ketika anak-anaknya bermain dalam rumah berkenaan. Dia yang berharap dengan pokok pagar itu akan mengukuhkan lagi struktur dinding dan kayu yang kopak dan telah reput tentunya amat sesuai untuk rumah uzur seperti rumahnya untuk mengelakkan perbelanjaan lain untuk membaik pulih keadaan rumahnya itu.

“Pokok ini membesar dalam masa dua atau tiga tahun ini saja. Tetapi kemudiannya melingkup keseluruhan rumah ini dengan pantas”, ujarnya.

Katanya, beliau juga berasa agak pelik juga kerana pokok tersebut terlalu banyak buahnya. Apa yang pernah dilihatnya, buah dari pokok itu pernah dimakan burung-burung yang singgah dengan agak ramai apabila musim pokok berbuah, namun dia tidak pernah lihat manusia yang memakan buah-buahan itu.

Namun, dalam konteks yang bersabit dengan kosmetik dan kecantikan, buah-buahan dari pokok itu apabila dibelah baunya agak wangi.

Beliau dan suaminya melakukan perubahan kreatif ke atas rumah lama dan uzur sehingga menjadi kukuh apabila terlintas di sanubarinya untuk menanam pokok pagar itu kerana melihatnya agak cantik dan menarik apabila berada di pagar semata-mata. Apatah lagi, disebabkan papan dan kayunya telah uzur, apabila dipaku, pakunya terus tanggal dari kayunya yang mendorong beliau berfikir bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah itu. Hendak dirobohkan rumah itu, tentunya amat sayang kerana masih boleh diduduki lagi.

Apabila ditanya, adakah beliau akan kekal tinggal di rumah hobbitnya. Beliau menjelaskan, rumah hobbit yang didudukinya kini adalah milik kakak iparnya dan beliau menghuni di situ sekadar menumpang semata-mata. Kakak iparnya tinggalkan rumah berkenaan setelah berjaya membina sebuah rumah baharu. Jadi, beliau diminta oleh kakak iparnya supaya menetap di rumahnya sekarang.

“Kak tak pasti akan terus tinggal di rumah ini. Jika rumah ini diruntuhkan untuk projek tertentu, Kak pasti tinggal di tempat lain.

“Namun, kalau mengikut kata-kata kakak ipar kak waktu itu rumah ini tidak akan diruntuhkan dan kemungkinan akan dibaik pulih”, kata Anizar.

Tambahnya, jika mengikut ideanya, dia akan membaik pulih rumah hobbit itu dan mana-mana bahagian yang cacat seperti pintu dan jendela akan ditukar, manakala bumbungnya pula dibaik pulih dengan menukar atap yang baharu supaya kelihatan lebih selamat. Sementara dindingnya pula dikekalkan. Namun menurutnya, paling penting bagi beliau dan keluarganya ialah bahagian bumbungnya perlu dibaik pulih sama ada ditukar baharu supaya lebih selamat dan bebas dari turunan hujan.

Ditanya tentang kejadian angin kencang yang pernah beberapa kali melanda Kelantan pada tahun 2015 terutamanya di Pasir Puteh khususnya di Kampung Kelubi yang sememangnya tidak terlepas dengan tempiasnya yang berlaku ketika Asar (bunyi tiupannya agak kuat dan kasar) baru-baru ini, beliau menjelaskan ketika kejadian itu beliau baharu sahaja ingin menunaikan solat Asar. Katanya, keadaan dinding rumahnya itu tidak bergegar atau bergoyang ketika dipukul angin kencang itu, namun keadaan bata di bumbung rumahnya semuanya bergerak ke serata arah sehingga menyebabkan ruang atas terbuka dan terdedah.

Melihatkan keadaan itu, beliau meminta anak sulongnya supaya membaik pulih supaya kelihatan selamat dan sehingga hari ini keadaan bumbungnya masih kekal selepas kejadian angin kencang itu.

Katanya, rumahnya tidak bergegar atau bergoyang kerana telah dipegang pokok itu sebagai tunjang yang dapat menyokong dari serata arah ketika kejadian angin kencang melanda ketika itu. Namun, melihat kepada beberapa rumah di kawasan kampung itu memang agak teruk juga ketika angin kencang melanda ketika itu.

“Kak tidak begitu bimbang dengan keadaan rumah ini ketika angin kencang tempoh hari. Tetapi apabila melihatkan keadaan angin di luar rumah berkeadaan pelik dan luar biasa.

“Ketika angin kencang melanda kampung ini ketika itu, Kak berpindah ke rumah ibu bersebelahan rumah ini. Dari apa yang Kak perhatikan, keadaan rumah ini agak kukuh dan tidak bergoyang, sebaliknya di luar rumah pula menyebabkan pokok dipukul angin kencang itu agak menakutkan”, ujarnya.

Menariknya menurut Anizar, keadaan hawa dalam rumah hobbitnya itu berkeadaan sejuk walaupun suasana di luar agak panas. Barangkali disebabkan fungsi pokok itu yang menyerap karbon dioksida dan menghembuskan oksigen menyebabkan suasana itu berubah agak menyamankan. Lazimnya, apabila masuk ke rumah batu ternyata agak berbahang, namun keadaan dalam rumahnya sentiasa sejuk dan nyaman walaupun tanpa menggunakan kipas angin. Pernah juga pelawat yang datang ke rumah hobbitnya itu dan memberitahu rumahnya itu berkeadaan sejuk asli. Hal berkenaan berlaku di siang hari.

“Keadaan hawa rumah ini pada malam hari memang agak sejuk dan menyegarkan. Namun hal yang dibimbangkan adalah keadaan atap di bumbung rumah yang terdedah, bila-bila masa hujan turun akan membasahi dalam rumah. Kalau dilihat, rumah ini hanya boleh diduduki kira-kira lima (5) peratus saja”, katanya.

Membicarakan tentang pelawat pula, setakat ini telah ramai pelawat yang datang untuk melihat rumah hobbitnya. Sehingga kini kira-kira 21 media termasuk majalah RELATIF dan Siar.TV sendiri yang membuat liputan tentang rumah Hobbit itu. Sebelum itu, dua pasangan pengantin telah datang ke rumah hobbitnya untuk bergambar kenangan. Selepas itu, pihak media cetak, media elektronik dan media sosial yang datang membuat liputan, diikuti orang ramai dan pengunjung yang lalu lalang yang singgah kerana melihat keadaan sebuah rumah pelik itu.

Sementara, setakat ini masih belum ada pengunjung dari luar Kelantan yang datang untuk melihat rumah berkenaan secara dekat. Beliau bercerita, pernah satu masa seorang makcik secara berseloroh kepada cucunya seraya berkata kalau datang ke rumahnya itu pasti menjerit kerana terganggu, seolah-olah rumah buruknya kini adalah “rumah berhantu”. Selepas itu, makcik berkenaan datang memaklumkan kepadanya bahawa dia pernah berseloroh dengan mengusik cucunya dengan mendakwa rumah hobbitnya adalah rumah yang berhantu.

Katanya, kebanyakan rumah-rumah yang ada di sekitar rumah hobbitnya tidak pernah bertandang kerana mereka menyangka rumah hobbitnya kini tiada penghuninya. Malahan rakan-rakannya sendiri juga agak terkejut dan tidak percaya beliau boleh tinggal dalam rumah berkenaan. Bahkan menurutnya, rakan-rakan anaknya juga agak terkejut kerana anak-anaknya tinggal di rumah sedemikian rupa malah rakan-rakan anak-anaknya juga takut tinggal di rumah berkenaan.

Tetapi apabila rumah hobbitnya sekarang telah tersohor kerana umum telah mengetahuinya, ramai pula yang bertandang ke rumah berkenaan untuk melihatnya dan memuji pula rumah seumpama itu.

Apabila diminta tentang saranannya berhubung dengan rumah hobbitnya itu, katanya, jika ada pihak lain yang turut berminat untuk membangunkan “rumah hobbit” sepertinya, beliau menyarankan supaya tidak membuatnya dari kayu kerana dianggap tidak selamat, sebaliknya buatlah dari simen dan batu. Walau bagaimanapun menurutnya, rumah berkenaan tidak dicat kecuali di bahagian dalam rumah tetapi tidak di dinding luar rumah.

Ini kerana menurutnya, jika di sebelah luar rumah dicat, pokok berkenaan tidak akan dapat mencengkam dinding rumah kerana diganggu cat itu dan kemungkinan cat itu juga boleh membunuh tumbesaran pokok terbabit.

Anizar binti Adnan atau Kak Za.

Kak Za ketika ditemubual Wartawan RELATIF di rumah hobbit miliknya.




Rumah hobbit dari pelbagai sisi.

Wartawan RELATIF bergambar kenangan dengan suami Anizar.

Papan tanda kampung ini berdekatan dengan rumah hobbit.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 – http://siartv-3.blogspot.com


Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
MOHD. KAMARULBAHRIN

Ahad, 20 September 2015

Urut dan Berbidan


URUT DAN BERBIDAN

TUMPAT, KELANTAN: Mengurut dan berbidan adalah dua rawatan tradisional yang masih lagi diamal dan dikekalkan sehingga hari ini. Bidang rawatan tradisional yang dikatakan amalan pengamal-pengamal tradisional yang telah dicetuskan sejak 1,400 tahun lalu ini, walaupun sedikit terhakis disebabkan diambil alih oleh rawatan moden, namun berikutan sumbangannya kepada keperluan umum, ia masih lagi menjadi harapan di kalangan segelintir penduduk di negara ini.

Cuma rawatan seumpama ini terpaksa berlaku perubahan dan pengubahsuaian atas dasar peraturan moden, namun sumbangan rawatan tradisional dengan moden boleh bergabung yang hakikatnya dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Rawatan tradisional tidak wajar disisihkan dalam zaman moden kerana kalau tidak kerana rawatan tradisional sebagai perintis, rawatan moden pastinya tidak wujud.

Bidang rawatan tradisional yang masih kekal dan diamalkan oleh segelintir pengamal-pengamal rawatan tradisional seperti urutan dan berbidan diperlukan dalam arus kemodenan dunia hari ini kerana kemahiran pengamal-pengamal rawatan tradisional yang masih meneruskan amalan seumpama ini berdasarkan ilmu mantap yang dimiliki oleh pengamal-pengamalnya amat perlu.

Salah seorang Pakar Urut dan Bidan Tradisional, Wan Salma binti Said atau Kak Ma, 58, dari Kampung Kok Bedullah, Tumpat, Kelantan berkata, dia memulakan bidang dan berbidan ini sejak berusia 26 tahun lagi. Dia memperolehi ilmu mengurut dan berbidan melalui mimpi yang dialaminya pada suatu malam. Walau bagaimanapun, tidak sekadar mimpi yang menunjukkan ilmu itu kepadanya, keturunannya juga yang berasal dari Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat memang tersohor sebagai tukang urut dan berbidan yang disegani di kampung itu.    

Kata Kak Ma lagi, keturunan awal yang mahir dalam hal urutan dan bidan ini adalah bidansari. Sementara moyangnya yang perempuan, arwah Mariam serta yang lelakinya bernama Awang. Ini bermakna kedua-dua pihak sama ada sebelah bapa dan ibunya memang tukang urut dan bidan yang tersohor di Kampung Pengkalan Nangka, Tumpat. Dia berpindah ke Kampung Kok Bedullah ini kira-kira 40 tahun lalu.

“Kak Ma memperolehi ilmu mengurut dan berbidan secara serentak yang diajarkan kepada Kak Ma melalui mimpi dan kepandaian Kak Ma juga melalui mimpi itu.

“Dalam mimpi itu, Kak Ma ditunjukkan cara dan kaedah merawat dan memulihkan penyakit. Kak Ma juga diberikan satu ayat untuk diamalkan ketika merawat pesakit.

“Jika ditanya tentang ilmu, memanglah kedua-dua orang tua Kak Ma tidak memperturunkan ilmu mereka kepada Kak Ma”, ujar Wan Salma ketika ditemui Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamarulbahrin di kediamannya.

Cerita Kak Ma tentang bidang mengurut, jika menurut kaedah urutan, dia akan memulakan urutan pesakit wanita di bahagian dada dahulu (jika dimulakan sebelah kanan), diikuti sebelah lengan, ke bahagian perut, ke bahagian paha dan seterusnya ke bahagian kaki pula sehingga lengkap dan sempurna keseluruhannya yang berakhirnya ke sebelah kanan. Manakala di bahagian perut itu pula, dia akan membuat urutan secara merata-rata bahagian saraf sehingga keseluruhannya.

Selepas itu menurutnya, dia akan mulakan pula di sebelah kiri dada ke bahagian bawah dan lengkap urutan sehingga ke sebelah kanan. Begitulah yang dilakukannya menurut kaedah urutan yang diajar dan diperolehinya. Setelah selesai di bahagian hadapan tubuh, dia akan mengakhirkan urutan di bahagian belakang badan pula.

Apabila ditanya, kenapa kaedah urutannya itu dimulakan di bahagian atas badan (dada). Dia menjelaskan, menurut kaedah moyangnya berkata, wanita jika dimulakan urutan di bahagian bawah badan (terutamanya di bahagian kaki), cara urutan ini dianggap “songsang”. Dalam hal ini menurutnya, penyakit yang dihidapi wanita yang diurutnya itu tidak akan keluar.

Misalnya masalah penyakit gastrik dan medu yang dialami wanita, dia akan mengurut urat dan saraf pesakit terbabit supaya angin yang berligar dalam urat-urat saraf dan perut pesakit itu keluar dengan sempurna.

Lazim penyakit yang dialami oleh golongan wanita adalah “penyakit medu”. Penyakit medu adalah diakibatkan oleh tekanan angin dalam tubuh (terutamanya dalam perut) pesakit itu dan ia tidak melibatkan urat dan saraf pesakit terbabit. Dalam hal ini menurutnya, dia juga akan mengurut untuk membuang angin yang mengganggu badan pesakit terbabit, tetapi pesakit terbabit dinasihatkan tidak meninggalkan makanan walaupun dirasakan “tidak berselera makan”.

Selain itu menurut Kak Ma, wanita-wanita juga sering menghidapi penyakit pinggang. Menurutnya, masalah yang dihidapi wanita berkenaan adalah berpunca daripada urat-urat dalam perut pesakit itu telah mengeras. Dalam masalah ini, dia akan membuat urutan di bahagian perut dan pinggang pesakit wanita itu supaya dirasakan urat-uratnya berasa lembut. Tukang urut sepertinya akan mudah berasa urat-urat di bahagian itu telah berkeadaan lembut dan selepas itu pesakit wanita itu akan berasa selesa kerana urat-urat yang bermasalah itu sudah berkeadaan sempurna dan aliran darah pun sudah kembali normal.

“Kak Ma tidak begitu selesa menggunakan minyak masak atau minyak benar. Kak Ma tidak menggunakan minyak masak tetapi menggunakan minyak khusus untuk mengurut yang boleh diperolehi dari farmasi.

“Minyak khas untuk mengurut ini memang bagus kerana jika pesakit memakai baju baharu, minyak ini tidak meninggalkan kesan bau, kesan minyak kepada kulit pesakit”, ujarnya apabila ditanya tentang beza minyak masak dengan minyak khas untuk mengurut.

Menurut Kak Ma lagi, selain mahir dan pakar mengurut, Kak Ma juga mahir sebagai seorang bidan tradisional. Disebabkan beliau telah ditauliahkan oleh pihak hospital dan Kementerian Kesihatan tentunya memudahkan beliau untuk bersama-sama dengan bidan kerajaan untuk memberikan rawatan kepada ibu-ibu hamil dan bersalin. Apabila menerima panggilan dari pesakit khususnya wanita-wanita yang akan bersalin dia akan bersama-sama dengan bidan kerajaan sama-sama memberikan khidmat mengikut kepakaran masing-masing.

Katanya, selepas bidan kerajaan sempurna memotong pusat bayi yang telah lahir, maka peranan itu dimainkan oleh Kak Ma pula sebagai bidan tradisional untuk membuat urutan kepada ibu-ibu bersalin, mencuci lendir bayi, bertuku dan sebagainya yang bersangkut-paut dengan peranan bidang tradisional sepertinya. Tentang hal bertuku dan mengurut wanita-wanita yang telah bersalin, hal ini bergantung kepada kehendak mereka, jika memerlukan masa selama 10 hari dia melakukannya sebagaimana yang diminta.

“Kak Ma pernah mengikuti kursus berbidan, kursus penyusuan ibu dan kursus urutan kaki”, apabila ditanya tentang apa-apa kursus yang perlu dihadirinya sebagai pra-syarat untuk dapat bergerak bersama bidan kerajaan.

Katanya, dia menghadiri kursus ini kira-kira dua tahun lalu. Sementara kursus berbidan kira-kira enam tahun lalu iaitu meliputi cara mengurut (perut). Kursus berbidan ini dilaksanakan di Hospital Kelaboran, Tumpat, sementara kursus urutan kaki selama seminggu dilaksanakan di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Setiap peserta kursus menurutnya adalah melalui program yang diatur pihak Jabatan Pertanian. Melalui Jabatan Pertanian ini, kira-kira seminggu kursus melibatkan urutan kaki selama seminggu (peringkat pertama) dan bagi peringkat kedua (sebulan selepas kursus pertama) pula kursus “berbekam” iaitu selama seminggu (kaedah mengambil darah).

“Jumlah pesakit yang menerima rawatan urut dan berbidan berdasarkan keadaan. Kadang-kadang mencecah empat (4) orang sehari, sama ada di sebelah pagi mahupun malam.

“Biasanya, pesakit yang datang waktu malam bagi pesakit yang datang dari jauh seperti dari Kota Bharu (seperti Pengkalan Chepa), Tanah Merah dan beberapa tempat lain”, ujar Kak Ma.

Berhubung dengan masa mengurut pula, kalau sebelah pagi dia mulakan urutan bermula jam 9.00 pagi dan selesai jam 11.45 pagi. Sementara pada sebelah malam pula, kadang-kadang selepas solat Maghrib dan kadang-kadang selepas solat Isyak dia akan mulakan urutan itu bergantung kepada kehadiran pesakit yang tinggal jauh. Kalau mereka datang awal, akan awallah urutan dan jika lambat akan lambatlah beliau mengurut.

Menurutnya, dia lebih mengutamakan urutan di rumah pesakit dan amat jarang urutan di rumahnya sendiri. Dia akan mengurut di rumahnya sendiri apabila menerima panggilan daripada sesetengah pesakit yang ingin datang ke rumahnya sama ada sebelah pagi atau malam dan dia akan menunggu pesakit terbabit.

Sementara kalau “bertuku” , dia hanya menetapkan hanya dua orang sehari kerana proses bertuku memerlukan masa yang lama iaitu kira-kira tiga (3) jam.

Ditanya tentang bayaran yang dikenakan sebagai upah kedua-dua rawatan itu, dia menjelaskan bahawa, dia tidak menetapkan harga dalam setiap khidmat yang dicurahkannya kepada setiap pesakit, hanya sekadar ikhlas dari pihak pesakit itu sendiri. Dia tidak meletakkan harga kerana ilmu tidak boleh dijual-beli.

Tambah Kak Ma, kalau ditanya tentang bidangnya sekarang, pastinya dia akan menjawa dia begitu seronok dengan bidang yang diceburinya sekarang (sebagai tukang urut dan berbidan). Ini kerana, memang cita-citanya sejak dulu apabila menjadi tukang urut ketika usia muda, sehingga hari ini dia masih meneruskan bidang yang diminatinya itu. 

Di samping itu menurut Kak Ma, tiada beza di antara pesakit yang makan dahulu sebelum berurut atau tidak adalah sama. Katanya, bukan penyebab berlakunya masalah urat saraf jika pesakit itu makan atau tidak sebelum mengurut.

“Memanglah bagi sesetengah tukang urut akan timbul masalah ketika mengurut apabila pesakit makan sebelum berurut. Namun, hal ini tidak menjadi masalah kepada Kak Ma sebagai tukang urut malah hal berkenaan adalah lebih baik lagi.

“Hal tersebut tidak bersabit dengan makanan itu kerana ketika dia menyentuh urat dan saraf pesakit sememangnya berkeadaan sama, sama ada pesakit itu makan ataupun tidak”, ujarnya.

Ditanya pula tentang serangan angin ahmar atau penyakit strok, beliau berpendapat penyakit strok ini juga melibatkan urat-urat yang terkena serangan strok itu menjadi keras. Banyak pengalamannya ketika mengurut pesakit strok apabila disentuh urat-urat itu didapati agak keras dan amat sukar untuk dilembutkan.

Katanya, setakat pengalamannya mengurut pesakit strok memang menemui kejayaan hasil daripada maklumbalas yang memberangsangkan apabila pesakit terbabit pulih seperti biasa.

Walau bagaimanapun menurut Kak Ma, dalam 10 orang pesakit strok yang pernah diurutnya, didapati hanya seorang sahaja yang gagal untuk dipulihkan terutamanya apabila suara dan pergerakan bibir mulut yang tidak dapat dibuka. Namun, pergerakan anggota lain yang terkena strok berjaya diatasi.

“Bagi Kak Ma, bukan lelaki saja yang mengalami strok, namun wanita juga mengalami masalah yang sama sebab penyakit tidak mengenal status lelaki atau wanita.

“Setakat pengalaman Kak Ma mengurut pesakit strok, kalau dikira tentang jumlah penghidapnya lelaki dan wanita adalah sama banyak”, tambah Kak Ma apabila diminta mengklasifikasikan penyakit strok di kalangan lelaki dan wanita berdasarkan pengalamannya itu.

Kak Ma menyarankan kepada pesakit-pesakit strok, jika telah diserang strok dan telah dimasukkan ke wad hospital apabila keluar wad, penyakit strok perlu diurut dengan kadar yang segera. Jika tidak tentunya akan menghadapi masalah dan kadar pulihnya tidak akan sama seperti sebelumnya. Lazimnya dalam masa tiga hari selepas keluar hospital, pesakit strok perlu diurut dengan kadar yang segera untuk memulihkan urat-urat yang bermasalah itu baik dan sempurna seperti sediakala.

Menurut Kak Ma penyakit strok boleh diurut dan berjaya sepenuhnya, namun memakan masa juga supaya urat-urat yang bermasalah itu dapat dibetulkan kepada keadaan asalnya.

Bercakap tentang penyakit wanita, wanita sering mengalami masalah sakit urat, masalah peranakan (sesetengahnya mendakwa ada peranakan wanita turun). Namun, bagi Kak Ma dia menafikan (mustahil) tentang dakwaan peranakan wanita turun yang menyebabkan wanita berasa sakit.

“Bagi Kak Ma, kalau ada orang kata peranakan wanita turun adalah tidak benar dan mustahil. Hal berkenaan adalah disebabkan urat di bahagian itu bermasalah sehingga menyebabkan wanita berasa sakit dan bukannya peranakan (rahim) turun.

“Jadi, apabila menghadapi wanita-wanita seperti ini, Kak Ma akan mengurut urat-urat yang bermasalah di kawasan itu sehingga pulih sepenuhnya”, ujarnya.

Katanya menambah, dia pernah mengurut pesakit wanita terbabit dan pesakit terbabit menyatakan akan berasa sakit ketika diurut. Hal ini menurut Kak Ma, urat di bahagian yang wanita itu berasa sakit disebabkan urat berkenaan telah “membengkak”. Apabila dia mengurut urat-urat yang bengkak itu akhirnya akan pulih seperti sediakala.

Berhubung dengan maklumbalas daripada pelanggan (pesakit) yang pernah berurut dan berbidan dengannya, memang banyak pesakit mengakui bahawa urutan yang dilakukannya agak halus, seni dan sesuai dengan urat saraf mereka.

“Memanglah kita sebagai tukang urut tidak mengetahui dengan keadaan pesakit yang kita urut. Tetapi apabila mendengar perkhabaran sedemikian, tentunya menambahkan semangat Kak Ma untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan khidmat Kak Ma sebagai tukang urut dan bidan”, jelasnya.

Apa yang dilakukannya sebagai tukang urut, peringkat awalnya dia akan membuat urutan selama tiga hari berturut-turut dan selepas itu dia akan berehat selama dua hari untuk memberikan kerehatan urat dan saraf dapat menyesuaikan dengan sistem saraf yang lain. Selepas berehat dua atau tiga hari, dia akan menyambung urutan sehingga selesai.

Untuk pertanyaan, Wan Salma binti Said atau Kak Ma boleh dihubungi: 019-9792830

Wan Salma binti Said atau Kak Ma.

Kak Ma ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Kak Ma sedang menunjukkan cara mengurut urat dan saraf dengan betul.


Antara bahan mengurut dan berbidan yang digunakan Kak Ma.

Inilah minyak khas yang digunakan oleh Kak Ma untuk mengurut.

Kediaman Kak Ma.

Papan tanda kampung ini terletak berhampiran dengan kediaman Kak Ma.


Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 03 – http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMARULBAHRIN

Khamis, 10 September 2015

Pak Mat Pakar Urut


PAK MAT PAKAR URUT


PASIR MAS, KELANTAN: Sesetengah di kalangan tukang urut mempunyai sejarah dan kaedah yang berbeza di antara satu sama lain. Hal ini bertepatan dengan cara dan kaedah pembelajaran, tuntutan dan penerimaan ilmu dari guru yang menurunkannya kepada mereka. Sebab itulah, kalau kita lihat ada yang mula mengurut di badan sakit dengan menyentuh perut, ada yang bermula di bahagian ibu kaki, tapak kaki dan di bahagian dada. Walaupun wujudnya perbezaan itu, hanya satu tujuan iaitu untuk memberikan khidmat dan menyembuhkan kesakitan yang dihadapi oleh pesakit-pesakit mereka.

Dalam banyak tukang-tukang urut itu, terdapat juga yang sememangnya amat mahir dan berpengalaman sejak dari menimba ilmu itu dari guru-guru mereka. Salah satu sebab ialah, keturunan mereka adalah seorang atau beberapa orang tukang urut atau perawat tradisional yang sememangnya telah tersohor tetapi enggan menurunkan ilmu yang dipelajari mereka kepada anak-anak yang bakal mengikut jejak mereka.

Salah seorang pakar urut, Mamat bin Hussein atau Pak Mat, 80, dari Kampung Pangkal Kala, Pasir Mas, Kelantan yang sememangnya mempunyai keturunan tukang urut yang tersohor dari bapanya tetapi tidak menurunkan ilmu mengurut itu kepada anaknya yang bakal mewarisi kaedah mengurut itu malah terpaksa pula menimba ilmu dari orang lain. Beliau yang terpaksa berguru dengan Tok Daud dari Kampung Sedar, Tumpat, Kelantan akhirnya layak dinobatkan sebagai pakar urut kerana kemahiran yang dianugerahkan oleh Allah dan memang diakui sendiri oleh gurunya melalui kaedah menurunkan ilmu itu dengan cara mengurut secara dua hala.

“Kita mengurut semasa berusia 20 tahun dan setelah mendapat anak pertama (anak sulung)” ujar Pak Mat ketika ditanya Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di kediamannya.

Katanya, di antara masalah dalam badan yang diurutnya seperti sakit urat, uluran (angin, darah, lendir dan uluran batu), kencing manis, lemah jantung, darah tinggi, resdung, gout, lumpuh (strok), masalah tenaga batin lelaki dan mati pucuk.

Menurutnya, dia belajar dari seorang tukang urut tersohor bernama Tok Daud dari Kampung Sedar, Tumpat, Kelantan. Kaedah dia belajar dari gurunya itu ialah tok gurunya itu akan mengurutnya terlebih dahulu dan selepas itu dia akan mengurut tok gurunya pula. Kaedah mengurut “dua hala” ini katanya, bagi menguji urat saratnya untuk mengetahui kemahiran dan kemampuannya mengurut. Katanya, tok gurunya bukanlah seorang yang mudah “pemarah” tetapi tegas dalam mengajarkan ilmu mengurut itu kepadanya. Jika murid-muridnya tidak menurut kehendak dan gagal dalam pelajaran, pasti murid terbabit akan diterajang.

Dia mempelajari mengurut dengan tok gurunya itu hanya semalaman sahaja di mana dia boleh menguasai ilmu mengurut sebagaimana yang diajarkan kepadanya. Ketika dalam masa belajar, dia perlu tidur di rumah tok gurunya, sebelah malam berlatih mengurut manakala sebelah pagi “perlimau” untuk menunjukkan dia telah menguasai ilmu mengurut itu dengan sempurna.

Apabila ditanya, kenapa dia begitu pantas menguasai ilmu mengurut itu yang hanya dalam masa semalaman sahaja berbanding dengan sesetengah tukang urut yang memerlukan satu tempoh yang berhari-hari dan berminggu-minggu. Dia menjelaskan, bapanya adalah tukang urut yang tersohor di kampung berkenaan. Peliknya, bapanya itu tidak memperturunkan ilmu mengurut kepadanya, dia pula terpaksa belajar dan mencari guru semata-mata untuk menjadi tukang urut sebagaimana yang diminatinya. Menariknya juga, dia boleh mengajarkan ilmu mengurut itu kepada orang lain pula dan dua orang muridnya dari Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur pernah datang belajar mengurut darinya beberapa tahun lalu.

“Sekarang ini guru kita membahagikan sekatan kawasan mengurut. Kita diberikan mengurut di sebelah sini, manakala tok guru akan mengambil kawasan dari tebing sungai Kota Bharu”, ujarnya.

Setakat beliau mengurut, dia tidak mengira sangat jumlah pesakit yang pernah datang ke rumahnya untuk mengurut. Namun, jika dihitung sejak dari usia itu dia agak sudah lebih 1,000 orang yang pernah diurutnya. Para pesakitnya bukan sahaja terdiri dari kawasan tempatan tetapi juga dari Tumpat, Kota Bharu termasuk Salor, Tanah Merah, Gua Musang malah ada yang datang dari Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

“Maklumat tentang kita boleh mengurut asalnya dari mulut pesakit yang pernah diurutnya yang kemudiannya memberitahu orang lain pula”, katanya apabila ditanya dari mana maklumat sehingga pesakit-pesakit lain mengetahui dia seorang tukang urut.

Kata Pak Mat, menurut kaedah yang dipelajarinya, dia memulakan urutan ke atas tubuh pesakit bermula dari “perut”. Apabila ditanya, kenapa urutan bermula di perut? Katanya, di perut banyak urat dan saraf berkumpul selain tempat memproses makanan. Jika masalah urat di perut wujud, dia akan beralih ke lutut pula dan kembali di perut selepas itu, sehinggalah keadaan urat dan saraf kembali sempurna dan normal sepenuhnya. Kaedah bermula di perut bagi memberi ruang pernafasan berjalan lancar kerana lazimnya udara juga berada dalam urat dan saraf itu.

Pak Mat menambah, bagi kaedah mengurut yang bermula di bawah tapak kaki atau di ibu jari kaki atau di bahagian kaki adalah urutan yang tidak sempurna dan bukanlah cara terbaik sebagai tukang urut yang mahir. Ini menurutnya, masalah urat dan saraf bukan di kaki kerana urat di situ tiada kena mengena dengan masalah urat yang sakit itu tadi.

“Bagi kaedah urutan penyakit angin ahmar (angin merah) atau lebih dikenali sebagai strok dalam kategori anggota lumpuh, kita memulakan mengurut di bahagian perut juga”’ ujarnya.

Selain itu, dia juga mahir mengurut batin yang dihadapi oleh segelintir di kalangan lelaki yang didapati lemah tenaga batin dan mati pucuk. Menurutnya, punca sebenar masalah berkenaan adalah makanan yang mengandungi bahan kimia, bahan kimia ini menurutnya beracun kepada manusia secara senyap. Katanya, bagi lelaki yang menghadapi situasi sedemikian, dia mampu memperbetulkan dan menyelesaikan masalah itu sehingga berjaya yang akhirnya pesakit akan merasai sesuatu yang berbeza setelah diurut.

Bagi urutan yang melibatkan masalah tenaga batin dan mati pucuk, urutan di bahagian jari adalah langkah terbaik. Ini kerana, pada jari manusia mempunyai urat dan saraf bersambung di lima tempat, sebab itulah urutan perlu dibuat di kawasan itu.

Dalam kaedahnya mengurut, sebarang minyak urut, minyak masak (minyak benar) boleh digunakan untuk mengurut kerana tidak meletakkan sebarang syarat kepada tukang-tukang urut walaupun terdapat di kalangan tukang-tukang urut menitik beratkan hal itu. Namun, bagi beliau sebarang minyak amat sesuai digunakan asalkan memudahkan aktiviti mengurut, apatah lagi penggunaan minyak masak atau minyak benar ini cepat meresap dalam urat saraf dan bagi melicinkan dan melancarkan urutan.

Katanya, dari segi masa mengurut pula, dia hanya menetapkan pada waktu malam sahaja sebagai masa terbaik dan paling sesuai untuknya mengurut terutama selepas waktu solat Isyak sehingga jam 2.30 pagi. Namun, jika ada pesakit yang perlukan bantuannya untuk mengurut pada waktu siang dia tidak akan menolaknya kerana meraikan tetamu yang datang jauh semata-mata perlukan urutan untuk menyelesaikan kesakitan saraf yang dihadapi mereka. Sementara pada waktu malam, hanya malam Sabtu sahaja dia bercuti dari mengurut atas sebab untuk mengikuti kuliah agama.

Dari konteks maklumbalas pula, dia pernah beberapa kali menerima beberapa maklumbalas yang agak memberangsangkan daripada beberapa pesakit yang pernah diurutnya yang menyatakan beliau sememangnya berpengalaman (pakar) dalam urutan dan tahu urat dan saraf yang bermasalah. Katanya, dalam sehari dia akan menerima kira-kira empat pesakit yang datang mengurut.

Ditanya, tidakkah dia berasa kurang selesa, lemah, penat dan menghidap demam selepas mengurut seseorang? Katanya, dia akan semakin bertenaga dan tidak menunjukkan rasa penat setelah berjaya mengurut pesakit-pesakit terbabit. Lazimnya, kebanyakan tukang urut akan berasa lemah, kepenatan dan kadang kala akan menghidap demam setelah mengurut, namun tidak bagi beliau.

“Dalam hal ini, tukang-tukang urut yang akan berasa lemah dan demam berminggu kerana kaedah menyentuh urat dan saraf pesakit itu tidak betul. Oleh itu, tukang-tukang urut perlu mengetahui kaedah itu”, ujar Pak Mat lagi.

Berhubung tentang kaedah mengurut ini, dia pernah mengurut salah seorang pesakit iaitu seorang Jurutera dari Pulau Pinang. Katanya, walaupun jurutera itu mempunyai tukang urutnya sendiri yang digajikannya, namun dia tidak berpuas hati dengan cara urutan tukang urutnya itu, sehingga terpaksa Pak Mat pula yang mengurutnya. Setelah Pak Mat mengurut, dia berasa bertenaga semula. Itulah yang menyebabkan Pak Mat begitu tersohor dengan teknik urutan sehingga diyakini oleh pesakit dari luar Kelantan.

“Kita agak, mungkin juga tukang urut jurutera itu tidak begitu sesuai dengan sistem urat dan sarafnya sehingga perlu mencari tukang urut lain”, ujar Pak Mat selamba.

Menurut Pak Mat, selepas seseorang pesakit menerima urutan daripada Pak Mat, kira-kira dalam tempoh tiga hari sehingga seminggu baharulah pesakit akan berasa segar dan bertenaga semula.

Katanya, kalau ingin melihat perubahan segera dalam masa sehari atau dua hari memang tidak sepatutnya. Jadi, dalam tempoh tiga hari sehingga seminggu itulah pesakit akan berasa sihat dan bertenaga sepenuhnya.

“Kita mengurut tidak mengguna atau membaca ayat-ayat panjang, memadai membaca “Bismillah” sahaja sehingga selesai”, katanya.

Dia akan mengurut berdasarkan kepada jumlah pesakit. Jika pesakit itu agak terlalu ramai, dia hanya memperuntukkan dan memendekkan masa satu jam sahaja. Tetapi jika pesakit itu tidak ramai, dia akan mengurut sehingga satu jam setengah setiap orang.

Selain beliau sebagai tukang urut lelaki, isterinya, Nab binti Jusoh, 78, atau popular di kampungnya itu dikenali sebagai Makcik Nab adalah tukang urut wanita. Kehidupan kedua-dua pasangan tukang urut ini memberikan impak yang baik kepada masyarakat setempat terutamanya di kalangan pesakit yang memerlukan urutan urat dan saraf yang bermasalah.

Sebarang pertanyaan tentang mengurut, boleh menghubungi Mamat bin Hussein (Pak Mat Pakar Urut) di talian: 014-2943942

Mamat bin Hussein atau Pak Mat.

 Pak Mat ketika ditemubual Wartawan RELATIF di kediamannya.

Pak Mat menunjukkan cara dan kaedah mengurut dengan betul.


Inilah kediaman Pak Mat dan isterinya mengurut.

Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 – http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM

Selasa, 1 September 2015

Rawatan Tradisional, Tukang Urut


RAWATAN TRADISIONAL , TUKANG URUT


PASIR PUTEH, KELANTAN: Zaman moden ini sudah semakin berkurangan golongan perawat tradisional walaupun tidak dapat dinafikan, amalan yang mereka lakukan masih kekal dan wujud sehingga hari ini. Keadaan ini disebabkan, masyarakat khususnya di kalangan pesakit mengambil pendekatan mudah dengan mendapatkan ubat-ubatan dan menerima rawatan secara moden kerana kononnya rawatan secara moden sahaja yang terjamin penyembuhannya.

Amalan merawat pesakit secara tradisional sebagaimana yang dilakukan oleh salah seorang Pengamal Rawatan Tradisional dan Tukang Urut, Azemi bin Berahim, 47, atau lebih dikenali sebagai Mr. Arumi dari Kampung Bukit Tanah, Selising, Pasir Puteh, Kelantan itu adalah usaha dan pendekatan yang baik kepadanya dalam usaha untuk membantu di kalangan penduduk tempatan yang masih melihat rawatan tradisional itu juga rawatan awal yang diamalkan sejak lebih 1,400 tahun dulu tetapi masih lagi diteruskan sehingga hari ini.

Beliau yang ditemui oleh Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh dan Jurufoto, Mohd. Kamal Ibrahim di restoran miliknya dan isterinya itu baru-baru ini menyatakan, dia mengamalkan rawatan seumpama itu sejak dari tahun 2000 lagi tetapi masih diteruskan sehingga tahun 2015 ini. Ini bermakna, hampir 15 tahun dia mengamalkan rawatan tradisional dan urut itu tanpa jemu bagi membantu pesakit yang menghadapi masalah di kediamannya yang terletak berhampiran dengan papan tanda “Bukit Tanah” itu.

“Sudah hampir 15 tahun saya meneruskan rawatan seumpama ini. Sebelah siang mengusahakan restoran bersama isteri, manakal sebelah malam menjalankan rawatan itu”, katanya.

Ditanya tentang minatnya yang menjurus ke arah bidang itu, beliau menjelaskan, adalah disebabkan hobinya sejak dari zaman kanak-kanak lagi ingin berbakti kepada masyarakat khususnya pesakit dengan memperkenalkan rawatan secara tradisional (alternatif) secara sepontan dan mudah diterima pesakit.

Menurut Mr. Arumi, kebanyakan pesakit yang datang berurut dengannya adalah melibatkan sakit urat saraf terutamanya di bahagian pinggang. Dalam kaedah ini, dia akan melihat dan membuat urutan di bahagian tumit dan bawah kaki kerana di kawasan terbabit yang menjadi punca setiap pesakit akan berasa sakit di bahagian atas khususnya tentang saraf di bahagian pinggang itu. Dia akan mulakannya dari kaki sehingga ke bahagian atas tubuh dan meliputi keseluruhan saraf yang ada di bahagian tubuh.

“Jumlah pesakit yang pernah saya urut memang agak ramai juga tetapi lupa siapa pesakitnya.

“Namun, jika diukur secara purata, kira-kira lebih 400 orang pesakit yang datang menerima rawatan dari saya”, katanya apabila ditanya tentang jumlah pesakit yang pernah menerima rawatan dengannya.

Katanya, kebanyakan pesakitnya yang paling ramai adalah terdiri daripada warga Kelantan dan terutamanya dari kalangan penduduk setempat. Namun, terdapat juga pesakit dari luar. Malah beliau juga pernah membuat urutan salah seorang pegawai Jabatan Agama dari Kuala Lumpur yang datang sendiri ke rumahnya di mana pesakit berkenaan akan berharap kepada beliau mengurut kira-kira 10 kali dalam setahun.

“Pegawai yang dimaksudkan itu berasa selesa berurut dengan saya. Dia pernah berurut dengan tukang urut lain, tetapi berasa tidak sempurna.

“Akhirnya, dia mencari saya, kali pertama berurut dia berasa agak lain dari yang lain dan sehingga sekarang telah 10 kali dia datang berurut dengan saya”, kata Mr. Arumi lagi.

Katanya lagi, purata pesakit yang pernah datang berurut dengannya dalam sehari adalah lebih dari dua orang malah terdapat juga seorang sahaja bergantung kepada keperluan. Lazimnya setiap pesakit diurutnya selama satu jam setengah itu sudah memadai dan pesakit akan berasa lega setelah menerima urutan darinya.

Apabila ditanya tentang jumlah bayaran yang dikenakannya kepada pesakit setiap kali selesai memberikan rawatan, dia menjelaskan, dia tidak pernah mengenakan bayaran yang tidak munasabah (mahal) terhadap pesakit sepanjang beliau memberikan perkhidmatan urutan dan rawatan tradisional, semuanya bergantung kepada keikhlasan di kalangan pesakit itu sendiri. Kalau pesakit itu tidak berbuat demikian pun dia tidak ambil kisah kerana itulah niatnya yang asal untuk membantu merawat pesakit yang memerlukan khidmatnya sekadar yang termampu dibuat olehnya.

Mr. Arumi menambah, di antara masa yang diperuntukan olehnya kepada pesakit yang inginkan khidmatnya adalah pada sebelah malam, selepas solat Isyak mulai jam 9.30 malam. Dia tidak mengutamakan rawatan sebelah siang kerana di waktu siang dia mengusahakan restoran bersama isterinya.

Tentang maklumbalas di kalangan pesakit yang pernah mendapatkan khidmatnya juga agak memberangsangkan sepanjang beliau berkhidmat sebagai perawat tradisional dan tukang urut itu. Katanya, setakat ini dia menerima maklumbalas seumpama itu melebihi 20 orang. Salah seorang yang masih diingatinya adalah seorang pesakit dari Besut, Terengganu. Pesakit itu pernah menerima rawatan kira-kira tiga malam berturut-turut.

Sebagai akhir bicara, beliau amat berharap jika mangsa dan pesakit menghadapi masalah yang sukar untuk diselesaikan, sila menghubungi beliau atau datang sendiri ke kediamannya yang terletak berhampiran dengan papan tanda “Bukit Tanah”, Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Katanya, tindakan awal akan dapat menyelamatkan keadaan dan beliau bersedia merawat pelbagai masalah seperti masalah urat saraf, kekejangan urat, terseliuh, masalah tenaga batin lelaki, gangguan makhluk halus dan sebagainya lagi.

Sebarang pertanyaan dan rawatan, hubungi Azemi bin Berahim (Mr. Arumi) di talian: 010-5723502

Azemi bin Berahim atau Mr. Arumi.

Azemi bin Berahim ketika ditemubual Wartawan RELATIF.

Papan tanda "Bukit Tanah" letaknya berhampiran dengan restoran miliknya.



Kediaman dan restoran makanan yang dijadikan sebagai tempat mengurut.



Tonton Video:
1. Siar.TV: Siri 3 - http://siartv-3.blogspot.com

Tulisan:
AZMI MOHD. SALLEH

Jurufoto:
MOHD. KAMAL IBRAHIM